Category Archives: Leksikologi

Perkataan dan Maknanya

Oleh S. NATHESAN

Pada asasnya, bahasa berkaitan dengan makna. Ferdinand de Saussure (1916) pernah menegaskanbahawa matlamat asas kajian bahasa adalah untuk meneliti hubungan antara bentuk dengan makna perkataan. Tanpa perkataan, tiada bahasa. Lazimnya, perkataan mendukung dua bahagian yang cukup penting, iaitu bentuk dan makna. Perkataan katil, misalnya ada bentuk “katil” dan maknanya ialah “tempat tidur” atau “baring”.

Bentuk bererti rupa bagi perkataan “katil” tersebut apabila ditulis dalam bentuk grafem. “Tempat tidur atau baring” pula memberikan maksud atau pengertian kepada bentuk perkataan katil itu. Oleh sebab itu, perkataan katil tidak boleh berdiri dalam binaan ayat atau ujaran bahasa tanpa makna yang didukungnya. Makna sesuatu perkataan akan menyempurnakan perkataan itu.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Januari 2012.

KAMUS DI MALAYSIA LEBIH BANYAK,LEBIH BAIK DAN LEBIH MENARIK

Oleh VICTOR A. POGADAEV

Di Malaysia, bidang leksikografi telah mencapai kejayaan yang besar bukan sahaja dari segi banyaknya kamus yang diterbitkan, tetapi juga dari segi cara penyusunannya atas dasar ilmiah yang pada keseluruhannya sesuai dengan aliran utama leksikografi antarabangsa.

Keperluan terhadap kamus baharu dan yang lebih sempurna amat digalakkan dalam usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai alat pemersatu penduduk Malaysia yang berbilang bangsa, dan bagi menggalakkan penggunaannya dalam pelbagai bidang kehidupan masyarakat.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Disember 2011.

KATA ARKAIK LEKSIKON YANG DITELAN MASA

Oleh S. NATHESAN

“Hatta kalakian pada suatu hari Raja Bikrama Buspa semayam dihadap segala raja-raja dan menteri hulubalang  rakyat  jelata  dan orang kaya-kaya dan sekalian hina-dina.” Demikianlah antara pembuka bicara dalam teks Melayu lama, Hikayat Indera Putera.

Apabila membaca petikan ringkas tersebut, kita maklum bahawa beberapa perkataan yang digunakan dalam teks ini merupakan kata lama, seperti hatta, kalakian, semayam dan hina-dina. Kata lama seperti itu jarang-jarang digunakan pada hari ini. Kata itulah yang dirujuk sebagai kata arkaik atau usang dalam bahasa Melayu. Ada ketikanya, kata usang dikenal juga sebagai kata kuno dan kata klasik.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Disember 2011.

Kata Nyawa Bahasa

Oleh S. NATHESAN

Perkataan merupakan nyawa bagi bahasa. Tanpa perkataan, kelangsungan hidup bahasa menjadi sukar. Saban hari bilangan perkataan bertambah dalam leksikon bahasa. Persoalannya, adakah semua perkataan yang terdapat dalam leksikon menjadi milik bahasa tersebut? Sudah tentu tidak!

Sesuatu bahasa terdiri daripada perkataan asli. Secara evolusi, bahasa tersebut meminjam banyak perkataan daripada bahasa yang bertembung dengannya. Kata pinjaman merupakan salah satu sumber penting bagi perkataan baharu. Leksikologi pula memberikan tumpuan terhadap perkataan, termasuklah kata pinjaman.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa November 2011.

Hubungan Maksud antara Perkataan

Oleh S. Nathesan

Cruse dalam Lexical Semantics (1986) mentakrifkan suatu unit leksikal atau perkataan sebagai gabungan antara bentuk dan maksud atau makna (sense). Laurie Beauer dalam Vocabulary (1998) pula menerangkan hubungan antara perkataan wujud daripada dua aspek. Yang pertama adalah dari aspek maksud, dan yang keduanya dari aspek bentuk. Walau bagaimanapun, dalam perbincangan pada kali ini, hubungan antara perkataan dari segi maksud atau makna sahaja yang dijelaskan.

