Memperkasakan Sinergi, Memartabatkan Bahasa Melayu

Agenda Bahasa Fokus

OLEH: JAAFAR HAJI HAMDAN

 Usaha memartabatkan bahasa Melayu perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Usaha ini harus dilihat dalam konteks yang luas yang merangkumi aspek kenegaraan, kemajuan dan peradaban. Kenegaraan sewajarnya yang ditunjangi dengan jati diri, kemajuan yang berpaksikan acuan sendiri dan peradaban yang tinggi keilmuan tradisinya.

          Dunia pascaglobalisasi kini meletakkan maklumat sebagai asas percaturan baharu penjajahan minda. Wahananya melalui bahasa Inggeris yang dicorakkan dengan simbol sensasi dan populariti sehingga percaturan itu membawa bersama-samanya sifat dan sikap budaya yang menunjanginya. Tanpa sedar, sifat dan sikap budaya itu diterima  oleh pengguna bahasa berkenaan dengan menjadikan nilai sensasi dan popularitinya sebagai suatu keutamaan.

          Oleh hal yang demikian, dalam arus perkembangan maklumat yang cukup deras dan pantas ini, bahasa Melayu berdepan dengan cabaran yang bersilih ganti. Cabaran yang sentiasa membatasi peranan dan tanggungjawabnya, cabaran yang menidakkan keupayaan mutlaknya serta cabaran yang meminggirkan wibawanya, sama ada sebagai bahasa rasmi, bahasa perpaduan, bahasa ilmu atau bahasa komunikasi. Bahasa Melayu seakan-akan berlegar dalam lingkaran kepungan sensasi dan populariti yang dijelmakan melalui bahasa Inggeris.

Mengebat Buhul Kerjasama

Bicara Bahasa Nota Editor

Mary Parker Follet menyatakan ‘pengurusan merupakan seni melaksanakan sesuatu perkara melalui sumber manusia”. Beliau yang merupakan petugas sosial, jururunding pengurusan dan peneraju dalam bidang teori organisasi (organizational theory) dan kelakuan organisasi (organizational behaviour) mengakui bahawa masyarakat bersifat holistik dan mengemukakan idea hubungan timbal balik untuk memahami aspek dinamik individu dalam konteks jalinan perhubungan. Follett mendukung prinsip yang beliau istilahkan sebagai “integrasi”, atau “perkongsian kuasa tanpa paksaan” berdasarkan penerapan konsep yang beliau kemukakan, iaitu “kuasa bersama” berbanding “kuasa terhadap”.

           Berdasarkan petikan kata-kata Follet serta gagasan prinsip yang beliau ketengahkan, jelas bahawa dalam apa jua proses pengurusan, manusia merupakan faktor pemacu kejayaan pelaksanaan sesuatu tugasan atau kegiatan. Dalam konteks ini, pemahaman tentang sifat dan naluri manusia amat penting bagi melakar dan merencanakan kaedah terbaik bagi mencapai hasrat dan cita-cita. Sudah pastinya, pengetahuan tentang batasan bidang kuasa dan autoriti amat penting kerana, setiap manusia mempunyai naluri ingin bebas daripada terbelenggu, namun akan mudah dipujuk melalui kaedah perkongsian kuasa serta autoriti di samping mewujudkan suasana menang-menang.

          Dalam konteks pemartabatan dan pemasyarakatan bahasa Melayu, rangkaian kerjasama yang luas, malah supranasional sifatnya, amat penting. Kekuatan dan kesepakatan jitu yang diterjemahkan lewat Peristiwa Keranda 152 merupakan testimoni bagaimana gema laungan satu tekad dan azam mampu mencorakkan masa hadapan bahasa Melayu. Namun, dalam konteks semasa, gema tekad dan azam tidak perlu diterjemahkan dalam bentuk protes jalanan, akan tetapi melalui penjalinan serta pengukuhan kerjasama erat serta kolaboratif pintar dalam kalangan setiap ahli masyarakat, pertubuhan, organisasi, jabatan, waima kementerian sekali pun.

          Dewan Bahasa dan Pustaka, sebagai badan yang diamanahkan tanggungjawab oleh kerajaan melalui Akta Dewan Bahasa 1959 (pindaan dan peluasan 1995) untuk memasyarakatkan dan memartabatkan bahasa Melayu tidak akan berjaya menterjemahkan hasrat dan cita-cita ini, waima dengan pemberian kuasa autonomi, andai kata tiada sambutan daripada masyarakat serta pihak-pihak berwibawa. Jalinan kerjasama dalam pelaksanaan kegiatan kebahasaan amat penting bagi menyemai nilai kecintaan terhadap bahasa, sastera dan budaya Melayu. Konsep “kuasa bersama” seperti yang digagaskan oleh Follet boleh dijadikan pegangan dalam merangka pelan tindakan strategik ke arah memartabatkan bahasa Melayu.

          Sikap menyendiri dan bergerak secara in toto tidak akan mampu memacu perkembangan bahasa Melayu. Di samping itu, untuk mengikis ketaasuban sesetengah pihak terhadap kehebatan bahasa asing memerlukan tindakan umpama kata pepatah lama, “ular biar mati, buluh tidak pukah, tanah tidak lekuk”.

