All posts by Dewan Bahasa

Bahasa dan Keintelektualan

Oleh Mohidin Haji Malek

Komunikasi ialah kaedah manusia berinteraksi antara satu dengan yang lain. Dalam proses komunikasi, berlaku penyampaian atau pemindahan maklumat dalam apa-apa juga bentuk atau ranah, sama ada melalui percakapan (lontaran suara), bertulis melalui media cetak atau digital seperti buku, majalah, akhbar, laman sesawang, e-mel, mesej, dan seumpamanya, atau secara bukan lisan seperti bahasa isyarat, bahasa badan, dan seumpamanya. Keupayaan untuk menyampaikan maklumat dengan tepat dan berkesan ialah perkara primer dan tidak harus dipandang enteng dan ringan. Hal yang sedemikian inilah yang menjamin keberkesan komunikasi.

      Tidak dapat disangkal bahawa wahana primer yang menjamin dan memastikan keberkesanan sesuatu bentuk komunikasi ialah bahasa. Dalam konteks ini, bahasa yang mampu difahami dan disepakati penggunaannya oleh kedua-dua pihak yang berkomunikasi. Sekiranya tiada kesefahaman, hal ini akan menjejaskan keberkesanan sesuatu komunikasi. Seperti perumpamaan Melayu “ibarat ayam dan itik”. Dalam konteks ini, penulis tidak mengehadkan ruang lingkup atau sempadan wahana komunikasi, namun melihat persoalan primer melalui pandangan kaca mata yang lebih luas. Dengan erti kata lain, komunikasi yang melibatkan apa-apa juga bahasa, baik bahasa Jepun, Mandarin, Inggeris dan sebagainya. Pun demikian, berlandaskan apa-apa yang diperkatakan, pada akhirnya melihat kerelevenan penggunaan bahasa Melayu sebagai wahana penyampaian ilmu yang berkesan.

      Intelek atau tahap kecendekiaan turut berperanan untuk memastikan tidak berlakunya kegagalan dalam komunikasi (communication breakdown). Intelek, dalam konteks makalah ini bukan hanya terbatas kepada ilmu pengetahuan semata-mata, tetapi turut menyentuh aspek keintelektualan berbahasa. Keintelektualan berbahasa menjamin penyaluran maklumat yang berguna, di samping penyaluran ilmu yang lebih tepat. Dengan kata lain, penguasaan bahasa yang baik dan kepersisannya menjamin ketepatan penyampaian dan penerimaan maklumat dan ilmu. Memang lazim berlaku sesuatu maklumat atau ilmu yang disampaikan tidak menepati atau menyimpang daripada konsep sebenar, dan penerimaannya tidak seperti yang dihasratkan akibat daripada pemilihan kata atau istilah mahupun penterjemahan maksud yang jauh lari atau berbeza daripada maksud yang sebenarnya. Oleh hal yang demikian, keselarasan dan keseimbangan dalam konteks pengetahuan berbahasa dan intelek amat dititikberatkan.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran April

Keintelektualan Berbahasa Melayu Cerminan Cendekia Bangsa

Oleh Jeniri Amir

Kini, ada salah tanggapan dan kesendengan pandangan sesetengah pihak bahawa keintelektualan seseorang diukur dari segi keupayaannya menguasai bahasa kedua, terutama bahasa Inggeris. Bagai kurang cerdik seseorang itu jika hanya pandai dalam bahasa Melayu. Bagai tidak terpelajar seseorang itu jika tidak pandai mengungkapkan diri dalam bahasa Inggeris walaupun bahasa Inggeris yang digunakannya ialah bahasa Inggeris yang terhad dan rendah mutunya. Mungkinkah itu sebabnya rakyat Malaysia tidak gemar berbahasa Melayu, malah lebih suka berbahasa Inggeris? Kalaupun mereka bertutur dalam bahasa Melayu, mereka cenderung menyelitkannya dengan kosa kata dan ungkapan dalam bahasa Inggeris.

       Persoalannya, adakah bahasa Melayu sudah mencapai tahap keintelektualan? Adakah menggunakan bahasa Melayu tidak menampakkan keintelektualan? Betulkah hanya dengan menggunakan bahasa asing, terutamanya bahasa Inggeris seseorang itu akan kelihatan daya keintelektualan? Bahasa merupakan wadah penting bagi melahirkan insan yang bijaksana. Kearifan dan kebijaksanaan seseorang diukur bukan sahaja dari segi ketinggian ilmunya, tetapi keupayaan mengungkapkan ilmu yang kompleks dan sulit dengan bahasa yang berkesan. Bahasa sebagai wahana yang penting perlu dikuasai jika seseorang mahu muncul sebagai cendekiawan bangsa.

