Category Archives: Leksikologi

Kata Teknikal

Oleh S. NATHESAN

Secara umumnya, kosa kata dalam bahasa dapat dibahagikan kepada dua jenis utama, iaitu kosa kata formal atau persuratan dan kosa kata tidak formal. Dalam kosa kata formal, ada kata ilmiah, saintifik dan umum, manakala kata basahan, dialek, dan slanga pula termasuk dalam kosa kata tidak formal.

Salah satu jenis perkataan dalam kosa kata formal bahasa Melayu ialah kata teknikal. Kata teknikal merupakan perkataan yang termasuk dalam kelompok kosa kata ilmiah. Oleh sebab itu, kata teknikal boleh dianggap sebagai kata ilmiah yang bersifat tinggi dan lazimnya ditemukan dalam buku akademik dan ilmiah yang digunakan di pusat pengajian tinggi, seperti universiti dan institusi pendidikan yang lain. Kata teknikal biasanya disenaraikan dalam kamus ilmiah, glosari dan istilah. Buku akademik penuh dengan kata teknikal.

Kata teknikal atau ilmiah ini jarang-jarang digunakan dalam percakapan biasa atau dalam perbincangan yang rendah, seperti semasa bersembang di kedai kopi. Kata teknikal umumnya digunakan di bilik kuliah dan bilik darjah untuk membincangkan ilmu yang tinggi. Sebagai salah satu ciri laras ilmiah, kata teknikal digunakan dalam laras tersebut untuk memerihalkan ilmu yang tinggi. Kata teknikal memang terhad penggunaannya dalam bahasa rasmi, yakni bahasa yang digunakan dalam konteks formal. Dalam bahasa tidak formal, kata teknikal kurang digunakan.

Ada ketika kosa kata teknikal dirujuk juga sebagai jargon, iaitu bahasa khusus yang digunakan dalam bidang tertentu, seperti perubatan. Misalnya, kata paru-paru merupakan kata umum, manakala konsep yang sama dirujuk sebagai pulmonari dalam bidang perubatan. Demikian juga kata kardium dalam istilah teknikal dan kardium terhenti (cardiac arrest) digunakan dalam bidang perubatan untuk merujuk pemberhentian secara tiba-tiba kegiatan jantung. Kata paru-paru dan jantung digunakan dalam pengertian umum, manakala kata pulmonari dan kardium digunakan untuk merujuk konsep khas dalam bidang perubatan. Oleh itu, kata kardium dan pulmonari dirujuk sebagai kata teknikal atau jargon dalam bidang perubatan.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Ogos 2012.

Kata Kolokial

Oleh S. NATHESAN

Umumnya, perkataan dalam bahasa Melayu dapat dibahagikan kepada dua jenis yang utama, iaitu perkataan formal atau rasmi dan tidak formal atau tidak rasmi. Kata rasmi ialah kata yang digunakan dalam bahasa rasmi, manakala kata tidak rasmi ialah kata yang digunakan dalam situasi tidak rasmi. Antara kata yang termasuk dalam golongan ini termasuklah kata basahan, kata slanga dan kata bahasa pasar. Kata basahan ialah kata yang digunakan dalam percakapan harian dan belum diterima sebagai kosa kata Melayu baku.

Kata basahan ini juga dirujuk sebagai kata kolokial dalam bahasa Melayu, khususnya dalam konteks linguistik. Kata kolokial ini digunakan dalam bahasa basahan, iaitu bahasa yang bersifat tidak baku dan bahasa percakapan atau bahasa mulut.

Dalam Kamus Dewan, edisi, keempat, bahasa basahan ditakrifkan sebagai bahasa yang digunakan dalam percakapan sehari-hari. Dengan hal yang demikian, kata basahan bermakna kata yang digunakan dalam bahasa basahan untuk komunikasi harian, seperti dalam situasi bersembang atau berbual dan lazimnya dalam situasi tidak rasmi.

Menurut David Crystal dalam The Cambridge Encyclopedia of Language, kosa kata bahasa harian cenderung bersifat informal dan domestik, terhad dan tidak eksplisit kerana penutur bahasa menghadapi masalah tertentu, seperti masalah ingatan, tumpuan dan persepsi semasa bertutur. Oleh hal yang demikian, mereka memilih kata kolokial dalam pertuturan. Adakalanya, dalam situasi keterlaluan, kata rapu, seperti kacauwali (kecuali), digunakan dalam perbualan bahasa harian. Kata rapu dimaksudkan sebagai nonsense word dalam bahasa Inggeris.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Julai 2012

Kosa Kata Warna

Oleh S. Nathesan

Leksikologi merupakan cabang linguistik yang mengkaji kosa kata dalam bahasa. Kosa kata bahasa pula penuh ada pelbagai jenis, termasuklah perkataan yang merujuk warna. Warna sebagai unsur sejagat amat penting dalam bahasa.

