Bahasa Melayu Sirat Perpaduan

Oleh Mohidin Haji Malek

“Tindakan ialah kemahiran berbahasa”. (Action is eloquence). Demikian antara petikan kata sasterawan terkemuka British, William Shakespeare (1564 – 1616) yang telah menghasilkan beberapa karya yang menjadi tatapan dan bicara umum. Antara karya beliau yang popular termasuklah Romeo and Juliet, Hamlet, Macbeth, Othello, dan The Merchant of Venice. Untuk mentafsir petikan kata-kata Shakespeare tidak semudah apa yang difikirkan. Shakespeare memiliki pandangan yang amat tajam dan kata-katanya menyirat seribu makna. Namun, kita hanya mampu mentafsirkan kata-kata beliau berdasarkan pemahaman kita tentang konteks, makna, dan kias setiap patah perkataan. Sememangnya andai difikirkan secara rasional, setiap tindakan manusia berdasarkan kata-kata yang terucap. Kebolehan atau kepetahan seseorang meluahkan pandangan, pendapat, kehendak, atau kemahuan, mampu menerbitkan tindak balas atau respons dalam bentuk tindakan, tidak kira positif atau negatif sifatnya. Pun demikian, melihat dan menautkan dengan konteks perkataan eloquence, terserlah unsur kesatuan, kelancaran, kesinambungan, kesempurnaan serta keindahan yang mampu menghasilkan keharmonian dan kedamaian. Seandainya tindakan yang dilakukan lancar dan serlah kesepaduannya, secara empirik kita memaparkan rasa hormat dan kebanggaan kita terhadap mereka yang berada di sekeliling kita serta produk, perkhidmatan dan penyelesaian yang kita tawarkan. Secara tidak langsung kita memperkukuh hubungan, membina kepercayaan, dan hal yang lebih penting, kita merangsang konsep kerja berpasukan.

Apabila menaakul kata-kata Willaim Shakespeare,
erlintas dalam fikiran penulis tentang tautannya dengan bahasa sebagai sirat atau jambatan perpaduan masyarakat pelbagai kaum di negara ini, khususnya Sarawak, di samping berperanan sebagai medium perhubungan dan bahasa ilmu dalam pelbagai ranah. Hal ini terkait rapat apabila ranah siasah yang berhubung dengan penyatuan dan kesepaduan tindakan dan keputusan dicakup dalam aspek perbincangan.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran September

Cuitan dari Seberang

 

Cadangan pembentukan Malaysia membawa penyertaan Sabah (Borneo Utara), Sarawak, dan Singapura sebagai gabungan yang menzahirkan lahirnya sebuah negara bernama Malaysia. Namun, pada tahun 1965, Singapura berpisah dari Malaysia akibat ketidakpuasan hati Lee Kuan Yew yang menyalahkan Tunku Abdul Rahman atas kegagalan konsep Malaysian Malaysia. Pun demikian, Sabah dan Sarawak kekal dalam gabungan yang diilhamkan oleh Tunku. Hal ini berlandaskan Perkara 7 dalam Perjanjian 18 dan 20 Perkara Sarawak dan Sabah yang tidak memungkinkan kedua-dua negeri berkenaan berpisah dari Malaysia.

       Menyentuh isu bahasa, Perkara 2 dalam Perjanjian 20 Perkara bagi Sabah, digariskan bahawa bahasa Melayu harus dijadikan bahasa kebangsaan persekutuan. Penggunaan bahasa Inggeris harus diteruskan untuk tempoh sepuluh tahun selepas
Hari Malaysia. Bahasa Inggeris harus digunakan sebagai bahasa rasmi Borneo Utara untuk semua tujuan berkaitan dengan negeri dan persekutuan, tanpa had masa. Manakala, bagi Sarawak ditetapkan bahawa bahasa Melayu hendaklah dijadikan bahasa rasmi di persekutuan dan bahasa Inggeris pula hendaklah digunakan dalam tempoh sepuluh tahun selepas Hari Kemerdekaan Malaysia.