      Dalam dunia yang semakin mencabar, tahap keintelektualan diukur dari aspek kebolehan dan keberkesanan seseorang untuk berkomunikasi atau menyampaikan maklumat dan pandangan. Individu berkenaan bukan sahaja perlu memiliki ilmu yang luas dan mendalam dalam bidang yang diperkatakannya, tetapi juga berupaya menyampaikan idea dan pendapat dengan bahasa baku yang memancarkan keintelektualan bahasa. Maksudnya, ilmu yang mendalam dan tinggi perlu disampaikan dengan bahasa Melayu tinggi. Bahasa dan ilmu bergerak seiring. Tanpa penggunaan bahasa Melayu tinggi, walau setinggi mana pun ilmu seseorang itu, keintelektualannya tidak akan terserlah. Keintelektualan ilmu perlu bergandingan dengan keintelektualan bahasa.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran April

Daya Fikir Berbahasa

 

Dimensi tradisi keilmuan dan keintelektualan berbahasa yang menjadi teras kepada pembentukan ketamadunan masyarakat sebenarnya bermula dari zaman kanak-kanak lagi. Paparan tradisi keilmuan ini jelas memperlihatkan kekreatifan minda dan keinteletualan pemikiran masyarakat yang diekspresikan dalam segenap bidang khazanah ilmu pada masa akan datang. Ketinggian daya fikir untuk menyampaikan sesuatu perkara memerlukan penggunaan bahasa yang betul dan menepati tradisi keilmuan tersebut.

      Secara ringkasnya, hal-hal yang berkaitan aspek kecemerlangan pendidikan merupakan mekanisme ampuh dalam usaha meningkatkan kualiti penggunaan yang lebih betul dan tepat. Daya fikir berbahasa menjana intelek seseorang sehingga mampu dipaparkan dan dipancarkan sama ada secara lisan mahupun tulisan. Oleh hal yang demikian, medium bahasa amat signifikan untuk menjelaskan kebijaksanaan dan ketajaman fikiran.

     Kesinambungannya, kempen Membaca Amalan Kita, Bangsa Membaca Bangsa Berjaya dan banyak lagi usaha yang cuba diketengahkan oleh kerajaan untuk memakmurkan amalan membaca sekali gus memperkaya penggunaan bahasa Melayu. Amalan membaca dalam kalangan masyarakat di Malaysia masih belum berada pada tahap yang memberangsangkan. Budaya dan amalan membaca perlu ditingkatkan antara langkah yang dicadangkan oleh Datuk Nafisah Ahmad, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, iaitu dengan memperuntukkan masa sekurang-kurangnya sejam sehari untuk Malaysia muncul sebagai negara pembaca.

      Sehubungan dengan hal itu, pembaca boleh memilih strategi yang sesuai dengan keperluan semasa membaca. Dalam usaha untuk membudayakan membaca, pembaca perlulah memiliki strategi membaca yang sesuai agar tujuan membaca akan dapat dicapai dengan berkesan. Selanjutnya, tindakan ini akan melahirkan masyarakat yang peka terhadap isu semasa dan penggunaan bahasa yang tepat, di samping dapat mewujudkan masyarakat berpengetahuan, serta akan menggambarkan kematangan masyarakat tersebut.

     Sebagai kesimpulannya, proses membina daya fikir berbahasa sesungguhnya tidak ada titik nokhtah. Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu, usaha untuk meningkatkan martabat bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dilaksanakan secara berterusan dengan perancangan yang lebih agresif dan terarah. Maka, hasrat ini seharusnya menjadi unsur pembinaan jati diri rakyat Malaysia untuk membina satu tamadun dan bangsa yang tinggi. Keunggulan bahasa Melayu harus dipasak dengan semangat dalam jiwa bermula di bangku sekolah lagi.

Siti Nur Hidayah Othman Bakar

Pemerkasaan Bahasa dan Persuratan Melayu Tonggak Pemartabatan Bangsa Bertamadun Tinggi

Oleh Azizul Haji Ismail

Salah satu penanda aras menjadi bangsa yang bertamadun dan berperadaban tinggi ialah sesuatu bangsa itu perlu mempunyai budaya penggunaan bahasa tinggi dan sejarah persuratan yang “besar” untuk menjadi rujukan serta kebanggaan sehingga generasi pada masa kini. Dalam konteks peradaban dan ketamadunan bangsa Melayu, bahasa dan persuratan Melayu telah berkembang maju selari dengan sejarah keagungan bangsa tersebut melalui pembinaan kerajaan, wilayah, dan empayar yang ersifat kerajaan maritim di alam atau Kepulauan Melayu. Bahasa dan persuratan Melayu sebenarnya mendapat kedudukan tinggi dalam pelbagai ranah semenjak 2000 tahun dahulu apabila tertubuhnya kerajaan Melayu awal, iaitu Funan, Campa, Kesultanan Melayu Melaka, Pasai, Johor-Riau, Patani, Brunei dan Aceh.

