Category Archives: Etimologi

Etnik Bajau dan Identitinya

Oleh AWANG AZMAN AWANG PAWI

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, B a j a u merupakan eksklusif kepada suku kaum yang terdapat di Sabah, yang sering disinonimkan dengan imej berkuda dan kehidupan maritim. Namun, stereotaip ini hanyalah sebahagian kecil daripada gambaran keseluruhan mengenai etnik ini. Bajau melangkau imej yang terpapar dalam brosur pelancongan yang dijadikan bahan penarik dunia eksotik tentang etnik dan keetnikan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa November 2011.

Politik Bahasa Membentuk Etimologi Filipina

Oleh Awang Azman Awang Pawi

Terdapat beberapa persamaan antara perbendaharaan kata bahasa Tagalog dengan Melayu Sarawak. Ketika penulis berkesempatan bertemu dengan ahli akademik Filipina, kami bertukar-tukar pandangan dalam mencari persamaan sebagai satu rumpun di alam nusantara ini. Hasilnya, kami mendapati Filipina merupakan sebahagian daripada dunia Melayu sebelum dikuasai oleh dua kuasa besar kolonial, iaitu Sepanyol dan Amerika Syarikat.

Dunia Nusantara yang terbentang luas meliputi kepulauan Filipina sebelum kedatangan agama Kristian lagi. Walau bagaimanapun, kolonialisme telah mengubah masyarakat di Filipina yang kini merupakan 90 peratus penduduknya beragama Kristian manakala penduduk Islam cuma tinggal lima peratus. Pembaratan kebudayaan juga berlaku dalam masyarakat Filipina. Kesannya, bahasa Inggeris menjadi bahasa pemerintah dan pengantar dalam pendidikan walaupun bahasa kebangsaan ialah “Pilipino” yang bersumberkan bahasa Tagalog. Istilah Tagalog bermaksud penduduk yang tinggal di perairan sungai.

Situasi di Filipina ini merupakan kesan pembaratan kebudayaan selama 400 tahun oleh kolonial Sepanyol dan Amerika. Yang dapat dikesan, Filipina mempunyai sekitar 87 bahasa dan dialek peribumi yang dituturkan di bawah rumpun Melayu-Polinesia. Tiga bahasa peribumi yang banyak dituturkan ialah bahasa Cebuano, Tagalog dan Ilocano. Bahasa Cebuano dituturkan di utara Luzon manakala, bahasa Tagalog pada mulanya dituturkan di kawasan Manila. Manakala bahasa masyarakat Islam tertumpu di kepulauan Sulu, di tengah dan barat Mindanao, serta kawasan utara Luzon.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Oktober 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Asal Usul Dayak

Oleh Awang Azman Awang Pawi

Istilah Dayak dan kategori Dayak didapati lebih kepada tindakan sistem kolonial untuk menggambarkan etnik peribumi yang bukan beragama Islam di Sarawak. Mengikut catatan Hugh Low, sebelum menjadi residen Perak yang keempat, beliau pernah mengikut James Brooke ke Sarawak hingga menghasilkan sebuah buku berjudul Sarawak: Its Inhabitants and Productions pada tahun 1889.

Dalam buku tersebut, Low menyatakan istilah Dayak digunakan oleh Brooke untuk merujuk kaum peribumi bukan Islam. Menurut Brooke, Dayak terbahagi kepada dua kelompok, iaitu Dayak Laut dan Dayak Darat. Brooke memperoleh maklumat ini daripada Dayak Bukit yang tinggal di sekitar Kuching. Dayak Bukit merujuk kelompok Dayak yang tinggal di kawasan tinggi untuk berlindung daripada serangan kelompok Dayak Laut. Lama-kelamaan, kelompok bukit dikenali sebagai Dayak Darat dan kelompok laut dikenali sebagai Dayak Laut.

Dalam konteks Sarawak, istilah Dayak merujuk kepelbagaian etnik yang lazimnya bukan Islam dan tidak menggunakan bahasa Melayu. Istilah Dayak terus kekal apabila pihak kolonial mula menguasai kawasan pedalaman Borneo hujung abad ke-18.

Hugh Low telah menggunakan istilah Dayak sejak tahun 1889 lagi. Kenyataan ini bercanggah dengan pendapat pihak Kementerian Pelajaran Seksyen Penilaian Budaya Kalimantan Timur bahawa seorang saintis bernama Dr. August Kaderland merupakan orang yang pertama menggunakan istilah Dayak sejak 1895.

Istilah Dayak yang diungkapkan oleh pihak kolonial hanyalah untuk memudahkan pihaknya mengenal pasti ras berdasarkan perspektif kebudayaan dan pemahaman mereka. Brooke juga mencipta istilah Dayak Laut yang merujuk masyarakat Iban. Sebelum wujudnya hubungan dengan Eropah, tidak ada ungkapan khusus untuk mengekspresikan unit kebudayaan mereka kerana mereka lebih selesa dikenal pasti berdasarkan sungai yang berada di sekitar petempatan mereka.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa September 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.