Perkembangan Pengajian Melayu di China (Bahagian 1)

Oleh AWANG SARIYAN

Tumbuh dan berkembangnya pengajian Melayu di China merupakan kesan langsung daripada wujudnya hubungan antara tamadun Melayu dengan tamadun China yang telah terjalin sejak lebih dua ribu tahun silam. Menjadi tradisi istana China sejak dahulu kala merekodkan peristiwa yang berkaitan dengan istana dan kerajaan. Sumber sejarah terawal China yang mencatat hubungan antara dua tamadun itu ialah Han Shu – Di Li Zhi (Kepustakaan Dinasti Han -Catatan Geografi) pada sekitar tahun 150 sebelum Masihi. Maharaja Wu Di mengirimkan utusan ke India dan dalam pelayaran itu, utusannya singgah di beberapa tempat di alam Melayu.

       Disebut dalam catatan sejarah istana China perihal Kerajaan Ye Diao yang dipercayai berada di Jawa atau Sumatera dan mempunyai hubungan dengan Kerajaan China pada tahun 131 Masihi. Sumber itu turut menyebut fakta bahawa kapal China melalui Dungun, Terengganu. Dalam sumber sejarah China yang lain, iaitu Liang Shu, Jiu Tang Shu dan Xin Tang Shu ada disebut Kerajaan P’an-P’an di pantai timur Tanah Melayu yang menjalinkan hubungan dengan Kerajaan China antara tahun 424 hingga 534 Masihi. Kerajaan Melayu lain yang disebut dalam sumber sejarah China Zhu Fan Zhi, Tong Dian, Sui Shu dan Tong Xi Yang Kao antaranya termasuklah Langkasuka, Tembralinga dan Negeri Bumi Merah.

      Hubungan alam Melayu dengan China melonjak dalam
zaman Kerajaan Melayu tua Srivijaya dan Dinasti Tang pada abad ketujuh Masihi. Yi Jing, pendeta agama Buddha dari China yang bermukim selama enam bulan di Srivijaya (dalam bahasa klasik China di sebut Fo Shi) mencatatkan adat istiadat dan beberapa aspek lain kebudayaan Melayu selain mengembangkan agama Buddha dengan menggunakan bahasa Melayu. Kewujudan pusat pengajian Buddha itu kini dapat disaksikan di Jambi, Sumatera setelah usaha rekonstruksi dilakukan oleh pemerintah Indonesia. Dinasti Tang memandang tinggi Srivijaya sebagai pusat tamadun Melayu. Catatan perjalanan Yi Jing ke Alam Melayu dipamerkan di muzium Buddha terbesar di kota Xi’an, iaitu ibu kota provinsi Shannxi. Keakraban hubungan dua tamadun itu dilanjutkan dalam zaman Dinasti Song (abad 10-13) dan Dinasti Yuan (abad 13-14).

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Julai

Pengajian Bahasa Melayu di Luar Negara

Oleh AZIZUL HAJI ISMAIL
DR. VIJAYALETCHUMY A/P SUBRAMANIAM

Pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di luar negara merupakan usaha utama untuk menyebarluaskan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa. Hal ini amat penting dalam usaha pihak perancangan bahasa di Malaysia untuk mencapai wawasan dengan menjadikan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa di dunia, khususnya menjadi salah satu bahasa rasmi di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB). Pada masa kini, terdapat enam bahasa rasmi PBB, iaitu bahasa Inggeris, Arab, Mandarin, Sepanyol, Rusia dan Perancis. Namun, untuk mencapai matlamat tersebut, bahasa Melayu tidak perlulah sehingga menjadi bangsa yang melaksanakan imperialisme bahasa terhadap bangsabangsa lain di dunia ini. Sebaliknya bahasa Melayu perlu disebarkan secara integrasi dan diplomasi melalui pengajaran dan pembelajaran kepada negara-negara bukan penutur asli bahasa Melayu untuk tujuan pengantarabangsaan bahasa tersebut.

