All posts by bicara bahasa

Seni Berbahasa, Bahasa Berseni

Sesuatu yang berseni lazimnya merupakan sesuatu yang indah. Yang dapat menghasilkannya, hanyalah orang yang berjiwa seni dan ada kemahirannya. Seni itu pula ada bermacam-macam, termasuklah seni berbahasa.

Seseorang yang ada seni dalam berbahasa akan dapat menghasilkan bahasa yang berseni, baik dalam tulisan mahupun ucapan. Dalam berbahasa, selain perlu menggunakan bahasa yang betul, kita juga boleh menggunakan bahasa yang berseni dalam karya tertentu, seperti karya sastera. Puisi, simpulan bahasa dan pantun merupakan antara karya sastera yang sangat menekankan unsur seni atau keindahan bahasanya. Melalui karya tersebut, penulis dapat menyampaikan sesuatu secara halus dan bijaksana. Misalnya, amanat, teguran dan jenaka dapat disampaikan secara halus tanpa menyakitkan hati yang membaca atau mendengarnya. Hal ini memperlihatkan betapa masyarakat Melayu begitu mementingkan kesusilaan dalam berbahasa yang menjamin keharmonian hidup bermasyarakat.

Selain itu, bahasa yang berseni juga boleh digunakan dalam situasi tertentu, seperti ucapan dan pengacaraan majlis. Misalnya, menyelitkan pantun dan simpulan bahasa yang ada mesejnya berkaitan dengan sesuatu yang ingin disampaikan. Keupayaan mengungkapkan buah fikiran menggunakan gaya bahasa yang halus dan indah dapat menyampaikan maksud dengan cara yang lebih berkesan dan sopan. Bagi karyawan seni pula, bahasa yang berseni ini biasanya digunakan dalam lirik lagu.

Walau bagaimanapun, kini dalam dunia politik, ada pihak tertentu yang kurang memberikan tumpuan terhadap hal ini. Kata dan ungkapan yang bersifat kasar dilontarkan sesuka hati dan boleh menyinggung perasaan golongan tertentu. Hal ini sepatutnya tidak dilakukan oleh masyarakat yang berbudi bahasa dan mengamalkan nilai murni, seperti yang ditekankan oleh pihak kerajaan melalui “Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni”.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Februari 2012.

-Zaidi Ismail

Memartabatkan Bahasa Melayu Tinggi

Bahasa Melayu tinggi ialah bahasa yang bukan sahaja betul dari segi ejaan, sebutan dan tatabahasanya, tetapi juga bahasa yang betul dari segi penggunaannya. Penggunaannya pula tidak sahaja terhad dalam situasi rasmi, tetapi juga situasi tidak rasmi, baik dalam penulisan mahupun pertuturan.

Abdullah Hassan, dalam makalahnya Bahasa Melayu Tinggi Wahana Budaya Intelektual dan Tinggi menegaskan bahawa dua aspek yang perlu diberikan perhatian dalam penggunaan bahasa Melayu tinggi, iaitu mematuhi aspek peraturan bahasa dan peraturan tatabudaya. Aspek peraturan bahasa yang perlu dipatuhi dalam bahasa Melayu tinggi meliputi sebutan, ejaan, perkataan, ayat dan makna secara rapi. Aspek peraturan tatabudaya yang perlu dipatuhi pula adalah seperti penggunaan ganti nama, sistem gelaran dan panggilan sesuai dengan taraf orang yang berkomunikasi, dan pemilihan perkataan yang sesuai dengan konteks.

Apabila penggunaan bahasa Melayu tinggi diamalkan dengan meluas dalam kalangan rakyat Malaysia, maka amalan tersebut akan meningkatkan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara kita. Amalan penggunaan bahasa Melayu rendah, seperti bahasa singkatan mesej singkat (SMS) dan bahasa rojak perlulah dihindarkan agar martabat bahasa Melayu terus terpelihara.

Dalam hal ini, semua pihak yang benar-benar mencintai bahasa Melayu perlulah bersikap positif  untuk menggunakan bahasa Melayu tinggi dalam semua urusan, baik rasmi mahupun tidak rasmi. Tahap kecintaan yang tinggi terhadap bahasa Melayu ini perlu diasuh sejak kanak-kanak lagi. Peranan ibu bapa dan pendidik dituntut sebagai suri teladan mulia untuk menjamin maruah bahasa Melayu tetap terpelihara sepanjang masa.

Zaidi Ismail

BAHASA MELAYU DI CHINA

Jasa dan sumbangan pejuang bahasa luar negara yang turut mengembangkan dan memartabatkan bahasa Melayu di luar negara turut dihargai. Penghargaan tersebut telah “diterjemahkan” melalui Anugerah Tokoh Pejuang Bahasa Melayu Antarabangsa.