Ian Paterson, dalam A Dictionary of Colour: Lexicon of the Language of Colour, berpendapat bahawa warna memainkan peranan penting dalam kehidupan harian kita. Warna bukan sahaja digunakan dalam perhiasan atau pakaian, malah warna memberi kita keunggulan. Demikianlah pentingnya warna dalam kehidupan manusia sehingga sukar untuk berpisah dengan warna.

Penggunaan kosa kata warna dalam penulisan dan percakapan amat lumrah dalam kalangan penutur satu-satu bahasa. Unsur warna menjadikan dunia ini berseri dan indah. Tanpa konsep warna, barangkali dunia akan kelihatan tidak ceria dan akan hilang pula mayanya.

Menurut Evelyn Lim, warna secara saintifik dapat didefinisikan sebagai kesan yang diterima oleh mata daripada cahaya yang dipancarkan kembali oleh sesuatu objek. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, konsep warna dihuraikan sebagai “kesan yang didapati oleh mata daripada cahaya yang dipantulkan oleh benda-benda (dengan gelombang yang berbeza-beza) yang dilihatnya.” Warna juga dapat diertikan sebagai corak rupa, seperti merah, hijau dan biru. Perkataan rona, dondon dan ragi merupakan kata yang bersinonim dengan kata warna.

Kata warna juga tergolong sebagai kata adjektif dalam bahasa Melayu. Dalam Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, kata adjektif jenis warna terdiri daripada perkataan yang membawa pengertian warna sebagai unsur keterangan, seperti merah, putih dan ungu.

Secara umumnya, warna dapat dibahagikan kepada beberapa kategori. Kumpulan pertama ialah warna utama, seperti merah, kuning dan biru. Kumpulan ini juga dirujuk sebagai warna primer. Warna seperti oren, hijau dan ungu pula termasuk dalam kelompok kedua, iaitu warna sekunder. Sebenarnya, warna sekunder diperoleh dengan mencampurkan dua warna primer. Contohnya, merah dicampurkan dengan kuning untuk mendapatkan warna oren.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Jun 2012.

Leksis dalam Kisah Pelayaran Abdullah

Oleh S. Nathesan

Leksikologi merupakan bidang yang menganalisis bahasa pada peringkat perkataan, seperti juga dengan bidang fonologi, morfologi, sintaksis dan semantik. Dalam bidang ini, leksikon, iaitu kosa kata atau leksis dalam sesuatu bahasa dikaji secara mendalam. Leksikologi juga bukan sahaja meneliti leksikon yang bersifat kontemporari, tetapi turut mengkaji kosa kata lama atau klasik yang pernah digunakan suatu waktu dahulu.

Oleh hal yang demikian, leksikon bahasa boleh dikaji secara sinkronik dalam ilmu leksikologi, iaitu penggunaan kosa kata pada satu-satu masa atau zaman tertentu dalam sejarah perkembangan bahasa tersebut. Menurut R.L.Trask dalam Key Concepts in Language and Linguistics, pendekatan sinkronik memfokuskan bahasa yang digunakan pada satu-satu masa, lalu dihuraikannya seperti yang sedia ada. Dalam Kamus Linguistik pula, sinkronik ditakrifkan sebagai perihal kajian bahasa yang ditumpukan pada satu-satu masa tertentu. Untuk meneliti kosa kata zaman Munsyi Abdullah, pendekatan sinkronik digunakan untuk mengkaji leksikon yang digunakan pada abad ke-19 (sekitar tahun 1830-an).

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mei 2012.

Perkataan dan Pembentukannya

Oleh S. Nathesan

Adakah semua perkataan wujud sekali gus dalam bahasa pada satu – satu masanya? Tentunya tidak kerana bahasa yang bersifat dinamik sentiasa berevolusi dan berkembang untuk menjamin jangka hayatnya.

Dalam proses evolusinya, banyak perkataan bertambah dalam bahasa. Menurut Robert Stockwell dan Donka Minkova dalam English Words: History and Structure (2001), terdapat dua cara perkataan ditambah dalam bahasa, iaitu melalui peminjaman dan pembentukan kata baharu.

Howard Jackson dalam Lexiography: An Introduction (2002) menjelaskan bahawa pada asasnya, terdapat dua kaedah untuk menambahkan kosa kata bahasa. Yang pertama, membentuk perkataan dengan morfem yang sedia ada dalam bahasa tersebut, dan yang kedua dengan mengimport perkataan daripada bahasa lain, iaitu proses yang disebut sebagai peminjaman atau penyerapan. Banyak perkataan diterima masuk daripada sesuatu bahasa ke dalam sesuatu bahasa lain kerana pertembungan bahasa. Kata yang dipinjam itu disebut kata pinjaman atau serapan.