       Pada masa kini, pihak kerajaan dengan dukungan dan iltizam dari universiti-universiti tempatan telah berusaha memartabatkan bahasa Melayu pada peringkat dunia dengan penubuhan Kursi Pengajian Melayu di beberapa universiti terkemuka di dunia, iaitu Kursi Pengajian Melayu wilayah Eropah di Universiti Leiden, Belanda, Kursi Tun Abdul Razak di Universiti Ohio, Amerika Syarikat, Universiti Victoria Wellington, Universiti Beijing dan di Universiti Hankuk, Korea Selatan. Selain itu, bahasa Melayu juga dipelajari secara meluas di Universiti Youngsan dan Universiti Busan di Korea Selatan, Universiti Deakin, Melbourne, Australia, malahan terdapat juga di Universiti Negara Moscow Lomonosow, Universiti Negara St. Petersburg di Rusia. Secara keseluruhannya, terdapat lebih 140 buah institut pengajian tinggi di lebih 50 buah negara di seluruh dunia menawarkan kursus pengajian bahasa Melayu yang antaranya melibatkan negara Amerika Syarikat, United Kingdom Jepun, China, Rusia, Belanda, Jerman, Mesir, Iran, Pakistan, dan lain-lain.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Julai.

Hijrahkan Bahasa

 

Apabila disebut tentang perkataan hijrah, perkara pertama yang terlintas dalam fikiran sudah pastinya kegiatan perpindahan, sama ada oleh seseorang atau kumpulan manusia dari suatu tempat ke tempat yang lain atas sebab-sebab tertentu. Bagi umat Islam, sudah pastinya peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dari kota Mekah ke kota Madinah akibat penentangan terang-terangan kaum Quraisy terhadap agama Islam di samping ancaman terhadap nyawa baginda merupakan peristiwa yang amat signifikan dan diingati tahun demi tahun. Malah, hijrah digalakkan untuk melebarkan skop pandangan serta pemikiran agar manusia tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung.

       Namun, apabila ditautkan hijrah dengan bahasa, pasti hal yang sedemikian ini menimbulkan persoalan tentang bentuknya dan signifikannya. Sememangnya untuk menautkan hijrah dan bahasa mampu menjerumuskan seseorang dalam polemik keliru yang merimaskan. Bolehkah bahasa berhijrah? Bagaimana pula konsep hijrahnya? Apa pula signifikannya? Persoalan yang sedemikian ini pasti akan berlegar-legar dalam minda. Untuk menjawabnya, pertama, usah disinonimkan bahasa seperti manusia yang memiliki bentuk dan sifat yang wujud. Kedua, perluas minda untuk melihat konsep hijrah dari sudut takrif yang lebih luas dan di luar pentafsiran tipikalnya.

       Bahasa, menurut takrifan kamus Merriam Webster, ialah kaedah sistematik untuk menyampaikan buah fikiran atau perasaan melalui penggunaan isyarat, bunyi, gerakan atau petanda konvensional yang difahami maksudnya. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat pula bahasa ialah sistem lambang bunyi suara yg dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia. Tuntasnya bahasa wahana perhubungan dan tidak statik. Bahasa bergerak dan tersebar selagi penuturnya mampu bergerak. Bahasa dipelajari, difahami, dikuasai dan diamalkan dan tidak ada had sebanyak mana bahasa yang boleh dikuasai selagi seseorang itu memiliki keupayaan untuk berbuat demikian.

Mohidin Haji Malek

Sekolah Persendirian Cina dan Sijil Peperiksaan Bersepadu

Oleh MOHIDIN HAJI MALEK

Pendidikan merupakan asas penting dalam proses pembangunan minda dan pembinaan keintelektualan insan. Setiap insan, tanpa mengira warna kulit, anutan agama, budaya dan amalan hidup, pasti akan melalui proses pendidikan, sama ada yang berbentuk formal atau tidak formal. Sejak lahir, manusia menyesuaikan diri dengan ilmu dan kemahiran baharu yang diserapkan terus untuk beranjak dari satu fasa ke satu fasa kehidupan. Hal yang sedemikian inilah yang mematangkan pemikiran dan menjadi aras penanda sejauh mana seseorang itu mampu menerima serta mengaplikasikan apa-apa jua ilmu atau kemahiran baharu yang diperoleh. Hal yang sedemikian inilah juga yang seterusnya menjadi kayu pengukur tahap kecendekiaan dan kebitaraan seseorang dalam kerangka penahapan yang kurang menyenangkan, iaitu lembap, sederhana bijak, bijak, cendekia, bitara, dan seumpamanya. Penarafan inilah yang membawa wujudnya strata sosial yang lama-kelamaan mewujudkan pula persempadanan penempatan atau kediaman dan akhirnya, keruntuhan institusi masyarakat dalam sesebuah negara.

