Category Archives: Fokus

Keintelektualan Berbahasa Melayu Cerminan Cendekia Bangsa

Oleh Jeniri Amir

Kini, ada salah tanggapan dan kesendengan pandangan sesetengah pihak bahawa keintelektualan seseorang diukur dari segi keupayaannya menguasai bahasa kedua, terutama bahasa Inggeris. Bagai kurang cerdik seseorang itu jika hanya pandai dalam bahasa Melayu. Bagai tidak terpelajar seseorang itu jika tidak pandai mengungkapkan diri dalam bahasa Inggeris walaupun bahasa Inggeris yang digunakannya ialah bahasa Inggeris yang terhad dan rendah mutunya. Mungkinkah itu sebabnya rakyat Malaysia tidak gemar berbahasa Melayu, malah lebih suka berbahasa Inggeris? Kalaupun mereka bertutur dalam bahasa Melayu, mereka cenderung menyelitkannya dengan kosa kata dan ungkapan dalam bahasa Inggeris.

       Persoalannya, adakah bahasa Melayu sudah mencapai tahap keintelektualan? Adakah menggunakan bahasa Melayu tidak menampakkan keintelektualan? Betulkah hanya dengan menggunakan bahasa asing, terutamanya bahasa Inggeris seseorang itu akan kelihatan daya keintelektualan? Bahasa merupakan wadah penting bagi melahirkan insan yang bijaksana. Kearifan dan kebijaksanaan seseorang diukur bukan sahaja dari segi ketinggian ilmunya, tetapi keupayaan mengungkapkan ilmu yang kompleks dan sulit dengan bahasa yang berkesan. Bahasa sebagai wahana yang penting perlu dikuasai jika seseorang mahu muncul sebagai cendekiawan bangsa.

      Dalam dunia yang semakin mencabar, tahap keintelektualan diukur dari aspek kebolehan dan keberkesanan seseorang untuk berkomunikasi atau menyampaikan maklumat dan pandangan. Individu berkenaan bukan sahaja perlu memiliki ilmu yang luas dan mendalam dalam bidang yang diperkatakannya, tetapi juga berupaya menyampaikan idea dan pendapat dengan bahasa baku yang memancarkan keintelektualan bahasa. Maksudnya, ilmu yang mendalam dan tinggi perlu disampaikan dengan bahasa Melayu tinggi. Bahasa dan ilmu bergerak seiring. Tanpa penggunaan bahasa Melayu tinggi, walau setinggi mana pun ilmu seseorang itu, keintelektualannya tidak akan terserlah. Keintelektualan ilmu perlu bergandingan dengan keintelektualan bahasa.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran April

Pemerkasaan Bahasa dan Persuratan Melayu Tonggak Pemartabatan Bangsa Bertamadun Tinggi

Oleh Azizul Haji Ismail

Salah satu penanda aras menjadi bangsa yang bertamadun dan berperadaban tinggi ialah sesuatu bangsa itu perlu mempunyai budaya penggunaan bahasa tinggi dan sejarah persuratan yang “besar” untuk menjadi rujukan serta kebanggaan sehingga generasi pada masa kini. Dalam konteks peradaban dan ketamadunan bangsa Melayu, bahasa dan persuratan Melayu telah berkembang maju selari dengan sejarah keagungan bangsa tersebut melalui pembinaan kerajaan, wilayah, dan empayar yang ersifat kerajaan maritim di alam atau Kepulauan Melayu. Bahasa dan persuratan Melayu sebenarnya mendapat kedudukan tinggi dalam pelbagai ranah semenjak 2000 tahun dahulu apabila tertubuhnya kerajaan Melayu awal, iaitu Funan, Campa, Kesultanan Melayu Melaka, Pasai, Johor-Riau, Patani, Brunei dan Aceh.

     Pada masa tersebut, bahasa Melayu digunakan hampir dalam segala lapangan kehidupan masyarakat yang merangkumi pentadbiran, undang-undang, diplomasi, perdagangan, keagamaan, dan ilmu serta pendidikan. Bahasa Melayu juga telah menjadi lingua franca bukan sahaja di alam Melayu, malahan melangkaui di luar alam tersebut, khususnya dalam bidang perdagangan dan penyebaran agama Islam. Sifat bahasa Melayu yang “liberal” dan keterbukaan membolehkan bahasa tersebut tidak “mati”, malahan semakin berkembang sehingga pada hari ini.

