Category Archives: Dunia Bahasa

Terbina Bangsa Dalam Bahasa

Oleh: Zulkifli Salleh

Buku terbaru Francis Fukuyama, Political Order and Political Decay: From the Industrial Revolution to the Globalisation of Democracy, mengandungi satu bab yang diberi tajuk “Lingua Francas”. Dengan tajuknya yang kelihatan ringkas, pastinya terdapat segelintir pembaca tertanya-tanya apakah yang ingin diperkatakan dan dibahaskan oleh Fukuyama dalam konteks orde dan kemerosotan politik. Dalam bab tersebut, beliau bermula dengan premis bahawa bagaimana jati diri nasional penting serta boleh juga menjadi suatu masalah dalam negara membangun. Persoalan bagaimana Indonesia dan Tanzania berjaya dalam mewujudkan jati diri nasional, manakala Nigeria dan Kenya gagal serta sama ada jati diri nasional lebih baik diwujudkan dalam keadaan demokrasi ataupun autoritarian menjadi intisari perbincangan dalam bab tersebut.

               Setelah membincangkan kegagalan Nigeria membentuk jati diri nasional dan terjebak dalam perang saudara, Fukuyama beralih ke Indonesia, yang menurut pandangan beliau, “Indonesia dan Nigeria mempunyai banyak persamaan pada awalnya, tetapi berkembang maju secara sangat berbeza pada tahun-tahun berikutnya. Menjelang abad ke-20, negara Indonesia tidak wujud.” Daripada wilayah yang mengandungi beribu-ribu buah pulau, pelbagai kesultanan, pusat perdagangan, dan kumpulan etnik yang bertutur dalam beratus-ratus bahasa yang berbeza, segala-galanya berubah pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 apabila Belanda memperluas kawalan politik dan rangkaian perdagangan melampaui Batavia (Jakarta).

               Pada dekad ketiga abad ke- 20, wujud banyak konsep jati diri koloni yang dapat ditakrifkan, iaitu Islam, revolusi kelas (komunis), dan jati diri wilayah dan tempatan, khususnya di kepulauan besar Jawa dan Sumatera. Walau bagaimanapun, Kongres Belia Indonesia kedua pada Oktober 1928 menerima lagu kebangsaan, “Indonesia Raya” dan mengisytiharkan bahasa Indonesia sebagai bahasa kebangsaan.

Mahu Apa Lagi?

Oleh Zulkifli Salleh

Our English Needs Life Support” demikian tajuk depan akhbar The Star pada 11 November, yang mendedahkan bahawa doktor di negara ini terkial-kial dengan penguasaan bahasa Inggeris yang lemah. Mereka menghadapi masalah berkomunikasi dengan pesakit dan rakan sebaya mereka. Pada halaman empat, akhbar yang beria-ia menegakkan bahasa Inggeris dan menggesa kerajaan memperkenalkan semula sekolah aliran Inggeris, mengemukakan laporan penuh. Sebelum itu, akhbar tersebut melaporkan bahawa lemah dalam penguasaan bahasa Inggeris ialah alasan utama kira-kira 1 000 orang doktor terpaksa meletakkan jawatan mereka.

          Keesokan harinya, The Sun, muncul dengan “It’s
a Must: Without English Malaysian Can Only be ‘Jaguh
Kampung’ – Najib.” Profesor Abdullah Hassan yang menaik turun halaman depan akhbar itu dalam Facebook, menulis dengan nada yang sinis: “Memang hamba berasal dari kampung! Masih tinggal di kampung! Tidak ada rasa malu tentang latar kampung hamba! Tidak pula terasa diri besar mendapat pendidikan dan pandai berbahasa Inggeris. Hamba cuma anak kampung, tidak pun menjadi jaguh di kampung. Tuan dari mana?”

