Category Archives: Bahasa dan Masyarakat

Bahasa dan Budaya Mengukuhkan Semangat Kekitaan

Oleh Ami Masra

Dalam kehidupan bermasyarakat, menyemai dan memupuk semangat kekitaan sangat penting bagi mengekalkan perpaduan yang sudah sedia terjalin. Bahasa memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan. Bayangkan, jika tiada semangat kekitaan, sudah tentu persefahaman dan kerjasama dalam masyarakat tidak wujud.

Setiap individu yang tinggal dalam masyarakat hendaklah mempunyai semangat kekitaan. Melalui semangat kekitaan, kehidupan dapat dimanfaatkan dengan lebih bermakna lagi. Kehidupan masyarakat akan lebih aman dan tenteram apabila semangat ini dapat diwujudkan pada setiap masa. Perpaduan bangsa dapat dilakukan melalui bahasa.

Kajian pakar sains sosial membuktikan bahawa perpaduan dan permuafakatan penduduk yang sentiasa menjaga bahasa akan mewujudkan suasana aman, harmoni dan sejahtera. Keunikan hidup di Malaysia banyak bergantung pada perpaduan dan permuafakatan antara kaum. Perpaduan dan permuafakatan ini bermula daripada semangat kekitaan yang wujud dengan mengekalkan budi bahasa dalam kehidupan masyarakat di kawasan perumahan, sama ada di desa ataupun di kota. Misalnya, orang menggunakan bahasa untuk berbicara tentang ajaran Islam yang mementingkan perpaduan, permuafakatan, keharmonian dan kesejahteraan dalam kehidupan bermasyarakat yang berlandaskan Islam. Orang Mukmin diumpamakan sebagai binaan yang menyokong antara satu sama lain dan bahasa pula menjadi penghubung dan penguat muafakat.

Sesuatu bangsa itu tidak boleh membangun dan berjaya jika hidup bersendirian. Oleh itu, sebagai individu kita hendaklah bersama-sama hidup bergotong-royong, bantu-membantu, hormat-menghormati dan berkasih sayang. Mengamalkan bahasa dan budaya yang baik akan dapat merealisasikan keadaan ini. Setiap individu juga perlu mengamalkan hidup bermasyarakat dengan menyertai aktiviti gotong-royong, menghadiri majlis rumah terbuka, menghadiri majlis perkahwinan dan aktiviti lain yang dijalankan oleh penduduk setempat. Dalam hubungan ini, bahasa memainkan peranan sebagai alat komunikasi yang berkesan. Misalnya, melalui majlis rumah terbuka Aidilfitri yang diadakan setiap tahun, ahli masyarakat dapat berkenal-kenalan, merapatkan silaturahim, menjalinkan kemesraan dan mengeratkan persaudaraan.

Untuk mengeratkan hubungan kasih sayang, kita mestilah menggunakan bahasa yang bersopan santun. Mereka yang tidak dapat menyesuaikan diri dalam kehidupan bermasyarakat akan merasakan diri mereka terpinggir. Akhirnya, mereka akan hidup seperti kera sumbang dalam masyarakat tersebut. Kehidupan yang dipinggirkan oleh ahli masyarakat akan menyebabkan diri rasa terasing dan tersisih.

Konsep mengamalkan bahasa dan budaya, serta semangat kekitaan sudah tentu akan mewujudkan suasana aman, harmoni dan sejahtera dalam kehidupan penduduk yang bermasyarakat. Konsep ini sebenarnya sudah lama diamalkan dalam kehidupan masyarakat Melayu lama di desa. Hal ini seharusnya diterapkan dan diamalkan di bandar dan di kota sebagai amalan yang baik. Bahasa yang diamalkan dalam semangat kekitaan akan menjalin kasih sayang dan rasa persaudaraan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mac 2012.

Kesalahan Pelbagai Kata dalam Terjemahan Bahasa Cina-Bahasa Melayu

Oleh GOH SANG SEONG

Kamus, sumber rujukan penting untuk penterjemah. Kesalahan tatabahasa yang berlaku dalam terjemahan bahasa Cina−bahasa Melayu berpunca daripada beberapa faktor. Pertama, terdapatnya perbezaan hokum tatabahasa antara bahasa Cina dengan bahasa Melayu yang kurang diketahui oleh penterjemah sehingga penterjemah terikut-ikut dengan hukum tatabahasa bahasa Cina.

Hal ini ternyata menunjukkan bahawa penterjemah bukan sekadar perlu memahami mesej teks sumber, malahan penterjemah perlu menguasai tatabahasa bahasa sumber dan bahasa sasaran agar pemindahan mesej dengan cara yang berkesan ke dalam bahasa sasaran terjamin. Yang pasti, tatabahasa yang tepat dan kemas amat menentukan mutu terjemahan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Januari 2012.

PANTUN: MAINAN MORFOLOGI MASYARAKAT ALAM MELAYU

Oleh ROSLAN DAUD

Bermula dari ketidaksengajaan dan hasrat masyarakat untuk berhibur dan berkongsi idea, laman bicara dirimbuni kata yang lebat memayungi makna, mencambahkan kuntum bahasa yang cukup harum mewangi, sehinggalah menjadi sebuah pantun. Kini, pantun turut diselitkan dalam acara hiburan yang menghiburkan dan membuatkan pendengarnya tersenyum. Perbuatan saling memberi, menerima, dan membalas, hingga akhirnya masyarakat sedar bahawa pantun merupakan warisan budaya yang wujud sejak alam Melayu memiliki raja dan masih diingati sehingga kini.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Disember 2011.

