Category Archives: Darihal Bahasa

Bahasa dan Kekuasaan: daripada Magis kepada Retorik

Oleh AWANG AZMAN AWANG PAWI

Ketika Confucius ditanyakan soalan berkenaan langkah pertama yang dilakukannya jika diberikan peluang untuk memimpin negara, jawapan beliau adalah untuk meningkatkan penguasaan bahasa. Hal ini demikian kerana beliau percaya bahawa negara akan rosak sekiranya bahasa di negara tersebut tidak dipelihara dan dihormati. Oleh itu, kita mendapati bahawa masyarakat Cina amat mencintai akan bahasa ibunda mereka.

Bahasa merupakan wahana untuk menjadikan manusia lebih berkuasa dan berpengaruh serta mempunyai daya penarik kepada khalayaknya. Tidak akan lahir penutur, pemidato atau ahli politik yang hebat tanpa penguasaan bahasa yang baik. Bahasa ialah alat yang berkesan untuk memberikan kesan kepada aspek ritual dan intelektual. Pada era tradisional sebelum wujudnya tradisi tulisan, bahasa lisan digunakan sepenuhnya dan secara berleluasa. Oleh sebab fokus kepada bahasa lisan, maka tradisi pengucapan pada masa itu menjadi segar dan mempunyai aura.

Seorang penglipur lara mampu menarik khalayak yang lebih besar bukan untuk satu atau dua jam sahaja, malah hingga beberapa malam tanpa mengurangkan jumlah khalayaknya. Cerita “Awang Sulung Merah Muda” disampaikan dengan begitu dinamik dan intim, dan khalayak dapat merasai pengalaman Awang Sulung sehingga terasa dekat dalam dunia mereka. Hal

ini berlaku kerana penguasaan bahasa yang baik mampu meraih tumpuan khalayak. Pengamal perubatan pada zaman tradisi juga mampu meyakinkan orang yang mengunjunginya, bukan semata-mata kerana kemenyan dan cara penampilan dirinya yang “berwibawa”. “Ayat magis” yang diucapkannya sungguh meyakinkan pengunjung yang ingin mendapatkan bantuan untuk memenangi hati gadis pujaan.

Perhatikan ungkapan mantera pengasih yang dibumbui dengan unsur bahasa segar dan aura perasaan yang ingin diungkapkan oleh jejaka pada dahulu kala;/ Tepuk bantal panggil semangat/ Semangat datang dalam mimpi/ Aku tak menepuk bantal/Aku menepuk jasad dan roh si…./Satu badan dua nyawa/Satu jasad dua nyawa/Rindu kasih dan sayang kasih/Goncangkan jasad dan roh si (nama)/Aku tak melipat tangan/ Aku melipat hati (si…) terbuka padaku/Berkat doa la La Illah ha Ila Allah.

Tanpa ilmu stilistik, manusia dalam alam Melayu tradisional seakan-akan sudah menguasai ilmu berkenaan aspek aliterasi, asonansi, anafora dan epifora dalam pengucapan sedangkan ilmu stilistik secara akademiknya hanya wujud pada awal abad ke-20.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mac 2013.

Bahasa Dalam Komunikasi Politik

Oleh JENIRI AMIR

Penentu kemenangan atau kekalahan dalam setiap pilihan raya ialah pengundi. Pemilihan dan corak pengundian pengundi banyak ditentukan oleh persepsi terhadap imej calon dan parti. Persepsi parti, pemimpin dan calon pula banyak ditentukan oleh isu dan bagaimana komunikasi politik dilakukan. Komunikasi politik sebahagiannya membabitkan pengolahan bahasa, iaitu bagaimana kata, ungkapan, slogan dan wacana diujarkan. Bagaimanakah bahasa memainkan peranan dalam komunikasi politik? Apakah kesan komunikasi politik dengan menggunakan bahasa memberikan kesan kepada calon, parti dan khalayak yang menjadi sasaran?