     Pada masa tersebut, bahasa Melayu digunakan hampir dalam segala lapangan kehidupan masyarakat yang merangkumi pentadbiran, undang-undang, diplomasi, perdagangan, keagamaan, dan ilmu serta pendidikan. Bahasa Melayu juga telah menjadi lingua franca bukan sahaja di alam Melayu, malahan melangkaui di luar alam tersebut, khususnya dalam bidang perdagangan dan penyebaran agama Islam. Sifat bahasa Melayu yang “liberal” dan keterbukaan membolehkan bahasa tersebut tidak “mati”, malahan semakin berkembang sehingga pada hari ini.

     Bahasa dan persuratan Melayu pada masa dahulu telah memainkan peranan penting dalam pengajaran dan pandangan hidup para pemerintah serta masyarakat secara keseluruhannya bagi memastikan kesejahteraan dan keharmonian hubungan golongan pemerintah dengan rakyat terpelihara. Hal ini disebabkan hubungan orang Melayu dengan rajanya amat rapat dan saling bergantungan dari zaman dahulu sehingga sekarang, selaras dengan ungkapan “Raja dan Rakyat Berpisah Tiada”. Bagi tujuan itu, penghasilan karya agung dalam persuratan Melayu telah dijadikan asas bagi memastikan bangsa Melayu mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan tamadun besar bangsa lain.

Petikan rencana dipetik dari majalah Dewan Bahasa keluaran Mac

Keteguhan Bahasa Melayu Sepanjang Zaman

 

Perkaitan antara bahasa dengan persuratan sentiasa berkait rapat. Melalui bahasa, terluah pemikiran yang kemudiannya dirakam dalam bentuk penulisan. Perkara ini boleh dilihat melalui pembentukan idea, gagasan, ilmu, sejarah, siasah, ekonomi, perundangan, agama, teknologi, sains dan seumpamanya dicatat dalam bentuk tulisan sebagai dokumen sahih dan berwibawa untuk pelbagai tujuan.

      Keupayaan menguasai sesuatu yang mampu menerbitkan pengaruh menyerlahkan keintelektualan sesuatu tulisan bergantung pada bahasa yang digunakan. Keindahan dan roh sesuatu bahasa pula tercitra melalui kepersisan bahasa berkenaan dalam apa-apa juga maklumat, di samping menonjolkan ketinggian dan kehalusan budi bahasa penulis dan masyarakat sekelilingnya. Dalam alam Melayu, ketinggian nilai bahasa sebagai wahana penyampaian ilmu dapat ditelusuri berdasarkandokumen persuratan Melayu lama seperti Hukum Kanun Melaka, Undang-undang Laut, Hikayat Raja Pasai, dan sebagainya. Dokumen ini menjadi contoh bahasa Melayu mampu berkembang mengikut peredaran zaman.

     Kewibawaan dan kecendekiaan bangsa Melayu dibuktikan melalui penerimaan bukan sahaja masyarakat dalam negara, malah masyarakat antarabangsa yang mengkaji hasil tulisan dan pemikiran di sebalik bahan tulisan berkenaan. Tambahan pula, sesetengah dokumen dijadikan tesis untuk memperoleh kesarjanaan dalam bidang akademik. Tidak terbatas setakat itu, Hukum Kanun Melaka dijadikan asas pendrafan kanun antarabangsa. Hal yang sedemikian ini jarang-jarang dilihat dan dibincangkan dalam ranah ilmu.

     Demikianlah bahasa dan persuratan berperanan menganjak tahap keintelektualan sesuatu bangsa kepada tahap yang lebih maju dan berdaya saing mengikut peredaran zaman. Bahasa yang maju seiring dengan era globalisasi turut menuntut perubahan dinamik dan mampu berinovasi dipersada antarabangsa.

Siti Nur Hidayah Othman Bakar

Menenun Busana Bangsa

 

Sememangnya sukar untuk membaca dan mentafsir pemikiran masyarakat kita dalam era digital. Keterujaan dan ketaasuban terhadap sesuatu yang bukan menjati dalam diri dan jiwa membiaskan nilai-nilai tradisi yang selama ini mendarah daging dalam diri. Nilai yang memberikan tafsiran penampilan yang tersirat mempersalinkan masyarakat dengan busana yang amat indah dan berharga. Namun, kemasukan unsur-unsur dan nilai-nilai yang dianggap “terhangat di pasaran”, sedikit demi sedikit mencarikkan sutera halus busana bangsa dan mengakibatkan kebejatan yang sukar dibaiki.

