Category Archives: Nota Editor

Kalau Sungguh Bagai Dikata …

Penulis meminati Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, sama seperti jutaan orang lain dari pelbagai bangsa di pelosok dunia. Penulis dan P. Ramlee berasal dari negeri yang sama – Pulau Pinang. Namun begitu, penulis tidak ditakdirkan menjadi seniwati, tidak seperti Seniman Agung itu. Penulis menyentuh kisah P. Ramlee kerana beliau seniman bitara. Kegeniusan dan kreativiti P. Ramlee yang tinggi jelas terpancar menerusi mahakarya beliau, sama ada lagu ataupun filem, yang memberikan impak kepada integrasi kaum, nilai sejagat, nilai sepunya, keharmonian dalam masyarakat, dan nilai murni yang dapat dipraktikkan oleh masyarakat.

          Sebenarnya, jika direnungkan banyak lagu dan filem P. Ramlee yang malar segar itu menyentuh sosiolinguistik, khususnya bahasa dan kebahasaan Melayu. Hal ini dijelmakan oleh P. Ramlee dengan bantuan sahabat beliau seperti Allahyarham S. Sudarmaji, Allahyarham Datuk Jamil Sulong, Allahyarham H. M. Rohaizad, Sasterwan Negara Allahyarham Usman Awang, Yusnor Ef, dan lain-lain melalui lagu, lirik lagu dan skrip filem yang kaya dengan nilai dan akal budi Melayu. Genre lagu, seni kata lagu dan filem P. Ramlee diwarnai dengan unsur peribahasa, simpulan bahasa, perumpamaan, pepatah, kiasan, pantun, gurindam, dan lain-lain yang mengangkat estetika bahasa dan kepuisian Melayu. Semua unsur ini diperlihatkan dengan jelas menerusi lirik lagu Tiada Kata Secantik Bahasa, Hanya Dikau, Dengarlah Gemala Hati, Getaran Jiwa, Aduh Sayang, Sedangkan Lidah Lagi Tergigit, Hancur Badan Kandung Tanah, Engkau Laksana Bulan, dan sebagainya.

       Apabila penulis diberikan tanggungjawab selaku pegawai projek Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2016 Peringkat Negeri Pulau Pinang yang telah dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertuan Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas, penulis memilih rangkaian lagu Seniman Agung yang liriknya relevan dengan BBK. Lagu yang dipilih adalah berkaitan bahasa, yang sarat dengan unsur peribahasa, simpulan bahasa, perumpamaan, pepatah, kiasan, pantun, gurindam, dan lain-lain.

        Pada “Malam Bahasa Jiwa Bangsa” bersempena dengan BBK itu, Azfar Don Zulkamal bin Azmi atau “P. Ramlee Perlis”, yang mirip P. Ramlee sewaktu muda melaksanakan tugasnya dengan cemerlang. Azfar mendendangkan lagu Tiada Kata Secantik Bahasa, Hanya Dikau, Dengarlah Gemala Hati, Getaran Jiwa, Aduh Sayang. Penulis percaya, ramai orang dalam majlis itu merasakan “kehadiran” P. Ramlee seperti yang dirasai oleh penulis.

RITAH YAHAYA

Hilang Bahasa, Lenyap Bangsa

Dua belas tahun yang lalu, dalam Bicara Bahasa (halaman editorial), Dewan Bahasa (DB) Ogos yang bertajuk “Jiwa Bahasa Bangsa Merdeka” penulis pernah menulis seperti yang berikut:

Kamus Dewan, Edisi Keempat mendefinisikan “sedar” sebagai tahu dan ingat, insaf, mengerti. Sementara, “kesedaran” ialah sedar (akan sesuatu), keinsafan, ingatan. Kendatipun demikian, tahu dan ingat belum mencukupi andai kata tidak insaf dan mengerti. Tahu, ingat, insaf, dan mengerti akan sesuatu perkara itu pula, tidak membawa apa-apa makna seandainya tidak terbit daripada nurani yang luhur.

      Hatta, kesedaran daripada nurani yang luhur itulah juga yang telah meniupkan semangat kebangsaan dan menggerakkan perjuangan nasionalisme di Tanah Melayu untuk bebas daripada cengkaman British, 49 tahun yang lalu. Serentak dengan itu juga, obor nasionalisme linguistik yang berpaksikan gerakan bahasa melalui pelbagai pertubuhan bahasa dan persuratan, turut dinyalakan oleh golongan cendekiawan, sasterawan dan wartawan yang menyaksikan bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan yang merdeka pada bulan Ogos 1957.

