All posts by Bual bahasa

Bahasa Cerminan Bangsa

Oleh ZAIDI ISMAIL

Pada 31 Ogos, genaplah 55 tahun negara kita mencapai kemerdekaannya. Dari awal kemerdekaannya hingga kini, bahasa Melayu terus memainkan peranannya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara kita. Bahasa inilah yang sepatutnya digunakan dan diutamakan. Bahasa yang digunakan itu pula perlulah bahasa yang betul bukannya bahasa yang bercampur dengan bahasa asing, terutamanya bahasa Inggeris. Sekiranya kita masih tidak mengutamakan bahasa Melayu atau masih lagi menggunakan bahasa yang bercampur-campur, secara tidak langsung hal ini menggambarkan seolah-olah bahasa kita “belum merdeka”. Untuk mendapatkan pandangan tentang hal ini, baru-baru ini, editor Dewan Bahasa berkesempatan menemu bual Abd. Hadi Hashim (AH) dan Roslan Daud (RD), guru Bahasa Melayu dan penulis bebas.

Bahasa yang dianggap “sekerat belut, sekerat ular” ini sepatutnya tidak digunakan sama sekali. Penggunaannya menggambarkan kita seolah-olah miskin kosa kata sehingga terpaksa mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa asing dalam satu-satu ungkapan. Apabila orang asing mendengar pertuturan kita yang bercampur aduk itu, tentulah mereka akan kebingungan kerana memahami sebahagiannya sahaja. Mereka juga mungkin sahaja tertanya-tanya, bahasa apakah yang didengari itu? Untuk perkataan yang mudah-mudah dan sememangnya ada dalam bahasa Melayu, gunakanlah perkataan yang Melayu itu.”

Abd. Hadi Hashim

“Penggunaan bahasa rojak dalam kalangan masyarakat kita masih berleluasa dan amat “memualkan”. Bagi mereka, penggunaan bahasa rojak sudah dianggap kebiasaan, terutamanya dalam bahasa lisan. Perkataan atau istilah tertentu digunakan sesuka hati. Misalnya, ada yang lebih selesa menggunakan I dan You sebagai kata sapaan. Begitu juga dengan perkataan seperti drive, chatting, hope dan alone. Dalam hal ini, kebiasaan penggunaannya telah menjadikan mereka menganggapnya sebagai tidak salah. Selain itu, ada juga yang menggunakan singkatan gaya sistem mesej singkat (SMS) dalam penulisan sesuka hati.”

Roslan Daud

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Ogos 2012.

Bahasa Melayu Khazanah Budaya yang Tinggi Nilainya

Oleh Zaidi Ismail

Dalam hal penamaan sesuatu produk dan perkhidmatan, bahasa Melayulah sepatutnya diutamakan. Walau bagaimanapun, hal ini masih “dilepas pandang”. Bahasa asing, terutamanya bahasa Inggeris masih lagi diberikan keutamaan, khususnya untuk produk yang ingin dipasarkan di luar negara. Perlukah bahasa Inggeris diutamakan untuk produk tersebut? Untuk mengetahuinya, baru-baru ini, editor Dewan Bahasa berkesempatan menemu bual Hara Shintaro, pensyarah Bahasa Melayu di Universiti Prince of Songkla (PSU), Thailand yang berasal dari Jepun, untuk mendapatkan pandangannya tentang bahasa jenama.

“Bagi penamaan tempat awam, bangunan dan sebagainya, sebaik-baiknya kekalkanlah bahasa tempatan. Misalnya, bangsa Eropah menamakan tanah jajahannya sesuka hati mereka sahaja, seperti Georgia, Victoria dan Port-au-Prince. Setelah nama tempatan dari Eropah digunakan, lama-kelamaan orang tempatan pun melupakan nama asal tempat tersebut. Sebagai orang Jepun, saya berasa lega kerana Nagasaki, Kobe dan Yokohama kekal dengan nama asal, tidak dijadikan Carolina, Puerto Rico, San Juliana dan sebagainya.

Di Korea pula, sebaik-baik sahaja Korea mengisytiharkan kemerdekaan daripada Jepun, mereka menghapuskan nama ibu negara yang dipaksakan oleh pemerintah penjajah, iaitu Keijou. Kini, kota tersebut dikenali dengan nama Seoul, salah satu kota raya yang paling terkenal di Asia. Di sini jelaslah penamaan tempat berfungsi sebagai lambang kemerdekaan.”

Hara Shintaro

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Julai 2012

Utamakanlah Aspek Etika Berbahasa dalam Media Baharu

Oleh Zaidi Ismail

Pengguna media baharu perlulah mengutamakan aspek etika berbahasa dalam media itu. Pemantau bebas daripada kalangan pembekal perkhidmatan media baharu perlu diberi kuasa untuk mengingatkan pengguna media baharu supaya berbahasa dengan betul dan santun.

Kini, media yang paling popular ialah internet. Di dalamnya ada pelbagai bentuk media baharu, seperti media sosial, blog, laman web serta akhbar dan majalah dalam talian. Sejauh manakah bahasa Melayu diutamakan dalam media ini? Untuk mengetahuinya, baru-baru ini, editor Dewan Bahasa berkesempatan menemu bual dua orang Munsyi Dewan, Mohamad Musip dan Nik Nor Ahmarizam Nik Ahmad, untuk mendapatkan pandangannya tentang bahasa dalam media baharu.