       Bermula tahun 1971, Sabah telah mengiktiraf penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di negeri ini. Kerajaan negeri Sabah pada ketika itu mengumumkan enakmen yang mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Di Sarawak, Dewan Undangan Negeri Sarawak telah meluluskan usul penggunaan bahasa Melayu, selain bahasa Inggeris, sebagai bahasa rasmi dalam urusan pentadbiran pada tahun 1974. Pada bulan Mei 1985, isu bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tunggal dibahaskan sebelum pengisytiharannya dibuat di Dewan Undangan Negeri.

Mohidin Haji Malek

Merdeka Bangsa Merdeka Bahasa

Oleh Dilah Tuah

Pada 31 Ogos 2016, genap 59 tahun Malaysia terlepas daripada belenggu penjajahan British. Sepanjang tempoh tersebut, bahasa Melayu telah menjadi wadah terpenting untuk menyemarakkan semangat patriotisme orang Melayu, iaitu menuntut, memperoleh, dan mengisi kemerdekaan itu sendiri. Perjalanan panjang bahasa Melayu, bukan hanya bermula pada tahun 1957, tetapi telah diwarisi daripada peradaban Melayu yang unggul, sejak abad ketujuh Masihi. Selepas kemerdekaan Malaysia, bahasa Melayu telah diberikan fungsi yang cukup istimewa, iaitu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara. Di samping itu, bahasa Melayu turut berperanan sebagai alat perpaduan dalam pembentukan negara bangsa Malaysia yang diwarnai oleh kepelbagaian kaum dan budaya. Penerimaan kaum lain terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia merupakan salah satu kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama sejak enam dekad yang lalu.

           Namun begitu, sejak kebelakangan ini, kedudukan bahasa Melayu di Malaysia dilihat mengalami perubahan status yang cukup ketara. Peranannya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa pengantar dan bahasa ilmu mula dipersoalkan oleh generasi muda yang tidak pernah kenal erti kemerdekaan yang sebenar. Fungsi bahasa Melayu sedikit demi sedikit telah diambil oleh bahasa Inggeris atas tiket pembangunan dan kemajuan bangsa. Malah,beberapa dasar baharu kerajaan yang berkaitan dengan bahasa kebangsaan turut tidak memberikan kelebihan kepada bahasa Melayu, sebagai bahasa yang mendapat pengiktirafan dalam Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan. Hal ini bukanlah sesuatu perkara yang baharu
kerana dari dahulu lagi, suara-suara antagonis bahasa Melayu telah mula mencari ruang dan peluang untuk melemahkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Ogos

Logamaya Jiwa Merdeka

 

Ogos menjengah lagi dan semangat patriotisme kembali menghuni
sejenak jiwa rakyat, umpama hadirnya Aidilfitri. Ruapan dan gejolak
rasa menyambut ulang tahun kemerdekaan negara diterjemahkan
lewat kibaran Jalur Gemilang pada premis kediaman, pejabat,
kilang, tempat ibadat, pagar, tiang, kenderaan, dan tempat-tempat lain. Gema lagu patriotik berkumandang melalui media elektronik bagi menyuburkan jiwa yang kering dan kontang semangat kebangsaannya. Kemuncaknya, pengiraan detik tengah malam, konsert ambang merdeka, serta permainan bunga api. Siangnya pula perbarisan raksasa yang penuh gilang-gemilang.

         Memadaikah terjemahan semangat patriotisme melalui sambutan yang sedemikian sifatnya? Tekalkah semarak api nasionalisme dan patriotisme dalam kalangan bangsa Malaysia, khususnya golongan generasi muda, ataupun kobar semangat itu umpama gah dan gemilangnya acara sambutan yang pada penghujungnya menghadirkan sampah sarap untuk dikutip dan dibersihkan oleh pekerja-pekerja pihak berkuasa tempatan? Apakah erti kemerdekaan dan harga itu difahami sepenuhnya oleh setiap warga? Atau mungkin perkataan “merdeka” bersinonim dengan bulan Ogos atau tidak ubah umpama kata pikat (punch line) yang ditautkan dengan iklan sesuatu produk atau perkhidmatan?