    Apabila dilontarkan isu nilai tradisi yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, tidak ramai yang akan ambil endah. Malah, tidak kurang pula yang melihat hal yang sedemikian itu tidak membawa wajaran yang berat untuk diperkatakan. Pada pandangan sesetengah pihak pula, nilai-nilai berkenaan dirangka, dibincang, dipersetujui dan diterapkan dalam bentuk dokumen sebagai garis panduan pada masa dan ketika itu. Dalam era yang memperlihatkan perkembangan pesat dalam pelbagai ranah, ada agenda lain yang lebih primer dan perlu diberikan perhatian dan tindakan yang sewajarnya. Antara isu penting termasuklah kaedah dan pendekatan untuk menganjak negara ke pentas dunia serta melahirkan generasi baharu yang, apabila berdiri di astaka antarabangsa, duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan tokoh-tokoh lain seantero dunia. Untuk menzahirkan hasrat dan wawasan ini, generasi hari ini harus menguasai dan memahirkan diri dalam pelbagai bidang ilmu khususnya bidang sains dan teknologi. Untuk itu, pengetahuan dalam bahasa pengantar ilmu yang paling dominan, iaitu bahasa Inggeris perlu diperkukuh.

     Lantaran itu, kaedah yang dilihat paling relevan ialah, “menambah baik” atau “mentransformasikan” sistem pendidkan yang sedia ada dengan dasar memperkasakan bahasa Melayu  dan memperkukuhkan bahasa Inggeris. Sememangnya kaedah ini dilihat sebagai serampang dua mata. Di bawah dasar ini program dwibahasa (DLP) dirangka dan dilaksanakan, bertujuan untuk menyokong penguasaan kemahiran berbahasa Inggeris dalam kalangan murid melalui peningkatan masa pendedahan kepada bahasa Inggeris secara tidak tidak langsung. Dengan pengukuhan dwibahasa seseorang murid, DLP boleh memberikan peluang kepada murid untuk meningkatkan kebolehpasaran di alam pekerjaan.

Mohidin Haji Malek

Bahasa Busana Bangsa

Oleh DILAH TUAH

Sejak sekian lama, bahasa telah memainkan peranan yang cukup penting dalam penentuan identiti sesuatu bangsa. Keyakinan ini turut disandarkan melalui ungkapan seperti “bahasa jiwa bangsa”, “bahasa menunjukkan bangsa” dan “bahasa busana bangsa”. Hal yang sedemikian ini bertepatan dengan pandangan Clara Lee Brown (2009) dalam Heritage Language and Ethnic Identity: A Case Study of Korean-American College Student, yang mengatakan bahawa bahasa dan etnik merupakan sesuatu yang tidak dapat dipisahkan. Di samping itu, dalam konteks kajian sosiolinguistik, bahasa bukan sekadar dikaji daripada aspek bunyi sebutan dan ejaan semata-mata, tetapi turut mencakupi faktor budaya dan masyarakat yang memiliki bahasa tersebut. Hal ini dikatakan sedemikian kerana sesuatu bahasa yang wujud pada hari ini membawa bersama roh bangsa yang memilikinya.

     Kepentingan bahasa sebagai penentu identiti bangsa tidak dapat disangkal. Menurut Hassan Ahmad (2004) dalam Bahasa Melayu dan Minda Melayu: Satu Tinjauan Kritis, dalam ilmu antropologi, salah satu ciri yang membezakan satu kumpulan etnik dengan kumpulan etnik dengan kumpulan etnik yang lain ialah bahasa. Justeru, tidak hairanlah dalam satu tinjauan yang dilaukan di 15 buah negara di Eropah pada tahun 2016 mendapati 10 buah negara amat bersetuju bahawa keupayan bertutur dalam bahasa kebangsaan merupakan penentu identiti seseorang. Selain itu, dalam tinjauan yang dilakukan oleh Pew Research Center pada April-Mei 2016, juga mendapati negara-negara seperti Netherland, Britain, Hungary, Amerika Syarikat, Itali dan Kanada, juga bersetuju bahawa identiti kebangsaan hanya dapat dilihat apabila seseorang berupaya bertutur dalam bahasa kebangsaan. Berdasarkan tinjauan tersebut, jelas membuktikan bahawa kedudukan bahasa sebagai penentu identiti bangsa tidak dapat diketepikan dengan sewenang-wenangnya.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Februari