All posts by Agenda Bahasa

Bahasa Melayu Berupaya Melonjakkan Ekonomi

Oleh LIM SWEE TIN

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia menyarankan supaya filem yang dihasilkan di sini perlu juga difikirkan untuk tujuan eksport. Hal ini merupakan satu saranan yang bijak. Selama ini filem Malaysia lebih cenderung berkurung di sempadan negara sendiri sahaja. Amat kecil bilangannya yang menjengah keluar. Saranan ini wajar dan kena pada tempatnya setelah melihatkan perkembangan pesat industri perfileman tempatan. Sekiranya diukur dalam konteks pencapaian di peringkat negara kita, terdapat beberapa buah filem mendapat sambutan yang sangat luar biasa. Kejayaan Ombak Rindu barangkali sesuai dan elok dijadikan rujukannya, ketika ia meledak di pasaran dan seolah-olah menandakan titik tolak kebangkitan yang baharu untuk dunia perfileman tempatan.

Akan tetapi tulisan ini bukan tertumpu pada bidang perfileman. Saranan Yang Berhormat Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim itu jelas ditujukan kepada filem tempatan yang pastinya dihasilkan dengan menggunakan medium bahasa Melayu. Jika filem Sepanyol atau Korea Selatan mengekalkan bahasa asal masing-masing, hal ini tidak terkecuali dapat dilakukan terhadap filem tempatan. Tentunya filem tersebut disertakan dengan sari kata dalam bahasa asing, sesuai dengan keperluan pasaran di luar yang nyata amat luas seandainya filem Malaysia berupaya mengekalkan kualitinya di tahap tertinggi. Melalui medium bahasa Melayu sebagai satu bahasa yang indah dan santun pada pendengaran, sudah tentu filem tersebut akan disambut baik. Sekali gus membuktikan keyakinan Yang Berhormat Menteri bahawa bahasa Melayu mempunyai nilai ekonomi, sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa yang keempat paling besar jumlah penggunanya di dunia. Khalayak filem seharusnya mengambil peluang ini untuk menghayati sosok bahasa kita yang kaya estetik apabila filem ditonton.

Tanpa disedari, melalui muatan tema yang bagus, filem tempatan menjadi duta kecil kepada perkembangan bahasa Melayu di luar. Hal ini sejajar dengan pandangan beberapa pengkaji bahasa Melayu yang terkenal di peringkat antarabangsa peri bahasa Melayu kini menjadi mata pelajaran atau kursus popular yang ditawarkan di universiti, kolej dan sekolah di Korea dan Jepun. Yang terbaharu, Profesor Dr. James T. Collins (Utusan Malaysia, 21 Disember 2012) menyatakan bahawa masyarakat Amerika Syarikat dan Eropah kini semakin galak mempelajari bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa pilihan di pusat pengajian. Antara lain, Collins memberi alasan faktor kestabilan politik dan kemajuan ekonomi negara menjadi faktor utama rakyat Amerika Syarikat dan penduduk Eropah berminat mempelajari bahasa Melayu dengan lebih mendalam. Baginya, sehingga kini bahasa Melayu sudah merentasi dunia sebagai bahasa komunikasi dan bahasa penulisan yang penting dalam sektor perdagangan, diplomatik, pelancongan dan kajian kebudayaan. Ertinya, telah wujud rasa hormat dan yakin akan kuasa yang ada dalam bahasa Melayu, khususnya untuk tujuan diplomatik dan perdagangan. Yang jelas, nilai ekonomi bahasa Melayu telah diakui di peringkat antarabangsa.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Februari 2013.

Bahasa Melayu: Perspektif Sejarah dan Falsafah Sains

Oleh MOHD. HAZIM SHAH ABDUL MURAD

Pada umumnya, sains dianggap sebagai ilmu yang bersifat sejagat, manakala bahasa pula dikaitkan dengan budaya atau masyarakat yang menggunakan bahasa tersebut. Bahasa adalah khusus kepada budaya dan masyarakat sedangkan ilmu sains adalah umum dan sejagat. Namun demikian, ilmu sains perlu diungkapkan melalui bahasa dan di sinilah timbul paradoksnya, iaitu “sejagat” dan “umum” perlu diungkapkan melalui wahana yang khusus.

