Category Archives: Reaksi Bahasa

Bahasa dalam Mesej Rerangkap

Oleh HASAN BASERI BUDIMAN

Penulis bukanlah penonton tegar yang 24 jam akan berada di hadapan televisyen (TV). Namun, setiap kali menonton TV, penulis sering sahaja dihidangkan dengan virus kecelaruan bahasa yang cukup meremukkan hati. TV yang sepatutnya menjadi media tidak rasmi bagi rakyat Malaysia mempelajari bahasa Melayu yang betul, tiba-tiba sahaja menjadi tempat paling popular untuk mempromosikan gaya bahasa dan bentuk sistem ejaan yang tunggang-langgang.

Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (AKM) 1998 yang telah memberikan laluan kepada penggabungan penyiaran, telekomunikasi dan internet bukan sahaja sudah tidak mematuhi syarat keperluan kandungan perlesenan AKM 1998 untuk stesen TV tidak berbayar tetapi turut merosakkan bahasa Melayu. Kandungan yang disiarkan sepatutnya 60 peratus dalam bahasa Melayu dan 60 peratus daripada kandungan, bukan dalam bahasa Melayu hendaklah rancangan tempatan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Januari 2012.

OBJEKTIF PEMBELAJARAN

Oleh MOHD ISA ABD. RAZAK

Antara aspek praktikum dalam program diploma atau ijazah sarjana muda, pendidikan termasuklah penulisan rancangan pelajaran harian. Aspek terpenting dalam rancangan pelajaran harian itu ialah penulisan objektif pembelajaran yang teknikal sifatnya. Apabila berlaku sedikit sahaja kesilapan, keseluruhan usaha pengajaran dan pembelajaran dianggap gagal. Pelajar berasa gerun untuk menghadapi situasi ini. Kegerunan itu dapat dihindari sekiranya pelajar benar-benar memahami maksud istilah objektif.

Kamus Dewan Edisi Keempat mencatatkan tiga makna bagi perkataan objektif, iaitu “sesuatu yang khusus yang ingin dicapai”, “berasaskan kenyataan atau fakta sebenar” dan “tidak dikuasai atau dipengaruhi oleh perasaan atau prasangka sendiri”. Makna “sesuatu yang khusus yang ingin dicapai” diterima pakai dalam bidang pendidikan, khususnya dalam penulisan rancangan pelajaran harian.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Disember 2011.

“E-mel”, “E-mel” atau “Mel-e”

Oleh MOHD. ISA ABD. RAZAK

Kita sering menemukan ejaan “emel”. Selain itu, ada juga yang menggunakan ejaan “mel-e”. Kedua-dua bentuk ejaan tersebut sebenarnya tidak tepat. Ejaan yang baku ialah “e-mel”. Tanda sempang digunakan untuk menghubungkan suku kata “e” dengan suku kata “mel”. Ejaan yang baku ini tersenarai dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (KDEK), Kamus Pelajar dan Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan Jawi Edisi Kedua (DKBM).

Dalam KDEK, bawah entri “e-mel”, diterbitkan satu kata terbitan, iaitu “meng-e-melkan”. Demikian juga halnya dalam DKBM, ada satu kata terbitan, iaitu “menge-melkan”. Dalam Kamus Pelajar, pula ada dua kata terbitan, iaitu “meng-e-melkan” dan “penge-melan”. Dalam KDEK dan Kamus Pelajar, untuk kata terbitan “e-mel”, dua tanda sempang digunakan. Dalam DKBM, hanya satu tanda sempang digunakan. Ejaan manakah yang betul?

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa November 2011.