BAHASA MELAYU ORANG SIAM KELANTAN

Oleh PHAOSAN JEHWAE

Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai penduduk berbilang kaum, agama dan suku bangsa. Kaum utama di Malaysia ialah Melayu, Cina dan India. Malaysia juga merupakan tanah air bagi beberapa kaum etnik yang lain, antaranya termasuklah kaum Siam yang jumlah penduduknya tidak mencapai satu peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia. Kaum Siam terdapat di beberapa buah negeri yang bersempadan dengan Thailand, seperti Kedah dan Kelantan.

Kelantan dibangunkan atas dasar kerjasama pelbagai kaum. Kepelbagaian kaum, agama dan suku bangsa bukan menjadi penghalang dalam pembangunan negeri Kelantan. Hal ini dikatakan demikian kerana bahasa Melayu, iaitu bahasa rasmi negara Malaysia, memainkan peranan penting dalam menyatukan rakyat.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Disember 2011.

Unsur Alam dalam Nama orang Melayu

Oleh RAJA YUSOFF ARIFFIN

Dahulu, orang Melayu cenderung mengambil unsur alam untuk menamai anak mereka. Hal sedemikian dilakukan kerana unsur alam amat mudah diingati, enak didengari, dan sangat hampir dengan kehidupan masyarakat ketika itu.

Hal ini turut terjadi kerana pada zaman dahulu, masyarakat sangat menghargai alam, dan tidak “gila” atau tega melakukan pelbagai pencemaran alam, baik secara langsung mahupun tidak langsung, dan dalam keadaan sedar atau di luar sedar. Sikap menghargai alam dalam kalangan masyarakat zaman dahulu itu juga berkaitan dengan kesedaran betapa pentingnya alam yang kaya dengan flora dan fauna, yang dapat dimanfaatkan oleh mereka. Misalnya, ada tumbuh-tumbuhan tertentu dapat digunakan dengan meluas, seperti batang wali.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa November 2011.

Peribahasa dan Amalan Negatif

Oleh IZANI HAJI DAUD

Peribahasa merupakan khazanah Melayu yang amat berharga dan sebati dengan kehidupan masyarakat Melayu sejak zaman-berzaman dan digunakan dengan meluas pada zaman silam. Peribahasa ialah ayat atau urutan kata yang mempunyai susunan yang tetap dan mengandungi pengertian yang tertentu. Oleh sebab itu, apabila meneliti sesebuah peribahasa, yang tersirat itu lebih penting daripada yang tersurat.

Dalam kehidupan masyarakat Melayu, peribahasa turut memainkan peranan yang besar kerana berupaya menjelaskan sesuatu keadaan atau perlakuan, baik yang positif mahupun yang negatif. Ada beberapa peribahasa yang digunakan dalam pertuturan yang menunjukkan sikap dan amalan negatif seseorang.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa November 2011.

PU3

Bahasa Komunikasi Iklan

Oleh Roslan Daud

Perkataan “ekspresif” didefinisikan sebagai sesuatu perbuatan, tulisan atau lukisan yang dapat melahirkan sesuatu maksud yang meliputi perasaan dan tujuan, sama ada melalui cetakan atau catan. Bahasa iklan pula dapat diertikan sebagai bahasa yang digunakan sebagai medium penyampaian maklumat bagi tujuan mempromosikan barangan dan perkhidmatan, selain memujuk, memuji dan merayu.

Pengiklanan dapat dibahagikan kepada dua bentuk, iaitu bentuk pemberitahuan dan bentuk promosi produk. Matlamat utama adalah untuk menyampaikan maklumat secara berkesan dengan menggunakan bahasa yang ringkas dan mudah supaya difahami oleh pembaca atau pendengar. Contohnya, pemberitahuan tentang tawaran tender, tawaran kerja atau suatu pengumuman.

Bagi iklan promosi produk pula, bahasa yang digunakan berbentuk pujian dan pujukan, malah boleh dikatakan rayuan secara halus. Hal ini dilakukan dengan memaparkan kebaikan dan kelebihan produk yang berkaitan supaya pengguna dapat mengubah fikiran dan seterusnya mencuba menggunakan produk yang diiklankan.

Perlu ditegaskan bahawa bahasa yang disampaikan melalui komunikasi pengiklanan tidak terhad kepada tulisan, ungkapan mahupun ayat semata-mata, malahan lebih luas daripada itu. Penggunaan ilustrasi, multimedia dan warna merupakan bahasa bukan verbal yang jarang-jarang diterjemahkan secara terang-terangan oleh khalayak.

Contoh terbaik ialah iklan jalur lebar P1 Wimax yang menggunakan satu patah perkataan sahaja, iaitu “POTONG!”. Perkataan itu bermaksud seruan kepada pengguna supaya menghentikan perkhidmatan jalur lebar yang dimiliki syarikat lain. Iklan ini telah bersaing dengan beberapa syarikat telekomunikasi, seperti Telekom Malaysia dengan Streamyx dan Maxis dengan Maxis Wired Broadband untuk memenangi hati pengguna internet agar menggunakan perkhidmatan mereka. Ternyata iklan ini mampu mengangkat reputasi syarikat telekomunikasi ini pada tahap yang tersendiri.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Oktober 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.