          Pendedahan bahawa doktor muda menghadapi masalah berkomunikasi dengan pesakit dan rakan sebaya mereka seolah-olahnya mengambarkan bahawa doktor berkenaan berkhidmat di negara berbahasa Inggeris, seperti England, Amerika Syarikat, Australia, dan New Zealand, dan mereka bukannya berkhidmat di Malaysia! Sebagai doktor muda, mereka lazimnya berkhidmat di hospital kerajaan yang kebanyakan pesakit terdiri daripada golongan kelas menengah dan kelas bawahan.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Januari

DEMOGRAFI DAN PENGEMBANGAN BAHASA

Oleh : Zulkifli Salleh

Banyak bahasa kini diancam oleh kepupusan, seperti yang dilaporkan oleh Christine Dell’Amore dalam National Geographic pada April 2014. Menurut beliau, daripada 143 bahasa peribumi di Mexico, 60 bahasa berisiko untuk lenyap selama-lamanya. Dengan memetik sumber UNESCO, beliau menegaskan bahawa Mexico bukan satu-satunya negara yang hilang suaranya. Jika tidak dilakukan sesuatu, kira-kira separuh daripada lebih 6000 bahasa yang dituturkan hari ini akan hilang pada akhir abad ini. Dell’Amore juga memetik kata-kata ahli antropologi bahasa yang bekerja dengan Endangered Languages Project, yang merupakan sumber dalam talian untuk bahasa yang sedang terancam, “Oleh sebab keadaan dunia kini yang saling berhubung dan tidak pernah berlaku sebelum ini, maka lebih banyak orang terdedah untuk bertutur dalam bahasa sejagat yang dominan seperti bahasa Mandarin, bahasa Inggeris, dan bahasa Sepanyol.”

            Kecil atau besarnya sesuatu bahasa lazimnya diukur daripada segi jumlah penutur bahasa kebangsaan, yang menentukan taraf kedudukan sesuatu bahasa itu. Semakin kecil bilangan penutur sesuatu bahasa, maka keadaan ini menandakan bahawa bahasa berkenaan sedang diancam kepupusan. Sebaliknya, bahasa yang mempunyai jumlah penutur yang besar dianggap sebagai bahasa utama atau bahasa dunia yang dominan, misalnya bahasa Indonesia yang mempunyai jumlah penutur melebihi 200 juta orang. Demikian juga bahasa Mandarin yang memiliki jumlah penutur yang paling banyak. Walau bagaimanapun, menurut Bloomberg Businesweek pada September tahun ini, 400 juta orang atau kira-kira 30 peratus daripada 1.3 bilion penduduk di China tidak dapat bertutur dalam bahasa Mandarin. Meskipun Mandarin merupakan bahasa rasmi pengajaran di sekolah dan juga dalam kalangan pegawai kerajaan, banyak keluarga mengutamakan penggunaan salah satu dialek semasa di rumah. Dalam beberapa tahun belakangan ini, dialek tempatan popular menerusi muzik, filem, dan program televisyen.

Bahasa Melayu di Makkah dan Madinah

Oleh JENIRI AMIR

Makkah t idak pernah tidur. Negeri yang paling digemari Allah SWT dan Rasul-Nya ini sentiasa hidup. Makkah bukan sahaja menjadi tumpuan ketika musim haji, tetapi juga pada waktu lain ketika umat Islam dari seluruh dunia bertumpu ke tanah haram itu untuk mengerjakan umrah. Allah memberikan nama kota suci ini dengan lima nama, iaitu Al Balad, Al Qaryah, Bakkah, Makkah dan Ummul Qura.

Pahala solat di Kaabah dan Masjidilharam sama dengan seratus ribu solat di tempat lain. Diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah bahawa Rasulullah SAW bersabda “Satu solat di masjidku ini lebih utama daripada seribu solat di tempat lain, kecuali Masjidilharam, dan solat di Masjidilharam sekali lebih baik daripada seribu solat di tempat lain.” Hal ini bermaksud, satu solat di Masjidilharam sama dengan solat selama 55 tahun enam bulan dan 20 hari, dan solat sehari semalam, iaitu lima waktu solat, sama dengan 277 tahun, sembilan bulan dan sepuluh hari. Sementara itu, Hassan Al Bashrui rahimahullah pula berkata, “Puasa sehari di Makkah sama dengan puasa seribu hari, sedekah satu dirham sama dengan seribu dirham, dan setiap kebajikan digandakan menjadi seribu.”

Namun begitu, bagi penulis yang berpeluang mengerjakan umrah pada bulan Mei 2012, selain kehebatan tersebut, satu lagi perkara yang mengagumkan ialah penggunaan bahasa Melayu yang begitu meluas dalam kalangan pekedai dan penjual. Tidak keterlaluan dikatakan, inilah kota yang bahasa Melayu paling meluas digunakan di luar Nusantara. Mengapakah bahasa Melayu begitu meluas digunakan bukan sahaja di Makkah tetapi juga di Madinah?