     Bahasa dan persuratan Melayu pada masa dahulu telah memainkan peranan penting dalam pengajaran dan pandangan hidup para pemerintah serta masyarakat secara keseluruhannya bagi memastikan kesejahteraan dan keharmonian hubungan golongan pemerintah dengan rakyat terpelihara. Hal ini disebabkan hubungan orang Melayu dengan rajanya amat rapat dan saling bergantungan dari zaman dahulu sehingga sekarang, selaras dengan ungkapan “Raja dan Rakyat Berpisah Tiada”. Bagi tujuan itu, penghasilan karya agung dalam persuratan Melayu telah dijadikan asas bagi memastikan bangsa Melayu mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan tamadun besar bangsa lain.

Petikan rencana dipetik dari majalah Dewan Bahasa keluaran Mac

Bahasa Busana Bangsa

Oleh DILAH TUAH

Sejak sekian lama, bahasa telah memainkan peranan yang cukup penting dalam penentuan identiti sesuatu bangsa. Keyakinan ini turut disandarkan melalui ungkapan seperti “bahasa jiwa bangsa”, “bahasa menunjukkan bangsa” dan “bahasa busana bangsa”. Hal yang sedemikian ini bertepatan dengan pandangan Clara Lee Brown (2009) dalam Heritage Language and Ethnic Identity: A Case Study of Korean-American College Student, yang mengatakan bahawa bahasa dan etnik merupakan sesuatu yang tidak dapat dipisahkan. Di samping itu, dalam konteks kajian sosiolinguistik, bahasa bukan sekadar dikaji daripada aspek bunyi sebutan dan ejaan semata-mata, tetapi turut mencakupi faktor budaya dan masyarakat yang memiliki bahasa tersebut. Hal ini dikatakan sedemikian kerana sesuatu bahasa yang wujud pada hari ini membawa bersama roh bangsa yang memilikinya.

     Kepentingan bahasa sebagai penentu identiti bangsa tidak dapat disangkal. Menurut Hassan Ahmad (2004) dalam Bahasa Melayu dan Minda Melayu: Satu Tinjauan Kritis, dalam ilmu antropologi, salah satu ciri yang membezakan satu kumpulan etnik dengan kumpulan etnik dengan kumpulan etnik yang lain ialah bahasa. Justeru, tidak hairanlah dalam satu tinjauan yang dilaukan di 15 buah negara di Eropah pada tahun 2016 mendapati 10 buah negara amat bersetuju bahawa keupayan bertutur dalam bahasa kebangsaan merupakan penentu identiti seseorang. Selain itu, dalam tinjauan yang dilakukan oleh Pew Research Center pada April-Mei 2016, juga mendapati negara-negara seperti Netherland, Britain, Hungary, Amerika Syarikat, Itali dan Kanada, juga bersetuju bahawa identiti kebangsaan hanya dapat dilihat apabila seseorang berupaya bertutur dalam bahasa kebangsaan. Berdasarkan tinjauan tersebut, jelas membuktikan bahawa kedudukan bahasa sebagai penentu identiti bangsa tidak dapat diketepikan dengan sewenang-wenangnya.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Februari

Bahasa: Menawan atau Tertawan?

Oleh MOHIDIN HAJI MALEK

“Bahasalah satu-satunya tanah air” (Language is
the only homeland).

Demikian kata-kata yang diluahkan oleh Czesław Miłosz, penyair, penulis prosa, penterjemah dan diplomat Poland, juga penulis buku The Captive Mind (1953). Pandangan Czeslaw menyirat tafsiran yang amat mendalam andai dilihat dari sisi yang pelbagai. Namun, jika dilihat secara literal, mungkin tidak akan meninggalkan kesan mendalam yang mampu menyuntik kesedaran tentang kepentingan bahasa dalam kehidupan manusia.

