Category Archives: Bicara Bahasa

Gelora Penghujung Musim

 

Disember 2017 kian hampir melabuhkan tirainya. Setahun bersiaran, sekian banyak isu dan persoalan yang dipaparkan untuk menyuntik kesedaran pembaca tentang nasib bahasa Melayu, bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara, di samping memugar rasa kecintaan terhadap bahasa ibunda berkenaan. Namun, dalam keghairahan untuk melonjakkan martabat bahasa ke persada yang lebih tinggi, pelbagai hambatan dan cabaran yang harus didepani. Umpama berlayar di samudera luas, bahtera bahasa terumbang-ambing dilanda ribut taufan. Pastinya hal yang sedemikian itu menguji kekentalan, kebitaraan dan kecendekiaan nakhodanya mengemudi bahtera mengharungi keadaan genting. Andai tersilap caturannya, bahtera yang termuat dengan khazanah bangsa akan berkecai dan serpihannya berkubur di dasar laut.

      Akhir-akhir ini, bahasa Melayu bukan lagi dilihat sebagai agenda utama dalam ranah primer negara. Walaupun kedudukannya telah dimaktubkan sekian lama dalam dokumen  perundangan tertinggi negara, iaitu Perlembagaan Persekutuan, namun hal yang sedemikian itu tidak membawa wajaran yang berat. Bahasa Melayu dikatakan sebagai “hanya satu bahasa”, dan tanpanya apa-apa juga urusan masih mampu dilaksanakan dengan jayanya. Terdapat bahasa-bahasa atau dialek-dialek lain yang mampu menggalas tugas yang sekian lama diwartakan kepadanya. Namun demikian, pertaliannya dengan soal kebangsaan, maruah, jati diri, konsensus, kefahaman serta keharmonian tidak pernah atau sengaja tidak mahu dimengertikan. Bagi sesetengah pihak, bahasa dalam era globalisasi harus mengutamakan aspek nilai tambah yang mampu menganjak negara ke status yang lebih tinggi. Biar tinggi mengawan waima harus menggadai bahasa sendiri yang menjadi nadi penggerak jiwa sebuah bangsa yang merdeka dan berdaulat.

      Menyentuh tentang kepentingan bahasa asli, Micheal Zimmerman, pengasas dan pengarah The Clergy Letter Project, menyatakan

“… apabila kita kehilangan satu bahasa, kita kehilangan pandangan sejagat, kebudayaan dan pengetahuan kelompok yang menuturkannya, membawa kepada kemusnahan terhadap kemanusiaan keseluruhannya. Manusia sejagat hidup dalam persekitaran asli dan habitat mereka. Apabila bahasa yang mereka tuturkan pupus, seluruh manusia hilang ilmu pengetahuan tentang persekitaran mereka, kebitaraan tentang pertalian tumbuhan tempatan dengan penyakit, kepercayaan filsuf dan keagamaan serta pencitraan budaya (muzik, seni tampak dan puisi) yang memperkaya sama ada penutur bahasa tersebut mahupun mereka yang melihat budaya berkenaan”.

Jelas bahawa bahasa asli berperanan untuk menyebarluaskan apa-apa juga ilmu tanpa mengira sama ada bahasa berkenaan dituturkan oleh kelompok yang sedikit bilangannya atau sejagat jumlahnya. Oleh sebab itu, bahasa Melayu, dengan melihat perspektif ini, mampu berperanan dalam penyebaran kebitaraan dan rahsia alam Melayu kepada masyarakat dunia. Tidak hairanlah andai kata bahasa Melayu suatu masa dahulu mampu menjadi lingua franca yang dituturkan oleh pendatang asing. Kebitaraan pemikiran tokoh silam dicungkil dan dibawa lari melalui penguasaan bahasa Melayu yang sememangnya tinggi nilai tambahnya.

Mohidin Haji Malek

Bahasa Menunjangi Peradaban

 

“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang telah menciptakan”.

Demikian ternukil tafsiran ayat pertama Surah al-Iqra yang ringkas, namun membawa pengertian yang amat mendalam. Bertitik tolak daripada ayat tersebut, telah berkembang dan menebar sejarah ketamadunan Islam seantero dunia. Begitu besar dan signifikannya celik huruf di samping pengetahuan berbahasa dalam pembentukan dan pelestarian sesebuah peradaban. Namun, hal yang lebih utama, kefahaman dan penghayatan tentang sesuatu ilmu bergantung pada penaakulan dan pengertian yang mendalam tentang apa-apa juga aspek atau bidang ilmu yang disampaikan. Kemurnian dan kepersisan sesuatu ilmu bersandarkan penyampaian dan penerimaan dalam satu bahasa yang disepakati akan tahap kefahamannya agar terhindar daripada apa-apa juga bentuk pemesongan dan pelencongan fakta.

