Category Archives: Rencana

Dialek dan Masa

Oleh Solihin Abu Hassan

Bahasa memainkan peranan yang amat penting dalam kehidupan manusia. Bahasa merupakan alat komunikasi yang paling berkesan yang digunakan oleh manusia untuk berinteraksi antara satu sama lain. Bahasa bukanlah satu fenomena semula jadi tetapi sesuatu yang dipelajari untuk memenuhi kehendak dan keperluan individu. Proses menguasai kecekapan berbahasa melibatkan soal luaran, seperti latar belakang fikiran penutur, kebudayaan dan taraf sesuatu bahasa dalam sesebuah negara.

Malaysia mempunyai pelbagai ragam bahasa yang berhubung kait secara langsung dengan pembahagian geografi atau kawasan daerah. Semakin besar jumlah penuturnya dan semakin luas daerah penyebaran bahasa itu, maka semakin banyaklah pula perbezaan yang wujud.

Bahasa merupakan alat untuk berkomunikasi walaupun berbeza cara sebutan dan intonasinya. Dalam bahasa Melayu, terdapat objek atau tindakan yang boleh mewakili beberapa istilah. Sebagai contoh, “babi” dan “khinzir” merupakan objek yang sama. Namun, menyebut babi dalam perbualan akan meninggalkan kesan emosi yang sangat berbeza berbanding dengan menyebut khinzir. Begitu juga halnya dengan istilah “isteri”, “bini” atau “orang rumah” dan istilah “perempuan”, “wanita” atau “betina”, yang meninggalkan kesan emosi yang berbeza, bergantung pada ragam sosial atau fungsi bahasa itu sendiri.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa September 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Akhbar, Sumber Perkataan Baharu

Oleh S. Nathesan

Bahasa bersifat dinamik. Salah satu sifat kedinamikannya kelihatan pada pertambahan kosa kata atau leksikonnya. Perkataan, istilah dan ungkapan baharu sentiasa masuk ke dalam leksikon bahasa dari semasa ke semasa.

Banyak pihak yang menyumbang kepada penambahan perbendaharaan kata dalam satu-satu bahasa. Antara pihak yang sentiasa memberikan sumbangan kepada pengayaan perbendaharaan kata dalam bahasa termasuklah media, khususnya media cetak, seperti akhbar.

Kemasukan perkataan baharu dalam bahasa dirujuk sebagai neologisme, iaitu perkataan baharu yang belum diterima masuk dalam kamus utama bahasa tersebut. Umumnya, neologisme bermaksud perkataan, ungkapan atau penggunaan yang baharu. P. H. Matthews dalam Oxford Concise Dictionary of Linguistics (1977) mendefinisikan neologisme sebagai mana-mana perkataan baharu yang diperkenalkan ke dalam bahasa dengan beberapa prosesnya. Neologisme boleh terbentuk melalui proses seperti akronim, pemajmukan, pengimbuhan, ataupun melalui ciptaan kata baharu. Bidang leksikologi memang berminat untuk menjejaki kemasukan perkataan baharu seumpama ini dalam bahasa.

Salah satu ciri penting dalam laras akhbar ialah penggunaan perkataan baharu. Lazimnya, wartawan atau editor akhbar akan memperkenalkan banyak perkataan baharu dari semasa ke semasa dalam berita, laporan atau tulisan mereka. Biasanya, pihak akhbar bertindak pantas menjejaki dan melaporkan sebarang perkembangan baharu yang berlaku dalam masyarakat. Perkembangan tersebut mencakupi bidang seperti ekonomi, politik, sains dan teknologi, ataupun teknologi maklumat.

Sebarang perkembangan baharu yang dilaporkan dalam akhbar sudah tentu melibatkan penggunaan perkataan, istilah atau ungkapan baharu. Contohnya, istilah e-coli (singkatan daripada escherichia coli), iaitu nama yang diberikan untuk sejenis bakteria yang mencetuskan penyakit. Kini, istilah ini kerap digunakan dalam akhbar dan media berikutan wabak penyakit tersebut yang merebak di beberapa buah negara Eropah, khususnya di Jerman.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa September 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Asal Usul Dayak

Oleh Awang Azman Awang Pawi

Istilah Dayak dan kategori Dayak didapati lebih kepada tindakan sistem kolonial untuk menggambarkan etnik peribumi yang bukan beragama Islam di Sarawak. Mengikut catatan Hugh Low, sebelum menjadi residen Perak yang keempat, beliau pernah mengikut James Brooke ke Sarawak hingga menghasilkan sebuah buku berjudul Sarawak: Its Inhabitants and Productions pada tahun 1889.

