Persamaan dalam Perbezaan

Beberapa bulan yang lalu, iklim bahasa kebangsaan di negara ini agak “panas” dengan kemunculan istilah “certot”. Certot” yang muncul secara tiba-tiba dan menjadi buah mulut dalam kalangan masyarakat pengguna dan pencinta bahasa kebangsaan di negara ini, dicetuskan oleh Dr. Maszlee bin Malek, Menteri Pendidikan Malaysia.

     Pelbagai reaksi diterima dalam kalangan masyarakat tentang “certot” yang terjelma melalui teks iklan Pertandingan Penulisan Cerita-cerita Kontot (Certot). Pertandingan yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertujuan memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan ke-61.

     Bagi meluahkan rasa cinta akan negara, Menteri Pendidikan Malaysia mengundang semua rakyat Malaysia menyertai pertandingan tersebut dengan menulis “certot” tidak melebihi 200 patah perkataan yang bertemakan Sayangi Malaysiaku, dan dimuat naik di Facebook dengan meletakkan tanda pagar #SayangiMalaysiaku #Malaysiamembaca dan #CertotSayangiMalaysiaku.

     Terpanggil untuk merungkaikan kemelut yang timbul daripada istilah “certot”, (selepas ribut kembali reda dan angin sepoi-sepoi bahasa bertiup semula), maka dalam keluaran ini, Dewan Bahasa memilih subjek akronim sebagai fokus utama. Kami memilih dua orang penulis yang juga Munsyi Dewan, iaitu Nik Nor Ahmarizam Nik Ahmad dan Mohd Salleh Haji Hassan untuk memperkatakan akronim dari sudut linguistik dan berkongsi pandangan serta pengalaman mereka terhadap isu yang timbul. Mudah-mudahan pencerahan ilmu oleh kedua-dua orang munsyi bahasa ini berupaya mencelikkan para pembaca.

RITAH YAHAYA

Seni Bahasa dan Jiwa

 

Menurut perangkaan terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau World Health Organization (WHO), sebanyak 300 juta orang mengalami masalah kemurungan. Menurut Justin Gerard Victor, Pengerusi The Befrienders Kuala Lumpur, depresi , kemurungan dan perasaan ingin bunuh diri mencatatkan angka tertinggi pada tahun 2017 apabila Pertubuhan Bukan Kerajaan itu menerima 27 000 panggilan dan e-mel berbanding dengan 25 000 panggilan dan e-mel yang diterima oleh pertubuhan itu pada tahun 2016. Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak lapan peratus.

          Kajian yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2017 melalui saringan minda sihat terhadap 273 203 orang di klinik kesihatan dan komuniti, mendapati bahawa sebanyak 18 336 rakyat Malaysia dikesan mengalami pelbagai tahap kemurungan.

         Saringan yang dijalankan kepada rakyat Malaysia yang seawal usia 16 tahun itu mendapati sebanyak 11 811 orang atau 4.03 peratus dikesan mengalami kemurungan tahap ringan, 3680 orang atau 1.26 peratus mengalami kemurungan tahap sederhana dan 1682 orang atau 0.62 peratus berada pada tahap teruk.

         Pada tahun 2017 juga, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut menjalankan saringan minda sihat terhadap 253 196 pelajar tingkatan empat. Hasilnya, 1163 orang pelajar atau 0.45 peratus didapati mengalami masalah kemurungan.

         Berdasarkan dapatan KPM itu, kemurungan boleh dianggap pembunuh senyap yang mengancam pelajar yang sebenarnya telah lama wujud tanpa disedari, dan menjadi semakin serius sejak kebelakangan ini. Oleh hal yang demikian, pendidikan yang memfokuskan pengembangan potensi individu sejak menyeluruh bagi membentuk insan yang mempunyai akal budi yang seimbang, ekosistem pembelajaran yang selamat, berhala tuju dan bersifat didikan, perlu diwujudkan.

