Category Archives: Sorotan Bahasa

Memandaikan Bangsa dengan Bahasa Sendiri

Oleh Siti Hadijah Umor

Penterjemahan merupakan proses atau aktiviti yang dilakukan khususnya bagi memindahkan maklumat daripada bahasa sumber kepada bahasa sasaran. Kemahiran bahasa menjadi elemen penting dalam proses penterjemahan untuk mendapatkan kualiti penterjemahan yang maksimum.

Aktiviti penterjemahan mampu menjanakan pendapatan yang lumayan kepada penterjemah walaupun dilakukan secara sambilan. Walau bagaimanapun, di Malaysia pasarannya belum begitu dikenali oleh penerbit swasta. Sehubungan dengan itu, pasaran yang dinamik dalam perkhidmatan terjemahan perlu diwujudkan di Malaysia supaya dapat dipasarkan kepada kumpulan perkhidmatan yang lebih besar.

Pada 19 hingga 21 Julai lalu, telah berlangsung Persidangan Penterjemahan Antarabangsa ke-13 di Shah Alam. Persidangan dwitahunan yang bertemakan “Globalisasi melalui Penterjemahan: Pemangkin Kecemerlangan Ilmu dan Teknologi” itu telah dirasmikan oleh Dato’ Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi II. Selain Malaysia, program ilmu tersebut diikut serta oleh 333 orang peserta dan pembentang dari pelbagai negara, antaranya termasuklah Indonesia, Brunei, Yemen, Hong Kong, Arab Saudi, Jordan, Taiwan, Iran, dan Kanada.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa September 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Kepustakaan Bahasa Melayu Harus Ditingkatkan

Oleh Zuraini Abu Bakar

Abdullah menyarankan agar industri buku dan terjemahan di negara kita dipertingkat dengan mengaitkan ucapan perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada 25 April 2011 oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, yang menyarankan supaya Malaysia menerbitkan 26 ribu judul buku setahun. Saranan itu menjadi satu cabaran bagi para penerbit, para penterjemah umumnya dan Persatuan Penterjemah Malaysia khususnya.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa September 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

F-dunia-bahasa-0911

Minda Tertutup Memori Terhakis

Oleh Zulkifli Salleh

Sejarawan ulung, Eric Hobsbawm dalam bukunya yang berbentuk wawancaranya dengan Antonio Polito, On the Edge of the New Century, berkata bahawa meskipun menurut takrif, fahaman berbilang bahasa menghalang globalisasi, idea bahawa suatu hari kelak seluruh dunia bertutur dalam bahasa Inggeris kelihatan utopia bagi beliau.

Dalam keluaran pertengahan bulan Disember 2010, The Economist muncul dengan “The Future of English” yang mengulas buku Nicholas Ostler, The Last Lingua Franca: English Until the Return of Babel. Bahasa Inggeris merupakan bahasa yang paling berjaya dalam sejarah dunia. Bahasa ini dituturkan di setiap benua, dipelajari sebagai bahasa kedua, dan merupakan alat sains, perniagaan global dan budaya popular. Banyak orang berfikir bahawa bahasa Inggeris akan tersebar tanpa kesudahan. Akan tetapi, memetik Ostler, sarjana kebangkitan dan kejatuhan bahasa, melakukan ramalan yang memeranjatkan dalam buku terbaharunya itu: hari-hari bahasa Inggeris sebagai lingua franca dunia mungkin akan berakhir.

Ostler yang terlalu berminat terhadap penggunaan bahasa purba membahaskan bahawa bahasa Inggeris berkembang sebagai lingua franca, tetapi bukan sebagai bahasa ibunda. Lebih satu bilion orang bertutur dalam bahasa Inggeris di seluruh dunia, tetapi beliau mengingatkan “hanya kira-kira 330 juta orang daripada jumlah itu sebagai bahasa pertama, dan jumlah penutur ini tidak berkembang.” Masa hadapan bahasa Inggeris terletak dalam tangan negara di luar kumpulan penutur bahasa Inggeris, dan soal Ostler, “Adakah mereka selalu belajar bahasa Inggeris?”

Bagi beliau, dua faktor baharu, iaitu nasionalisme moden, seperti yang berlaku di negara bekas tanah jajahan, dan teknologi menyekat penyebaran bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris akan pudar sebagai lingua franca, hujah Ostler, “tetapi bukan kerana beberapa bahasa lain akan menggantikan bahasa ini.” Meskipun bahasa Inggeris tiada pengganti kerana yang akan diperlukan bukan hanya satu, tetapi teknologi akan memenuhi keperluan. Teknologi yang dimaksudkan oleh beliau itu ialah kemajuan yang pesat dalam terjemahan berkomputer dan pengenalpastian pertuturan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa September 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.