Lazimnya, persoalan makna menjadi tumpuan utama dalam bidang semantik leksikal. Namun, bidang linguistik lain, seperti leksikologi turut meneliti aspek makna. Rene Dirven dalam Cognitive Explorations of Language and Linguistics (2004) mendefinisikan leksikologi sebagai kajian sistematik tentang maksud perkataan.

Dalam Routledge Encyclopedia of Language Teaching and Learning (2001) pula leksikologi diterangkan sebagai bidang yang mengkaji pelbagai jenis perkataan yang wujud dalam bahasa serta hubungan maksud antara jenis perkataan tersebut. Perkataan yang terdapat dalam bahasa, lazimnya ada hubungan atau pertalian dari segi makna antara satu dengan yang lainnya. Hal ini dirujuk sebagai hubungan maksud (sense relations).

Hubungan maksud sesuatu perkataan akan lebih jelas kelihatannya jika maksudnya dirujuk dalam kamus ekabahasa, seperti Kamus Dewan Edisi Keempat (2005). Misalnya, entri perkataan kawat ada dua maksud, iaitu “tali yang dibuat daripada logam” (dawai), dan “telegram”. Demikian juga kata cocok diberikan enam maksud, iaitu “sesuai benar”, “sepakat”, “tidak berbeza”, “tepat”, “suka” dan “serasi”.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Oktober 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Akhbar, Sumber Perkataan Baharu

Oleh S. Nathesan

Bahasa bersifat dinamik. Salah satu sifat kedinamikannya kelihatan pada pertambahan kosa kata atau leksikonnya. Perkataan, istilah dan ungkapan baharu sentiasa masuk ke dalam leksikon bahasa dari semasa ke semasa.

Banyak pihak yang menyumbang kepada penambahan perbendaharaan kata dalam satu-satu bahasa. Antara pihak yang sentiasa memberikan sumbangan kepada pengayaan perbendaharaan kata dalam bahasa termasuklah media, khususnya media cetak, seperti akhbar.

Kemasukan perkataan baharu dalam bahasa dirujuk sebagai neologisme, iaitu perkataan baharu yang belum diterima masuk dalam kamus utama bahasa tersebut. Umumnya, neologisme bermaksud perkataan, ungkapan atau penggunaan yang baharu. P. H. Matthews dalam Oxford Concise Dictionary of Linguistics (1977) mendefinisikan neologisme sebagai mana-mana perkataan baharu yang diperkenalkan ke dalam bahasa dengan beberapa prosesnya. Neologisme boleh terbentuk melalui proses seperti akronim, pemajmukan, pengimbuhan, ataupun melalui ciptaan kata baharu. Bidang leksikologi memang berminat untuk menjejaki kemasukan perkataan baharu seumpama ini dalam bahasa.

Salah satu ciri penting dalam laras akhbar ialah penggunaan perkataan baharu. Lazimnya, wartawan atau editor akhbar akan memperkenalkan banyak perkataan baharu dari semasa ke semasa dalam berita, laporan atau tulisan mereka. Biasanya, pihak akhbar bertindak pantas menjejaki dan melaporkan sebarang perkembangan baharu yang berlaku dalam masyarakat. Perkembangan tersebut mencakupi bidang seperti ekonomi, politik, sains dan teknologi, ataupun teknologi maklumat.

Sebarang perkembangan baharu yang dilaporkan dalam akhbar sudah tentu melibatkan penggunaan perkataan, istilah atau ungkapan baharu. Contohnya, istilah e-coli (singkatan daripada escherichia coli), iaitu nama yang diberikan untuk sejenis bakteria yang mencetuskan penyakit. Kini, istilah ini kerap digunakan dalam akhbar dan media berikutan wabak penyakit tersebut yang merebak di beberapa buah negara Eropah, khususnya di Jerman.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa September 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.