Category Archives: Etimologi

Sejarah Etimologi Melayu daripada Sumber Nadir Cina

Oleh Awang Azman Awang Pawi

Ketika membelek-belek bahan sumber langka di perpustakaan Leiden, penulis menemukan sumber menarik yang ditulis oleh pengkaji bahasa Melayu yang agak kurang diketahui oleh generasi sekarang, iaitu Gustaaf Schlegel. Beliau tidak termasyhur seperti R.O Winstedt atau Wilkinson tetapi kajiannya setanding dengan tokoh tersebut.

Schlegel merupakan pengkaji sejarah, budaya dan bahasa Cina. Beliau mula mempelajari bahasa Cina sejak berumur sembilan tahun daripada pengkaji J. J. Hofman yang merupakan pengkaji sejarah dan kebudayaan Jepun. Ayahnya Hermann berasal daripada peribumi Saxon, Jerman, terdidik di Vienna sebelum ke Belanda pada tahun 1827. Hermann bekerja di Muzium Leiden dalam lapangan kajian timur dan mempunyai pengalaman berurusan dengan Dutch East Indies dan dilantik sebagai Pengarah Muzium Leiden.

Schlegel pula terlibat dalam kajian alam semula jadi mengikut jejak kerjaya ayahnya meskipun banyak perkara dalam riwayat hidupnya tidak diketahui oleh keluarganya, termasuklah perihal mempelajari bahasa Cina. Beliau pernah bekerja sebagai penterjemah di mahkamah tinggi di pejabat kolonial Batavia. Di situlah beliau menerbitkan monograf ilmiah pada tahun 1866. Minat yang tinggi terhadap masyarakat Cina mendorongnya mendalami masyarakat itu hingga peringkat doktor falsafah dan memperolehnya dari University of Jena pada tahun 1868. Sebenarnya, nama Schlegel sudah lama terkenal melalui penerbitan dan ijazah doktor falsafah.

Beliau terlibat dalam pengajaran bahasa Belanda-Cina dalam kalangan penterjemah di Belanda apabila beliau kembali ke Belanda kerana sakit teruk pada tahun 1872. Beliau diberi cuti sakit selama dua tahun dan di sinilah beliau menaruh minat dalam kajian Timur. Seterusnya, pada tahun 1873, beliau menulis surat kepada menteri yang terlibat khusus dalam kolonial untuk menubuhkan jawatan dalam universiti dan surat tersebut diterima. Schlegel dilantik sebagai “profesor luar biasa” dalam bidang Kajian Cina di Universiti Leiden pada tahun 1875 dan profesor penuh pada tahun 1877. Di sinilah pemantapan kerjaya akademik Schlegel berlangsung.

Puncak kerjaya Schlegel agak tragis kerana penyakit diabetes, menyebabkan beliau menjadi buta dan membawa persaraannya dalam dunia akademik pada tahun 1902. Kamus Belanda-Cina yang diterbitkan dalam empat jilid terbit pada tahun 1882-1891 banyak mendapat pengiktirafan antarabangsa. Penerbit Brill yang ditubuhkan pada tahun 1683 yang terletak di Leiden memainkan peranan dalam menerbitkan karya Schlegel.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Jun 2012.

Dutch, Deutsch, Holland dan Netherlands

Oleh Awang Azman Awang Pawi

Belanda pernah menjadi kuasa besar pada abad ke-17, meliputi kuasa laut dan ekonomi dengan jumlah kapal dagang yang pernah mencatatkan 16 ribu buah. Hal ini menggambarkan kemakmuran dan kekuasaan negara yang mempunyai sistem pemerintahan raja berperlembagaan.

Era ini dikenali sebagai Era Keemasan dan pada ketika itu, Belanda digeruni oleh kuasa lain, termasuklah Inggeris dan Portugal. Kuasa besar ini membolehkan Belanda meluaskan tanah jajahan dan perdagangan. Bukan sahaja di Asia seperti di Batavia, tetapi lebih awal lagi membina penempatan yang dikenali sebagai New Amsterdam di Amerika Utara. Pelayaran yang luas ini juga meliputi Afrika Selatan dan membentuk koloni di Cape. Demikian ampuh Belanda dalam rentetan sejarah perdagangan dan imperialisme dunia.