RITAH YAHAYA

Pemerkasaan Bahasa Melayu dan Sejarah Pembentukan Malaysia

Oleh ROZITA CHE RODI dan HASHIM MUSA

Negara yang Bersifat Heterogen

Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai penduduk yang berbilang kaum, keturunan, budaya, bahasa ibunda dan agama. Malaysia bukan sahaja sebuah negara yang padu dari segi komposisi penduduknya, tetapi juga merupakan negara yang heterogen, iaitu berkepelbagaian dari segi kaum, keturunan, budaya, bahasa, dan agama. Walaupun Bumiputera ialah kaum majoriti dan agama Islam. Oleh hal yang demikian, bagi negara yang bersifat heterogen, iaitu yang mempunyai pelbagai kaum, etnik, keturunan, budaya, agama, dan bahasa seperti Malaysia, satu formula atau strategi yang kukuh mesti diperoleh demi membentuk keutuhan budaya atau cultural solidarity untuk melonjakkannya ke status negara maju.

Konsep Perpaduan Negara dan Integrasi Budaya

Faktor keutuhan atau perpaduan (solidarity) budaya yang padu ialah sepunya dalam unsur nilai, norma, adat, tradisi, ritual, dan cara hidup termasuklah agama dan bahasa. Namun begitu, Malaysia yang merupakan negara yang jamak etnik, keturunan, adat, budaya, agama, dan bahasa ibunda, tidak memungkinkan suasana sepunya dalam unsur tersebut. Oleh itu, demi mengurangkan jurang perbezaan antara kaum, keturunan, budaya dan sebagainya dan menubuhkan titik persamaan antara kepelbagaian itu, kerajaan Malaysia pernah mengajukan konsep kebudayaan kebangsaan pada tahun 1970 hasil Seminar Kebudayaan Kebangsaan yang diadakan setahun sesudah rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Kerajaan telah menyedari betapa pentingnya perpaduan kaum, toleransi dan perasaan kekitaan dalam kalangan rakyat Malaysia dengan pluralis kaum, budaya, agama, dan bahasa yang ketara. Gagasan Kebudayaan Kebangsaan yang dicadangkan itu mengandungi elemen seperti yang berikut:

  1. Berdasarkan unsur peribumi, iaitu Melayu dan kaum Bumiputera yang lain sambil menyerap unsur positif bukan peribumi.
  2. Berteraskan bahasa kebangsaan Malaysia.
  3. Berasaskan nilai Islam.

Majlis Penasihat Kebudayaan Kebangsaan dibentuk pada tahun 1996 untuk meninjau kembali konsep kebudayaan kebangsaan berpandukan Wawasan 2020, yang bercita-cita untuk membentuk sebuah negara bangsa Malaysia yang maju. Wawasan 2020 mengetengahkan konsep satu negara bangsa mempunyai makna yang dalam kerana negara bangsa bermaksud sebuah negara berdaulat yang rakyatnya tidak dapat diidentifikasikan melalui kaum, keturunan atau warna kulit.

Kalau Sungguh Bagai Dikata …

Penulis meminati Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, sama seperti jutaan orang lain dari pelbagai bangsa di pelosok dunia. Penulis dan P. Ramlee berasal dari negeri yang sama – Pulau Pinang. Namun begitu, penulis tidak ditakdirkan menjadi seniwati, tidak seperti Seniman Agung itu. Penulis menyentuh kisah P. Ramlee kerana beliau seniman bitara. Kegeniusan dan kreativiti P. Ramlee yang tinggi jelas terpancar menerusi mahakarya beliau, sama ada lagu ataupun filem, yang memberikan impak kepada integrasi kaum, nilai sejagat, nilai sepunya, keharmonian dalam masyarakat, dan nilai murni yang dapat dipraktikkan oleh masyarakat.