         Memetik kata-kata Albert Camus, “Usah berjalan di belakangku; aku mungkin tidak akan memimpinmu. Usah berjalan di hadapanku; aku mungkin tidak akan mengikutimu. Berjalanlah di sampingku dan jadilah sahabatku.”

Kita Dan Bahasa (Bahagian Pertama)

Darihal Bahasa

OLEH: MOHD TARMIZI HASRAH

 Manusia merupakan “haiwan yang berkata-kata”. Dengan berkata-kata, manusia unik, lantas menjarakkan mereka daripada mahkluk lain. Benar, makhluk lain juga boleh “berkata-kata”, namun haiwan berkata-kata dalam bahasanya sendiri. Bagaimanakah rupa bahasanya, tiadalah kita pasti.

        Memang ada percubaan bagi merungkai bahasa lebah, ikan lumba-lumba, atau cimpanzi. Akan tetapi, walau segagah mana pun keringat dicurahkan, ternyata usaha tersebut tetap menemui jalan buntu. Hal ini demikian kerana walaupun dikatakan bahawa haiwan tersebut “berbahasa”, namun, realiti psikologi dan wahana keupayaan berbahasanya masih belum diketahui secara tuntas. Sehingga kini, kita tidak mengetahui apakah yang muncul dalam otak lebah ketika “berbahasa”. Kita juga tidak tahu sama ada bahasa lebah merupakan bahasa berlambang sebagaimana bahasa manusia.

        Keunikan manusia berkata-kata telah banyak dikemukakan oleh ahli falsafah dan ahli bahasa. Jadi, pemaparan satu bukti sahaja pun sudah mencukupi. Barangkali bukti ini agak terkenal, terutamanya dalam tradisi Cartesian, iaitu, kata-kata manusia dijana melalui “keterhinggaan” perkataan yang berupaya menjana ayat yang tidak terhingga.

Tiga Zaman, Satu Prinsip

Pustaka Bahasa Ulasan Buku

OLEH: MOHD RAZAN

Buku Sastera, Politik dan Masyarakat menghimpunkan esei nukilan Abdul Rahman Embong sekitar tahun 1960-an, 1990-an, dan 2000 yang pernah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka melalui penerbitan majalahnya, iaitu Dewan Bahasa, Dewan Masyarakat, Dewan Budaya, dan Dewan Sastera. Bertepatan dengan judulnya yang bersifat umum esei-esei yang termuat dalam buku ini memiliki tema yang pelbagai dan hampir setiap kali, tema-tema yang disentuh itu tidak terlepas daripada berkaitan antara satu dengan yang lainnya. Antara tema utama yang dapat dikesan termasuklah persoalan sosiobudaya, politik, sosioekonomi, falsafah, dan kesusasteraan. Sungguhpun tema-tema ini tidak diikat dalam sebuah perbahasan panjang yang lebih komprehensif, namun, pancaran idea yang dapat ditemukan dalam kesemua esei tersebut membentuk suatu keharmonian sepanjang pembacaan.

            Buku ini dibahagikan kepada dua bahagian utama. Bahagian pertama lebih tertumpu kepada persoalan yang bersifat tempatan, iaitu sekitar dinamika kesusasteraan, suasana dan masalah masyarakat sekitar tahun tersebut, dan cita-cita pembentukan bangsa. Kebanyakan esei dalam bahagian ini ditulis ketika penulis bergelar mahasiswa sekitar pertengahan 1960-an. Sesuai dengan umurnya pada ketika itu, gaya penulisan diterjemahkan dalam esei-esei era 1960-an ini bersifat lebih lantang dan bersemangat. Misalnya dalam esei “Hubungan Gejala Masyarakat dengan Ciptaan dan Perkembangan Sastera” yang pernah diterbitkan pada April 1967, penulis sedikit sebanyak membahaskan dinamika kesusasteraan dan sifatnya melalui sudut pandang dialektik. Dalam hal ini, seseorang pengkarya dilihat sebagai individu yang turut serta dalam pergolakan masyarakat serta memahami keadaan masyarakat di sekelilingnya. Penulis menganggap karya sebagai “pencerminan masyarakat zamannya; satu kelahiran masalah-masalah manusia, penderitaan, persoalan peribadi yang rumit, harapan dan cita-cita.” Ringkasnya, melalui kaca mata penulis, seorang pengkarya mempunyai tanggungjawab untuk mengungkapkan permasalahan masyarakat melalui karya-karya yang disandarkan kepada keghairahan terhadap kesenian itu sendiri.