Belanda terlibat dalam pembentukan Dutch East India Company atau Verenigde Oost-indische Compagnie (VOC) pada tahun 1602. Pembentukan ini telah mengukuhkan kekuasaannya sebelum dibubarkan kerana telah bankrap pada tahun 1800 dan digantikan sebagai Dutch East Indies atau dikenali sebagai Hindia Belanda di bawah pemerintahan empayar Belanda. Perkataan Indies berasal daripada perkataan Latin, iaitu Indus yang bermakna Indian. Variasi ungkapan Indian ini dalam ungkapan Indonesia ialah Hindia.

Dalam bahasa Belanda, Dutch Indies disebut sebagai Nederlandsch-Indie. Ungkapan Dutch East Indies ditemui dalam dokumen Dutch East India Company seawal tahun 1620 dan berbeza-beza daripada peranan Dutch West Indies yang lebih dikenali sebagai Chartered West India Company yang diusahakan oleh pedagang Belanda untuk memonopoli perdagangan hamba Afrika, Brazil dan Amerika di lautan Karibia yang merupakan kawasan dikenali sebagai “Barat Indie”.

Belanda ialah ungkapan Melayu/ Indonesia yang merujuk negara dan penghuninya. Di kebanyakan negara, istilah Netherlands tidak wujud kerana penggunaan istilah Holland lebih dominan, khususnya dalam ungkapan bahasa Melayu dan Inggeris. Dalam masyarakat tradisi Melayu/Indonesia Holland, dikenali sebagai Hollanda apabila merujuk tradisi teks Tuhfat Al Nafis.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mei 2012.

Membina Negara Bangsa melalui Etimologi: daripada Burma kepada Myanmar

Oleh Awang Azman Awang Pawi

Tidak banyak yang mengetahui bahawa Burma pernah dijajah oleh kolonial Inggeris selama 62 tahun. Kesan daripada penjajahan dari tahun 1824 hingga 1886 membawa negara tersebut menjadi sebahagian daripada empayar India.

Hal ini menyebabkan negara yang kini mengandungi sekitar 54 juta penduduk ini menjadi sebahagian daripada pentadbiran wilayah India. Pentadbiran di bawah wilayah tersebut cuma berakhir pada tahun 1948 apabila Burma dipisahkan daripada pentadbiran tersebut lalu membentuk pentadbiran sendiri dan mencapai kemerdekaannya pada tahun itu juga.

Berbanding dengan Malaysia, sejarah negara tersebut dalam era awal kemerdekaan agak berbeza kerana Burma diperintah oleh pemerintahan tentera. Ne Win, komander tentera mempunyai pengaruh yang tinggi dalam sejarah politik Burma. Hal ini berlaku apabila Aung San dan enam ahli kabinet dibunuh oleh musuh politik yang diketuai bekas perdana menteri sebelum perang, Au Saw. Tidak kurang pula berlakunya persaingan etnik kerana negara yang diberikan jolokan sebagai negara Yugoslavia Asia Tenggara ini terdiri daripada kelompok Burma, Shan, Karen dan Rakhinei. Selain itu, terdapat juga etnik Cina, India dan Mon. Pembunuhan Aung San memberikan kesan yang berpanjangan kepada sejarah negara Burma.

Ne Win sebagai tokoh tentera pula membentuk sejarah pembentukan politik tersendiri di negara tersebut. Kecenderungan membentuk pasukan tentera yang kuat dan menguasai sistem pemerintahan tentera menimbulkan peningkatan ketegangan etnik meningkat. Era demokrasi berakhir apabila beliau merampas kuasa dan menolak konsep persekutuan kerana dikatakan akan merosak kesatuan negara. Pemerintahan tentera terus membentuk sejarah Burma untuk selama 26 tahun dan beberapa dasar seperti pengusiran orang asing, pengawalan media, pemenjaraan ratusan pemimpin politik atas alasan menentang kumpulan penentang menyebabkan negara tersebut tersisih daripada pengetahuan dunia luar. Oleh itu, Burma dilihat sebagai sebuah negara tertutup dan tidak banyak berhubung dengan negara luar.

Pada tahun 1962, ratusan penduduk terkorban apabila berlakunya demonstrasi pelajar Universiti Rangoon. Malah, bangunan kesatuan pertubuhan tersebut juga dibom. Pada tahun 1970-an pula terdapat beberapa demonstrasi menentang sistem pemerintahan ini tetapi dapat ditangkis oleh pihak tentera. Di sinilah bermulanya sejarah penguasaan kerajaan yang dikuasai Jeneral Ne Win berdasarkan sistem satu parti sehingga tahun 1988.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mac 2012.