Profesor Wu Zong Yu telah membuktikan kepada dunia bahawa ketokohan dalam keilmuan Pengajian Melayu bukan milik mutlak tokoh berbangsa Melayu atau dari alam Melayu. Beliau merupakan individu yang bertanggungjawab memperkenalkan bahasa Melayu varian Tanah Melayu di China, iaitu dengan menubuhkan Jurusan Bahasa Melayu di Beijing Foreign Studies University (BFSU) seawal tahun 1962.

Selepas 50 tahun mengharungi cabaran, bahasa Melayu telah berkembang mekar bukan sahaja di Beijing, malah hampir seluruh China atas usaha gigihWu Zong Yu. Jasa beliau dalam mengembangkan bahasa Melayu meliputi keterlibatannya dalam program pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di pusat pengajian atau badan akademik, institut penyelidikan bahasa dan budaya antarabangsa, serta mewujudkan kerjasama kebahasaan dan persuratan Melayu di China.

Kejayaan besarnya dalam mengembangkan pengajian Melayu di China begitu memuncak apabila tertubuhnya Kursi Pengajian Melayu di China pada tahun 2008, seterusnya meningkatkan program ilmiah, termasuklah penubuhan program pascasiswazah dalam bidang pengajian Melayu. Malah, pembukaan program bahasa dan pengajian Melayu di beberapa buah universiti lain turut diusahakannya. Sehingga kini, terdapat tujuh buah universiti di China yang menawarkan program bahasa dan pengajian Melayu.

Atas jasa dan sumbangan itulah, Wu Zong Yu ditabalkan sebagai Tokoh Pejuang Bahasa Melayu Antarabangsa. Usaha yang dilakukannya itu seharusnyalah menjadi pendorong kepada warga tempatan untuk ikut serta memantapkan dan menyebarluaskan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa.

Zaidi Ismail

Pengkomputeran Bahasa, Wahana Pengantarabangsaan Bahasa

Dahulu, hal yang berkaitan dengan bahasa dilakukan secara manual sahaja. Kini, segalanya berubah. Teks ditulis dalam pelbagai bentuk, termasuklah dalam bentuk digital yang berasaskan teknologi maklumat.

Di ruang siber dan di pasaran kini, terdapat pelbagai produk teknologi maklumat yang berkaitan dengan bahasa Melayu, termasuklah Korpus Dewan Bahasa dan Pustaka (KDBP), kamus internet, Mykamus Dewan Pro v5.9, kamus elektronik Dewan Eja Pro, dan kamus elektronik Besta. Produk ini dihasilkan untuk memudahkan pengguna bahasa Melayu, terutamanya dalam menyelesaikan masalah bahasa dan membuat penyelidikan bahasa.

KDBP merupakan program yang digerakkan seawal tahun 1983, yang pada peringkat awalnya dikenali sebagai Pangkalan Data KDBP. Korpus ini merupakan korpus digital bahasa Melayu yang dibina oleh DBP untuk memudahkan pengguna bahasa melakukan penyelidikan bahasa Melayu. Korpus DBP juga dapat digunakan sebagai pusat pengumpulan data untuk penyediaan kamus. Sehingga bulan September 2011, di dalamnya telah terkumpul 105 juta kata daripada pelbagai genre yang telah diformatkan, dirakam dan disimpan secara berstruktur.

DBP turut menyediakan kamus internet yang dapat dicapai melalui http:// prpm.dbp.gov.my. Kamus yang dikenali sebagai Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) ini bukan sekadar kamus ekabahasa, tetapi juga meliputi kamus Melayu dan Inggeris, istilah (Malaysia, Indonesia dan Brunei), ensiklopedia, puisi, bahasa sukuan (Sabah dan Sarawak), peribahasa, arkib khidmat nasihat DBP, dan tesaurus bahasa Melayu. Kemudahan ini amat bermanfaat kepada pengguna yang berhadapan dengan masalah bahasa, terutamanya untuk mencari makna dan padanan sesuatu kata.

Selain produk tersebut, dalam ruang siber kini, terdapat pelbagai produk bahasa Melayu yang disebarkan secara percuma, termasuklah akhbar dan majalah dalam talian, seperti Berita Harian, Utusan Malaysia, Dewan Masyarakat, Dewan Bahasa, dan Dewan Sastera dan Tunas Cipta. Mykamus Dewan Pro v5.9, kamus elektronik Dewan Eja Pro, dan kamus elektronik Besta pula merupakan antara perisian dan produk yang dijual di pasaran.

Dengan adanya produk hasil daripada pengkomputeran bahasa, bahasa Melayu dapat dipelajari dan disebarkan dengan lebih mudah dan meluas dalam dunia siber yang tiada sempadannya. Yang penting, bahasa yang disebarluaskan itu merupakan bahasa Melayu tinggi atau bahasa yang berkualiti.

Memanfaatkan Bahasa, Ada Imbalannya

Bahasa dapat dijelmakan sebagai industri yang mampu menjanakan pendapatan yang lumayan jika kena dengan caranya. Namun hal ini, hanya dapat dilakukan oleh pihak yang berkemahiran tinggi dalam bahasa Melayu. Antara usaha yang dapat mendatangkan hasil, termasuklah bidang penulisan.