“Bagi saya, kedua-dua media itu perlu menggunakan bahasa yang betul dan santun. Media lama lebih menuntut ketepatan dan kesantunan bahasa kerana hanya itulah kuasa yang ada untuk mempengaruhi pembaca supaya menyukai tulisan penulis. Bagi media baharu, khususnya Facebook, saya sudah membuat aku janji kepada diri sendiri bahawa media baharu itu merupakan alat untuk menampilkan suri teladan dalam berbahasa. Hal ini saya rasakan wajar kerana saya sebagai pendidik bahasa semestinya menunjukkan keterampilan berbahasa, apatah lagi tulisan akan terpapar kepada khalayak secara merentas sempadan geografi, selagi bahasanya difahami. Tegasnya, media baharu sesuai sekali berfungsi sebagai media dakwah bahasa, selain dakwah kerohanian.”

Mohamad Musip


“Penggunaan bahasa melalui media baharu pula, seperti Facebook atau Twitter, pada hakikatnya belum mencapai tahap penggunaan bahasa baku secara maksimum. Sukar untuk seseorang guru bahasa Melayu atau pakar bahasa membaiki kesalahan bahasa melalui laman sosial tersebut kerana penggunanya teramat banyak. Walau bagaimanapun, sebagai pencinta bahasa, kita sememangnya bertanggungjawab untuk bersama-sama menegur seseorang secara maya dan berhemah betapa perlunya seseorang pengguna laman sosial itu menggunakan bahasa Melayu baku dalam Facebook atau Twitter.”

Nik Nor Ahmarizam Nik Ahmad

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Jun 2012.

Mengantarabangsakan Bahasa Melayu melalui PRPM

“Laman PRPM, jika dimanfaatkan dengan sebaiknya, dapat memberikan pelbagai input kebahasaan (bahasa Melayu) kepada orang ramai, khususnya pengguna bahasa kerana saya dapati melalui PRPM akan diperoleh input bahasa yang meliputi kamus Melayu dan Inggeris, istilah (Malaysia, Indonesia dan Brunei), ensiklopedia, puisi, bahasa sukuan (Sabah dan Sarawak), peribahasa, arkib khidmat nasihat DBP, tesaurus bahasa Melayu, kandungan laman WEB DBP dan kandungan laman WEB lain yang ditentukan oleh DBP.” – Dr. Muhammad Saiful Haq Hussin

Dr. Muhammad Saiful Haq Hussin, Pensyarah Kanan di Jabatan Bahasa Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.


“Saya menggunakan PRPM sebagai sumber rujukan tentang bahasa Melayu untuk melicinkan tugas saya sebagai penjawat awam. Sebelum giat memanfaatkan PRPM, saya pernah menggunakan KNB DBP melalui telefon. Kini, KNB DBP melalui telefon telah berkembang dan menjadi antara khidmat yang terdapat dalam PRPM. Jawapan yang terdapat dalam PRPM dapat disimpan dalam fail digital dan saya telah memanfaatkannya semasa berkuliah, berceramah dan berbengkel. Saya juga mempromosikan KNB DBP kepada pelajar dan kumpulan sasaran saya yang lain, khususnya golongan pendidik.” – Mohd. Isa Abd. Razak

Mohd. Isa Abd. Razak, bekas pensyarah yang aktif sebagai penulis blog.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mei 2012.

Facebook: Berbahasalah dengan Baik dan Santun

“Secara umumnya, saya melihat memang ada dua bentuk gaya bahasa dalam Facebook. Pertama, yang menjaga dengan cermat sekali bahasanya, dan kedua, yang meminggirkan soal tatabahasa dan melebihkan kepada isinya sahaja. Walhal, isi dan bahasa, sama pentingnya.” – Nizam Abdul Jalil.

Nizam Abdul Jalil merupakan guru Bahasa Melayu yang berpengalaman mengajarkan Bahasa Melayu selama 21 tahun sejak tahun 1991. Beliau aktif menggunakan Facebook sejak tahun 2009 dan selalu berinteraksi untuk memperkatakan hal yang berkaitan isu dan masalah penggunaan bahasa. Baru-baru ini, editor Dewan Bahasa telah berkesempatan menemu bual beliau untuk mendapatkan pandangannya tentang penggunaan bahasa Melayu dalam Facebook.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, April 2012

Bahasa Kita, Tanggungjawab Kita

Disusun oleh Zaidi Ismail

“Dasar MBMMBI ini amat baik bagi mengingatkan rakyat akan peri pentingnya usaha berterusan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan dan lebih penting, sebagai bahasa ilmu dan pembinaan tamadun di Malaysia.”  – Kamal Shukri Abdullah Sani

Kamal Shukri Abdullah Sani merupakan Munsyi Dewan dan Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia. Beliau selalu memperkatakan isu PPSMI dan MBMMBI, baik dalam seminar mahupun penulisan makalah. Baru-baru ini, editor Dewan Bahasa telah berkesempatan menemu bual beliau untuk mendapatkan pandangannya tentang bahasa Melayu pasca-PPSMI dan penegasan MBMMBI.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Mac 2012.

Bahasa yang Baik Mendekatkan Pembaca kepada Kebenaran

“Pengarang-pengarang kita umumnya sangat menyayangi bahasa Melayu, baik pengarang baharu mahupun pengarang yang sudah mapan. Pengucapan sastera yang baik masih berjalan dalam persuratan Melayu.” – Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin.

Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin merupakan penerima SEA Write Award 2000 yang aktif menulis karya-karya sastera dalam bahasa Melayu. Beliau juga turut diundang untuk menghakimi Anugerah Juara Lagu 2011 anjuran TV3, khususnya untuk lirik lagu. Baru-baru ini, sidang editor Dewan Bahasa telah berkesempatan menemu bual beliau untuk mendapatkan pandangannya tentang seni berbahasa dan bahasa berseni.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa Februari 2012.