Puisi

Bahasa Mimpi

Tadi malam aku bermimpi
kota itu bertukar watak
di papan-papan tanda
ceria kembali wajah bahasaku
menyapa kunjungan tamu
yang mahu mencari
kelainan.

Sahrunizam Abdul Talib

___

Puisi ini dipetik daripada Dewan Bahasa September 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Setiap Insan Ada Bahasanya

Bahasa merupakan wahana komunikasi yang amat penting untuk setiap insan, baik yang sempurna fizikalnya, mahupun golongan istimewa. Setiap insan menggunakan bahasa untuk bekerjasama dan berhubungan sesama mereka.

Bagi golongan istimewa, ada antara mereka tidak dapat menggunakan bahasa sebagaimana orang biasa. Oleh sebab itu, mereka perlu menggunakan bahasa khusus, seperti bahasa isyarat. Dari segi fungsinya, bahasa isyarat sama dengan bahasa lisan dan bahasa tulisan, iaitu untuk komunikasi. Bahasa ini merupakan jambatan yang menghubungkan komunikasi sesama mereka dan juga dengan orang biasa.

Walau bagaimanapun, untuk memastikan kelancaran komunikasi, kedua-dua pihak, terutamanya orang biasa, perlu memahami bahasa isyarat. Bahasa ini tidak sama seperti gerak isyarat biasa, misalnya isyarat polis di jalan raya semasa mengawal lalu lintas. Dalam bahasa ini, aspek pergerakan anggota badan tertentu, seperti gerak bibir dan mulut serta tangan memainkan peranan yang amat penting.

Bagi golongan kurang upaya penglihatan pula mereka menggunakan tulisan khusus, iaitu tulisan Braille. Kini, tulisan yang diciptakan di Perancis pada awal kurun ke-18 ini telah mengalami pelbagai inovasi. Tulisan ini tidak hanya digunakan untuk menulis teks rumi, tetapi juga teks Arab apabila al-Quran turut ditulis dalam tulisan Braille bagi keperluan golongan kurang upaya penglihatan.

Di negara kita pula, untuk membantu golongan istimewa meningkatkan pemahaman bahasa Melayu dan membantu menyelesaikan masalah bahasa, khususnya dari segi pemahaman makna sesuatu kata, Kamus Dewan turut dipindahkan ke dalam bentuk tulisan Braille. Dalam bentuk tulisan ini, kamus yang ditulis secara depan-belakang dijadikan 65 jilid. Pada tahun 1980-an pula, pernah ada usaha menulis pindah majalah Dewan Masyarakat.

Dengan hal yang demikian, jelaslah bahawa golongan istimewa turut diberi perhatian dalam aspek pengembangan dan pemantapan bahasa Melayu. Mereka juga berperanan dalam penyebaran dan pemerkasaan bahasa Melayu di negara kita.

Pada kesempatan ini juga, kami merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Dato’ Dr. Hassan Ahmad yang telah kembali ke rahmatullah pada 31 Ogos lalu. Allahyarham merupakan mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (1976 – 1988) dan pejuang bahasa yang telah memberikan sumbangan besar terhadap pengembangan dan pemerkasaan bahasa kebangsaan. Al-Fatihah.
Selamat Hari Malaysia.
-Zaidi Ismail

MEMPERKAYA WAWASAN PEMBACA