Politik Bahasa Membentuk Etimologi Filipina

Etimologi

Oleh Awang Azman Awang Pawi

Terdapat beberapa persamaan antara perbendaharaan kata bahasa Tagalog dengan Melayu Sarawak. Ketika penulis berkesempatan bertemu dengan ahli akademik Filipina, kami bertukar-tukar pandangan dalam mencari persamaan sebagai satu rumpun di alam nusantara ini. Hasilnya, kami mendapati Filipina merupakan sebahagian daripada dunia Melayu sebelum dikuasai oleh dua kuasa besar kolonial, iaitu Sepanyol dan Amerika Syarikat.

Dunia Nusantara yang terbentang luas meliputi kepulauan Filipina sebelum kedatangan agama Kristian lagi. Walau bagaimanapun, kolonialisme telah mengubah masyarakat di Filipina yang kini merupakan 90 peratus penduduknya beragama Kristian manakala penduduk Islam cuma tinggal lima peratus. Pembaratan kebudayaan juga berlaku dalam masyarakat Filipina. Kesannya, bahasa Inggeris menjadi bahasa pemerintah dan pengantar dalam pendidikan walaupun bahasa kebangsaan ialah “Pilipino” yang bersumberkan bahasa Tagalog. Istilah Tagalog bermaksud penduduk yang tinggal di perairan sungai.

Situasi di Filipina ini merupakan kesan pembaratan kebudayaan selama 400 tahun oleh kolonial Sepanyol dan Amerika. Yang dapat dikesan, Filipina mempunyai sekitar 87 bahasa dan dialek peribumi yang dituturkan di bawah rumpun Melayu-Polinesia. Tiga bahasa peribumi yang banyak dituturkan ialah bahasa Cebuano, Tagalog dan Ilocano. Bahasa Cebuano dituturkan di utara Luzon manakala, bahasa Tagalog pada mulanya dituturkan di kawasan Manila. Manakala bahasa masyarakat Islam tertumpu di kepulauan Sulu, di tengah dan barat Mindanao, serta kawasan utara Luzon.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Oktober 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Hubungan Maksud antara Perkataan

Leksikologi

Oleh S. Nathesan

Cruse dalam Lexical Semantics (1986) mentakrifkan suatu unit leksikal atau perkataan sebagai gabungan antara bentuk dan maksud atau makna (sense). Laurie Beauer dalam Vocabulary (1998) pula menerangkan hubungan antara perkataan wujud daripada dua aspek. Yang pertama adalah dari aspek maksud, dan yang keduanya dari aspek bentuk. Walau bagaimanapun, dalam perbincangan pada kali ini, hubungan antara perkataan dari segi maksud atau makna sahaja yang dijelaskan.

Lazimnya, persoalan makna menjadi tumpuan utama dalam bidang semantik leksikal. Namun, bidang linguistik lain, seperti leksikologi turut meneliti aspek makna. Rene Dirven dalam Cognitive Explorations of Language and Linguistics (2004) mendefinisikan leksikologi sebagai kajian sistematik tentang maksud perkataan.

Dalam Routledge Encyclopedia of Language Teaching and Learning (2001) pula leksikologi diterangkan sebagai bidang yang mengkaji pelbagai jenis perkataan yang wujud dalam bahasa serta hubungan maksud antara jenis perkataan tersebut. Perkataan yang terdapat dalam bahasa, lazimnya ada hubungan atau pertalian dari segi makna antara satu dengan yang lainnya. Hal ini dirujuk sebagai hubungan maksud (sense relations).

Hubungan maksud sesuatu perkataan akan lebih jelas kelihatannya jika maksudnya dirujuk dalam kamus ekabahasa, seperti Kamus Dewan Edisi Keempat (2005). Misalnya, entri perkataan kawat ada dua maksud, iaitu “tali yang dibuat daripada logam” (dawai), dan “telegram”. Demikian juga kata cocok diberikan enam maksud, iaitu “sesuai benar”, “sepakat”, “tidak berbeza”, “tepat”, “suka” dan “serasi”.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Oktober 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Ke Arah Mewujudkan Industri Bahasa

Bual Bahasa

Dr. Jeniri Amir merupakan Pensyarah Kanan dan Ketua Jabatan Komunikasi Universiti Malaysia Sarawak. Beliau juga terlibat dalam industri bahasa secara serius lebih daripada 30 tahun dengan menulis teks ucapan pemimpin politik serta rencana dalam akhbar dan majalah. Baru-baru ini, sidang editor Dewan Bahasa telah berkesempatan menemu bual beliau untuk mendapatkan pandangannya tentang industri bahasa.