Kata Kopitiam dalam Bahasa Melayu

Oleh Atman Sn

Bilakah kali terakhir anda mengunjungi kedai kopitiam? Kini, perkataan “kopitiam” menjadi buah mulut dalam kalangan masyarakat kita. Di merata-rata tempat di negara kita, baik di bandar, pusat beli-belah, pasar raya, mahupun di pekan kecil, adanya kopitiam.

Kopitiam merupakan antara kedai makanan yang menyediakan perkhidmatan makan dan minum untuk pengunjungnya. Kedai kopitiam memang diminati oleh semua lapisan masyarakat Malaysia bukan sahaja untuk makan dan minum kopi, tetapi turut menjadi tempat untuk bersembang dan berbincang sesuatu. Oleh itu, kata kopitiam kelihatan sudah sebati dalam kalangan masyarakat kita.

Persoalannya, dari segi bahasa, adakah kata kopitiam ini merupakan kata yang berasal daripada bahasa Melayu atau kata pinjaman? Bilakah kata itu mula digunakan dan sejak bilakah pula mula digunakan secara meluas dalam kalangan masyarakat kita? Bagaimanakah salasilah kemasukan kata kopitiam ke dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu?

Asal usul kopitiam

Kata kopitiam merupakan kata yang berasal daripada bahasa Cina. Kopitiam merupakan sejenis masakan masyarakat Cina. Dalam Kamus Dewan, Edisi Keempat, entri kopitiam diberikan padanan makna “kedai kopi”. Selain itu, kata kopitiam turut ditandakan dengan maklumat etimologinya, iaitu tanda singkatan “C” (Cina) yang bermaksud kata tersebut berasal daripada bahasa Cina.

Bagaimanakah pula sejarah tercipta kata atau istilah tersebut? Masyarakat Cina telah mencipta kata kopitiam pada zaman dahulu lagi, yakni hasil gabungan antara kata “kopi” dalam Melayu dengan kata “tiam” dalam Cina. Ekoran penggunaannya yang semakin kerap, kata ini menjadi popular, khususnya dalam kalangan masyarakat Cina. Kata kopitiam sememangnya tercipta dan berkembang di Malaysia seiring dengan pertumbuhan kedai kopitiam di mana-mana.

Kata kopitiam merupakan kata majmuk, iaitu gabungan kata “kopi” dan “tiam”. Kata kopi berasal daripada bahasa Melayu “Tiam” berasal daripada bahasa Cina, dialek Kantonis, yang bermaksud “kedai”. Sebenarnya, perkataan kopi dipinjam oleh bahasa Melayu daripada bahasa Inggeris, iaitu coffee. Kata coffee pula masuk ke dalam bahasa Inggeris melalui bahasa Belanda, iaitu koffie. Kalau dijejaki lagi kata kopi, didapati bahawa kata ini berasal daripada kata bahasa Turki, iaitu kahveh. Demikianlah panjangnya etimologi kata kopi.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mac 2012.

Belanda dalam Memperbaharui Etimologi di Indonesia dan Wilayah Dunia

Oleh Awang Azman Awang Pawi

Sebelum pengisytiharan kemerdekaan Indonesia pada tahun 1945, negara itu dijajah oleh Belanda sekitar 350 tahun, iaitu sejak awal abad ke-17 hingga pertengahan abad ke-20. Tempoh penjajahan tersebut cukup lama serta banyak meninggalkan kesan sejarah sosial, politik dan ekonomi terhadap negara yang mempunyai lebih daripada 240 juta penduduk itu.

Antara peninggalan Belanda di Indonesia termasuklah pengaruh bahasa. Pengaruh ini masih berakar umbi dan kekal hingga kini. Antara pengaruh yang sangat popular termasuklah penggunaan istilah “koran” yang merujuk akhbar. Dalam sejarah percetakan di Indonesia, menurut Ahmat Adam, akhbar bermula selepas kedatangan Belanda di kepulauan tersebut dan hal ini sejajar dengan perkembangan kolonialisme di Belanda. Cetakan terawalnya ialah Tijboek, iaitu sejenis almanak pada tahun 1659. Akhbar pertama di Hindia Belanda (nama lama Indonesia ketika itu) ialah Batavise Novelles, diterbitkan pada tahun 1744.

Walau bagaimanapun, akhbar yang diterbitkan oleh Belanda menggunakan istilah yang lebih mirip kepada sebutan Belanda. Hal ini menyebabkan penduduk peribumi sukar untuk membacanya, kecuali golongan aristokrat Indonesia yang terdedah kepada bahasa Belanda. Akhbar tersebut cuma berlegar dalam kalangan pegawai Vereenigde Oostindische Compagnie (VOC) atau lebih dikenali sebagai Perusahaan Hindia Timur Belanda dan komuniti kecil masyarakat Eropah.