Terdapat peribahasa Melayu yang mengingatkan agar kita berhati-hati apabila mengeluarkan kata-kata. Bahasa dan kata menggambarkan fikiran, emosi, watak dan personaliti seseorang. Bagi ahli politik, kata-kata yang digunakan boleh menjulang imej dan namanya; dan boleh juga menjahanamkan dirinya. Oleh itu, pemimpin politik perlu berpegang kepada peribahasa, “cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar”. Sekiranya “terlajak perahu dapat diundurkan, terlajak kata buruk padahnya”. Meskipun seseorang itu boleh memohon maaf selepas itu, namun kredibiliti dan nama baiknya sudah terjejas. Anehnya, masih terdapat ahli politik di negara ini yang seolah-olah tidak tahu akan kesan buruk daripada kata-kata. Mereka bagai tidak berfikir sebelum mengeluarkan kata-kata. Mereka “lepas cakap” tanpa mempedulikan kesannya terhadap rakyat.

Dalam sebuah negara berbilang etnik, budaya dan agama seperti Malaysia, ahli politik perlu lebih berhati-hati kerana kata-kata yang salah boleh menyinggung perasaan sesuatu kaum. Kata dan bahasa politik yang tidak sesuai boleh menyebabkan individu terbabit disaman fitnah atau diheret di bawah Akta Hasutan. Yang lebih membimbangkan ialah ada kata-kata yang dapat mencetuskan perasaan permusuhan, ketegangan dan perpecahan dalam masyarakat.

Menjelang pilihan raya umum ke-13, terdapat pemimpin politik yang mengucapkan kenyataan bersifat politik yang sering terjerumus ke dalam kontroversi. Puncanya apabila pemimpin berkenaan tidak belajar daripada mesej dalam peribahasa Melayu yang telah diwarisi sejak turun-temurun yang mengingatkan agar seseorang berwaspada ketika bercakap. Dalam keadaan dunia media semakin canggih, apa-apa yang diucapkan mudah tersebar.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mac 2013.

Syair Sunan Kalijaga: Seniman Islam

Oleh TARMIZI ANUWAR


Ilir-ilir, ilir-ilir,

Tandure wis sumilir,

Tak ijo royo-royo tak senggo temanten anyar,

Cah angon-cah angon penekno blimbing kuwi,

Lunyu-lunyu yo penekno kanggo mbasuh dodotiro,

Dodotiro-dodotiro kumitir bedhah ing pinggir,

Dondomono jlumatono kanggo sebo mengko sore,

Mumpung padhang rembulane mumpung jembar kalangane,

Yo surako… surak hiyo…

Rangkap tersebut merupakan syair dalam bahasa Jawa yang dinukilkan oleh Sunan Kalijaga, seorang seniman Islam. Syair tersebut diungkapkan dalam bahasa Melayu yang membawa maksud seperti yang berikut:

Bangun-bangun, bangun-bangun,

Tanam-tanaman sudah mulai bersemi,

Demikian menghijau bagaikan pengantin baharu,

Anak-anak penggembala, tolong panjatkan pohon belimbing itu,

Walaupun licin tetap panjatlah untuk mencuci pakaian,

Pakaian-pakaian yang koyak disisihkan,

Jahitlah, benangilah untuk menghadap nanti petang,

Selagi sedang terang rembulannya, selagi sedang banyak waktu luang,

Mari bersorak-sorak ayo….

Wali Songo bermaksud Sembilan Wali yang merupakan pendakwah yang mengamalkan makruf dan mencegah kemungkaran. Wali Songo banyak memberikan sumbangan kepada keutuhan Islam bukan sahaja di sekitar Tanah Jawa, tetapi juga ke hampir seluruh Malayonesia. Dipercayai lahir pada sekitar tahun 1450 Masihi atau kurun ke-15, Raden Said atau gelarannya Sunan Kalijaga, merupakan salah seorang Wali Songo. Beliau anak Adipati Tuban, iaitu Temenggung Wilatikta yang merupakan salah seorang pembesar ketika zaman pemerintahan kerajaan Majapahit. Walaupun berasal daripada keluarga bangsawan, Sunan Kalijaga sejak kecil lagi telah

diperkenalkan dengan agama Islam oleh guru agamanya, iaitu Kadipaten Tuban. Oleh hal yang demikian, apabila beliau melihat keadaan persekitaran yang berlawanan dengan ajaran Islam, hati beliau memberontak dan mempersoalkan tindakan kerajaan Majapahit mengenakan cukai yang membebankan masyarakat ketika itu.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mac 2013.