DB : Apakah pandangan Dr. tentang bahasa Melayu?

JA : Bahasa Melayu telah berkembang dengan pesat tetapi sentiasa berhadapan dengan pelbagai cabaran. Sebagai orang yang telah melibatkan diri selama 30 tahun secara serius dalam bidang ini, saya mendapati bahawa bahasa Melayu telah mencapai tahap yang dapat dibanggakan. Bahasa Melayu telah digunakan dengan meluas berbanding dengan 30 tahun lalu meskipun masih banyak ruang untuk terus ditingkatkan penggunaannya. Bahasa Melayu berjaya memainkan peranan sebagai bahasa pengantar ilmu dan sebagai bahasa pemersatu masyarakat berbilang kaum.

Walau bagaimanapun, saya kesal dengan sikap sesetengah pihak, termasuklah pemimpin politik, yang tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk menggunakan dan memartabatkannya. Bahasa Melayu perlu digunakan dengan meluas bukan sahaja dalam sektor awam, tetapi juga dalam sektor swasta. Penggunaan bahasa Melayu boleh dijadikan satu kegiatan dan industri yang dapat membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

Bahasa Melayu hanya dapat mencapai kemajuan jika semua pihak, tidak mengira kaum, menggunakannya dengan rasa bangga. Bahasa Melayu ialah bahasa kita semua.

___

Temu bual ini dipetik daripada Dewan Bahasa Oktober 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Puisi

Puisi Bahasa

Soldadu Bahasa
(Untuk soldadu-soldadu bahasa yang muda lela)

Kesepakatan daripada kata yang berderai,
kesatuan daripada semangat yang terungkai,
perkampungan aspirasi ini mewangi narwastu,
haruman kuntum mekar kembang merah,
tumbuh subur di tanah cinta

Ainunl Muaiyanah Sulaiman
Ayer Keroh, Melaka.

___

Puisi ini dipetik daripada Dewan Bahasa Oktober 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Dari Hujung Jari ke Gegendang Telinga, dan ke Akal Fikir

Agenda Bahasa

Oleh Zahari Hashim

Apabila seseorang itu hilang salah satu panca inderanya, panca inderanya yang lain akan menjadi lebih peka dan aktif. Bagi golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan, hujung jari akan menjadi lebih peka. Malah, dalam banyak hal, bahagian tersebut berperanan seperti mata.

Penggunaan singkatan “OKU” untuk maksud “orang kurang upaya” adalah sejajar dengan takrif yang terdapat dalam Akta Orang Kurang Upaya yang telah diluluskan oleh Parlimen dan diwartakan pada tahun 2008. Ada juga kecenderungan oleh beberapa pihak untuk menggantikan maksud untuk huruf “k” daripada “kurang” kepada “kelainan”. Sebenarnya, apa-apa pun istilah yang digunakan, OKU tetap membawa maksud “kurang” dan “lain” kerana memang hakikatnya apabila kekurangan satu panca indera dapat menyebabkan berbeza daripada insan yang lain.

Apabila berbicara tentang OKU penglihatan, golongan ini sebenarnya terdapat dalam dua kategori. Yang pertama, golongan yang masih mempunyai sedikit penglihatan dan masih dapat melihat cahaya dan objek. Ada antara mereka masih mampu menulis dan membaca tulisan biasa. Selain itu, ada juga yang perlu menggunakan alat bantu, seperti kanta pembesar dan televisyen litar tertutup (CCTV). Golongan ini dipanggil golongan yang berpenglihatan terhad atau rabun.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa September 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Pembelajaran Bahasa Melayu Kanak-kanak Autisme

Agenda Bahasa

Oleh Jessica Ong Hai Liaw

Autisme dihuraikan buat pertama kalinya oleh ahli psikologi, Leo Kanner (1943), sebagai sindrom kumpulan tingkah laku yang unik, iaitu satu masalah gangguan afektif, persepsi, linguistik, kognitif dan komunikasi. Kanner menyifatkan kanak-kanak autisme sebagai individu yang suka menyendiri dan terasing, berkomunikasi dengan pertuturan berulang, tertarik dengan objek bukan hidup dan sukar bertolak ansur jika ada perubahan dalam rutin harian. Dengan kata lain, kanak-kanak autisme berada dalam alam yang tersendiri. Autisme berkaitan dengan gangguan dalam komunikasi, interaksi dalam bersosial, gangguan deria, pola bermain yang berbeza dan sikap yang mempengaruhi emosi, seperti hidup dalam khayalan.

