All posts by Dewan Bahasa

Perjuangan Mengisi Kemerdekaan dengan bahasa Kebangsaan Penuh Dugaan

Datuk Zainal Abidin Borhan merupakan nama yang tidak asing lagi dalam bidang kebudayaan tanah air. Beliau yang kini dilantik sebagai Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan mulai 15 Disember 2011 pernah menjawat jawatan Pengarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (2006-2011). Selain itu, beliau aktif dalam gerakan memperjuangkan bahasa dan kebudayaan sewaktu menjadi Setiausaha I Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA). Baru-baru ini, editor Dewan Bahasa telah berkesempatan menemu bual beliau di Yayasan Karyawan bagi mendapatkan pandangan beliau tentang perjuangan mengisi kemerdekaan dengan bahasa kebangsaan.

Sebagai individu yang bergiat aktif dalam pertubuhan yang memperjuangkan bahasa kebangsaan, apakah faktor yang mendorong Datuk terlibat secara langsung dalam hal ini?

Sebenarnya penglibatan saya didorong oleh beberapa faktor. Barangkali pendorong utama yang menarik saya untuk bergiat dalam hal ini ialah semangat yang saya warisi daripada keluarga saya terutama datuk di sebelah emak saya, iaitu Allahyarham Haji Muhammad Shah bin Yusof yang merupakan pensyarah di Kolej Melayu Melaka dan pengarang buku panduan tatabahasa Melayu yang berjudul “Senjuh Suratan” dalam versi Jawi pada tahun 1911 diterbitkan buat pertama kalinya oleh Kolej Melayu Melaka dan kemudiannya diterbitkan semula oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Bapa saya sendiri, Datuk Wira Borhan Mat Yaman juga merupakan tokoh bahasa dan kebudayaan yang memperjuangkan kemerdekaan. Saya juga banyak terlibat dalam pertandingan seperti koir dan syarahan yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka ketika Bulan Bahasa Kebangsaan ketika di bangku sekolah pada tahun 1960-an.

Ketika menjadi tutor dan pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya, saya mula didedahkan dengan aktiviti kebahasaan oleh pensyarah-pensyarah seperti Tan Sri Ismail Hussein, Tan Sri Taib Osman dan Profesor Dato’ Asmah Omar yang ada pada ketika itu mengajar di jabatan tersebut. Penglibatan semakin meluas apabila saya masuk ke dalam GAPENA sebagai Setiausaha II, yang pada ketika itu memperjuangkan semangat kebangsaan pada tahun 1970-an. Saya ditugaskan bersama-sama dengan anggota GAPENA yang lain untuk membentangkan kertas kerja di beberapa di ceramah, bengkel, seminar kecil, kongres dan konvensyen ke seluruh negara tentang isu-isu kebahasaan dengan kerjasama pertubuhan politik dan kelompok-kelompok tertentu. Ketika isu PPSMI, saya berpengalaman menghadiri beberapa pertemuan dan perbincangan yang melibatkan tokoh-tokoh pejuang bahasa dengan para pemimpin tertinggi kerajaan bagi membincangkan isu berkenaan.

PERJUANGAN MENGISI KEMERDEKAAN DENGAN BAHASA KEBANGSAAN BELUM SELESAI

Oleh Mohd Riduwan Wahab

Dewan Bahasa dan Pustaka ditubuhkan setahun sebelum tanah air mencapai kemerdekaan hasil gagasan yang disuarakan oleh Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga yang berlangsung pada tahun 1956. Ini merupakan petanda bahawa sebuah negara yang merdeka memerlukan sebuah badan yang bertanggungjawab membina dan mengembangkan bahasa sebagai identiti yang bakal mengisi ‘kemerdekaan’ sesebuah negara yang berdaulat. Bahasa seumpama roh yang bakal menghidupkan pembangunan fizikal sesebuah negara yang merdeka. Bermula daripada detik itulah gerakan pembinaan korpus bahasa dan pembinaan taraf bahasa dijalankan dengan giat dan terancang. Gerakan ini merupakan manifestasi jerih payah perjuangan tokoh dan ilmuwan bahasa dalam memenuhi aspirasi Laporan Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956 dan Laporan Jawatankuasa Penyemakan Pelajaran Rahman Talib 1960 yang kemudiannya menjadi ciri penting dalam Akta Pelajaran 1961.