      Malaysia yang merdeka harus diisi dengan jiwa kemerdekaan manusianya. Jiwa kemerdekaan harus diisi dengan kesedaran. Kesedaran patriotisme dan nasionalisme untuk memperkukuh jati diri dan perpaduan bangsa melalui kesedaran berbahasa, kesedaran “Bahasa Jiwa Bangsa”; juga kesedaran yang mendalam untuk menjadi insan yang seimbang rohani dan jasmaninya dengan buah fikiran, buah pembicaraan, emosi dan tindakan yang bijaksana; insan yang berpengetahuan, berdaya saing dari segi ekonomi, berketerampilan positif, bernilai murni, dan berbudaya positif yang menjadi teras Misi Nasional ke arah pencapaian Wawasan 2020, iaitu Malaysia sebagai negara maju berasaskan acuan sendiri dengan pengisian modal insan yang memiliki minda kelas pertama.

RITAH YAHAYA

Perjuangan Tanpa Noktah

 

Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu masih belum selesai. Walaupun kedudukan bahasa Melayu dijamin melalui Perlembagaan Persekutuan Perkara 152, tetapi keindahan dan keagungan nilainya akan luntur jika tidak dipelihara sebaik mungkin.

       Demikian juga dengan perjuangan meletakkan bahasa kebangsaan pada tempat yang sepatutnya. Sudah enam puluh satu tahun bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan mengikut Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Bahasa kebangsaan dijadikan bahasa pengantar secara berperingkat-peringkat dari sekolah rendah hingga universiti awam.

     Banyak cerdik pandai negara ini yang terlahir daripada sistem pendidikan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Walaupun mereka mendapat pendidikan dalam bahasa kebangsaan, mereka berupaya berbahasa Inggeris dengan baik dan mencapai kemajuan seperti orang lain yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertama. Hal ini membuktikan bahawa kejayaan dan kemajuan tidak disebabkan oleh pendidikan dalam bahasa kebangsaan, tetapi keupayaan menguasai ilmu dan bahasa lain.

     Dalam Hikayat Hang Tuah, Hang Tuah sebagai laksamana dan wira Melayu ulung, selain kepantasan pencak yang deras, Hang Tuah juga menguasai ilmu bahasa, antaranya termasuklah bahasa Arab, Siam dan Jawa.

      Dalam dunia ini kita melihat ada lebih kurang 300 juta orang yang menuturkan bahasa Melayu, khususnya di Nusantara. Oleh hal yang demikian bahasa Melayu berkeupayaan menjadi bahasa yang hebat dalam pelbagai bidang.

     Menurut Mohamad Shafiq Rohaizad Buyong dalam makalah Perjuangan Bahasa Melayu di Tangan Anak Muda halaman 13, teknologi pada hari ini semakin canggih seiring dengan kemajuan dunia seharusnya dapat dimanfaatkan oleh generasi muda untuk mengembangkan bahasa Melayu dalam pelbagai bidang. Usaha ini dapat dilakukan melalui pembangunan orang muda, khususnya dari segi pembinaan bakat, falsafah dan nilai kecintaan terhadap bahasa Melayu.

      Nadi perjuangan bahasa Melayu letaknya pada kekuatan ilmu pengetahuan. Perjuangan yang hanya berbekalkan semangat semata-mata tanpa disertai ilmu pengetahuan yang tinggi bagai “tin kosong” yang tiada manfaatnya.

     Berbagai-bagai halangan harus ditempuh oleh bahasa Melayu untuk mencapai status bahasa yang bersifat global dan bahasa pengantar ilmu pengetahuan. Namun, sikap dan normal jati diri yang masih nipis menyebabkan usaha-usaha ini bergerak perlahan.

      Memanglah bahasa Melayu telah dinobatkan dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi di negara jiran terdekat Singapura, bahasa Melayu juga turut dinobatkan dalam perlembagaannya. Walaupun begitu, kita mungkin tahu hakikat sebenarnya tentang nasib bahasa Melayu yang dinobatkan tersebut.

     Sama ada diakui atau tidak bahasa tersebut hanya “berdaulat” dalam buku undang-undang utama negara tersebut sahaja. Penjelmaannya dalam bentuk kenyataan dan amalan amat jauh sekali. Jauh panggang daripada api.

     Golongan yang prihatin dan mencintai bahasa Melayu melalui Peristiwa Keranda 152 melakarkan impaknya dalam sejarah, pendidikan, sastera, sosial dan politik kebahasaan negara. Hal ini menandakan bahawa akan sentiasa wujud golongan yang prihatin terhadap perkembangan bahasa Melayu di negara ini.

    Hakikat perjuangan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebenarnya  tiada titik noktah. Golongan muda pada hari ini seharusnya berbangga dan mempertahankan bahasa Melayu serta menyokong usaha untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di dunia dan menjadi lingua franca seperti yang ditempa oleh golongan terdahulu.