          Sebenarnya, jika direnungkan banyak lagu dan filem P. Ramlee yang malar segar itu menyentuh sosiolinguistik, khususnya bahasa dan kebahasaan Melayu. Hal ini dijelmakan oleh P. Ramlee dengan bantuan sahabat beliau seperti Allahyarham S. Sudarmaji, Allahyarham Datuk Jamil Sulong, Allahyarham H. M. Rohaizad, Sasterwan Negara Allahyarham Usman Awang, Yusnor Ef, dan lain-lain melalui lagu, lirik lagu dan skrip filem yang kaya dengan nilai dan akal budi Melayu. Genre lagu, seni kata lagu dan filem P. Ramlee diwarnai dengan unsur peribahasa, simpulan bahasa, perumpamaan, pepatah, kiasan, pantun, gurindam, dan lain-lain yang mengangkat estetika bahasa dan kepuisian Melayu. Semua unsur ini diperlihatkan dengan jelas menerusi lirik lagu Tiada Kata Secantik Bahasa, Hanya Dikau, Dengarlah Gemala Hati, Getaran Jiwa, Aduh Sayang, Sedangkan Lidah Lagi Tergigit, Hancur Badan Kandung Tanah, Engkau Laksana Bulan, dan sebagainya.

       Apabila penulis diberikan tanggungjawab selaku pegawai projek Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2016 Peringkat Negeri Pulau Pinang yang telah dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertuan Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas, penulis memilih rangkaian lagu Seniman Agung yang liriknya relevan dengan BBK. Lagu yang dipilih adalah berkaitan bahasa, yang sarat dengan unsur peribahasa, simpulan bahasa, perumpamaan, pepatah, kiasan, pantun, gurindam, dan lain-lain.

        Pada “Malam Bahasa Jiwa Bangsa” bersempena dengan BBK itu, Azfar Don Zulkamal bin Azmi atau “P. Ramlee Perlis”, yang mirip P. Ramlee sewaktu muda melaksanakan tugasnya dengan cemerlang. Azfar mendendangkan lagu Tiada Kata Secantik Bahasa, Hanya Dikau, Dengarlah Gemala Hati, Getaran Jiwa, Aduh Sayang. Penulis percaya, ramai orang dalam majlis itu merasakan “kehadiran” P. Ramlee seperti yang dirasai oleh penulis.

RITAH YAHAYA

Dasar Bahasa Kebangsaan Asas Pembinaan Negara

Oleh AWANG SARIYAN

Pada zaman pascamerdeka, bahasa Melayu mengalami peluasan peranan, bukan sahaja sebagai asas pembinaan tamadun bangsa Melayu, tetapi juga sebagai asas pembinaan tamadun bangsa Malaysia. Peranannya telah merentas etnik. Konsep yang menjadi salah satu ideologi negara ialah “negara bangsa”. Istilah “bangsa” (nation) dalam konteks ini merujuk makna yang lebih luas daripada istilah “ras” (race). Dengan mengambil inti pati takrif “bangsa” dalam Webster’s Twentieth Century Dictionary Unabdrigded (1983), bangsa berkaitan dengan wilayah tertentu, khususnya negara yang ditadbirkan oleh sebuah kerajaan, sementara ras lebih berkaitan dengan kelompok yang ditandai oleh hubungan biologi dan ciri-ciri persamaan yang berkaitan dengan hubungan keturunan. Maka itu, “negara bangsa” dalam konteks Malaysia merujuk bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai ras (dengan ras yang utamanya ialah Melayu  sekitar 60 peratus, Cina  sekitar 25 peratus, India  sekitar lapan peratus, kumpulan etnik seperti Orang Asli, lebih 50 kumpulan etnik peribumi di Sabah dan lebih 30 kumpulan etnik peribumi di Sarawak.