Apabila Dua Huruf Alif Bertemu

Khas

OLEH: MUNSYI JAWI

Secara amnya, kata-kata bebas yang membentuk rangkai kata umum, termasuk rangkai kata khusus dan kata majmuk, ditulis terpisah. Hal ini dapat dilihat pada contoh perkataan seperti “terima kasih” dan “tengah hari”. Begitu juga halnya dengan perkataan seperti “ibu bapa” dan “miskin kaya” yang dikategorikan sebagai rangkai kata setara. Kedua-dua perkataan ini ditulis terpisah sebagaimana perkataan yang membentuk simpulan bahasa. Antara contoh kata-kata yang membentuk simpulan bahasa ini termasuklah “makan angin” dan “pilih kasih”. Bagaimanakah pula halnya dengan kata-kata yang dieja serangkai sebagai bentuk yang telah mantap seperti “antarabangsa” dan “setiausaha”? Inilah antara persoalan yang bakal dibincangkan dalam keluaran ini dengan tumpuan kepada kes yang melibatkan pertemuan dua huruf alif.

Pembentukan kata menerusi proses pemajmukan pada dasarnya tidak mengubah ejaan perkataan asal yang membentuknya. Contohnya, perkataan “tengah hari” dieja ta-nga-ha ha-alif-ra-ya dan perkataan “ibu bapa” dieja alif-ya-ba-wau ba-alif-pa. Demikianlah juga dengan perkataan “antarabangsa” yang dieja alif-nun-ta-alif-ra-alif-ba-nga-sin-alif biarpun perkataan ini dieja serangkai.

Kualiti Terjemahan Berdasarkan Aspek Linguistik Dalam Filem

Penterjemahan

OLEH: CORETTA HERLIANA ANAK KURA

Perkembangan penterjemahan sari kata di Malaysia sama ada dalam kaca televisyen atau di pawagam dilihat semakin memberangsangkan. Terdapat penonton yang berpendapat mereka lebih suka menonton program asing yang mempunyai sari kata berbanding program yang dialih bahasa kerana mereka berpeluang secara tidak langsung mengenali bahasa asing tersebut dan mempelajari frasa ringkas dalam bahasa tersebut.

         Menurut Diaz Cintas (2008), penterjemahan audio visual memerlukan kemahiran yang seimbang daripada seseorang penterjemah dalam aspek teori dan aplikasi kerana tingkat kefahaman penonton menjadi kayu ukur untuk memastikan terjemahan tersebut berjaya mencapai matlamat. Masalah utama berkaitan penilaian kualiti terjemahan adalah disebabkan ketiadaan garis panduan yang khusus bagi menentukan kualiti terjemahan. Terdapat beberapa kesalahan yang sering dilakukan oleh penterjemah semasa menterjemah sari kata daripada bahasa sumber kepada bahasa sasaran dari segi aspek linguistik.

        Karl Buhler (1990) mentakrifkan penterjemahan audio visual sebagai bahasa yang digunakan secara serentak untuk melambangkan sesuatu perkara secara objektif. Keperluan penterjemah perlu mematuhi standard tatabahasa, gaya bahasa, serta norma leksikal dan semantik dalam bahasa sasaran menjadi salah satu syarat utama untuk digandingkan secara koheren dalam penilaian kualiti terjemahan dari segi aspek linguistik.

Bahasa Sanskrit Dalam Dunia Melayu

Iktibar Bahasa

OLEH: AWANG AZMAN AWANG PAWI

Sumber Cina pada tahun 132 Masihi memberikan perspektif yang meluas tentang pengaruh bahasa Sanskrit dalam alam Melayu. Menurut sumber tersebut, seorang raja bernama Yetiao telah mengirimkan duta kepada maharaja Cina dan menyerahkan ufti. Sumber tersebut menyatakan Yetiao ialah nama bagi Jawadvipa dan nama rajanya pula ialah Dewawarman atau dalam teks Cina ditulis sebagai Tiao-pien.

         Dalam bahasa Sanskrit Jawadwipa bermakna Pulau Padi dan ini pernah disebut dalam epik Hindu Ramayana. Menurut epik tersebut, Jawadvipa menaungi tujuh kerajaan, Pulau Emas dan Perak yang merupakan salah satu tempat yang jauh dan kaya dengan emas. Di pulau Jawa itu terdapat gunung Cicira yang pernah dikunjungi dewa dan raksasa. Ahli geografi Yunani bernama Ptolemeus mengenali Pulau Jawa sebagai Labadiu yang bermaksud Pulau Padi berdasarkan versi Prakrit (Vlekke, 1961). Ptolemues dari Alexandria ialah orang Barat pertama mencatatkan keadaan kepulauan dunia Melayu.

         Prasasti tertua di Indonesia ditemui pada awal abad kelima, di Muara Kaman yang tidak jauh dari Sungai Mahakam, Kalimantan Timur. Prasasti itu merupakan suatu peninggalan kerajaan lama yang menggunakan bahasa Sanskrit. Prasasti ini ditulis atas arahan Raja Mulawarman yang menyebut nama bapanya sebagai Asvavarman dan datuknya bernama Kundungga (Vlekke, 1961). Berdasarkan nama yang dicatatkan pada prasasti itu, didapati bahawa nama berkenaan merupakan gabungan nama daripada bahasa Sankrit dan Indonesia. Kudungga bukanlah nama daripada bahasa Sanskrit manakala Mulawarman mewakili nama daripada bahasa Sanskrit. Di sinilah dapat dilihat unsur-unsur asimilasi mula berlaku dalam sejarah sejak sekitar 400 Masihi dan dinasti itu berasal dari Indonesia.