     Dengan mengambil perspektif peradaban, bahasa berperanan besar dalam penyebaran, pengekalan dan pelestariannya agar tidak terkubur. Hal ini dikatakan demikian kerana peradaban sesebuah bangsa hanya dapat dihayati semuluk-muluknya seandainya disebarkan dalam bahasa bangsanya. Bukannya tidak pernah berlaku pelencongan fakta akibat kesilapan dalam pentafsiran oleh sebab kekeliruan dalam sistem komunikasi. Pun bukannya tidak berlaku dalam catatan sejarah tentang terkuburnya peradaban sesebuah bangsa atau suku kaum bersama-sama bahasanya sekali akibat keserakahan golongan tertentu yang mempertahankan unsur yang dipersepsikan lebih baik daripada unsur yang sedia ada. Hal yang sedemikian ini didedahkan dalam sebuah dokumentari yang bertajuk Cracking the Maya Code yang memaparkan usaha beberapa orang ahli bahasa, etnografi dan sejarawan merungkai rahsia suku kaum Maya, penduduk asli Mesoamerica, berdasarkan aksara hieroglif terdiri daripada 800 simbol yang dijumpai.

Mohidin Haji Malek

Sebatikan Kecintaan

 

“Tidak ada sesiapa pun yang boleh membuatkan anda rasa rendah diri tanpa persetujuan diri anda”

Demikian kata-kata Eleanor Roosevelt, mantan Wanita Pertama Amerika Syarikat dan isteri Presiden Franklin D. Roosevelt. Mudah dan jelas kenyataan beliau yang menyiratkan betapa pentingnya setiap individu bersikap positif dan tidak mengambil kira pandangan individu yang lain tentang kedudukan dan taraf mereka. Keyakinan akan kemampuan diri itulah yang menjadi faktor utama untuk memastikan kejayaan dalam apaapa juga ranah ilmu dan kegiatan. Sikap rendah diri menjadi penghambat utama yang bukan sahaja mematikan motivasi, malah menjejaskan mutu pencapaian sesuatu yang dilakukan.

     Mengambil kira kata-kata ini dalam konteks pemartabatan bahasa, penterjemahannya harus dilihat dari sisi sikap golongan tertentu yang berpandangan negatif akan keupayaan bahasa  Melayu mendukung dan menggalas tanggungjawab sebagai bahasa dalam pelbagai ranah ilmu dan bidang. Umum mengetahui bahawa bahasa Melayu ialah bahasa yang diangkat secara konsensus sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara selepas negara mencapai kemerdekaan. Keupayaannya sebagai bahasa pemersatu atas landasan cakupan pemahaman yang merentasi kaum dan etnik teranjak apabila dijadikan sebagai bahasa pengantar dalam bidang pendidikan. Setelah menjengah usia lebih separuh abad negara mengecapi kemerdekaan dan bahasa Melayu unggul sebagai bahasa utama, kini timbul suara suara sumbang yang mempersoalkan keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Sikap merendah-rendahkan serta memperlekeh kedudukan bahasa rasmi negara ini sememangnya amat menjengkelkan. Apa tidaknya, sebahagian daripada kalangan yang meragui keupayaan bahasa Melayu ialah orang Melayu yang membesar dalam domain kemelayuan dan putik rasanya sejak dari kecil disantuni nikmat keindahan budaya hidup Melayu. Malangnya, apabila berkelana luar dari alam Melayu dan dibuai fantasi keindahan budaya luar, sedikit demi sedikit terhakis jati diri kemelayuan hinggakan sanggup mengetepikan dan menyisihkan unsur kemelayuan, waima bahasa Melayu sekalipun.

Mohidin Haji Malek

Ampuh Bahasa, Agunglah Bangsa

 

Tingkap papan kayu bersegi,

              Sampan sakat di Pulau Angsa;

Indah tampan kerana budi,

             Tinggi bangsa kerana bahasa.