        Konsep “pembinaan negara bangsa” yang menjadi cita-cita utama itu bererti pembinaan negara yang berasaskan semua ras yang ada, dengan bertunjangkan beberapa dasar, antaranya termasuklah Dasar Bahasa Kebangsaan, selain Dasar Ekonomi Baharu, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Dalam kaitannya dengan Dasar Bahasa Kebangsaan itulah relevannya kita membincangkan usaha “memartabatkan bahasa” untuk membina negara bangsa, dan bahasa yang perlu dimartabatkan itu ialah bahasa yang menjadi asas pembinaan negara yang terdiri daripada pelbagai ras itu, iaitu bahasa Melayu, sebagaimana yang dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

      Upaya meneliti jejak pemartabatan bahasa Melayu selama setengah abad yang silam, iaitu dengan bertitik tolak dari tahun kemerdekaan Malaysia (yang sebelum 1963 dikenal sebagai Persekutuan Tanah Melayu) dan rencana membaharui babak untuk tempoh yang mendatang berhubungan secara langsung dengan ehwal pembinaan negara Malaysia sebagai negara bangsa. Hal ini demikian kerana bahasa Melayu memang cukup erat hubungannya dengan pembinaan konsep kebangsaan dan kenegaraan entiti politik yang dikenal sebagai Malaysia. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi menjadi asas kontrak sosial rakyat Malaysia, di sisi kedudukan raja-raja Melayu, agama Islam sebagai agama Persekutuan dan hak-hak istimewa bangsa Melayu dan Bumiputera. Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152 menetapkan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

Hilang Bahasa, Lenyap Bangsa

Dua belas tahun yang lalu, dalam Bicara Bahasa (halaman editorial), Dewan Bahasa (DB) Ogos yang bertajuk “Jiwa Bahasa Bangsa Merdeka” penulis pernah menulis seperti yang berikut:

Kamus Dewan, Edisi Keempat mendefinisikan “sedar” sebagai tahu dan ingat, insaf, mengerti. Sementara, “kesedaran” ialah sedar (akan sesuatu), keinsafan, ingatan. Kendatipun demikian, tahu dan ingat belum mencukupi andai kata tidak insaf dan mengerti. Tahu, ingat, insaf, dan mengerti akan sesuatu perkara itu pula, tidak membawa apa-apa makna seandainya tidak terbit daripada nurani yang luhur.

      Hatta, kesedaran daripada nurani yang luhur itulah juga yang telah meniupkan semangat kebangsaan dan menggerakkan perjuangan nasionalisme di Tanah Melayu untuk bebas daripada cengkaman British, 49 tahun yang lalu. Serentak dengan itu juga, obor nasionalisme linguistik yang berpaksikan gerakan bahasa melalui pelbagai pertubuhan bahasa dan persuratan, turut dinyalakan oleh golongan cendekiawan, sasterawan dan wartawan yang menyaksikan bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan yang merdeka pada bulan Ogos 1957.

      Malaysia yang merdeka harus diisi dengan jiwa kemerdekaan manusianya. Jiwa kemerdekaan harus diisi dengan kesedaran. Kesedaran patriotisme dan nasionalisme untuk memperkukuh jati diri dan perpaduan bangsa melalui kesedaran berbahasa, kesedaran “Bahasa Jiwa Bangsa”; juga kesedaran yang mendalam untuk menjadi insan yang seimbang rohani dan jasmaninya dengan buah fikiran, buah pembicaraan, emosi dan tindakan yang bijaksana; insan yang berpengetahuan, berdaya saing dari segi ekonomi, berketerampilan positif, bernilai murni, dan berbudaya positif yang menjadi teras Misi Nasional ke arah pencapaian Wawasan 2020, iaitu Malaysia sebagai negara maju berasaskan acuan sendiri dengan pengisian modal insan yang memiliki minda kelas pertama.

RITAH YAHAYA

Perjuangan Tanpa Noktah

 

Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu masih belum selesai. Walaupun kedudukan bahasa Melayu dijamin melalui Perlembagaan Persekutuan Perkara 152, tetapi keindahan dan keagungan nilainya akan luntur jika tidak dipelihara sebaik mungkin.

