Oleh Ahmad Zaidi Nordin
“Bahasa sebagai jiwa bangsa dan negara turut menjadi salah satu dasar negara, melalui ketetapan Dasar Bahasa Kebangsaan dan disokong juga oleh Dasar Pendidikan Kebangsaan serta Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Dasar Pendidikan Kebangsaan mempunyai kaitan yang rapat dengan Dasar Bahasa Kebangsaan dari segi ketetapan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara dan segala urusan rasmi kerajaan. Dasar Kebudayaan Kebangsaan pula, yang teras pertamanya ialah “kebudayaan rantau ini”, yang merujuk kebudayaan Melayu, ialah dasar yang menitikberatkan jati diri dan citra kebangsaan. Untuk menzahirkan jati diri dan citra kebangsaan, bahasa Melayu memainkan peranan. Dengan latar belakang tersebut, seyogialah sekalian warganegara, khususnya penggerak dan pelaksana dasar negara, meningkatkan penghayatan dan iltizam untuk menjayakannya, termasuk dasar yang berkaitan dengan bahasa kebangsaan, iaitu Dasar Bahasa Kebangsaan, merujuk Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan”.
Begitulah bunyi petikan ucap utama yang bertajuk “Dasar Bahasa Kebangsaan: Tuntutan Iltizam kepada Seluruh Warga Negara” yang disampaikan oleh Dr. Haji Awang Sariyan, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sambutan Hari Pejuang Bahasa 152 Peringkat Negeri Sarawak pada 15 Februari 2012 di DBP Cawangan Sarawak. Petikan itu boleh dijadikan sebagai pencetus semangat perjuangan mengangkat martabat bahasa Melayu selaras dengan peruntukan Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan, yang dengan sah menobatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tanpa menafikan hak kedudukan bahasa lain untuk digunakan bersama.
Awang menyentuh beberapa perkara yang berkaitan dengan pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia. Menurutnya, tokoh pemikir klasik Yunani, seperti Socrates, Plato dan Aristotle, menjadikan bahasa Yunani sebagai salah satu tumpuan perhatian dalam kajian, pembicaraan dan penggunaannya dalam pelbagai ranah tamadun Yunani, seperti politik dan pentadbiran, undang-undang, metafizik, retorik, dan sastera. Tunjang kekuatan tamadun Yunani ialah keampuhan bahasa Yunani itu sendiri. Hakikat yang amat rapat hubungannya dengan hal itu ialah bahasa sebagai asas pembinaan tamadun bangsa tidak terbatas pada aspek pembinaan lahiriah semata-mata.
Awang menambah, sejarah bahasa Melayu sebagai asas pembinaan tamadun bangsa bermula sejak zaman Melayu kuno abad ketujuh hingga ke-13 Masihi di Campa, Langkasuka dan Sriwijaya. Menurut catatan Yi Jing, iaitu pendeta Buddha yang singgah di Fo-Syih, ibu negara Sriwijaya di Palembang, terdapat pusat pengajian agama Buddha dalam bahasa Melayu kuno. Perkembangan kebangkitan bahasa Melayu dapat dirasakan ketika kebangkitan kerajaan Melayu dalam bentuk sistem kesultanan. Contoh yang ketara ialah kegemilangan bahasa Melayu ketika zaman kesultanan Melayu Melaka.
Menurut Awang lagi, Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas menekankan bahawa kedatangan Islam telah membentuk bahasa Melayu baharu. Dengan perkataan lain, Islam telah memperkenalkan dan memasukkan sekian banyak kosa kata yang mewakili tasawur dan pandangan sarwa Islam dalam sistem kepercayaan dan segala aspek kehidupan bermasyarakat. Dalam zaman pascamerdaka, bahasa Melayu mengalami peluasan peranan, bukan sahaja sebagai asas pembinaan tamadun bangsa Melayu tetapi juga sebagai asas pembinaan tamadun bangsa Malaysia. Dengan hal yang demikian, konsep “pembinaan negara bangsa” yang menjadi cita-cita utama kerajaan bererti pembinaan negara yang berasaskan semua ras atau bangsa bertunjangkan Dasar Bahasa Kebangsaan, Dasar Ekonomi Baharu, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Usaha “memartabatkan bahasa Melayu” amat relevan dengan usaha membina negara bangsa dalam konsep gagasan 1Malaysia.
Seterusnya, Awang menjelaskan bahawa meskipun berlaku perkembangan yang ketara dalam pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam sektor pentadbiran negara, kajian yang dijalankan oleh DBP pada tahun 2007 memperlihatkan keadaan yang belum cukup memuaskan.
___
Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, April 2012.