    Dipetik pantun Melayu lama yang menyirat makna yang mendalam tentang ketinggian budi dan bahasa. Budi dan bahasa bertaut rapat umpama isi dan kuku. Keakraban itulah pula yang melahirkan istilah budi bahasa. Bahasa, baik secara lisan atau tulisan, menjadi kayu pengukur untuk menilai peribadi penutur atau penulisnya. Bahasa yang indah mencitrakan kehalusan budi pekerti seseorang, manakala bahasa yang kasar dan mencarut pula memperlihatkan kecelaruan atau ketidaktentuan pemikiran seseorang yang mempengaruhi perilakunya. Demikian pentingnya aspek bahasa dalam kehidupan, sama ada dalam komunikasi
formal ataupun tidak formal. Lantaran itu, seni berbahasa harus diserlahkan dan dipertingkatkan agar citra ketinggian martabat bangsa dapat ditonjolkan.

      Namun begitu, masyarakat Malaysia era ini tidak lagi melihat bahasa sebagai lambang pencitraan keagungan sebuah bangsa. Bahasa menjadi perlambangan status atau kedudukan serta keupayaan menjana keuntungan dan kelebihan biarpun harus mengorbankan aspek ketulusan, keikhlasan, adab dan budi. Hal yang penting, nilai ekonomi, nilai tambah, nilai keberadaan, dan nilai keutamaan dalam penganjakan status supaya dilihat lebih berwibawa mengatasi segala-galanya. Lantaran itu, dalam konteks berbahasa, penggunaan bahasa dalam apa-apa juga bidang, harus yang bersifat elit dan berstatus global. Akibatnya, bahasa Melayu disisihkan dan dipandang tidak relevan kerana tidak mampu menjadi bahasa yang mampu mengungkap secara tepat dan berkesan apabila digunakan dalam bidang-bidang tertentu.

        Benarkah hal yang sedemikian? Sukar untuk diterima dan diyakini pandangan terlancung ini. Hakikatnya, apa-apa juga bahasa di dunia ini mampu berperanan dalam apa-apa juga bidang sekiranya usaha ke arah hal yang sedemikian itu dipergiat dan disokong tanpa berbelah bahagi. Bahasa Inggeris dinobatkan sebagai bahasa utama dunia bukan kerana kehebatannya dalam pengungkapan dan pentakrifan istilah-istilah tertentu dalam pelbagai bidang. Sebaliknya, penobatan itu lahir daripada persepsi dan pengiktirafan masyarakat dunia terhadap kedudukan bahasa berkenaan. Bahasa Inggeris bukannya seratus peratus asli. Terdapat juga unsur peminjaman kata, pembentukan dan penggubalan istilah. Namun, hal yang sedemikian ini tanpa sedar disepakati tanpa sebarang persoalan atau sanggahan. Malah, lama-kelamaan, istilah yang dipinjam ini akhirnya diperakui sebagai hak milik kekal bahasa berkenaan.

Mohidin Haji Malek

Hijrahkan Bahasa

 

Apabila disebut tentang perkataan hijrah, perkara pertama yang terlintas dalam fikiran sudah pastinya kegiatan perpindahan, sama ada oleh seseorang atau kumpulan manusia dari suatu tempat ke tempat yang lain atas sebab-sebab tertentu. Bagi umat Islam, sudah pastinya peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dari kota Mekah ke kota Madinah akibat penentangan terang-terangan kaum Quraisy terhadap agama Islam di samping ancaman terhadap nyawa baginda merupakan peristiwa yang amat signifikan dan diingati tahun demi tahun. Malah, hijrah digalakkan untuk melebarkan skop pandangan serta pemikiran agar manusia tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung.

       Namun, apabila ditautkan hijrah dengan bahasa, pasti hal yang sedemikian ini menimbulkan persoalan tentang bentuknya dan signifikannya. Sememangnya untuk menautkan hijrah dan bahasa mampu menjerumuskan seseorang dalam polemik keliru yang merimaskan. Bolehkah bahasa berhijrah? Bagaimana pula konsep hijrahnya? Apa pula signifikannya? Persoalan yang sedemikian ini pasti akan berlegar-legar dalam minda. Untuk menjawabnya, pertama, usah disinonimkan bahasa seperti manusia yang memiliki bentuk dan sifat yang wujud. Kedua, perluas minda untuk melihat konsep hijrah dari sudut takrif yang lebih luas dan di luar pentafsiran tipikalnya.

       Bahasa, menurut takrifan kamus Merriam Webster, ialah kaedah sistematik untuk menyampaikan buah fikiran atau perasaan melalui penggunaan isyarat, bunyi, gerakan atau petanda konvensional yang difahami maksudnya. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat pula bahasa ialah sistem lambang bunyi suara yg dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia. Tuntasnya bahasa wahana perhubungan dan tidak statik. Bahasa bergerak dan tersebar selagi penuturnya mampu bergerak. Bahasa dipelajari, difahami, dikuasai dan diamalkan dan tidak ada had sebanyak mana bahasa yang boleh dikuasai selagi seseorang itu memiliki keupayaan untuk berbuat demikian.