       Demikian juga dengan perjuangan meletakkan bahasa kebangsaan pada tempat yang sepatutnya. Sudah enam puluh satu tahun bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan mengikut Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Bahasa kebangsaan dijadikan bahasa pengantar secara berperingkat-peringkat dari sekolah rendah hingga universiti awam.

     Banyak cerdik pandai negara ini yang terlahir daripada sistem pendidikan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Walaupun mereka mendapat pendidikan dalam bahasa kebangsaan, mereka berupaya berbahasa Inggeris dengan baik dan mencapai kemajuan seperti orang lain yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertama. Hal ini membuktikan bahawa kejayaan dan kemajuan tidak disebabkan oleh pendidikan dalam bahasa kebangsaan, tetapi keupayaan menguasai ilmu dan bahasa lain.

     Dalam Hikayat Hang Tuah, Hang Tuah sebagai laksamana dan wira Melayu ulung, selain kepantasan pencak yang deras, Hang Tuah juga menguasai ilmu bahasa, antaranya termasuklah bahasa Arab, Siam dan Jawa.

      Dalam dunia ini kita melihat ada lebih kurang 300 juta orang yang menuturkan bahasa Melayu, khususnya di Nusantara. Oleh hal yang demikian bahasa Melayu berkeupayaan menjadi bahasa yang hebat dalam pelbagai bidang.

     Menurut Mohamad Shafiq Rohaizad Buyong dalam makalah Perjuangan Bahasa Melayu di Tangan Anak Muda halaman 13, teknologi pada hari ini semakin canggih seiring dengan kemajuan dunia seharusnya dapat dimanfaatkan oleh generasi muda untuk mengembangkan bahasa Melayu dalam pelbagai bidang. Usaha ini dapat dilakukan melalui pembangunan orang muda, khususnya dari segi pembinaan bakat, falsafah dan nilai kecintaan terhadap bahasa Melayu.

      Nadi perjuangan bahasa Melayu letaknya pada kekuatan ilmu pengetahuan. Perjuangan yang hanya berbekalkan semangat semata-mata tanpa disertai ilmu pengetahuan yang tinggi bagai “tin kosong” yang tiada manfaatnya.

     Berbagai-bagai halangan harus ditempuh oleh bahasa Melayu untuk mencapai status bahasa yang bersifat global dan bahasa pengantar ilmu pengetahuan. Namun, sikap dan normal jati diri yang masih nipis menyebabkan usaha-usaha ini bergerak perlahan.

      Memanglah bahasa Melayu telah dinobatkan dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi di negara jiran terdekat Singapura, bahasa Melayu juga turut dinobatkan dalam perlembagaannya. Walaupun begitu, kita mungkin tahu hakikat sebenarnya tentang nasib bahasa Melayu yang dinobatkan tersebut.

     Sama ada diakui atau tidak bahasa tersebut hanya “berdaulat” dalam buku undang-undang utama negara tersebut sahaja. Penjelmaannya dalam bentuk kenyataan dan amalan amat jauh sekali. Jauh panggang daripada api.

     Golongan yang prihatin dan mencintai bahasa Melayu melalui Peristiwa Keranda 152 melakarkan impaknya dalam sejarah, pendidikan, sastera, sosial dan politik kebahasaan negara. Hal ini menandakan bahawa akan sentiasa wujud golongan yang prihatin terhadap perkembangan bahasa Melayu di negara ini.

    Hakikat perjuangan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebenarnya  tiada titik noktah. Golongan muda pada hari ini seharusnya berbangga dan mempertahankan bahasa Melayu serta menyokong usaha untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di dunia dan menjadi lingua franca seperti yang ditempa oleh golongan terdahulu.

Siti Nur Hidayah Othman Bakar