Mungkin ada yang mengatakan bahawa paradoks ini boleh diselesaikan dengan adanya bahasa matematik yang bersifat universal dan digunakan dalam sains. Namun begitu, ilmu sains tidak keseluruhannya terdiri daripada bahasa matematik tetapi juga melibatkan bahasa biasa. Bayangkan apabila seseorang cuba menerangkan tentang fenomena alam dengan hanya menggunakan bahasa matematik sahaja! Begitu juga halnya apabila kuliah sains disampaikan dengan menggunakan bahasa matematik semata-mata.

Jika demikian keadaannya, maka bahasa apakah yang paling sesuai untuk ilmu sains? Adakah soalan itu munasabah dalam erti kata bahawa wujud satu bahasa yang paling sesuai bagi penghuraian ilmu sains? Pada zaman ini kita lihat pada peringkat antarabangsa, bahasa yang paling umum dan lazim digunakan ialah bahasa Inggeris. Adakah ini disebabkan oleh keistimewaan yang dipunyai oleh bahasa Inggeris dalam mengungkapkan dan mengembangkan ilmu sains? Atau adakah hal itu disebabkan oleh faktor lain? Kita perlu melihat dan menyorot sejarah untuk memahami kenapakah bahasa Inggeris muncul sebagai bahasa antarabangsa yang paling popular dan berpengaruh dalam penyampaian ilmu sains?

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Januari 2013.

Menelusuri Bahasa Melayu melalui Etnomatemati

Oleh MAT ROFA ISMAIL

Pada lewat dekad 1980-an, penulis terbaca makalah Abdul Razak Mahmud dalam majalah Pengasuh terbitan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan berkaitan dengan kewujudan kitab matematik yang ditulis oleh penulis Melayu. Menurut beliau, kitab ini banyak mempunyai maklumat tentang ilmu matematik. Penulis menjejaki karya ini sehingga mendapat salinan foto daripada institusi agama itu, lalu membuat kajian secara lebih terperinci. Karya ini memberikan ilham untuk penulis memulakan kajian matematik Melayu di bawah pengaruh Islam.

Teks yang bertajuk `Alam al- Hussab fi `ilm al-Hisab ditulis oleh ulama ulung Minangkabau, Syeikh Ahmad bin Abdul Latif al-Khatib. Gelaran al-Khatib bersempena dengan jawatannya sebagai imam dan khatib al- Syafi`iyyah di Masjid al-Haram Mekah. Al-Khatib merupakan tokoh reformasi Sumatera yang menyumbangkan pemikirannya ke arah pembebasan daripada amalan khurafat yang menjadi tradisi masyarakat ketika itu. Beliau anak rantau Melayu yang pertama memegang jawatan seumpama itu di Tanah Suci.

Syeikh Ahmad bin Abdul Latif al-Khatib digelar tokoh pemikir ”pembaharuan” yang menentang amalan bidaah yang menjadi amalan sebahagian umat Islam ketika itu. Beliau yang berasal dari Minangkabau, turut kecewa dengan kaumnya yang meletakkan adat di tempat yang sedemikian tinggi yang kadang-kadang menyalahi syariah, seperti dalam bab faraid serta amalan lain yang tidak berdasarkan nas yang jelas. Beliau dan muridnya termasuklah Syeikh Jamil Jambek, Syeikh Tahir Jaluddin, merupakan gabungan ulama yang turut menguasai bidang lain termasuk falak dan matematik.