Pada hakikatnya, selain digunakan dalam kalangan jurujual dan pekedai, bahasa Melayu juga digunakan di pelbagai tempat, termasuklah di tempat lain seperti di Perkuburan Baqi, yang terletak tidak jauh dari Masjid Nabawi, tempat sekitar 10 ribu sahabat dimakamkan, termasuklah isteri Nabi Muhammad, kecuali Maimunah dan Khadijah, dan anak-anaknya, serta sahabat besar Baginda, seperti Abdul Rahman bin Auf, Uthman bin Affan, dan Saad bin Abi Waqas. Di Perkuburan Baqi, terdapat papan kenyataan dalam bahasa Melayu yang memberitahu adab dan panduan serta bacaan salam kepada ahli kubur.

Orang Melayu dan bahasa Melayu bukan asing di Makkah dan Madinah. Tokoh Melayu yang dicatatkan mengerjakan haji pada abad ke-17 ialah Sheikh Abdul Malek Abdullah atau Tok Pulau Manis dari Terengganu pada sekitar 1670-an. Walau bagaimanapun, tiada rekod yang ditemui mengenai orang Melayu yang mengerjakan haji pada kurun ke-18, namun begitu dikatakan bahawa Sultan Kedah, Sultan Muhammad Jiwa II, dipercayai mengerjakan haji dari 1710 hingga 1760. Selain itu, pada abad ke 19 pula, terdapat pula kisah pelayaran Haji Munsyi Abdullah bin Abdul Kadir yang merupakan kisah pelayaran haji yang menarik. Beliau dikatakan melakukan pelayaran dari Singapura ke Makkah dengan menaiki kapal, Subulus Salam milik Sheikh Abdul Karim pada tahun 1854.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, September 2012.

Keunikan Keluarga Bahasa Austronesia

Oleh VICTOR POGADAEV

Seperti keluarga bahasa lain, keluarga bahasa Austronesia juga mempunyai keunikannya tersendiri. Keunikan keluarga berkenaan ialah jumlah ahlinya yang masih tidak ditetapkan.

Angka paling rendah yang disebut adalah lebih kurang 500 bahasa dan angka yang paling besar adalah sekitar 1000 bahasa. Taburan geografi keluarga bahasa Austronesia sangat luas dan masih ada kemungkinan bahasa yang belum dikenali akan ditemui. Keadaan ini menyukarkan cubaan untuk memberikan anggaran yang tepat dan menyusahkan usaha perbandingan, apalagi bahasa bahagian barat rantau Austronesia tidak mempunyai tulisan lama. Perbezaan antara bahasa dengan dialek juga agak sukar ditentukan, terutamanya bahasa yang tiada rekod bertulis.

Di kawasan New Guinea, masih banyak tersimpan teka-teki linguistik kerana di sana bahasa Austronesia sepanjang beribu-ribu tahun berada dalam kontak bahasa Papua. Bahasa tersebut memperlihatkan ciri percampuran bahasa dan amat sukar digolongkan.

Klasifikasi Genetik Keluarga Bahasa Austronesia

Pada abad ke-19, ahli linguistik membahagikan keluarga bahasa Austronesia ke dalam empat kumpulan besar, iaitu Indonesia, Polinesia, Melanesia dan Mikronesia. Sepanjang abad ke-20, penggolongan itu berkali-kali disemak dan diperincikan. O. Dempwolff secara umumnya masih berpuas hati dengan klasifikasi itu tetapi menyatukan bahasa Polinesia, Melanesia dan Mikronesia ke dalam satu subkeluarga.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Julai 2012

Pilihan Raya dan Bahasa

Oleh Zulkifli Salleh

Pada pertengahan Februari lalu, Latvia mengadakan pungutan suara atau referendum: Apakah bahasa saya? Keputusan pungutan suara yang diadakan itu menunjukkan penolakan yang jelas terhadap bahasa Rusia sebagai bahasa rasmi kedua di negara itu. Seandainya keputusan adalah sebaliknya, maka bukan sahaja bahasa Rusia diterima sebagai bahasa rasmi kedua Latvia, tetapi juga bahasa itu menjadi salah satu bahasa dalam Kesatuan Eropah, tanpa memerlukan keanggotaan negara Rusia sendiri.

