Category Archives: Agenda Bahasa

Bahasa Melayu Tinggi dalam Ranah Pembinaan Negara Bangsa

Oleh NIK NOR AHMARIZAM NIK AHMAD

Mutakhir ini, penggunaan bahasa Melayu tinggi dalam kalangan masyarakat 1Malaysia, belum boleh dikatakan mencapai tahap yang membanggakan. Hal ini dikatakan demikian kerana masih ada pengguna bahasa Melayu, terutamanya golongan belia dan remaja yang belum memahami peranan bahasa Melayu tinggi dalam ranah pembinaan Negara bangsa, iaitu selaras dengan tema sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2011 (BBK), “1Bahasa, 1Bangsa, 1Negara”.

BBK yang diadakan saban tahun adalah untuk menyemarakkan penggunaan bahasa Melayu dalam alaf baharu ini. Walau bagaimanapun, penggunaan bahasa Melayu yang bercampur aduk dengan bahasa Inggeris atau disebut bahasa rojak masih tetap berlaku dalam kalangan masyarakat 1Malaysia.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Januari 2012.

ANUGERAH TOKOH PEJUANG BAHASA MELAYU ANTARABANGSA

Oleh AWANG SARIYAN

Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2011 oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Mohd. Yassin di Melaka pada 13 Oktober 2011 lalu bukan sahaja menyaksikan ketekalan usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu pada peringkat negara, bahkan turut membuka lembaran penting perkembangan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Pengurniaan Anugerah Tokoh Pejuang Bahasa Melayu Antarabangsa kepada Profesor Wu Zong Yu dalam majlis itu menandai pengiktirafan kerajaan Malaysia kepada usaha mengantarabangsakan bahasa dan persuratan Melayu.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Disember 2011.

WU ZONG YU, LAKSAMANA CHENG HO KEDUA

Oleh AZMAN ISMAIL

Penelitian oleh ahli linguistik Amerika Syarikat, Noam Chomsky, tentang gen dan bahasa mendapati bahawa individu atau masyarakat yang memiliki kemampuan memahami sesebuah bahasa secara lengkap akan lebih berupaya mengenali ciri kelompok yang memiliki bahasa tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana berdasarkan aspek kajian semantik dan etimologi kata, bahasa merupakan cerminan watak, sifat, perangai dan budi pekerti penggunanya.

Salah satu bahasa yang digunakan oleh sebahagian masyarakat di dunia ialah bahasa Melayu. Dalam perkembangannya, bahasa Melayu merupakan bahasa yang paling berpengaruh di Asia Tenggara dan bahasa kebangsaan empat negara di rantau ini, iaitu Malaysia, Brunei Darussalam, Indonesia, dan Singapura. Bahasa Melayu juga merupakan salah satu daripada lima bahasa dunia yang mempunyai jumlah penutur terbesar, selepas bahasa Inggeris, Mandarin, Sepanyol dan Arab.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Disember 2011.

Bahasa Melayu dan Kamus Internet

Oleh NOORDIN ZAKARIA

Perkataan “kamus” berasal daripada bahasa Arab, iaitu qamus. Kamus asalnya merupakan sejenis buku rujukan yang menerangkan makna sesuatu kata dan berfungsi untuk membantu pengguna mengenal perkataan baharu. Selain menerangkan maksud perkataan, sesetengah kamus turut mengandungi panduan sebutan, etimologi dan contoh penggunaannya. Bagi menguatkan pemahaman pengguna atau pelajar bahasa, sesetengah kamus juga dilengkapi ilustrasi.

Tradisi perkamusan berkaitan secara langsung dengan perkembangan pelbagai aktiviti global, termasuklah perdagangan, penyebaran agama dan penjajahan. Kewujudan sesebuah kamus bergantung pada sesuatu keperluan. Contohnya, Kamus Wilkinson telah dicetak semula di Tokyo, Jepun, dan dijadikan bahan rujukan oleh mata-mata Jepun untuk membolehkan mereka bertutur dengan orang Melayu bagi mendapatkan maklumat tentang geografi Tanah Melayu dan budaya masyarakat Melayu.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa November 2011.

TextSTAT Menganalisis Teks Berbantukan Komputer

Oleh RADIAH YUSOFF

Dari sudut kepenggunaan, perisian TextSTAT ini sangat sesuai digunakan terutamanya untuk pengajaran dan pembelajaran kursus seperti morfologi, sintaksis, analisis wacana, analisis teks, analisis kontrastif, dan linguistik korpus.

Terdapat pelbagai perisian konkordans yang digunakan untuk menganalisis data dalam bentuk teks, seperti WordSmith dan Language Explorer 2.0. Ada yang perlu dibeli, dan ada juga yang percuma.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa November 2011.

Bahasa Melayu: daripada Konvensional kepada Elektronik

Oleh JENIRI AMIR

Globalisasi, perkembangan komputer dan dunia maya yang menyaksikan terhakisnya sempadan negara menyebabkan dunia menjadi “kampung sejagat”. Globalisasi dan teknologi maklumat bukan sahaja memberikan kesan kepada landskap sosiopolitik dan sosiobudaya, tetapi juga memberikan kesan besar terhadap cara bahasa dirancang, dikembangkan dan disebarkan dalam kalangan pengguna. Strategi dan pendekatan lama sudah tidak lagi sesuai. Perancang, pengamal dan aktivis bahasa perlu menyesuaikan cara bekerja dengan perubahan yang berlaku dalam bidang teknologi maklumat bagi memastikan bahasa terus tumbuh dan berkembang serta tetap relevan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa November 2011.

KDBP SARANA PEMBINAAN BAHASA

Oleh NORHAFIZAH MOHAMED HUSIN DAN ABDUL HALIM ABDUL LATIP

Atas kesedaran terhadap keperluan pustaka korpus digital yang besar sebagai kemudahan untuk melakukan penelitian bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah memulakan projek pangkalan data bahasa Melayu berkomputer yang kini dikenali sebagai Korpus DBP (KDBP) pada tahun 1983. KDBP dibina untuk menyediakan prasarana penelitian yang objektif dan autentik sifatnya kepada para penyelidik bahasa Melayu. Dapatan yang diperoleh daripada kajian berdasarkan korpus ini dapat mencerminkan perilaku dan pola leksikal bahasa Melayu dalam persekitaran penggunaannya yang sebenar. KDBP juga dapat dijadikan asas untuk penyusunan kamus, tatabahasa dan buku bahasa yang lain.

Pada peringkat awal, sampel data tulisan dalam bahasa Melayu dikumpulkan sebagai sumber penyelidikan bahasa. Atas pertimbangan dan keperluan linguistik yang lebih luas, termasuklah untuk membantu kerja penyusunan kamus dan penyelidikan leksikal, dasar pengumpulan ini ditukar daripada kaedah pensampelan kepada kaedah pengumpulan teks wacana yang lengkap. Sehingga bulan September 2011, KDBP mengandungi 105 juta kata data pelbagai genre yang sudah diformatkan, dirakam dan disimpan secara berstruktur dalam pangkalan data.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa November 2011.