Kini, masyarakat Malaysia mula membuka mata dan memberikan perhatian khusus terhadap kanak-kanak autisme, terutamanya dalam bidang pendidikan. Hal ini terbukti dengan wujudnya Program Pendidikan Khas Integrasi Bermasalah Pembelajaran (PPKI) di sekolah dan di NASOM (National Autism Society of Malaysia). Melalui program ini, guru menggunakan kaedah peneguhan positif dan negatif untuk kanak-kanak autisme. Namun begitu, masih belum terdapat Sukatan Pengajaran Khas atau Modul Pembelajaran untuk kanak-kanak autisme. Menurut Razhiyah, kanak-kanak autisme mempunyai tumpuan belajar yang singkat, mudah jemu dan tidak berminat terhadap pembelajaran secara teori. Mereka lebih gemar akan sesuatu yang praktikal. Oleh itu, para pendidik seharusnya memainkan peranan penting bagi mencari kaedah yang terbaik untuk kanak-kanak autisme.

Kanak-kanak autisme boleh diajar untuk bertutur dan bergaul dengan masyarakat, bukannya dipinggirkan. Dalam konteks pembelajaran bahasa Melayu, persoalannya bagaimanakah kaedah yang sesuai untuk mengajar kanak-kanak autisme? Oleh itu, tingkah laku dan emosi kanak-kanak ini harus dilihat dari sudut positif dan elemen ini harus digabungkan dalam proses pembelajaran bahasa Melayu khusus untuk mereka. Gejala gangguan sosial dan kemahiran asas sosial yang terdapat pada kanak-kanak autisme perlu ditangani dengan bijak. Proses pembelajaran yang bersahaja dan santai amat perlu bagi kanak-kanak autisme supaya mereka mempunyai minat untuk bertutur.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa September 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Menangani Masalah Disleksia

Agenda Bahasa

Oleh Vijayaletchumy Subramaniam

Menurut Persatuan Disleksia Antarabangsa, disleksia merujuk aspek kesukaran membaca. Kegagalan membaca terjadi kerana mereka tidak dapat menterjemahkan dengan betul lambang bertulis, sama ada dalam huruf itu sendiri, dalam suku kata ataupun dalam perkataan. Individu disleksia berfikiran multidimensi, iaitu mempunyai intuisi yang kuat dan kreatif dalam menyelesaikan masalah. Mereka sangat cemerlang dalam aktiviti “belajar dan melakukan”, tetapi agak sukar untuk berhadapan dengan angka, nombor, simbol dan perkataan. Menurut Gupta, terdapat dua juta kes disleksia di seluruh Malaysia, iaitu 25 peratus daripada populasinya melibatkan pelajar sekolah. Walau bagaimanapun, melalui sistem pembelajaran yang betul, tidak mustahil pelajar disleksia berpotensi untuk berjaya. Banyak individu disleksia yang berjaya dan telah mencipta nama, antaranya termasuklah Albert Einstein, Henry Ford, Walt Disney dan Leonardo Da Vinci.

Menururt Mercer (1997), Hammond dan Hughes (1996), serta Spaafford dan Grosser (1996), antara punca yang menyebabkan disleksia termasuklah “keturunan” atau “genetik”. Kajian telah membuktikan bahawa disleksia disebabkan oleh kromosom 1, 15 dan 16 yang boleh diwarisi secara turun-temurun. Dalam kebanyakan kes, didapati ada ahli keluarga mengalami masalah yang sama, cuma yang membezakan mereka hanyalah tahap keseriusannya.

Selain itu, disleksia juga disebabkan oleh faktor “biologi”. Biasanya, kanak-kanak disleksia dilahirkan tidak cukup bulan atau pramatang, kekurangan oksigen semasa dilahirkan atau kelahiran yang amat sukar. Sejarah inilah yang menjadi punca kelambatan atau ketidaksempurnaan perkembangan kanak-kanak. Kerosakan pada otak semasa dilahirkan menyebabkan kanak-kanak tersebut mengalami masalah pembelajaran. Namun, kes sebegini berada pada tahap yang minimum.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa September 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.