Beberapa pilihan raya telah dan akan berlangsung pada tahun ini. Pilihan raya presiden Rusia baru sahaja selesai pada bulan Mac lalu. Negara lain yang turut tersenarai ialah Perancis dan Amerika Syarikat, dan kemungkinan besar Malaysia. Dalam mana-mana pilihan raya, semasa kempen, fokusnya berkaitan dengan isu dan selepas keputusan diketahui, berkaitan dengan angka. Lazimnya, isu yang disentuh berkaitan dengan ekonomi, keselamatan, dasar luar, dan tidak ketinggalan peribadi calon yang bertanding.

Amerika Syarikat, yang akan mengadakan pilihan raya presiden pada bulan November ini, kini rancak dalam pemilihan awal Parti Republikan untuk menentukan calon presiden yang akan menentang Barack Obama daripada Parti Demokratik. Pada peringkat pemilihan awal ini, bahasa juga mendapat perhatian calon Republikan yang bertanding.

Apabila salah seorang calon, iaitu Newt Gingrich, memberitahu Saluran Yahudi, iaitu stesen televisyen kabel bahawa orang Palestin hanya “umat yang direka”, sehingga mencetuskan kontroversi, beliau menggunakan hujah bahasa dan budaya. Tegas beliau, tidak wujud bahasa dan budaya Palestin, sebaliknya yang wujud ialah bahasa dan budaya Arab. Gingrich bermaksud bahawa oleh sebab orang Palestin merupakan orang Arab kerana mereka bertutur dalam bahasa Arab, mereka adalah sebahagian kolektiviti yang tidak tentu bentuknya, dan dengan itu, kurang kualiti, iaitu bahasa, budaya, dan tradisi yang unik yang berkaitan dengan taraf negara. Menteri Kabinet Israel, Uzi Landau, bersetuju dengan Gingrich dan mendakwa bahawa “umat Palestin tidak mempunyai bahasa dan budaya mereka sendiri, sebaliknya merupakan sebahagian dunia Arab yang lebih luas.”

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mei 2012

Perkembangan Bahasa Melayu di Patani

Oleh Phaosan Jehwae

Pada akhir-akhir ini, para ulama, cendekiawan dan guru bahasa Melayu di Thailand ada kekhuatiran terhadap kepunahan bahasa Melayu dalam setiap sektor pendidikan dan jati diri bangsa Melayu di Thailand. Pengaruh bahasa Thai, yang begitu kuat terhadap bahasa Melayu Patani serta beberapa polisi pihak berkuasa yang bertujuan untuk menghapuskannya, merupakan antara faktor utama yang menyebabkan kedudukan bahasa Melayu Patani semakin lemah dan tergugat dari semasa ke semasa. Ahmad Fathi, dalam membincangkan perihal kemerosotan bahasa Melayu Patani, menyatakan bahawa lapangan yang boleh dikuasai bahasa Melayu Patani sekarang hanyalah dalam pergaulan harian, penyampaian khutbah, dan pengajaran agama di masjid atau madrasah. Tambah beliau, bahasa Melayu tidak digunakan lagi dalam urusan rasmi dengan kerajaan, media massa, di papan tanda, dan bahasa Melayu juga tidak digunakan di mana-mana. Bangsa Melayu di Thailand sangat berbeza daripada orang Thailand secara majoriti. Bangsa Melayu beragama Islam dan berbahasa Melayu, manakala orang Thailand berbahasa Thai dan beragama Buddha.

Bahasa Melayu di Thailand

Bahasa Melayu di Thailand secara umumnya menjadi bahasa minoriti kerana hanya beberapa tempat yang masih menggunakannya. Menurut Hasan, ada beberapa wilayah di sekitar Bangkok yang masih menggunakan bahasa Melayu dalam berkomunikasi sesama mereka, seperti di Ayuthya, Minburi, Tha’it, Klongneng, Tambon Bangpo dan Kloungluang Pathomthani. Di Selatan Thai, khususnya di lima wilayah sempadan Thai, bahasa Melayu menjadi bahasa majoriti.

Amorn Thawisak menyatakan bahawa kawasan yang menggunakan bahasa Melayu di Thailand bermula dari kawasan tengah sehingga di selatan dan juga di sempadan Malaysia.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Februari 2012.