Dalam bidang penulisan, terutamanya penulisan buku, ada penulis yang memperoleh pendapatan ratusan ribu ringgit. Pendapatan ini tidak terhad hanya setahun. Sekiranya sesebuah buku itu masih terus dicetak ulang, seseorang penulis akan memperoleh pendapatan lagi pada tahun berikutnya menerusi royalti yang biasanya dibayar pada setiap akhir tahun. Royalti ini pula, bergantung pada jumlah buku yang dihasilkan oleh seseorang penulis.

Jika banyak buku yang dihasilkan oleh seseorang penulis itu laris di pasaran, maka banyaklah royalti yang diperolehnya. Misalnya, Ain Maisarah memperoleh pendapatan royalti melebihi RM100 ribu setahun (2010); Dr. Danial Zainal Abidin, RM80 ribu setahun (2008); Dr. Tengku Asmadi, RM20 ribu setahun (2008); manakala Ramlee Awang Murshid, lebih daripada RM500 ribu dalam tempoh lapan tahun. Hal ini pula tentulah turut berkait dengan pendapatan pihak penerbit.

Dalam bidang penulisan iklan pula, Haji Yusof Osman, penulis iklan bebas pernah menyatakan dalam Bual Bahasa November 2010 bahawa untuk mendapat gaji pengarah urusan, tidak semestinya perlu menjadi pengarah urusan. Beliau berkata sedemikian kerana kerja penulisan iklan juga dapat menghasilkan pulangan yang lumayan. Cuma, masih banyak yang belum mengetahui rahsia penghasilan di sebalik kerja tersebut.

Selain bidang penulisan buku dan iklan, bidang penulisan lain yang juga dapat menghasilkan pendapatan yang lumayan, termasuklah penulisan lirik lagu dan skrip filem atau drama. Begitu juga penyuntingan, penterjemahan dan penganjuran kursus yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu. Industri yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu sememangnya berpotensi untuk menghasilkan wang sekiranya kena dengan caranya.

-Zaidi Ismail

Setiap Insan Ada Bahasanya

Bahasa merupakan wahana komunikasi yang amat penting untuk setiap insan, baik yang sempurna fizikalnya, mahupun golongan istimewa. Setiap insan menggunakan bahasa untuk bekerjasama dan berhubungan sesama mereka.

Bagi golongan istimewa, ada antara mereka tidak dapat menggunakan bahasa sebagaimana orang biasa. Oleh sebab itu, mereka perlu menggunakan bahasa khusus, seperti bahasa isyarat. Dari segi fungsinya, bahasa isyarat sama dengan bahasa lisan dan bahasa tulisan, iaitu untuk komunikasi. Bahasa ini merupakan jambatan yang menghubungkan komunikasi sesama mereka dan juga dengan orang biasa.

Walau bagaimanapun, untuk memastikan kelancaran komunikasi, kedua-dua pihak, terutamanya orang biasa, perlu memahami bahasa isyarat. Bahasa ini tidak sama seperti gerak isyarat biasa, misalnya isyarat polis di jalan raya semasa mengawal lalu lintas. Dalam bahasa ini, aspek pergerakan anggota badan tertentu, seperti gerak bibir dan mulut serta tangan memainkan peranan yang amat penting.

Bagi golongan kurang upaya penglihatan pula mereka menggunakan tulisan khusus, iaitu tulisan Braille. Kini, tulisan yang diciptakan di Perancis pada awal kurun ke-18 ini telah mengalami pelbagai inovasi. Tulisan ini tidak hanya digunakan untuk menulis teks rumi, tetapi juga teks Arab apabila al-Quran turut ditulis dalam tulisan Braille bagi keperluan golongan kurang upaya penglihatan.

Di negara kita pula, untuk membantu golongan istimewa meningkatkan pemahaman bahasa Melayu dan membantu menyelesaikan masalah bahasa, khususnya dari segi pemahaman makna sesuatu kata, Kamus Dewan turut dipindahkan ke dalam bentuk tulisan Braille. Dalam bentuk tulisan ini, kamus yang ditulis secara depan-belakang dijadikan 65 jilid. Pada tahun 1980-an pula, pernah ada usaha menulis pindah majalah Dewan Masyarakat.

Dengan hal yang demikian, jelaslah bahawa golongan istimewa turut diberi perhatian dalam aspek pengembangan dan pemantapan bahasa Melayu. Mereka juga berperanan dalam penyebaran dan pemerkasaan bahasa Melayu di negara kita.

Pada kesempatan ini juga, kami merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Dato’ Dr. Hassan Ahmad yang telah kembali ke rahmatullah pada 31 Ogos lalu. Allahyarham merupakan mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (1976 – 1988) dan pejuang bahasa yang telah memberikan sumbangan besar terhadap pengembangan dan pemerkasaan bahasa kebangsaan. Al-Fatihah.
Selamat Hari Malaysia.
-Zaidi Ismail