Bahasa Indah dalam Antologi Mimpi Panjang Seorang Penyair

Oleh SITI KHARIAH MOHD. ZUBIR

Dalam kesusasteraan, bahasa menjadi alat yang penting sebagai pengantar emosi untuk menimbulkan kesan atau efek daripada emosi itu. Pengarang yang kreatif akan menggunakan bahasa seluas mungkin, iaitu bidang sintaksis atau ayat, pemilihan diksi atau kata ungkapan khusus dan penggunaan bahasa kiasan.

Dalam konteks kesusasteraan, gaya bahasa ialah ilmu bahasa atau ilmu gaya yang mengkaji dan menyelidik tentang gaya bahasa sastera. Berdasarkan kajian ini kemungkinan gaya kesusasteraan untuk menilai dan mendapat kefahaman sebenar tentang sesebuah teks kesusasteraan.

Mana Sikana pula menyatakan bahawa gaya ialah stail. Ada gaya bahasa yang menggunakan bahasa formal, bahasa sehari-hari, dan ada juga yang penuh irama dan nada melankolik. Malahan, terdapat pengarang yang mengaplikasikan bahasa sindiran, kiasan, dan perbandingan.

Gaya bahasa amat penting dan diibaratkan seperti pentingnya jiwa kepada jasad. Rahman Shaari menyatakan bahawa gaya bahasa digunakan oleh penulis supaya boleh menimbulkan kesan tertentu. Selalunya aspek yang diambil perhatian ialah kata diksi dan pembinaan ayat. Dharmawijaya pula mentakrifkan gaya bahasa sebagai alat pemindahan pengalaman jiwa manusia. Manakala Henry Guntor Tarigan dalam bukunya, Pengajaran Gaya Bahasa menyatakan bahawa terdapat kira-kira 60 gaya bahasa yang termasuk dalam empat kelompok seperti yang berikut:

• Gaya bahasa perbandingan

• Gaya bahasa pertentangan

• Gaya bahasa pertautan

• Gaya bahasa perulangan

Peranan dan tugas gaya bahasa dalam kesusasteraan menjadi tulang belakang kepada penciptaan sesebuah karya sastera. Apabila membuat kajian tentang gaya bahasa terdapat unsur penyimpangan dan unsur perulangan. Analisis dari sudut gaya bahasa mempelajari penggunaan bahasa yang menyimpang daripada penggunaan perulangan bunyi, pembalikan susunan kata, dan susunan kalimat harus diambil kira.

Dalam antologi Mimpi Panjang Seorang Penyair, terdapat pelbagai gaya bahasa yang digunakan oleh pengarang untuk menerangkan puisinya kepada pembaca. Walaupun gaya penciptaan pengarang kadang-kadang agak deskriptif tetapi apabila disulami pelbagai gaya, maka bahasa puisi ini menarik untuk dihayati oleh pembaca.

Perulangan merupakan gaya bahasa yang mengulangi suatu bunyi, perkataan, atau frasa itu berkali-kali bagi menekankan maksud yang hendak disampaikan kepada pembaca. Menurut Rahman Shaari, perulangan perkataan membayangkan adanya satu perkataan atau lebih yang berulang dalam bentuk kalimat lain yang sejajar dengannya. Dharmawijaya pula menyatakan bahawa setiap jenis perulangan itu membawa kesan yang penting. Pertama, irama atau suasana muzikal untuk mengindahkan pendengaran terutama apabila diperdengarkan. Kedua, menegaskan maksud tertentu sebagai persoalan pertama bagi penulisnya. Ketiga, menarik tumpuan pembaca dan pendengar. Dalam membicarakan aspek perulangan dalam puisi Masuri S.N., tumpuan hanya diberikan kepada dua aspek sahaja, iaitu perulangan bunyi huruf dan perulangan kata.

Penggunaan bunyi perulangan memainkan peranan yang penting dalam puisi atau sajak. Penggunaan bunyi yang baik dan berkesan akan mewujudkan suasana yang indah, puitis dan harmonis. Dalam membincangkan unsur bunyi laras kreatif , terutamanya puisi, unsur bunyi amat perlu. Terdapat dua unsur bunyi yang paling banyak digunakan, iaitu asonansi dan aliterasi.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mac 2013.