         Merdeka terlalu luas cakupannya dan bukan sekadar bermaksud bebas daripada belenggu penjajahan kuasa asing. Merdeka turut menyentuh aspek pemikiran, tindakan, amalan, anutan, kepercayaan, kesetiaan, kehormatan, keluhuran, kecintaan, dan sebagainya. Apakah maknanya sambutan kemerdekaan setiap tahun andai kata erti kemerdekaan itu tidak dijiwai sepenuhnya dan akhirnya menghadirkan warga sebuah negara merdeka yang masih terjajah intelek, emosi dan spiritualnya akibat virus taasub dan pengagungan terhadap “kelebihan dan keistimewaan” warisan penjajah?

Mohidin Haji Malek

60 Tahun DBP Meredah Samudera Pemartabatan Bahasa dan Persuratan Melayu di Malaysia

Oleh AZIZUL HAJI ISMAIL dan VIJAYALETCHUMY A/P SUBRAMANIAM

Pada 22 Jun 2016 genap 60 tahun usia Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai badan perancangan bahasa Melayu yang tunggal dalam negara ini. Jika dinilai dari segi umur manusia, peringkat umur tersebut telah mencapai tahap usia “warga emas” ataupun umur bersara wajib bagi anggota perkhidmatan awam di Malaysia. Namun, usaha pemartabatan bahasa Melayu di negara ini tidak mempunyai noktah penghujung sejak DBP ditubuhkan pada 22 Jun 1956, yang lahir daripada suara keramat rakyat yang pada masa itu mahukan bahasa Melayu dibela di bumi bertuah ini. Hal ini dikatakan demikian disebabkan elemen bahasa merupakan tonggak pembinaan negara bangsa dan merupakan lambang kemerdekaan sejati negara, yakni bebas daripada imperialisme dalam pelbagai bentuk, termasuk imperialisme bahasa oleh negara penjajah.

         Pada masa kini dan masa akan datang, DBP perlu terus ampuh dan relevan dalam arus perdana bagi memastikan peranan DBP sebagai badan yang memegang amanah untuk memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu dalam negara akan terus “dimuliakan” oleh seluruh rakyat Malaysia. Malahan, tanggungjawab DBP tersebut juga merupakan “tiang seri” kepada elemen asas, yakni unsur tradisi dalam Perlembagaan Persekutuan seperti yang terkandung dalam Perkara 152. Jika “roboh” salah satu tiang seri tersebut maka akan musnahlah pembinaan negara bangsa sejak negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Pencapaian Pemartabatan Bahasa dan Persuratan Melayu di Malaysia

DBP telah berjaya memainkan peranan pembinaan bahasa dan persuratan Melayu yang merupakan elemen perancangan korpus dalam konsep perancangan bahasa di sesebuah negara. Dalam hal yang amat penting bagi “memandaikan” rakyat Malaysia ini, DBP mestilah menyediakan prasarana ilmu yang cukup kepada rakyat. Penyediaan prasarana tersebut dilaksanakan di bawah tiga fungsi utama, iaitu perkamusan, peristilahan dan leksikologi, dan ensiklopedia. Antara “berita kejayaan” program tersebut termasuklah penyusunan kamus ekabahasa, penyusunan kamus bahasa sukuan, penyusunan ensiklopedia dan penyusunan 31 buah daftar, glosari, dan kamus istilah dalam pelbagai bidang ilmu, bermula daripada istilah ukor (1965) sehinggalah penggubalan istilah dalam bidang aeroangkasa, roket, AIDS serta istilah yang relevan dan menyeluruh dalam aspek kehidupan masyarakat pada masa kini.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Julai

Meluhurkan Warisan Leluhur

 

Perlembagaan ialah undang-undang dasar pemerintahan negara.
Dengan kata lain, perlembagaan menentukan cara atau sistem
pemerintahan sesebuah negara. Malaysia merupakan salah sebuah
negara yang mengamalkan konsep konstitusionalisme, iaitu sistem
atau prinsip pemerintahan berdasarkan perlembagaan. Perlembagaan yang digubal apabila negara memperoleh kemerdekaan daripada pemerintahan British bertujuan memastikan tadbir urus sebuah negara yang penduduknya terdiri daripada pelbagai latar kaum, budaya, amalan, dan adat resam mampu terlaksana dengan lancar dan harmoni. Lantaran itu, unsur-unsur tertentu yang dilihat sebagai komponen penting untuk memastikan kesefahaman, kesepaduan, kesepakatan, dan keharmonian diberikan penekanan dan perhatian khusus.