Dalam bahasa Belanda, akhbar disebut krant, dag brief atau nieuwspapier. Krant bermakna akhbar, dag brief bermakna berita harian dan nieuwspapier pula bermakna akhbar. Daripada ketiga-tiga istilah tersebut, ungkapan yang paling dekat dengan budaya masyarakat ketika itu ialah krant. Istilah tersebut digunakan apabila masyarakat terdedah kepada al-Quran yang menjadi bacaan asas orang Islam. Bagi memudahkan ingatan dan lidah sebutan masyarakat tempatan, maka istilah krant berubah variasi kepada koran dan inilah yang berlaku apabila warga Belanda menyebut akhbar kepada warga tempatan.

Dalam hal ini, satu pihak mengaitkan akhbar sebagai bacaan agama dan bacaan harian. Pihak Belanda mengaitkan variasi sebutannya dengan ungkapan bahasa mereka, iaitu bahasa Belanda. Warga Belanda sendiri, cuba mempelatkan istilah krant pada awalnya. Masyarakat peribumi sukar menyebutnya dengan betul dan sebutan bertukar kepada “koran”. Perkara ini samalah dengan sejarah asal usul istilah “godown” dalam bahasa Inggeris menjadi gudang dalam bahasa Melayu.

Ada pula yang berpendapat bahawa sebutan tersebut sengaja dipopularkan oleh Belanda, kononnya mempunyai maksud yang tersembunyi. Yang membaca sejarah penggunaan perkataan dalam bahan bacaan pascakolonialisme menganggap ungkapan “koran” digunakan untuk mengurangkan status ketinggian al-Quran yang diturunkan oleh Allah SWT kepada umatnya. Usaha orientalis Belanda itu secara halus berperanan penting untuk membina dan menawan minda masyarakat yang dijajahnya. Oleh itu, terdapat saranan bahawa istilah akhbar merupakan alternatif terbaik daripada menggunakan istilah “koran”.

Sehingga kini, istilah “koran” diterima pakai dan sangat popular dalam kalangan warga Indonesia. Istilah ini banyak digunakan dalam lisan. Istilah akhbar baru mulai kedengaran dalam tulisan dan pengucapan awam rasmi. Antara faktor istilah “koran” lebih banyak digunakan termasuklah ungkapan tersebut lebih ringkas dan lebih popular berbanding dengan istilah akhbar harian atau surat akhbar yang mempunyai dua perkataan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Februari 2012.

Politik Budaya Etimologi Dusun Kadazan

Oleh AWANG AZMAN AWANG PAWI

Etnik Dusun merupakan suku kaum yang mewakili satu pertiga daripada jumlah penduduk di Sabah. Terdapat pelbagai pendapat tentang makna istilah dusun.

Dalam bahasa Melayu, istilah dusun merujuk kebun, dan dari segi etnik, sering disinonimkan dengan kehidupan sebagai petani. Etnik ini pada awalnya kerap berpindah-randah untuk mencari rezeki di hutan dan pergunungan. Akhirnya, timbullah perbezaan antara ciri bahasa dengan adat resam.

Selain di Malaysia Timur, etnik ini juga terdapat di Brunei. Daripada sumber tradisi lisan, dikatakan etnik seperti Bajau, Brunei dan Inggeris merujuk “dusun” sebagai golongan yang tidak sama etniknya dengan mereka apabila berurusan dalam urusan perniagaan. Mereka dianggap sebagai “orang dari dusun” yang datang menjual buah-buahan. Lama-kelamaan istilah dusun kekal untuk maksud tersebut.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Januari 2012.

“SYAHBANDAR” DAN PENGARUH PARSI DALAM DUNIA PERDAGANGAN MELAYU

Oleh AWANG AZMAN AWANG PAWI

Perkataan “syahbandar” bukanlah berasal daripada bahasa Melayu, sebaliknya daripada bahasa Parsi. Perkataan “syah” bermaksud raja, manakala “bandar” bermaksud pelabuhan. Sekiranya diterjemahkan secara langsung, “syahbandar” bermaksud “raja pelabuhan”.

Dalam konteks ini perkataan tersebut wujud kerana mereka bertanggungjawab dan berkuasa atas segala aktiviti perdagangan di pelabuhan. Kelompok inilah yang menjadi penyambung dunia perdagangan tempatan dan luar yang diberi kuasa oleh pemerintah bagi menguruskan segala hal yang berkaitan dengan perdagangan di pelabuhan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Disember 2011.