Alam al-Hussab dan Raudah al-Hussab merupakan mercu tanda ulama Alam Melayu dalam matematik tradisi di bawah pengaruh tamadun Islam. Penemuan kitab nadir matematik tersebut membawa penulis ke pusat pengajian tradisi di sekitar tanah air bagi mencari kemungkinan kewujudan teks atau manusksrip lain yang berkaitan dengan bidang matematik. Akhirnya, penulis bertemu dengan koleksi bekas mufti Kelantan, Haji Ahmad Mahir Haji Ismail, di Pusat Pengajian Tinggi Islam Nilam Puri, Kelantan. Setelah meneliti koleksi tersebut, penulis teruja dengan penemuan kitab lain oleh al-Khatib yang bertajuk Raudah al-Hussab fi `Ilm al-Hisab. Karya ini ialah versi bahasa Arab daripada kitab Alam al-Hussab fi `ilm al-Hisab. Penemuan ini memberikan gambaran betapa ulama Melayu silam mempunyai sifat kesepaduan ilmu yang pelbagai, seperti ilmuwan zaman keagungan Islam.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Januari 2013.

Bahasa Melayu Wahana Sains

Oleh MOHD. YUSOF HAJI OTHMAN

Isu bahasa amat sensitif bagi sesetengah orang, manakala yang lain mungkin menganggapnya remeh-temeh. Di negara maju seperti di Perancis, Switzerland, Jerman, Jepun dan Korea, isu ini boleh menjatuhkan menteri dan ketua jabatan atau menggugat kestabilan politik negara. Apatah lagi apabila isu ini berhubung langsung dengan sistem pendidikan, perlembagaan dan jati diri negara. Oleh sebab itu, kebanyakan pemimpin di negara maju tidak mahu menggunakan bahasa asing dalam ucapan atau persidangan rasmi mereka.

Sekiranya menggunakan sesuatu untuk tujuan komunikasi dan memudahkan saling memahami antara satu sama lain tidaklah menjadi kesalahan, malah penguasaan bahasa asing, yakni bahasa Inggeris amat perlu agar maklumat yang ingin disampaikan dapat difahami. Walau bagaimanapun, tidak wajar apabila bahasa asing dijadikan bahasa pengantar untuk mengajarkan ilmu dalam negara yang sudah merdeka, berdaulat dan mempunyai bahasanya sendiri. Lebih-lebih lagi bahasa tersebut sudah termaktub dalam perlembagaan negara. Apalah ertinya keluhuran perlembagaan sekiranya yang terdapat dalam perlembagaan tidak diluhurkan dan dihormati.

Di Malaysia, statistik menunjukkan bahawa setelah bahasa Inggeris digunakan untuk mengajarkan Sains dan Matematik pada peringkat sekolah, kedua-dua subjek ini mengalami masalah yang besar, baik daripada pihak pelajar, mahupun daripada pihak guru yang mengajarkannya. Kelemahan yang ketara dalam penguasaan bahasa Inggeris dan penguasaan pengetahuan Sains dan Matematik amat membimbangkan tatkala kita perlu meningkatkan kedua-dua subjek ini untuk pembangunan negara. Malah kajian mendapati minat terhadap mata pelajaran Sains dan Matematik berkurang dengan ketara sekali selepas pelaksanaan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada tahun 2003. Keadaan menjadi lebih parah apabila isu ini dipolitikkan. Dari segi epistemologi, untuk meningkatkan penguasaan ilmu Sains dan Matematik melalui penggunaan bahasa asing, yakni bahasa Inggeris merupakan tindakan yang salah. Begitu juga halnya jika tujuan untuk meningkatkan penguasaan dan keterampilan bahasa Inggeris para pelajar melalui pengajaran Sains dan Matematik. Kita tidak menafikan pentingnya untuk menguasai bahasa Inggeris. Namun begitu, bahasa Inggeris tidak boleh mengambil alih peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam sistem pendidikan di Malaysia, tanah air tempat bahasa Melayu dilahirkan, dituturkan, dicanai dan dikembangkan seantero dunia. Jika terdapat kelemahan dalam memahami Sains dan Matematik atau apa-apa sahaja ilmu dalam bahasa tersebut, kelemahan seharusnya dikaji, diselidiki dan dilihat secara terperinci.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Januari 2013.