        Namun, untuk mendukung keluhuran Perlembagaan, tidak seharusnya wujud sikap dwistandard, apatah lagi dalam kalangan pemerintah, pentadbir, pendukung, dan pelaksana. Apa jua perkara yang dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan harus dipertahankan tanpa ada sifat prejudis, terutama sekali dalam hal mempertahankan keluhuran empat unsur tradisi yang merupakan roh kontrak sosial yang menjadi faktor utama untuk menjamin kestabilan, keutuhan, permaufakatan, kesepaduan dan keharmonian senantiasa terpelihara. Akan tetapi, sejak akhir-akhir ini, terkesan sikap dwistandard dan ketidakselarasan sesetengah pihak untuk mempertahankan keluhuran perlembagaan. Kobar semangat begitu tinggi dan laungan patriotik untuk mendukung hal yang dimaktubkan dalam perlembagaan lantang gemanya. Hujah diletakkan atas landasan menjaga kepentingan kaum yang majmuk sifatnya.

Mohidin Haji Malek

DBP Bestari: Menangani Masa Kini, Mendepani Masa Muka

Oleh Haji Abdul Adzis Abas
Ketua Pengarah DBP

Sebagai institusi yang lahir daripada perjuangan luhur dan semangat waja rakyat, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terus melangkah maju untuk melaksanakan kebertanggungjawaban dan peranannya membina, memajukan, serta memantapkan bahasa Melayu agar bahasa itu berkeupayaan menjadi bahasa moden yang dapat memainkan fungsinya sebagai bahasa pengantar pendidikan, ilmu, persuratan, urus tadbir negara, komunikasi, pengucapan budaya tinggi, serta bahasa penyatuan kaum-kaum di Malaysia.

Sepanjang 60 tahun kewujudannya, DBP telah berkembang pesat, daripada bangunan enam tingkat, kini bangunan 31 tingkat tersergam indah dan megah di tengah-tengah kota Kuala Lumpur – daripada dua pejabat cawangan, DBP terus menapak maju dengan tertubuhnya empat pejabat wilayah, yakni Selatan, Utara, Timur dan Tengah.

       DBP juga kini, sejauh yang berkaitan dengan bidang kebahasaan dan kesusasteraan Melayu, tekal menjadi institusi yang berintegriti, dan diiktiraf oleh pelbagai pihak berwenang, bukan sahaja di dalam negara, bahkan pada peringkat serantau serta antarabangsa. Lebih membanggakan, DBP kekal menjadi penerbit dalam bahasa Melayu yang terbesar, dan berwibawa.

          Seperti juga institusi-institusi kerajaan yang lain, kendati DBP harus berbangga dengan perkembangan dan kemajuan yang sudah dicapainya, namun DBP juga cukup berhati-hati tentang masa mukanya. Banyak cabaran yang harus didepani olehnya. Antara cabaran masa kini yang sedang DBP hadapi, sekali gus tangani dengan bijaksana termasuklah perubahan demografi rakyat Malaysia yang kian rencam, kemajuan teknologi informasi dan komunikasi yang semakin pantas dan canggih, perkembangan pendidikan semakin berorientasikan e-pengetahuan, keperluan bahan pengajaran dan pembelajaran yang berbentuk e-buku dan i-buku, pertumbuhan ekonomi yang tidak menentu, serta perubahan dasar-dasar kerajaan, di samping kehendak pelanggan yang kian pelbagai.

Rencana ini dipetik dari Dewan Bahasa keluaran Jun