Perjuangan BAHASA dalam Mendaulatkan Bahasa di Sabah

Oleh ISMAIL SALLEH

Berdasarkan bukti daripada batu bersurat, bahasa Melayu telah muncul sebagai bahasa perantaraan atau lingua franca di Nusantara sekitar abad kelima Masihi. Hakikat ini diakui oleh para sarjana yang memperkatakannya, antaranya termasuklah Vlekke, Ismail, Al-Attas, Amat Juhari, Hashim dan Collins. Menurut Sabihah, pada zaman kegemilangan kerajaan Brunei sebagai kuasa maritim, iaitu pada akhir abad ke-14, hampir seluruh kepulauan Borneo hingga ke Sulu berada di bawah kekuasaan Brunei. Dalam hal ini, Sabah (Borneo Utara) juga tidak terkecuali. Bahasa Melayu Brunei yang digunakan oleh masyarakat Brunei dan Kedayan di pantai barat Sabah menjadi bahasa perhubungan penting antara masyarakat, khasnya masyarakat Bajau di pedalaman serta pelbagai suku peribumi yang lain. Masing-masing suku menggunakan bahasa sendiri dalam kalangan suku mereka, tetapi apabila perhubungan antara suku dengan suku yang lain, mereka terpaksa menggunakan bahasa Melayu.

Menurut Jamdin Buyong, dalam hubungan sosioekonomi dan budaya, suku kaum Bajau tidak dapat berinteraksi dengan suku kaum Kadazan atau Dusun dengan menggunakan bahasa Bajau, dan suku kaum Kadazan atau Dusun tidak dapat berinteraksi dengan suku kaum Murut dengan bahasa Kadazan atau Dusun. Demikian juga halnya yang berlaku dalam kalangan suku kaum peribumi yang lain. Untuk perhubungan seperti ini, suku-suku kaum tersebut lebih mudah menggunakan bahasa Melayu Brunei. Mereka menggunakan bahasa etnik suku masing-masing hanyalah dalam lingkungan suku kaum sendiri. Oleh itu, bahasa Melayu Brunei begitu penting dalam kehidupan setiap suku kaum peribumi di Sabah.

Hakikat ini memperlihatkan bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa pentadbiran kerajaan dan perhubungan dalam kalangan rakyat jelata yang terdiri daripada pelbagai suku. Bahasa Melayu bukan sahaja digunakan dalam kalangan suku Melayu, malah dijadikan juga bahasa perhubungan luas antara suku Melayu dengan pelbagai suku kaum lain.

Apabila kerajaan Brunei menyerahkan pentadbiran Sabah kepada North Borneo Chartered Company (NBCC) pada akhir abad ke-19, bahasa Melayu dianggap penting oleh NBBC bagi melicinkan pentadbirannya.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Februari 2013.

“Mencipta” Kerjaya melalui Bahasa Melayu

Oleh MOHD. HELMI AHMAD

Malaysia merupakan negara yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasminya. Seharusnya, bahasa Melayu menawarkan peluang yang luas dalam menggerakkan sektor industri pekerjaan. Oleh itu, bahasa Melayu harus diletakkan pada tahap yang sewajarnya dalam usaha menggembleng tenaga, kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap bahasa kebangsaan negara.

Oleh itu, usaha meletakkan bahasa kebangsaan pada kedudukan sewajarnya bermula dari akar umbi lagi. Bermula seawal persekolahan prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan berterusan ke peringkat pengajian tinggi, bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar di sektor pendidikan. Sejak itu, usaha menyemai kecintaan dan kesepaduan dalam mempelajari bahasa Melayu terus menjadi agenda pembangunan negara.

Melihat pada penawaran pengajian bidang bahasa Melayu pada peringkat sarjana muda, kerajaan meletakkan sasaran bahawa graduan dalam bidang bahasa Melayu mempunyai peluang dalam pasaran kerjaya. Segala-galanya bergantung pada keupayaan graduan dalam menimba ilmu, menghayati, menggunakannya serta menterjemahkannya dalam lapangan kerjaya. Kualiti modal insan ini sebenarnya menjadi kayu ukur pada majikan untuk menawarkan pekerjaan. Seharusnya, tidak timbul desas-desus mengatakan bahawa graduan bidang bahasa Melayu tidak laku dalam pasaran kerja.