Perpaduan Pelbagai Etnik melalui Bahasa Melayu

Oleh SAIDATUL NORNIS HAJI MAHALI

Semasa berucap di Singapura pada 27 Mei 1961, Tunku Abdul Rahman menyatakan akan keperluan diwujudkan satu kesatuan ekonomi dan politik antara Borneo Utara, Sarawak, Brunei, Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura. Ucapan tersebut telah menimbulkan reaksi positif dan negatif daripada negara di Asia Tenggara. Hasil daripada pelbagai rundingan dan proses penyatuan yang rumit, maka lahirlah negara baharu, Malaysia. Pada petang 15 Sept 1963, sebaik-baik sahaja William Goode, gabenor terakhir Borneo Utara menaiki Kapal H.M.S Lion, maka hal itu bermakna berakhirnya ketuanan British ke atas wilayah Borneo Utara. Tindakan itu juga menandakan bermulanya satu era baharu bagi Borneo Utara yang secara rasmi menyertai negara baharu, iaitu Malaysia pada 16 September 1963. Dengan penyerahan kuasa tersebut, Borneo Utara dengan nama baharu, Sabah, akan menentukan masa depannya bersama-sama dengan negeri lain dalam Malaysia. Dengan hal yang demikian, Sabah perlu menerima kenyataan bahawa negeri ini mempunyai perbezaan dengan negeri lain dalam Persekutuan Malaysia. Perbezaan wujud dari segi kepelbagaian keturunan, bangsa, agama, suku kaum, kebudayaan dan bahasa. Dalam usaha untuk menyatukan Sabah dengan negeri lain, langkah utama untuk mempercepat proses integrasi antara wilayah perlu dilaksanakan segera. Terdapat banyak langkah yang telah diusahakan untuk mengintegrasikan kesemua wilayah di dalam Malaysia, antaranya termasuklah melalui pertukaran kebudayaan, penyeragaman sistem pendidikan, pengintegrasian ekonomi, penglibatan media massa dan penyelarasan penggunaan bahasa.

Hampir lima dekad “membesar dan dewasa” bersama-sama negeri di Malaysia, selama itu jugalah Sabah telah menggunakan dan mempraktiskan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pemersatu antara kaum di negerinya. Sebenarnya, bahasa Melayu sudah terbukti menjadi lingua franca atau bahasa komunikasi dalam kalangan masyarakat di kepulauan Melayu termasuk pulau Borneo sejak beberapa abad yang lampau. Catatan pengembara awal, seperti Valentyn dan Pigafetta membuktikan bahawa bahasa Melayu memang menjadi bahasa yang digunakan oleh penduduk di kawasan Nusantara. Malah, kehadiran agama Islam di Sabah pada tahun 1408 telah menjadi satu elemen baharu dalam perkembangan bahasa Melayu di Sabah. Sehubungan dengan itu, tulisan yang cukup sederhana sifatnya ini bermaksud untuk mengungkapkan idea asas bahawa kesepaduan dan keharmonian kaum plural di Sabah yang boleh disatukan melalui bahasa, apatah lagi dalam usaha kerajaan untuk menerapkan semangat Satu Malaysia.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Disember 2012.

Bahasa Melayu Bahasa Perpaduan

Oleh JENIRI AMIR

Tidak mudah mencapai masyarakat yang bersatu padu, lebih-lebih lagi dalam negara yang terdiri daripada masyarakat pelbagai etnik. Perpaduan memang menjadi impian setiap pemimpin politik dan negara kerana tanpa perpaduan, kestabilan sosiopolitik dan seterusnya kemajuan, pembangunan dan pertumbuhan ekonomi tidak mungkin dapat dicapai. Perpaduan merupakan satu proses menyatupadukan seluruh etnik, masyarakat dan negara agar setiap anggota etnik dan masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama, serta perasaan bangga dan cinta akan negara.