Selain meminjam perkataan daripada bahasa lain, puluhan perkataan baharu dibentuk atau dicipta saban hari dalam bahasa dengan sumber yang sedia ada. Sekiranya sesuatu bahasa tidak mengembangkan kosa kata khususnya, sama ada dengan membentuk perkataan baharu ataupun dengan meminjamnya, sudah tentu bahasa tersebut akan mengakhiri hayatnya atau mati tidak lama kemudiannya.

Leksikologi sebagai cabang linguistik turut memberikan perhatian kepada cara perkataan dibentuk dalam bahasa, seperti bidang morfologi yang mengkaji pembentukan perkataan. R.K.K. Hartman dan Gregory James dalam Dictionary of Lexicography (1998) menerangkan leksikologi sebagai cabang linguistik mengkaji pembentukan, struktur dan makna perkataan. Dengan demikian, pembentukan perkataan menjadi salah satu aspek penting dalam kajian leksikologi.

Walaupun bidang morfologi mengkaji pembentukan perkataan, dalam bidang leksikologi, pendekatannya berbeza daripada pendekatan morfologi. Hartmann dalam Solving Language Problems (1996) menjelaskan bahawa apabila fokus kajian adalah pada analisis kosa kata, bidangnya ialah leksikologi. Jika fokusnya adalah terhadap perkataan sebagai unit nahu, maka bidangnya ialah morfologi. N.M. Shanskii dalam Russian Lexicology (1969) menerangkan bahawa dalam bidang leksikologi, perkataan dikaji untuk memahami perkataan itu sendiri dan komposisi perbendaharaan kata yang terdapat dalam bahasa tersebut.

David Crystal dalam The Cambridge Encyclopediaof the English Language (1998) menerangkan bahawa pembentukan perkataan s e b a g a i s u s u n a n s e c a r a berurutan perkataan dalam bahasa. Howard Jackson dalam Key Terms in Linguistics (2007) pula menjelaskan bahawa proses pembentukan sebagai proses membentuk perkataan baharu dalam bahasa.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, April 2012.

Perkataan dan Tempat Tinggal

Oleh S. Nathesan

Semua tempat di dunia ini ada namanya, termasuklah nama tempat tinggal. Ada perkataan khusus yang digunakan untuk merujuknya. Persoalannya, adakah kita pernah terfikir tentang tempat tinggal kita dan evolusi nama tempat tinggal dari zaman ke zaman?

Kini, konsep tempat tinggal atau rumah sudah banyak berubah berbanding dengan zaman dahulu. Perubahan itu turut melibatkan penggunaan nama yang berbeza dan adanya kelainan istilah bagi tempat tinggal manusia. Seiring dengan hal yang demikian, muncullah pelbagai perkataan baharu dalam bahasa untuk merujuk tempat tinggal manusia.

Dalam hal ini, beberapa perkataan dalam bahasa Melayu yang ada hubung kait dengan tempat tinggal akan diperkatakan dari perspektif diakronik. Diakronik di sini membawa maksud tinjauan nama tempat tinggal dari sudut sejarah perkembangannya. Bidang leksikologi, bukan sahaja boleh digunakan untuk meneliti penggunaan perkataan terkini, tetapi boleh juga digunakan untuk mengkaji sejarah perkembangan perkataan dalam sesuatu bahasa, sebagaimana bidang etimologi.

Konsep Tempat Tinggal

Apabila tamadun mula berkembang, manusia mula memikirkan tempat tinggal mereka. Dengan hal yang demikian, muncullah konsep rumah buat pertama kalinya untuk maksud tempat tinggal manusia.

Pada zaman dahulu, rumah digunakan untuk berlindung daripada cuaca yang tidak menentu, haiwan buas dan serangga yang berbahaya kepada manusia. Kini, rumah yang tetap bermaksud tempat tinggal manusia yang ada pelbagai bentuk binaannya.

Dari segi sejarah, manusia mula menggunakan tempat tinggal yang sedia wujud di alam sekitar sebagai rumahnya. Nenek moyang kita dikatakan tinggal di dalam gua dan struktur lain yang wujud di alam sekitar pada zaman dahulu. Kini, gua tidak lagi menjadi tempat tinggal manusia, tetapi menjadi tempat tinggal haiwan di hutan belantara. Tempat tinggal haiwan tidaklah dirujuk sebagai rumah, tetapi dengan rujukan seperti sangkar, kandang, sarang dan reban.

Setelah zaman semakin berubah, manusia mula membina tempat tinggal sendiri yang diperbuat daripada kulit dan bulu haiwan. Pada Zaman Batu pula, manusia mula membina rumah daripada batu. Tempat tinggal khas, iaitu istana, pula dibina untuk golongan raja dan bangsawan. Selain itu, ada juga perkataan lain yang digunakan untuk merujuk tempat tinggal raja atau golongan bangsawan dalam bahasa Melayu, seperti mahligai, puri, keraton, palis dan rumah raja. Walau bagaimanapun perkataan keraton, yang juga bermaksud istana, tidak lagi digunakan di tempat kita, tetapi masih digunakan di Indonesia. Keraton merupakan kata pinjaman daripada bahasa Jawa.