        Dalam sebuah negara yang memiliki sifat kemajmukan dari pelbagai aspek kehidupan, pembentukan sebuah masyarakat yang berilmu banyak bergantung pada kerangka pelan sistem pendidikan formal yang bersepadu dan sehala. Kerangka pelan pendidikan yang sedemikian sifatnya akan melahirkan generasi yang memiliki jati diri yang utuh dan sifat kefahaman yang tinggi tentang keberadaannya dalam sistem bernegara. Dengan kata lain, setiap ahli masyarakat akan memahami keperluan membentuk kesatuan yang kukuh untuk menjadikan negara yang mereka akui sebagai tanah kelahiran mereka, maju dan makmur. Hal yang sedemikian ini merupakan formula penting ke arah pembentukan sebuah negara bangsa.

         Di Malaysia, Dasar Pendidikan Kebangsaan diwujudkan selepas negara mencapai kemerdekaan dengan mengambil kira kepentingan aspek kesamarataan dalam pemerolehan ilmu pengetahuan. Sejajar dengan hal yang sedemikian itu, penggunaan satu bahasa sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara disepakati, dan secara konsensusnya, bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa bahasa pengantar rasmi dalam sistem pendidikan kebangsaan. Aspirasi menyamaratakan strata pendidikan, sekolah vernakular Cina dan Tamil yang wujud seawal era penjajahan British di bawah dasar pecah dan perintahnya sebagai institusi penyampai ilmu untuk kaum berkenaan diasimilasikan dalam sistem sekolah kebangsaan selepas negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Di bawah sistem ini, kerajaan berperanan menentukan kurikulum pengajaran dan pembelajaran, serta tenaga pengajar, manakala tapak pembinaan kekal hak milik sekolah. Langkah yang sedemikian ini bertepatan dengan aspirasi untuk mewujudkan satu sistem pendidikan yang terarah dan sistematik.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Jun

Menegakkan Tiang Seri Perpaduan

 

Bukan mudah untuk membina sebuah negara bangsa dengan kemajmukan latar belakang bangsa, budaya, agama, bahasa, amalan
dan cara hidup. Apatah lagi dengan mengambil kira sentimen perkauman yang amat rapuh dan umpama bom jangka yang menanti masa untuk meletup. Namun demikian, tidak mustahil perkara itu tercapai sekiranya terbentuk konsensus dan persefahaman yang utuh yang menjamin keharmonian dan kesejahteraan yang menjadi teras pembentukan sebuah negara bangsa.

Negara seperti yang kita fahami ialah produk abad ke-19. Pada zaman moden, negara diiktiraf sebagai komuniti politik yang menjamin keabsahan persempadanan sesebuah negara dan membentuk negara berkenaan menjadi negara bagi seluruh rakyatnya. Tanggapan negara bangsa memberikan penekanan terhadap hubungan antara negara dengan bangsa. Kewarganegaraan sewajarnya berperanan untuk menyebatikan diri warga kepada negara dan dengan hal yang demikian menjadi faktor yang menjamin keberadaan setiap warga di samping bersatu membentuk sebuah negara yang maju dan berprestij.

Sejarah pahit dijajah telah mengajar kita untuk menghargai erti keberadaan dalam urusan tadbir urus negara. Lembar baharu sewaktu mencapai kemerdekaan menyedarkan kita tentang perlunya setiap suku kaum bersatu dan menyisihkan sikap keakuan untuk memperjuangkan hak yang berlandaskan kepentingan kaum masing-masing. Melihat akan kepentingan yang sedemikian itulah, Perlembagaan Persekutuan menggariskan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara. Bahasa merupakan wahana yang mampu menautkan dan mengeratkan silaturahim antara kaum yang pelbagai dan pemilihan bahasa Melayu untuk menzahirkan aspirasi pembangunan sebuah negara bangsa sememangnya telah dipersetujui secara konsensus.

Mohidin Haji Malek

 

Kemandirian Bahasa Melayu

Oleh UMIFATIHAH RAMLEE

Bahasa ialah kebolehan semula jadi manusia yang berupa satu sistem simbol bunyi suara yang telah dipersetujui dan digunakan oleh sekelompok manusia untuk berkomunikasi. Menurut Asmah Haji Omar, (1988), tokoh linguistik Melayu, bahasa merupakan firasat atau petunjuk kepada sesuatu kebudayaan. Lebih ringkas lagi bahasa mencerminkan kebudayaan penuturnya. Bahasa memainkan peranan yang penting dalam kalangan masyarakat pelbagai bangsa, agama dan budaya yang mengamalkan cara hidup yang berlainan. Dalam konteks negara kita, bahasa Melayu telah membuktikan kemampuannya untuk menyatukan seluruh bangsa yang ada di negara ini sejak negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