Siti Nur Hidayah Othman Bakar

Bahasa Melayu Bahasa Pentadbiran Negara

Kursus bahasa Melayu itu berlangsung selama dua hari. Kursus itu dianjurkan oleh pihak berkuasa tempatan dan pihak yang berwenang tentang bahasa negara. Peserta kursus terdiri daripada penjawat awam, terutama mereka yang berkhidmat dengan pihak berkuasa tempatan yang menjadi penganjur, dan mereka yang ingin terus mendalami bahasa itu setelah tamat pendidikan formal di sekolah.

     Peserta itu hanya menghadiri kursus bahasa tersebut pada hari kedua. Katanya, dia sibuk mengurus hal lain pada hari pertama. Dia berasa dukacita kerana hanya mampu untuk mengikuti sebahagian daripada kursus itu. Baginya, kursus bahasa itu amat bermanfaat kepada semua warga Malaysia dan sewajarnya mereka menghadirinya.

     “Semua orang mesti boleh bertutur dalam bahasa kebangsaan. Tiap-tiap hari kita berurusan dengan pihak berkuasa tempatan yang menggunakan bahasa kebangsaan. Jadi kita mesti belajar bahasa kebangsaan untuk memudahkan urusan kita dengan mereka. Bahasa itu bahasa pentadbiran negara,” kata Yee Jee Kwong ketika kami menikmati sajian makan malam di restoran tersebut.

     Jee Kwong bukan penutur asli bahasa Melayu. Namun demikian, baginya, semua warganegara Malaysia mesti mampu untuk menuturkan bahasa Melayu kerana bahasa itu bahasa kebangsaan. Jika rakyat Malaysia tidak dapat berbahasa Melayu, mereka perlu menghadiri kursus, seperti yang dilakukannya, walaupun dia berupaya untuk menggunakan bahasa itu dengan baiknya.

     Mohd. Hariff Mohd. Eusoff berkhidmat sebagai pegawai tadbir dan diplomatik pada suatu ketika dahulu. Dia kini berusia 80 tahun dan banyak menghabiskan masa untuk menimba ilmu di masjid yang berhampiran dengan rumahnya. Sesekali apabila kami bertemu dimasjid, sambil menikmati jamuan ringan selepas mengecapi santapan minda tentang agama, kami berbincang tentang hal ehwal negara, termasuk isu bahasa.

Armin Azhari Saleh

Di Tanjong Malim dan di Paris

 

Kelajuan pelumba itu mengemudikan basikalnya menyebabkan Yee Jee Kwong pantas menarik tangannya yang memegang telefon pintar agar tidak melepasi pagar mudah alih. Yee Jee Kwong antara ratusan penduduk berbilang kaum Tanjong Malim yang beratur di tepi jalan berhampiran dengan Balai Lintang Muallim untuk menyaksikan dan mengalu-alukan pelumba basikal Le Tour de Langkawi. Jee Kwong dan penonton lain dipisahkan daripada laluan pelumba oleh pagar mudah alih milik pihak berkuasa tempatan.

       “Selalunya pelumba hanya melalui Tanjong Malim dalam perjalanan ke destinasi lain, seperti Kuala Kubu Bahru. Namun demikian, pada kali ini, mereka menamatkan perlumbaan di sini,” kata Chai Loon Guan, sahabat Jee Kwong. Mereka menunggang motosikal untuk ke lokasi setelah jalan raya ditutup kepada kenderaan besar.

      Penulis ini turut berada di situ untuk menyaksikan perlumbaan basikal peringkat antarabangsa ini untuk kali ketiga – dua kali di Kuala Kangsar. Kata seorang penduduk bandar sempadan Perak-Selangor ini, “Saya meminati sukan lumba basikal. Kerana minat saya itu, saya berada di sini. Jika hanya hendak menonton acara ini, tontonlah sahaja siarannya melalui televisyen di rumah.”

      Kereta yang digunakan untuk Le Tour de Langkawi ini diletakkan di petak kereta dengan kemasnya. Kereta ini ditaja oleh syarikat pembuat kereta di Jerman. Mereka yang menggunakan kereta ini mempunyai tugas dan tanggungjawab tertentu. DI badan kereta, dilekatkanlah tugas mereka yang telah ditetapkan itu. Maka terpampanglah perkataan official car, chief executive officer, chief operating officer, chief timekeeper, commisairre, event director dan race log – antara contohnya.

Armin Azhari Salleh

Daya Fikir Berbahasa

 

Dimensi tradisi keilmuan dan keintelektualan berbahasa yang menjadi teras kepada pembentukan ketamadunan masyarakat sebenarnya bermula dari zaman kanak-kanak lagi. Paparan tradisi keilmuan ini jelas memperlihatkan kekreatifan minda dan keinteletualan pemikiran masyarakat yang diekspresikan dalam segenap bidang khazanah ilmu pada masa akan datang. Ketinggian daya fikir untuk menyampaikan sesuatu perkara memerlukan penggunaan bahasa yang betul dan menepati tradisi keilmuan tersebut.