Mohidin Haji Malek

Menegakkan Tiang Seri Perpaduan

 

Bukan mudah untuk membina sebuah negara bangsa dengan kemajmukan latar belakang bangsa, budaya, agama, bahasa, amalan
dan cara hidup. Apatah lagi dengan mengambil kira sentimen perkauman yang amat rapuh dan umpama bom jangka yang menanti masa untuk meletup. Namun demikian, tidak mustahil perkara itu tercapai sekiranya terbentuk konsensus dan persefahaman yang utuh yang menjamin keharmonian dan kesejahteraan yang menjadi teras pembentukan sebuah negara bangsa.

Negara seperti yang kita fahami ialah produk abad ke-19. Pada zaman moden, negara diiktiraf sebagai komuniti politik yang menjamin keabsahan persempadanan sesebuah negara dan membentuk negara berkenaan menjadi negara bagi seluruh rakyatnya. Tanggapan negara bangsa memberikan penekanan terhadap hubungan antara negara dengan bangsa. Kewarganegaraan sewajarnya berperanan untuk menyebatikan diri warga kepada negara dan dengan hal yang demikian menjadi faktor yang menjamin keberadaan setiap warga di samping bersatu membentuk sebuah negara yang maju dan berprestij.

Sejarah pahit dijajah telah mengajar kita untuk menghargai erti keberadaan dalam urusan tadbir urus negara. Lembar baharu sewaktu mencapai kemerdekaan menyedarkan kita tentang perlunya setiap suku kaum bersatu dan menyisihkan sikap keakuan untuk memperjuangkan hak yang berlandaskan kepentingan kaum masing-masing. Melihat akan kepentingan yang sedemikian itulah, Perlembagaan Persekutuan menggariskan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara. Bahasa merupakan wahana yang mampu menautkan dan mengeratkan silaturahim antara kaum yang pelbagai dan pemilihan bahasa Melayu untuk menzahirkan aspirasi pembangunan sebuah negara bangsa sememangnya telah dipersetujui secara konsensus.

Mohidin Haji Malek

 

Mengetuk Pintu Bahasa

 

Bijak pandai ada berkata, untuk mengenal hati budi sesebuah bangsa, selamilah bahasanya. Lidah bijak pandai bukanlah sembang-sembang biasa di kedai-kedai atau warung-warung kopi. Bijak pandai meneliti dan mentafsir dengan mata hati tanpa rasa prejudis sebelum sesuatu ungkapan diutarakan. Andai ditelaah dan dikaji dengan mendalam, kebanyakan kenyataan yang dilontarkan ada kewajaran dan ketepatannya. Dalam konteks ungkapan di atas, kita perlu melihat pelbagai sisi dan dimensi sebelum apa-apa juga pandangan yang ingin kita lontarkan.

         Bahasa diumpamakan sebagai jiwa sesebuah bangsa. Hal yang sedemikian ini membawa maksud bahawa bahasa itu roh yang mencitrakan keperibadian sesuatu bangsa. Apabila seseorang itu berkata-kata, keperibadiannya tergambar melalui pemilihan kata, pembentukan ayat, penyisipan kias dan perumpamaan, intonansi, jeda, perasaan, dan sebagainya. Citra peribadi ini akan berkembang sekiranya masyarakat sekelilingnya berkomunikasi secara serupa. Seterusnya perkembangan itu akan melebar sehingga peringkat yang lebih luas dan pengaruhnya tidak akan terhenti setakat itu sahaja. Malah, tidak mustahil andai kata peluasan pengaruhnya melewati garis persempadanan negara.

          Dengan mengambil iktibar perkembangan bahasa Melayu zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka, nilai kesopanan dan kesantunan berbahasa merupakan elemen yang menyerlah. Hal yang sedemikian ini menyebabkan bahasa Melayu dipandang tinggi oleh kalangan pedagang yang mendapati bahawa berkomunikasi dengan penduduk tempatan amat mudah dan menyenangkan. Kemegahan berbahasa dalam kalangan penduduk tempatan mengukuhkan lagi kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa yang murni dan berwibawa. Dimensi ini jarang-jarang diketengahkan, namun amat besar impak dan peranannya untuk memastikan kemandirian sesuatu bahasa.

Mohidin Haji Malek