Bagi mencapai kesepaduan dan perpaduan, segala faktor dan unsur yang menjadi penghambat perlu dikurangkan, seperti segregasi, stereotaip dan prasangka. Sebaliknya, faktor yang menggalakkan kesepaduan dan perpaduan perlu ditingkatkan seperti asimilasi, akomodasi, akulturasi dan amalgamasi. Berdasarkan Global Peace Index 2011, Malaysia berada pada penarafan ke-19 status aman. Negara paling aman dan stabil di dunia ialah New Zealand, diikuti Iceland, Jepun dan Denmark.

Pemimpin sebelum merdeka menyedari, selain kemakmuran ekonomi, agenda utama yang perlu diberikan perhatian ialah mewujudkan masyarakat yang bersatu padu dan membentuk identiti negara bangsa. Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman menyatakan memang wajar bagi sebuah negara membangun berhasrat mempunyai bahasa sendiri. Mengikut beliau, sekiranya bahasa kebangsaan tidak diperkenalkan, negara kita tidak akan mempunyai peribadi dan keperibadian, dan boleh dikatakan sebagai negara yang tidak berjiwa dan tidak bernyawa. Bahasa kebangsaan merupakan asas yang membentuk jati diri bangsa, malah bahasa kebangsaan merupakan alat perlambangan semangat kebangsaan yang paling berkesan.

Meskipun langkah ke arah itu masih jauh, namun dengan pelbagai dasar dan rancangan oleh kerajaan, negara kita sebenarnya dapat berbangga kerana menjadi contoh negara pelbagai etnik yang bersatu padu. Perpaduan ialah satu proses yang berterusan dan masih dalam pembikinan. Perpaduan merupakan ciri afektif individu meliputi emosi, sentimen, nilai dan sikap. Melalui dasar kerajaan, diharapkan akhirnya rakyat kita dapat hidup bersama dengan rukun dan damai serta memiliki kesedaran, keperibadian dan nilai sebagai rakyat Malaysia yang bersikap toleran dan saling menghormati keunikan dan perbezaan masing-masing.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Disember 2012.

Penyatuan Sosial melalui Ketulenan Bahasa

Oleh TEO KOK SEONG

Pelbagai takrif diajukan untuk menjelaskan fenomena ketulenan bahasa. Bahasa itu disifatkan tulen apabila kebanyakan kosa katanya dibentuk daripada akarnya sendiri. Sebagai contoh, akar kata “baharu” boleh menerbitkan sebilangan kata lain, iaitu membaharui, diperbaharui, memperbaharu, kebaharuan, pembaharuan dan pembaharu. Takrif ini, seperti kebanyakan yang lain pada awal penelitian fenomena ini, rata-ratanya memberikan tumpuan hanya kepada kata, yakni ketiadaan kata dalam bentuk asli atau sebaliknya, yang merupakan syarat penting apabila membicarakan ketulenan bahasa.

Takrif yang kemudian, iaitu ketulenan bahasa, ialah percubaan untuk mengeluarkan unsur asing daripada sesebuah bahasa itu, dan menggantikannya dengan bentuk asli atau bentuk yang dapat memberikan perwatakan kebangsaan kepada bahasa berkenaan. Hal ini memperlihatkan penggarapan persoalan dan permasalahan ketulenan bahasa mula melibatkan semua peringkat bahasa, dan tidak lagi tertumpu semata-mata pada kata sahaja.

Ketulenan bahasa boleh dikaitkan dengan perjuangan untuk menentang penggunaan, peminjaman dan penyerapan unsur asing, sama ada kata, ungkapan atau peraturan tatabahasa, secara berwenang. Tujuan utamanya adalah untuk melindungi sesebuah bahasa itu daripada dikuasai oleh pengaruh asing agar bahasa berkenaan seboleh-bolehnya terus wujud dalam keadaan asalnya, tanpa banyak dipengaruhi oleh unsur luar, khususnya pada tahap kata dan ungkapan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Disember 2012.