      Secara ringkasnya, hal-hal yang berkaitan aspek kecemerlangan pendidikan merupakan mekanisme ampuh dalam usaha meningkatkan kualiti penggunaan yang lebih betul dan tepat. Daya fikir berbahasa menjana intelek seseorang sehingga mampu dipaparkan dan dipancarkan sama ada secara lisan mahupun tulisan. Oleh hal yang demikian, medium bahasa amat signifikan untuk menjelaskan kebijaksanaan dan ketajaman fikiran.

     Kesinambungannya, kempen Membaca Amalan Kita, Bangsa Membaca Bangsa Berjaya dan banyak lagi usaha yang cuba diketengahkan oleh kerajaan untuk memakmurkan amalan membaca sekali gus memperkaya penggunaan bahasa Melayu. Amalan membaca dalam kalangan masyarakat di Malaysia masih belum berada pada tahap yang memberangsangkan. Budaya dan amalan membaca perlu ditingkatkan antara langkah yang dicadangkan oleh Datuk Nafisah Ahmad, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, iaitu dengan memperuntukkan masa sekurang-kurangnya sejam sehari untuk Malaysia muncul sebagai negara pembaca.

      Sehubungan dengan hal itu, pembaca boleh memilih strategi yang sesuai dengan keperluan semasa membaca. Dalam usaha untuk membudayakan membaca, pembaca perlulah memiliki strategi membaca yang sesuai agar tujuan membaca akan dapat dicapai dengan berkesan. Selanjutnya, tindakan ini akan melahirkan masyarakat yang peka terhadap isu semasa dan penggunaan bahasa yang tepat, di samping dapat mewujudkan masyarakat berpengetahuan, serta akan menggambarkan kematangan masyarakat tersebut.

     Sebagai kesimpulannya, proses membina daya fikir berbahasa sesungguhnya tidak ada titik nokhtah. Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu, usaha untuk meningkatkan martabat bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dilaksanakan secara berterusan dengan perancangan yang lebih agresif dan terarah. Maka, hasrat ini seharusnya menjadi unsur pembinaan jati diri rakyat Malaysia untuk membina satu tamadun dan bangsa yang tinggi. Keunggulan bahasa Melayu harus dipasak dengan semangat dalam jiwa bermula di bangku sekolah lagi.

Siti Nur Hidayah Othman Bakar

Keteguhan Bahasa Melayu Sepanjang Zaman

 

Perkaitan antara bahasa dengan persuratan sentiasa berkait rapat. Melalui bahasa, terluah pemikiran yang kemudiannya dirakam dalam bentuk penulisan. Perkara ini boleh dilihat melalui pembentukan idea, gagasan, ilmu, sejarah, siasah, ekonomi, perundangan, agama, teknologi, sains dan seumpamanya dicatat dalam bentuk tulisan sebagai dokumen sahih dan berwibawa untuk pelbagai tujuan.

      Keupayaan menguasai sesuatu yang mampu menerbitkan pengaruh menyerlahkan keintelektualan sesuatu tulisan bergantung pada bahasa yang digunakan. Keindahan dan roh sesuatu bahasa pula tercitra melalui kepersisan bahasa berkenaan dalam apa-apa juga maklumat, di samping menonjolkan ketinggian dan kehalusan budi bahasa penulis dan masyarakat sekelilingnya. Dalam alam Melayu, ketinggian nilai bahasa sebagai wahana penyampaian ilmu dapat ditelusuri berdasarkandokumen persuratan Melayu lama seperti Hukum Kanun Melaka, Undang-undang Laut, Hikayat Raja Pasai, dan sebagainya. Dokumen ini menjadi contoh bahasa Melayu mampu berkembang mengikut peredaran zaman.

     Kewibawaan dan kecendekiaan bangsa Melayu dibuktikan melalui penerimaan bukan sahaja masyarakat dalam negara, malah masyarakat antarabangsa yang mengkaji hasil tulisan dan pemikiran di sebalik bahan tulisan berkenaan. Tambahan pula, sesetengah dokumen dijadikan tesis untuk memperoleh kesarjanaan dalam bidang akademik. Tidak terbatas setakat itu, Hukum Kanun Melaka dijadikan asas pendrafan kanun antarabangsa. Hal yang sedemikian ini jarang-jarang dilihat dan dibincangkan dalam ranah ilmu.

     Demikianlah bahasa dan persuratan berperanan menganjak tahap keintelektualan sesuatu bangsa kepada tahap yang lebih maju dan berdaya saing mengikut peredaran zaman. Bahasa yang maju seiring dengan era globalisasi turut menuntut perubahan dinamik dan mampu berinovasi dipersada antarabangsa.

Siti Nur Hidayah Othman Bakar