     Bahasa, dalam konteks ini apa-apa juga bahasa, sememangnya wahana primer dalam proses komunikasi, baik secara lisan, tulisan mahupun dalam bentuk isyarat, sama ada yang zahir atau sebaliknya. Tanpanya komunikasi pasti tidak akan berlaku. Bayangkan andai kata tiada bahasa langsung, bagaimanakah manusia mampu menzahirkan apa-apa juga hasrat, keinginan atau perasaan antara satu dengan yang
lain? Pemikiran pun tidak akan wujud. Bagaimana pula perasaan Mustahil bukan? Mungkin kelihatan perkara ini tidak masuk akal, namun demikianlah hakikatnya jika tidak wujud apa-apa bentuk bahasa sekalipun. Dunia akan jadi sunyi sepi. Dengan adanya bahasa, tercipta istilah untuk menerangkan sesuatu konsep. Daripada situ pula, timbul kesepakatan menerima pakai istilah yang dibentuk. Rantaian daripada itu, terzahir komunikasi, dan berkembanglah ketamadunan sesebuah bangsa.

     Memandangkan dunia amat luas dan terdapat pelbagai bangsa, kaum, puak, ras, etnik dan sebagainya, kesepakatan tentang penerimaan pelbagai istilah untuk menerangkan sesuatu konsep tercapai secara semula jadi. Andai “lembu” dalam bahasa Melayu itu merujuk sejenis binatang ternakan untuk mendapatkan susu dan dagingnya (Kamus Dewan Edisi Keempat), maka demikianlah pemahamannya bagi masyarakat dalam lingkungan persekitaran yang menerima konsepnya seperti yang sedemikian. Namun, bagi penutur bahasa-bahasa lain, walaupun lembu merujuk haiwan yang sama dalam budaya kehidupan mereka, namun sebutannya mungkin berlainan. Sebagai contoh, lembu disebut sebagai cow dalam bahasa Inggeris, koe dalam bahasa Belanda, vache dalam bahasa Perancis, kuh dalam bahasa German, mucca dalam bahasa Itali, so dalam bahasa Korea, baqara dalam bahasa Arab dan vitula eligans dalam Latin. Namun, dari segi kesepakatan atau konsensus masyarakat dunia, tanpa mengira asal keturunan, menerima maksud perkataan tersebut merujuk sejenis binatang ternakan untuk mendapatkan susu dan dagingnya.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Januari.

Bahasa Sembang Maya Era Digital

Oleh Mohidin Haji Malek

“Hi gojes, wat pe 2? ”
“Xde wat pe2. X chat bi ”
“La, cian u. ”

Demikian contoh perbualan dalam aplikasi sembang maya antara teruna dengan dara. Contoh perbualan ini berdasarkan pemerhatian terhadap cara berkomunikasi anak-anak muda zaman ini. Melihat akan arah aliran penggunaan bahasa standard dalam perbualan maya, timbul kerisauan bahawa hal yang sedemikian itu akan terbawa-bawa ke perbualan harian di alam nyata. Lebih merisaukan lagi sekiranya “gaya” berbahasa seperti ini menular dalam pembelajaran di bilik darjah dan seterusnya ke dewan peperiksaan. Hal yang sedemikian ini bukan rekaan semata-mata untuk mewajarkan ahli dan pencinta bahasa melontarkan kegusaran mereka terhadap hakisnya sikap kekesateriaan terhadap bahasa Melayu, iaitu bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara, di samping melunturkan jati diri masyarakat.

     Tatkala teknologi semakin mempengaruhi kehidupan manusia, kaedah penyampaian maklumat semakin ringkas dan padat melalui kaedah pendigitalan. Kehidupan semakin pantas kerana teknologi mengurangkan masa sama ada untuk berkomunikasi mahupun memperoleh maklumat. Lantaran itu, dengan teknologi baharu seperti penghantaran mesej segera dan teks, penggunaan ayat lengkap dan gramatis serta pengejaan perkataan penuh tidak lagi perlu. Apabila seseorang menaip, maklumat yang ingin disampaikan akan diringkaskan seringkas-ringkasnya. Akibat daripada hal yang sedemikian itu, kegramatisan bahasa penyampaian maklumat tidak lagi diambil kira, apatah lagi
kaedah yang sedemikian ini tidak mengambil kira aspek intonasi dan penekanan. Disebabkan perkembangan teknologi masa kini tidak dapat dielakkan, kita tidak lagi memberikan perhatian mahupun menghiraukan “kemampatan” dalam komunikasi alam maya. Sebaliknya, kita seakan-akan memberikan “restu” dan membenarkan gejala yang sedemikian ini berleluasa apabila kita sendiri, sama ada secara sengaja atau tidak, turut “berkolaborasi” dalam “pencabulan” kemurnian bahasa ibunda kita sendiri.