        Bahasa Melayu telah menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara Malaysia, dan bahasa ini telah digunakan secara meluas oleh setiap golongan masyarakat, dari peringkat atasan hinggalah peringkat bawahan. Bahasa Melayu juga pernah diangkat sebagai bahasa perdagangan namun, kini setelah negara semakin menuju ke arah kemodenan, kedudukan bahasa Melayu semakin rapuh dan kemandirian bahasa Melayu kian terancam disebabkan sikap rakyatnya sendiri yang terlampau mengagung-agungkan bahasa asing, terutamanya bahasa Inggeris. Sebagai contoh, hal yang sedemikian ini disuarakan Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh dalam Syarahan Agung Sasterawan Negara, seperti yang berikut:

“Mungkin di Malaysialah anak negerinya ramai yang tidak pandai berbahasa dengan bahasa kebangsaannya, dan ramai juga yang malu menggunakannya atau berasa darjat sosialnya sudah jatuh tertiarap di lantai apabila dia bercakap dalam bahasa ini. Jikalau kita tidak percaya pada bahasa kita, orang lain di dunia pun tidak mempunyai sebab untuk mengkajinya. Sekarang ini kebanyakan kursus sastera dan bahasa Melayu di Eropah, Australia dan Amerika sudah ditutup, sementara kajian China, Vietnam, India dan malah Cambodia sedang berkembang. Di hadapan mata kita bahasa Melayu bertumbangan, sakit dan sebahagiannya sudah mati untuk selama-lamanya sekiranya kita tidak berbuat apa-apa, dan parah dalam kalangan yang terpelajar, yang tertinggi ijazahnya dan tertinggi pangkatnya. Orang kampung tidak membunuh bahasa ibundanya. Kitalah yang dianugerahkan berbagai-bagaibagai kemudahan, upaya dan kecerdasan dan kitalah yang membunuhnya.”

Kata-kata ini ialah bukti bahawa pada era globalisasi ini kemandirian bahasa Melayu kian musnah. Banyak faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Mei

Mengetuk Pintu Bahasa

 

Bijak pandai ada berkata, untuk mengenal hati budi sesebuah bangsa, selamilah bahasanya. Lidah bijak pandai bukanlah sembang-sembang biasa di kedai-kedai atau warung-warung kopi. Bijak pandai meneliti dan mentafsir dengan mata hati tanpa rasa prejudis sebelum sesuatu ungkapan diutarakan. Andai ditelaah dan dikaji dengan mendalam, kebanyakan kenyataan yang dilontarkan ada kewajaran dan ketepatannya. Dalam konteks ungkapan di atas, kita perlu melihat pelbagai sisi dan dimensi sebelum apa-apa juga pandangan yang ingin kita lontarkan.

         Bahasa diumpamakan sebagai jiwa sesebuah bangsa. Hal yang sedemikian ini membawa maksud bahawa bahasa itu roh yang mencitrakan keperibadian sesuatu bangsa. Apabila seseorang itu berkata-kata, keperibadiannya tergambar melalui pemilihan kata, pembentukan ayat, penyisipan kias dan perumpamaan, intonansi, jeda, perasaan, dan sebagainya. Citra peribadi ini akan berkembang sekiranya masyarakat sekelilingnya berkomunikasi secara serupa. Seterusnya perkembangan itu akan melebar sehingga peringkat yang lebih luas dan pengaruhnya tidak akan terhenti setakat itu sahaja. Malah, tidak mustahil andai kata peluasan pengaruhnya melewati garis persempadanan negara.

          Dengan mengambil iktibar perkembangan bahasa Melayu zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka, nilai kesopanan dan kesantunan berbahasa merupakan elemen yang menyerlah. Hal yang sedemikian ini menyebabkan bahasa Melayu dipandang tinggi oleh kalangan pedagang yang mendapati bahawa berkomunikasi dengan penduduk tempatan amat mudah dan menyenangkan. Kemegahan berbahasa dalam kalangan penduduk tempatan mengukuhkan lagi kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa yang murni dan berwibawa. Dimensi ini jarang-jarang diketengahkan, namun amat besar impak dan peranannya untuk memastikan kemandirian sesuatu bahasa.

Mohidin Haji Malek