Biarpun peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah termaktub jelas dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, perjuangan memartabatkan bahasa ini sebagai bahasa rasmi masih dihambat pelbagai cabaran. Masakan tidak, peruntukan ini gagal diterjemahkan dalam bentuk amalan apabila masih kedapatan majlis rasmi yang rata-rata khalayaknya terdiri daripada warganegara Malaysia dikendalikan dalam bahasa asing. Situasi ini memaksa Jabatan Perkhidmatan Awam mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 2011 untuk menegaskan peruntukan yang sedia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan itu.

Sebenarnya laluan perjuangan mengisi kemerdekaan dengan bahasa kebangsaan ini masih panjang meskipun kita kini telah menyambut ulang tahun kemerdekaan kali ke-56. Sempena ulang tahun kemerdekaan ini, kita perlu bermuhasabah dan meneliti jauh ke dalam diri tentang sejauh mana sumbangan kita sebagai rakyat Malaysia dalam memastikan ‘roh’ kepada negara, iaitu bahasa kebangsaan terus hidup untuk mengisi ‘jasad’ kemerdekaan negara. Sempena ulang tahun kemerdekaan yang telah menjangkau usia lebih lima dekad ini, marilah kita berdoa semoga bahasa kebangsaan akan tetap merdeka dan tidak akan kembali ‘dijajah’ dan merempat di bumi sendiri. MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Bahasa Melayu Tinggi dalam Bidang Pendidikan

Oleh AWANG SARIYAN

Pembicaraan tentang beberapa aspek yang berkaitan dengan bahasa Melayu tinggi, khususnya dalam rangka melestarikan tamadun dan adab bangsa yang memang dalam rakaman sejarah telah memiliki sistem kesantunan bahasa yang jelas. Dalam arus pemodenan dan globalisasi, peneguhan adab dan kesantunan bangsa menjadi agenda penting yang setara dengan agenda pembangunan ekonomi, prasarana, sains dan teknologi kerana pembangunan yang seimbang dan harmonis memerlukan perhatian yang sama beratnya kepada dua aspek pembangunan, iaitu pembangunan luaran dan pembangunan dalaman. Usaha membudayakan kesantunan bahasa termasuk dalam aspek pembangunan dalaman yang penting kerana “bahasa menunjukkan bangsa”.

Proses pembudayaan dan pemasyarakatan bahasa Melayu tinggi sebagai tonggak tamadun bangsa dan negara hanya benar-benar berkesan melalui bidang pendidikan yang takrif asasnya memang berkaitan dengan proses membentuk adab pada anak didik. Oleh itu, penting sekali penerapan bahasa Melayu tinggi dijadikan salah satu agenda penting dalam sistem pendidikan negara.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, November 2012.

Bahasa Melayu Terpinggir dalam Media Baharu?

Oleh Indirawati Zahid

Perkembangan teknologi semasa menyaksikan munculnya penggunaan bahasa yang pelbagai bentuk dan struktur yang sebelum ini tidak pernah terlintas dalam fikiran kita sebagai pengguna bahasa. Situasi sebegini tidak hanya berlaku terhadap bahasa Melayu, sebaliknya hampir semua bahasa di dunia ini tergugat dengan perkembangan teknologi yang bersifat global ini. Bahasa Inggeris yang merupakan bahasa antarabangsa juga, misalnya, tidak terlepas daripada cengkaman letusan teknologi yang bersifat ringkas, pantas, padat dan berinformasi.

Tinjauan penggunaan bahasa Melayu sesuai dengan perkembangan media internet, iaitu teknologi komunikasi tercanggih semasa, memaparkan beberapa perspektif tentang penggunaan bahasa. Polemik yang timbul adalah sejauh manakah bahasa Melayu digunakan? Adakah bahasa Melayu terpinggir dalam media baharu yang sedang berkembang pantas hari ini? Adakah betul bahasa Melayu tidak diberi keutamaan?

Persoalan ini perlu dicari jawapannya dari pelbagai perspektif, iaitu apa yang dikatakan sebagai terpinggir atau tidak diberikan keutamaan? Terpinggir atau tidak diberikan keutamaan dengan maksud diketepikan penggunaannya dalam sesuatu aspek atau terpinggir dari aspek kualiti bahasa yang digunakan? Semua persoalan ini pasti mempunyai jawapannya. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa semua persoalan yang berbangkit ini kemungkinannya juga sedang berlaku pada bahasa Melayu dalam media yang canggih ini.