      Hal ini dikatakan sedemikian kerana, dalam keghairahan kita untuk “menyelaraskan” atau “menyamatarafkan” kedudukan kita agar tidak berlaku jurang besar antara generasi analog dengan generasi digital, kita turut terpengaruh dengan gaya penulisan yang rancu dan cacamarba. Masakan tidaknya, apabila kita berkomunikasi dengan anak-anak kita melalui aplikasi sembang maya, kita lebih cenderung untuk turut sama meringkaskan ayat dan ejaan agar kefahaman dalam sistem komunikasi itu tidak terjejas. Di samping itu, kita cuba memahami setiap “kod” atau “istilah” yang mereka gunakan agar kita mampu mengawal dan mengetahui apa-apa juga butiran perbualan sesama rakan mereka. Dengan berkomunikasi mengikut cita rasa anak-anak, kita mengharapkan akan “diterima” dalam kumpulan sembang maya mereka serta tidak dianggap kolot. Hal yang sedemikian ini bukan sahaja berupa “persekongkolan” yang amat membimbangkan, akan tetapi satu amalan yang jika tidak dikawal dan dibendung, akan mencabul kemurnian bahasa ibunda kita yang akhirnya akan “menghapuskan” bahasa Melayu. Sebagai ibu bapa, sewajarnya kitalah yang harus memberikan contoh yang baik dalam penggunaan bahasa yang betul dan gramatis. Namun, hal yang sebaliknya berlaku dan tanpa disedari kitalah yang menghakiskan jati diri generasi baharu dalam aspek menyuburkan kecintaan terhadap bahasa Melayu.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Disember

Bahasa Melayu Era Digital Cabaran dan Peluang

Oleh Dilah Tuah

Revolusi digital yang berkembang pada akhir abad ke-20, telah menyaksikan perubahan besar dalam pertumbuhan ekonomi dunia yang merentasi sempadan. Ledakan teknologi digital yang berasaskan teknologi maklumat dan komputer, telah membentuk satu gaya hidup baharu dalam kehidupan masyarakat hari ini. Muktahir, teknologi digital terus berkembang dengan pesat, melalui pembangunan aplikasi seperti mudah alih, pengkomputeran awam, data raya dan Internet of Things (IOTs). Perubahan ini bukan sekadar mencakupi aspek teknologi, malah turut memberikan impak kepada perkembangan sesuatu bahasa.

      Pada awal revolusi perindustrian 1.0 di Eropah pada abad ke-18 dan ke-19, sektor pertanian, pembuatan dan pengangkutan telah menjadi tumpuan utama yang menyaksikan perubahan besar dalam sosioekonomi dan kebudayaan Eropah. Pada ketika itu juga, negara Barat giat mencari sumber bahan mentah di tanah jajahan baharu, termasuk Malaysia. Hal yang sedemikian ini secara tidak langsung telah berjaya menarik minat penjajah Barat, untuk menguasai bahasa peribumi yang terdapat di rantau ini. Pada ketika itu, dominasi bahasa Inggeris belum begitu ketara terhadap bahasa Melayu dan bahasa yang lain. Namun begitu, dalam tempoh penjajahan yang panjang, keyakinan masyarakat peribumi terhadap bahasa ibunda sendiri mula menurun, khususnya apabila bahasa penjajah mula mengambil fungsi dalam sistem pentadbiran negara.