Sekiranya disusurgalurkan tempat tinggal masyarakat tradisional Melayu, ada pelbagai nama yang pernah digunakan oleh mereka untuk menamakan rumah binaan mereka. Antaranya termasuklah rumah limas, rumah Minangkabau, rumah Melaka, rumah kutan, rumah bumbung limas, rumah tiang enam, rumah serambi Pahang, rumah Temuan, rumah Semai, rumah Jakun dan rumah panjang. Rumah tradisional Melayu itu dibina daripada pelbagai bahan, seperti kayu, rotan, akar, buluh dan dedaun yang didapati daripada sumber hutan terdekat. Kayu menjadi tunjang struktur bangunan rotan dan akar menjadi pengikat kayu atau batang pinang, buluh menjadi lantai atau dinding, dan daun rumbia atau nipah menjadi atap.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mac 2012.

LEKSIKOLOGI dan MORFOLOGI

Oleh S. NATHESAN

Dalam ilmu linguistik, terdapat beberapa cabangnya yang memberikan tumpuan terhadap perkataan. Antaranya termasuklah dua subbidang ilmu yang penting, iaitu leksikologi dan morfologi. Howard Jackson dan Peter Stockwell dalam An Introduction to the Nature and Functions of Language menerangkan bahawa perkataan disiasat dan dihuraikan dalam disiplin leksikologi dan morfologi.

Barangkali timbul persoalan, adakah kedua-dua bidang ilmu ini mempunyai rangkuman yang sama memandangkan kedua-duanya berminat terhadap perkataan, atau sebaliknya berdiri sebagai dua cabang ilmu dengan skop dan cakupan yang tersendiri?

Sejak zaman de Saussure lagi, bidang morfologi dan leksikologi dianggap sebagai dua bidang ilmu yang tersendiri. Namun begitu, adakah pandangan tersebut masih diterima pakai pada masa sekarang? Ilmu bahasa sentiasa berkembang dan ruang lingkup cabang ilmu bahasa sentiasa mengalami perubahan, selaras dengan perkembangan ilmu tersebut.

Ilmu linguistik ialah kajian bahasa secara saintifik. Cabang ilmu, seperti leksikologi dan nahu, terletak dalam ilmu linguistik. Leksikologi sebagai salah satu cabang yang mengkaji leksikon atau perkataan secara saintifik, seperti yang dijelaskan oleh Martin dan Ringham dalam Dictionary of Semiotics.

Menurut R.L.Trask, nahu ialah kajian tentang struktur perkataan dan ayat. Nahu juga ialah peraturan atau tertib tentang cara membina perkataan dan ayat dalam bahasa tertentu. Kajian nahu lazimnya terbahagi kepada dua bahagian, iaitu morfologi dan sintaksis.

Bidang morfologi yang memberikan tumpuan kepada struktur nahu perkataan terletak dalam cabang nahu atau tatabahasa. Nahu pula berada dalam ilmu linguistik sebagai salah satu cabangnya. Oleh hal yang demikian, leksikologi dan morfologi termasuk dalam bidang kajian ilmu linguistik seperti yang dijelaskan dalam Rajah 1.

Dalam Tatabahasa Dewan, Edisi Baharu, morfologi didefinisikan sebagai bidang tatabahasa yang mengkaji morfem dan pembinaan perkataan dalam sesuatu bahasa. Abdullah Hassan dalam bukunya, Mor fologi , mendefinisikan morfologi sebagai bidang ilmu yang mengkaji bentuk perkataan. The Oxford Concise Dictionary of Linguistics mentakrifkan morfologi sebagai kajian struktur nahu perkataan. Menurut http://www. merriam-webster.com/dictionary/ morphology, morfologi ialah kajian struktur dan bentuk perkataan dalam bahasa, termasuk aspek fleksi, derivasi dan pembentukan kata.

Francis Katamba, dalam English Words: Structure, History and Usage, menjelaskan morfologi sebagai kajian tentang pembentukan perkataan dan struktur perkataan, termasuk penyusunan dalaman perkataan dalam bahasa. Trask, dalam Key Concepts in Language and Linguistics, berpendapat bahawa perkataan lazimnya ada struktur dalaman dan khususnya mengandungi unit kecil yang disebut morfem.

Dengan kata lain, morfologi ialah bidang ilmu yang mengkaji struktur, bentuk, morfem dan pembentukan perkataan. Pembentukan perkataan dalam bahasa berlaku melalui proses fleksi dan derivasi.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Februari 2012.