Terpinggirnya bahasa Melayu dalam media internet dapat diklasifikasikan kepada dua perkara, iaitu yang pertama, kurangnya frekuensi penggunaan bahasa Melayu, dan yang kedua, kualiti penggunaan bahasa Melayu yang amat rendah dengan wujudnya situasi seperti campur aduk bahasa asing, singkatan dan slanga.

Media internet, misalnya, menyediakan pelbagai saluran komunikasi, sama ada dalam laman blog, laman web ataupun laman sosial, yang digunakan untuk menyampaikan segala macam maklumat yang mempunyai objektif tertentu yang ingin dicapai oleh pengasasnya. Sehubungan dengan itu, yang menentukan sama ada terpinggir ataupun tidak bahasa Melayu dalam media internet ialah pengasas dan pengguna media itu sendiri. Hal ini juga sekali gus akan berkaitan dengan aspek kualiti bahasa Melayu yang digunakan dalam media itu.

Yang lazim berlaku, pengasas sesebuah laman akan menyediakan kerangka laman dalam bahasa ibunda atau bahasa sumber pengasasnya. Pengisiannya pula boleh sahaja daripada apa-apa bahasa pengguna laman tersebut. Perkara seperti ini dapat dilihat dalam laman sosial, seperti Facebook (Fb), yang rata-rata penggunanya menggunakan kerangka asal, iaitu bahasa Inggeris.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Jun 2012.

Pelbagai Istilah Kejuruteraan Mekanik dalam Kamus Kejuruteraan: Mekanik

Oleh Diarani Mat Adam

Antara kerjasama kebahasaan yang dilaksanakan oleh Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) bagi memperkasakan bahasa Melayu termasuklah penerbitan kamus istilah. Sejak MABBIM ditubuhkan, penerbitan kamus istilah diusahakan sejajar dengan perkembangan pesat ilmu bidang sains, termasuklah sains gunaan seperti kejuruteraan mekanik.

Salah satu terbitan dalam Siri Kamus Istilah MABBIM yang diusahakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka ialah Kamus Kejuruteraan: Mekanik. Penerbitan kamus ini dapat dijadikan wahana untuk meningkatkan kefahaman pengguna dalam bidang sains gunaan, khususnya bidang kejuruteraan. Kamus ini membuktikan bahawa bahasa Melayu mampu mengungkapkan pelbagai bidang ilmu dalam era globalisasi.

Entri istilah yang terdapat dalam kamus ini dipilih berdasarkan keperluan para pelajar dan pengajar di institusi pengajian tinggi. Kamus ini juga dapat dijadikan sumber rujukan yang berguna kepada masyarakat dan pengamal bidang kejuruteraan yang ingin mendapatkan penjelasan tentang konsep yang didukung oleh pelbagai istilah kejuruteraan mekanik.

Kamus Kejuruteraan: Mekanik mengandungi 478 istilah berserta huraiannya. Seperti terbitan kamus lain dalam Siri Kamus Istilah MABBIM, entri kamus ini terdiri daripada istilah bahasa Melayu dan disusun mengikut urutan abjad. Padanan istilahnya diberikan dalam bahasa Inggeris (Ig.), bahasa Brunei Darussalam (Br.) dan bahasa Indonesia (Id.), yang diletakkan dalam tanda kurung dengan menggunakan huruf condong. Konsep setiap istilah ditakrifkan dalam bahasa Melayu. Takrif diberikan selepas padanan bahasa asing dengan menggunakan huruf biasa.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mei 2012.

KAJIAN SEMANTIK DALAM TEKS SASTERA

Oleh MOHD. HELMI AHMAD

Semantik ialah istilah yang merujuk kajian makna. Oleh sebab makna merupakan salah satu unsur bahasa, maka semantik juga menjadi sebahagian daripada ilmu bahasa atau linguistik.

Walaupun istilah semantic telah digunakan dalam ungkapan falsafah semantik dengan makna “kekudusan” dalam abad ke-17, istilah semantik tidak pernah digunakan sehinggalah diperkenalkan dalam kertas kerja “Reflected Meanings: A Point of Semantics” yang dibentangkan kepada American Philogical Society (Persatuan Filologi Amerika) pada tahun 1894.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Disember 2011.