Bagaimanakah “mencipta” kerjaya melalui bahasa Melayu? Barangkali itulah persoalan yang dilontarkan oleh bakal graduan dan graduan dalam bidang pengajian bahasa Melayu, apatah lagi masyarakat di luar. Graduan yang baharu sahaja menamatkan pengajian sering terperangkap dengan tawaran pekerjaan yang sedia ada. Sudah tentulah graduan akan melihat status kerjaya dan pulangan pendapatan yang bakal diperoleh. Seboleh-bolehnya mereka mahukan kerjaya yang mempunyai status, berpangkat tinggi dan bergaji besar sesuai dengan kelayakan yang dimiliki.

Pada hakikatnya, graduan bidang bahasa Melayu mampu mencipta kerjaya sendiri. Itulah keistimewaan yang dimiliki oleh graduan bidang bahasa Melayu. Untuk mencipta kerjaya, perancangan yang strategik diperlukan. Pertamanya, tetapkan bahawa kerjaya yang hendak dicipta itu untuk jangka masa pendek, sederhana mahupun panjang. Pertimbangan juga harus dilakukan sama ada status kerjaya itu tetap, sementara ataupun sampingan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Februari 2013.

Mengangkat Nilai Ekonomi Bahasa Melayu

Oleh ARIFF MOHAMAD

Sejak sekian lama, terdapat suara yang mempertikaikan keupayaan bahasa Melayu dalam bidang perniagaan, saham, korporat, perbankan dan penjenamaan produk. Penggunaan bahasa Melayu dalam bidang ekonomi dalam konteks hari ini masih tidak meluas. Hal ini berlaku dalam lingkungan masyarakat tempatan, apatah lagi di peringkat antarabangsa. Isu nilai bahasa Melayu dalam bidang ekonomi yang pelbagai bidang pecahannya perlu diberi perhatian secara serius.

Bahasa Melayu dikatakan tiada nilai ekonomi, tiada nilai komersil dan sukar digunakan dalam urusan perdagangan. Hakikatnya, dalam konteks Malaysia, bahasa Melayu telah dipelajari oleh setiap individu sejak peringkat sekolah rendah. Apatah lagi, bahasa Melayu dijadikan subjek utama dan subjek wajib lulus dalam peperiksaan di sekolah. Namun demikian, bahasa Melayu tetap dikalahkan oleh bahasa Inggeris dalam banyak situasi terutama dalam bidang ekonomi.

Urusan manusia yang berkaitan dengan ekonomi ini berbagai-bagai bentuk dan peringkatnya. Dalam hal ini, bahasa Melayu masih digunakan dalam peringkat tempatan dan hubungan yang bersifat dalam kelompok yang kecil, bergantung kepada masyarakat yang menuturkannya. Keadaan sedemikian juga berlaku dalam bahasa yang lain seperti bahasa Tamil dan bahasa Cina. Namun demikian, pada peringkat yang lebih besar dan luas, penggunaan bahasa Melayu didapati semakin berkurangan.

Suasana ini tidak seharusnya berlaku kerana bidang ekonomi itu bukan ditentukan oleh bahasanya tetapi pelaksanaan, proses dan aktiviti perdagangan itu. Ekonomi melibatkan urusan wang, untung rugi, dan proses yang bersinergi yang hanya memerlukan bahasa sebagai objek yang kedua. Objek yang pertama di sini ialah wang. Namun demikian, urusan kewangan ini perlu mengutamakan bahasa apabila dijalankan dalam peringkat antarabangsa, contohnya urusan antara warga Malaysia dengan warga Perancis, bahasa Inggeris digunakan melainkan warga Perancis tersebut boleh menggunakan bahasa Inggeris atau warga Malaysia itu boleh berbahasa Perancis dengan baik.

Sikap tidak yakin terhadap bahasa Melayu memberi persepsi yang merendahkan bahasa Melayu itu sendiri. Keadaan sedemikian berlaku di negara ini. Rancangan yang melibatkan perbincangan kewangan seperti Money Matters, dikendalikan dalam bahasa Inggeris. Rancangan yang tidak berkaitan dengan ekonomi dan kewangan, contohnya Majalah Tiga menggunakan bahasa Melayu. Keadaan ini seolah-olah menunjukkan bahasa Inggeris sahaja yang boleh digunakan untuk urusan ekonomi. Adakah ekonomi itu hanya untuk orang yang mahir dalam bahasa Inggeris?

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Februari 2013.