       Sebaik sahaja berakhirnya revolusi perindustrian 2.0 yang berteraskan penjanaan kuasa elektrik, muncul era baharu yang berorientasikan teknologi maklumat dan digital. Era digital atau lebih dikenali sebagai revolusi perindustrian 3.0, bermula sekitar tahun 1970-an melalui pengenalan komputer peribadi berteknologi yang berupaya memindahkan data dengan pantas ke manamana sahaja destinasi di seluruh dunia. Kepesatan era digital telah mengubah jaringan perhubungan masyarakat, daripada aspek komunikasi dan interaksi sosial yang pada asalnya terbatas, kepada jaringan perhubungan komunikasi tanpa sempadan. Ledakan teknologi maklumat ini telah membawa satu gelombang besar yang akhirnya mengubah kedudukan dan peranan sesuatu bahasa di sesebuah negara. Bahasa Inggeris yang menjadi medium utama dalam pembangunan revolusi digital, telah berjaya mengangkat martabatnya sebagai bahasa terpenting dunia.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Disember

Bahasa Menjulang Peradaban Bangsa

Oleh DILAH TUAH

      Kepentingan bahasa dalam pembentukan tamadun manusia tidak dapat dinafikan. Sejak dahulu lagi, bahasa telah menjadi alat komunikasi utama untuk memacu kemajuan fizikal dan rohani manusia. Dalam sejarah awal peradaban manusia, bahasa dan sistem tulisan telah menjadi salah satu ciri terpenting bagi sesebuah tamadun. Hal ini dikatakan sedemikian kerana melalui bahasa dan tulisan, sejarah peradaban manusia dapat direkodkan dan dicatatkan untuk tatapan generasi masa kini dan akan datang. Di samping itu, kedudukan bahasa sebagai penanda identiti atau jati diri sesuatu bangsa amat berkaitan dengan perkembangan kebudayaan, pendidikan, sistem pengetahuan, organisasi sosial, kesenian dan sistem keagamaan. Sehubungan dengan itu, bahasa bukan sekadar berperanan sebagai alat komunikasi sosial dalam sesebuah masyarakat, tetapi turut menjadi kayu ukur untuk menentukan status dan kedudukan sesebuah tamadun bangsa.

     Di Mesopotamia, iaitu sebuah tamadun awal di dunia yang terletak di antara sungai Tigris dan Euphrates sekitar tahun 3500 sebelum Masihi, sistem bahasa dan tulisan telah berkembang dengan pesat. Hal yang sedemikian ini dapat dibuktikan melalui penemuan artifak dalam bentuk tulisan bergambar yang dikenali sebagai tulisan cuneiform. Selain itu, bahasa Sumeria yang menjadi bahasa utama pada zaman awal tamadun Mesopotamia telah digunakan secara meluas dalam semua bidang sebelum digantikan oleh bahasa Akkadian sekitar tahun 2000 sebelum Masihi. Kewujudan sistem tulisan dan bahasa ini, jelas membuktikan adanya satu sistem bahasa yang utuh dalam peradaban masyarakat Mesopotamia. Menurut Kathleen Kuiper (2011) dalam Mesopotamia: The World’s Earliest Civilization, tulisan cuneiform bukan sahaja digunakan dalam urusan pentadbiran negara, malah turut digunakan dalam urusan perdagangan.

      Di samping itu, dalam bidang kesusasteraan, cuneiform turut digunakan untuk menghasilkan epik Gilgamesh yang mengandungi falsafah dan cara hidup masyarakat Mesopotamia. Dalam bidang perundangan pula, tulisan cuneiform telah digunakan oleh pemerintah Mesopotamia, untuk merakamkan kod-kod peraturan atau undang-undang yang dikenali sebagai Kod Hammurabi. Perkembangan sistem tulisan dan bahasa dalam masyarakat Mesopotamia telah membawa kewujudan sistem pendidikan yang bertujuan untuk melahirkan jurutulis, dan seterusnya merakamkan sejarah kegemilangan peradaban Mesopotamia. Hal ini dikatakan sedemikian kerana tanpa tulisan dan bahasa, mustahil bagi para sarjana dan pengkaji untuk meneliti sejarah peninggalan masyarakat Mesopotamia yang berusia lebih ribuan tahun dahulu.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran November