F-bual-bahasa-0911

Bahasa Isyarat Merapatkan Jurang Komunikasi

Oleh Diarani Mat Adam dan Zuraini Abu Bakar

Dr. Abdullah Yusoff merupakan seorang pakar dan perunding Pendidikan Pelajar Pekak Malaysia. Beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang yang berkaitan. Sidang editor Dewan Bahasa telah berkesempatan menemu bual beliau untuk mendapatkan pandangannya tentang bahasa golongan istimewa, khususnya bagi golongan orang pekak.

DB : Mengapakah perlu bahasa khas untuk golongan istimewa? Adakah bahasa yang wujud untuk golongan ini berbeza dengan bahasa untuk orang yang berpendengaran? Bagaimanakah bahasa ini dapat membantu golongan ini menjalani kehidupan harian?

AY : Apabila kita membicarakan tentang golongan istimewa, kita merujuk beberapa kategori orang yang bermasalah selain pekak, seperti buta, autistik dan Sindrom Down. Kita tidak perlu wujudkan satu bahasa yang lain, tetapi yang kita perlukan ialah komunikasi augmentatif dan alternatif (augmentative and alternative communication) bagi memahamkan mereka supaya mereka dapat berinteraksi dengan kita secara yang lebih baik.

Golongan istimewa ini hanya bermasalah dari segi komunikasi. Untuk itu, komunikasi alternatif yang sesuai ialah dengan menggunakan bahasa badan, isyarat, gambar dan alatan lain, seperti bunyi, cahaya, komputer bersuara, klip video pendek dan sentuhan individu yang terlibat secara langsung dengan sokongan ini perlu mempunyai pengetahuan yang luas dalam kaedah komunikasi dan penjagaan, terutamanya sikap sabar.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa September 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Pembudayaan Bahasa Melayu dalam Kehidupan

Oleh Nor Baizura Ibrahim

Judul : Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu
Penyelenggara : Arba’ie Sujud, Adi Yasran Abdul Aziz, Ahmad Yusoff Buyong

dan Zaitul Azma Zainon Hamzah

Penerbit : Dewan Bahasa Dan Pustaka (2011)
Harga : RM35.00

Dewasa ini, penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat kota di Malaysia semakin berkurangan. Kebanyakan mereka bertutur dalam bahasa Melayu rojak yang bercampur dengan bahasa Inggeris menyebabkan bahasa Melayu tidak dituturkan dengan cara yang betul. Buku Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu diterbitkan bertujuan untuk memantapkan keupayaan bahasa Melayu sebagai wahana komunikasi dalam segala aspek kehidupan.

Usaha pemartabatan bahasa Melayu melalui penggayaan korpus ini haruslah bersifat tuntas mencakupi ejaan, sebutan, perbendaharaan kata, tatabahasa dan laras bahasa melalui aktiviti penyelidikan dan pengembangan dengan berlandaskan teori linguistik semasa. Keupayaan sesuatu bahasa menjadi bahasa komunikasi apabila semua masyarakatnya menuturkan dan menggunakan bahasa ibundanya dalam sebarang situasi dan membuktikan mereka mencintai bahasanya. Jika sesuatu bangsa menggunakan bahasa ibunda masing-masing, pastinya setiap bahasa mampu menjadi bahasa komunikasi yang mantap dan berkesan. Ungkapan “bahasa jiwa bangsa” melambangkan rapatnya hubungan antara bangsa Melayu dengan bahasanya. Bahasa melambangkan kekuatan sesuatu bangsa.

Buku ini dibahagikan kepada empat bahagian. Pembudayaan Bahasa dan Pembentukan Bangsa (pertama), Pembudayaan Bahasa Melayu Melalui Wahana Tulisan dan Penerbitan (kedua), Pembudayaan Bahasa Melayu dalam Pendidikan (ketiga), dan Pembudayaan Bahasa Melayu dalam Penulisan Kreatif (keempat). Buku ini turut memuatkan makalah beberapa orang ahli bahasa tersohor negara. Antara penulis yang terlibat termasuklah Awang Sariyan, Amat Juhari Moain, Arba’ie Sujud, Samsina Abd. Rahman dan beberapa orang pengkaji bahasa dari Universiti Putra Malaysia (UPM). Buku ini terhasil daripada Seminar Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu yang dianjurkan oleh Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM bersama-sama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka, serta Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (kini Kementerian Penerangan, Komunikasi, dan Kebudayaan).

Awang Sariyan membincangkan pembudayaan bahasa dan pembentukan rupa bangsa. Antara isu yang dibincangkan termasuklah isu pembudayaan bahasa Melayu dari sudut taraf dan mutu bahasa Melayu yang mengalami kemerosotan kerana terdapat pelbagai tantangan dan halangan, seperti penggunaan bahasa Melayu dalam bidang pentadbiran, undang-undang, penyiaran dan pendidikan yang kian mengecil. Selain itu, Awang Sariyan turut memaparkan pembudayaan bahasa Melayu dalam aspek penggunaannya dalam pelbagai ranah yang mendasari pembentukan jati diri Melayu yang perlu dibudayakan.

Paramasivam pula memaparkan bentuk alih kod dalam pertuturan berbahasa Melayu dalam kalangan pelajar Tamil. Secara umumnya, terdapat dua golongan penutur bahasa Tamil yang menunjukkan perbezaan dari aspek pertuturan. Yang pertama, kumpulan penutur yang mempunyai latar belakang dan menerima pendidikan Tamil secara formal. Kumpulan kedua pula merupakan penutur yang menerima pendidikan secara tidak formal yang lebih terdedah kepada pengaruh bahasa pertuturan yang lain, terutamanya bahasa Melayu sehingga berlaku percampuran bahasa yang lebih ketara kerana berlaku pembudayaan bahasa Melayu dalam komunikasi harian mereka. Dalam kajian yang dijalankan oleh Normaliza Abd. Rahim et al. membuktikan wujudnya bahasa Melayu bercorak eksklusif dalam teks pelajar (kajian ke atas pelajar UPM) yang tidak menunjukkan pemupukan jati diri Melayu.

Bahagian dua yang mengkaji pembudayaan bahasa Melayu melalui wahana tulisan dan penerbitan memulakan kajian dengan sejarah budaya tulisan dalam bahasa Melayu oleh Amat Juhari Moain. Beliau mengkaji sejarah budaya tulisan bahasa Melayu sejak zaman protosejarah bangsa Melayu hingga kini, yang merangkumi tulisan dalam tamadun Melayu, budaya tulisan melalui tulisan Jawi dan budaya tulisan dalam bahasa Melayu menggunakan tulisan Rumi. Budaya tulisan dalam bahasa Melayu berkembang dengan begitu pesat setelah menggunakan tulisan Rumi. Perkembangan ini disebabkan oleh budaya dan tamadun Melayu yang menerima pengaruh moden dari barat dan perkembangan sains dan teknologi moden yang kuat menerjah bangsa, budaya dan tamadun Melayu. Perkembangan ini terhenti dan mengecil apabila berlakunya perubahan peranan bahasa Melayu dalam pembelajaran bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah di negara kita.

Banyak pengkaji berminat untuk menjalankan kajian pembudayaan bahasa Melayu dalam bidang pendidikan. Dalam buku ini, ditampilkan kajian Arba’ie Sujud iftal. yang mengkaji pembudayaan bahasa Melayu secara umum dari perspektif pengajaran dan pembelajaran yang dibincangkan di bahagian tiga. Tujuan utama kajian ini adalah untuk melihat bahawa pembudayaan bahasa amat perlu dilaksanakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah supaya pelajar dapat menguasai kecekapan berbahasa, malah turut melibatkan aspek luarannya. Pembelajaran sesuatu bahasa itu tidak akan berkesan sekiranya aspek luarannya, seperti budaya berbahasa tidak diberikan tumpuan. Selain itu, kesopanan berbahasa juga diberikan tumpuan dalam kajian ini bagi mendedahkan pelajar tentang peri pentingnya budaya dan kesopanan dalam berbahasa. Pelajar turut diminta supaya sentiasa berhati-hati apabila menyatakan sesuatu agar tidak menggunakan bahasa yang kasar dan biadab. Dalam konteks pendidikan, tujuan ini boleh dicapai melalui penggunaan pendekatan, kaedah, teknik, aktiviti, bahan pengajaran serta sistem penilaian yang sesuai.

Vijayaletchumy a/p Subramaniam pula mengkaji kepentingan aspek neurologi dalam pembelajaran bahasa. Neurologi merupakan satu daripada cabang ilmu linguistik yang mencakupi neurolinguistik. Perkara utama dalam kajian ini ialah kerjasama antara dua ahli, iaitu ahli bahasa (linguistik) dan ahli neurologi. Neurologi ialah aspek kajian saintifik tentang sistem saraf manusia dan kesannya terhadap pembelajaran bahasa. Terdapat empat bahagian yang perlu dikaji, iaitu autonomi sistem saraf pusat, beberapa aspek berkaitan bahasa dengan otak, fungsi yang dijalankan oleh setiap serebrum, dan satu gangguan otak yang memberikan kesan kepada sesuatu bahasa serta terhadap ekspresi dan kefahaman secara am. Jika berlaku masalah neurologi dalam otak manusia, maka gangguan bahasa akan terjadi. Gangguan bahasa boleh ditandai atau dikesan daripada tahap pemahaman, penghasilan (verbal) atau penggunaan bahasa yang rendah oleh seseorang individu. Namun begitu, terdapat juga individu yang mengalami masalah gangguan bahasa yang mempunyai daya tanggapan yang luar biasa sehingga mempengaruhi pendengaran, pembacaan, penulisan, pertuturan, malah matematik. Pelajar yang menghadapi masalah ini selalunya akan dicap sebagai malas atau gagal memberikan tumpuan oleh guru yang kurang arif tentang aspek neurologi.

Anzarudin Ahmad dan Muhammad Saiful Haq Hussin pula mengkaji tentang pembudayaan bahasa Melayu dalam kalangan kanak-kanak atau murid prasekolah. Proses pemerolehan dan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan kanak-kanak merupakan perkara yang kompleks dan amat menakjubkan. Hal ini dapat dilihat daripada dua paradigma, iaitu Mentalisme dan Behaviorisme. Dalam kajian ini, pengkaji mengenal pasti perbezaan dan persamaan yang wujud dalam aspek bahasa, seperti sintaksis, morfem, semantik, dan kosa kata yang digunakan oleh kanak-kanak prasekolah yang datang daripada latar belakang keluarga yang berbeza semasa mereka bercerita. Faktor persekitaran yang melatari kanak-kanak juga dikenal pasti sebagai faktor yang mempengaruhi persamaan dan perbezaan antara mereka.

Siti Hamin Stapa dan Abdul Hameed Abdul Majid, sarjana Bahasa Melayu turut mengkaji penggunaan bahasa kedua atau bahasa asing dalam pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah. Pengkaji ini melakukan kajian dari sudut penggunaan bahasa pertama dalam pengajaran penulisan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar yang lemah bahasa tersebut. Hasil kajian membuktikan bahawa tidak salah menggunakan bahasa Melayu dalam pengajaran penulisan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar yang lemah penguasaannya dalam bahasa Inggeris. Pelajar bukan hamba kepada bahasa pertama mereka dalam mempelajari bahasa kedua tetapi gunakanlah bahasa pertama dengan bijak pada situasi yang perlu berpandukan pertimbangan yang wajar.

Bahagian keempat buku ini mengumpulkan hasil kajian tentang keindahan berbahasa melalui beberapa kajian penggunaan bahasa Melayu dalam penulisan kreatif. Washima Che Dan dan Noritah Omar menunjukkan penerapan bahasa Melayu sebagai pembentukan jati diri melalui kesusasteraan. Samsina Abd. Rahman mengkaji pembudayaan bahasa Melayu melalui genre puisi, manakala Nik Rafidah Nik Muhammad Affendi et al. membincangkan corak penyataan lisan dan bukan lisan dalam novel Putera Gunung Tahan dari perspektif budaya Melayu.

Secara keseluruhannya, buku Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu ini memberikan banyak maklumat yang boleh dimanfaatkan untuk pemerkasaan bahasa Melayu. Dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu di persada antarabangsa, aspek pembudayaan bahasa Melayu dalam kehidupan wajar diutamakan dalam kalangan masyarakat yang merangkumi aspek pendidikan, penulisan karya kreatif, ataupun aktiviti sosial yang dapat meningkatkan keyakinan khalayak kebangsaan dan antarabangsa.

Buku ini membantu menyerlahkan kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan komunikasi pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta dapat menghapuskan sikap ragu-ragu sesetengah pengguna bahasa terhadap kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan komunikasi. Buku ini amat bermanfaat kepada semua pencinta bahasa khususnya pelajar dan penyelidik di institusi pengajian tinggi. Penerbitan buku ini dapat menanamkan sikap cinta dan bangga terhadap bahasa kebangsaan sebagai jati diri negara. Siapa kata bahasa Melayu tidak mampu menjadi bahasa ilmu dan komunikasi? Sejarah telah membuktikannya dan kita sebagai warga dan penuturnya bertanggungjawab untuk mengembalikan martabat bahasa Melayu di mata dunia.

___

Ulasan buku ini diambil daripada Dewan Bahasa September 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

F-dunia-bahasa-0911

Minda Tertutup Memori Terhakis

Oleh Zulkifli Salleh

Sejarawan ulung, Eric Hobsbawm dalam bukunya yang berbentuk wawancaranya dengan Antonio Polito, On the Edge of the New Century, berkata bahawa meskipun menurut takrif, fahaman berbilang bahasa menghalang globalisasi, idea bahawa suatu hari kelak seluruh dunia bertutur dalam bahasa Inggeris kelihatan utopia bagi beliau.

Dalam keluaran pertengahan bulan Disember 2010, The Economist muncul dengan “The Future of English” yang mengulas buku Nicholas Ostler, The Last Lingua Franca: English Until the Return of Babel. Bahasa Inggeris merupakan bahasa yang paling berjaya dalam sejarah dunia. Bahasa ini dituturkan di setiap benua, dipelajari sebagai bahasa kedua, dan merupakan alat sains, perniagaan global dan budaya popular. Banyak orang berfikir bahawa bahasa Inggeris akan tersebar tanpa kesudahan. Akan tetapi, memetik Ostler, sarjana kebangkitan dan kejatuhan bahasa, melakukan ramalan yang memeranjatkan dalam buku terbaharunya itu: hari-hari bahasa Inggeris sebagai lingua franca dunia mungkin akan berakhir.

Ostler yang terlalu berminat terhadap penggunaan bahasa purba membahaskan bahawa bahasa Inggeris berkembang sebagai lingua franca, tetapi bukan sebagai bahasa ibunda. Lebih satu bilion orang bertutur dalam bahasa Inggeris di seluruh dunia, tetapi beliau mengingatkan “hanya kira-kira 330 juta orang daripada jumlah itu sebagai bahasa pertama, dan jumlah penutur ini tidak berkembang.” Masa hadapan bahasa Inggeris terletak dalam tangan negara di luar kumpulan penutur bahasa Inggeris, dan soal Ostler, “Adakah mereka selalu belajar bahasa Inggeris?”

Bagi beliau, dua faktor baharu, iaitu nasionalisme moden, seperti yang berlaku di negara bekas tanah jajahan, dan teknologi menyekat penyebaran bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris akan pudar sebagai lingua franca, hujah Ostler, “tetapi bukan kerana beberapa bahasa lain akan menggantikan bahasa ini.” Meskipun bahasa Inggeris tiada pengganti kerana yang akan diperlukan bukan hanya satu, tetapi teknologi akan memenuhi keperluan. Teknologi yang dimaksudkan oleh beliau itu ialah kemajuan yang pesat dalam terjemahan berkomputer dan pengenalpastian pertuturan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa September 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Puisi

Bahasa Mimpi

Tadi malam aku bermimpi
kota itu bertukar watak
di papan-papan tanda
ceria kembali wajah bahasaku
menyapa kunjungan tamu
yang mahu mencari
kelainan.

Sahrunizam Abdul Talib

___

Puisi ini dipetik daripada Dewan Bahasa September 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Setiap Insan Ada Bahasanya

Bahasa merupakan wahana komunikasi yang amat penting untuk setiap insan, baik yang sempurna fizikalnya, mahupun golongan istimewa. Setiap insan menggunakan bahasa untuk bekerjasama dan berhubungan sesama mereka.

Bagi golongan istimewa, ada antara mereka tidak dapat menggunakan bahasa sebagaimana orang biasa. Oleh sebab itu, mereka perlu menggunakan bahasa khusus, seperti bahasa isyarat. Dari segi fungsinya, bahasa isyarat sama dengan bahasa lisan dan bahasa tulisan, iaitu untuk komunikasi. Bahasa ini merupakan jambatan yang menghubungkan komunikasi sesama mereka dan juga dengan orang biasa.

Walau bagaimanapun, untuk memastikan kelancaran komunikasi, kedua-dua pihak, terutamanya orang biasa, perlu memahami bahasa isyarat. Bahasa ini tidak sama seperti gerak isyarat biasa, misalnya isyarat polis di jalan raya semasa mengawal lalu lintas. Dalam bahasa ini, aspek pergerakan anggota badan tertentu, seperti gerak bibir dan mulut serta tangan memainkan peranan yang amat penting.

Bagi golongan kurang upaya penglihatan pula mereka menggunakan tulisan khusus, iaitu tulisan Braille. Kini, tulisan yang diciptakan di Perancis pada awal kurun ke-18 ini telah mengalami pelbagai inovasi. Tulisan ini tidak hanya digunakan untuk menulis teks rumi, tetapi juga teks Arab apabila al-Quran turut ditulis dalam tulisan Braille bagi keperluan golongan kurang upaya penglihatan.

Di negara kita pula, untuk membantu golongan istimewa meningkatkan pemahaman bahasa Melayu dan membantu menyelesaikan masalah bahasa, khususnya dari segi pemahaman makna sesuatu kata, Kamus Dewan turut dipindahkan ke dalam bentuk tulisan Braille. Dalam bentuk tulisan ini, kamus yang ditulis secara depan-belakang dijadikan 65 jilid. Pada tahun 1980-an pula, pernah ada usaha menulis pindah majalah Dewan Masyarakat.

Dengan hal yang demikian, jelaslah bahawa golongan istimewa turut diberi perhatian dalam aspek pengembangan dan pemantapan bahasa Melayu. Mereka juga berperanan dalam penyebaran dan pemerkasaan bahasa Melayu di negara kita.

Pada kesempatan ini juga, kami merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Dato’ Dr. Hassan Ahmad yang telah kembali ke rahmatullah pada 31 Ogos lalu. Allahyarham merupakan mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (1976 – 1988) dan pejuang bahasa yang telah memberikan sumbangan besar terhadap pengembangan dan pemerkasaan bahasa kebangsaan. Al-Fatihah.
Selamat Hari Malaysia.
-Zaidi Ismail

MEMPERKAYA WAWASAN PEMBACA