Dalam buku tersebut, Low menyatakan istilah Dayak digunakan oleh Brooke untuk merujuk kaum peribumi bukan Islam. Menurut Brooke, Dayak terbahagi kepada dua kelompok, iaitu Dayak Laut dan Dayak Darat. Brooke memperoleh maklumat ini daripada Dayak Bukit yang tinggal di sekitar Kuching. Dayak Bukit merujuk kelompok Dayak yang tinggal di kawasan tinggi untuk berlindung daripada serangan kelompok Dayak Laut. Lama-kelamaan, kelompok bukit dikenali sebagai Dayak Darat dan kelompok laut dikenali sebagai Dayak Laut.

Dalam konteks Sarawak, istilah Dayak merujuk kepelbagaian etnik yang lazimnya bukan Islam dan tidak menggunakan bahasa Melayu. Istilah Dayak terus kekal apabila pihak kolonial mula menguasai kawasan pedalaman Borneo hujung abad ke-18.

Hugh Low telah menggunakan istilah Dayak sejak tahun 1889 lagi. Kenyataan ini bercanggah dengan pendapat pihak Kementerian Pelajaran Seksyen Penilaian Budaya Kalimantan Timur bahawa seorang saintis bernama Dr. August Kaderland merupakan orang yang pertama menggunakan istilah Dayak sejak 1895.

Istilah Dayak yang diungkapkan oleh pihak kolonial hanyalah untuk memudahkan pihaknya mengenal pasti ras berdasarkan perspektif kebudayaan dan pemahaman mereka. Brooke juga mencipta istilah Dayak Laut yang merujuk masyarakat Iban. Sebelum wujudnya hubungan dengan Eropah, tidak ada ungkapan khusus untuk mengekspresikan unit kebudayaan mereka kerana mereka lebih selesa dikenal pasti berdasarkan sungai yang berada di sekitar petempatan mereka.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa September 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Bahasa Tunjang Ketamadunan Negara dan Bangsa

Oleh NUR FATIHA FADILA

Sejarah perkembangan manusia membuktikan bahawa bahasa merupakan elemen penting dalam susur galur kehidupan dan kebudayaan. Bahasa sebagai wadah untuk berinteraksi berperanan memastikan kelancaran kehidupan manusia. Pembinaan sesebuah tamadun turut berkaitan rapat dengan kewujudan bahasa. Dalam pembinaan peradaban, bahasa dianggap antara faktor penggerak kewujudan tamadun. Malahan, bahasa menjadi identiti dan simbol yang mewakili tamadun.

Tamadun besar seperti Islam, Yunani, Rom dan Mesir telah memperlihatkan kehebatannya. Terdapat tinggalan kemajuan tamadun berkenaan yang masih kekal hingga kini. Namun demikian, kewujudan tamadun agung ini tetap bertitik tolak daripada asas pembinaan tamadun yang sama. Selain kewujudan petempatan dan aturan organisasi, bahasa dan sistem tulisan tersendiri ialah asas penting dalam pembentukan tamadun. Melalui bahasa, masyarakat dalam tamadun dan antara tamadun dapat berkomunikasi sekali gus melancarkan rutin kehidupan dan pembangunan peradaban.

Sistem tulisan dan bahasa menjadi perantara komunikasi, alat perakam, penyampaian dan pewarisan khazanah tamadun dalam pelbagai bidang ilmu. Bahasa pula penting dalam pembangunan tamadun bangsa dan negara lantaran peranan bahasa itu sendiri. Bahasa bukan semata-mata alat untuk perhubungan harian, sebaliknya menjadi wahana dalam pencarian dan penyampaian ilmu pengetahuan. Jika ditinjau aspek keunggulan tamadun Islam, kegemilangannya tidak terhad pada sisi akidah semata-mata. Sebaliknya, tamadun Islam mengungguli sejarah peradaban dunia disebabkan sifat syumul yang ada padanya. Kemajuan tamadun Islam dalam dunia perubatan, kejuruteraan, matematik, ilmu alam, seni bina dan sebagainya menarik perhatian tamadun Barat untuk menyerap ilmu tersebut ke dalam tamadun mereka. Namun demikian, penyerapan ilmu berkenaan tidak dibuat dengan menggunakan bahasa Arab yang digunakan dalam tamadun Islam. Tamadun Barat, seperti Yunani, memindahkan segala ilmu yang diambil daripada tamadun Islam ke dalam bahasa Yunani sendiri. Tindakan itu berdasarkan pemahaman yang jitu masyarakat dalam tamadun bahawa masyarakat dan peradabannya akan menjadi lebih ideal apabila menggunakan bahasa mereka sendiri, walaupun ilmu itu diambil daripada tamadun asing.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa September 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.