Dampak Kolonialisme Portugis

Oleh AWANG AZMAN AWANG PAWI

Banyak catatan berkenaan Portugis kurang diketahui kerana kurangnya kajian mengenainya oleh sarjana tempatan termasuk sukar diperoleh dan ditulis dalam bahasa Portugis. Terdapat juga sumber yang terhad dan kajian yang diterjemahkan ke dalam bahasa Eropah lain, namun tidak diterjemahkan dalam bahasa negara di Asia Tenggara. Hakikatnya, bahasa Portugis dituturkan secara meluas di Asia Tenggara dan di India pada abad ke-16 dan ke-18. Menurut W. Giese, penggunaan bahasa Portugis kini hanya terbatas di Macau, Timor Leste dan beberapa bahagian di India. Penelitian tentang Portugis seharusnya dilihat dalam konteks yang luas agar gambaran tersebut mewakili zeitgeist atau “pandangan hidup” era Portugis yang berlangsung di rantau ini.

Sejarah Melaka tidak dapat dipisahkan dengan sejarah pendudukan Portugis. Meskipun sudah lebih lima ratus tahun kedatangan Portugis, kesan pendudukannya di Melaka masih dapat dilihat. Kampung Portugis yang terletak di Ujong Pasir, Melaka merupakan antara kesan peninggalan yang ditemui. Masyarakat di kampung ini didapati masih mengamalkan kebudayaan Portugis dan mempunyai sekitar 1500 orang penduduk daripada hampir 120 buah keluarga. Pesta San Juan dan Pesta San Pedro adalah antara aktiviti popular yang diraikan dan mendapat perhatian daripada pelancong tempatan. Tidak ramai yang mengetahui bahawa perkampungan ini bukan didirikan sejak tahun 1511, sebaliknya, idea untuk mewujudkan perkampungan ini pertama kali dikemukakan oleh Fr. J.P. Francois yang merupakan mubaligh agama dari Perancis dan bukannya Portugis.

Menurut Margaret Sarkissian, idea mewujudkan perkampungan tersebut terhasil bagi membantu orang Portugis yang kebanyakannya ahli gereja, miskin dan hidup di kawasan yang sesak serta bercampur dengan etnik lain di kawasan yang dikenali sebagai Praya Lane. Dalam kalangan orang Melayu, mereka dikenali sebagai orang Serani, Portugis dan Luso-Melayu. Bahasa mereka pula disebut Jenti Kristang.

Dalam sejarah kolonialisme Portugis, mereka menggalakkan tentera tempatan berkahwin dengan orang tempatan dan diberikan bantuan seperti wang perkahwinan dan dijanjikan hak kewarganegaraan. Portugis juga menjalin hubungan dengan kerajaan Sunda melalui perjanjian perdagangan khususnya lada serta membangunkan gudang dan kubu pertahanan di Sunda Kelapa. Mereka seterusnya melakukan pelayaran perdagangan hingga ke Kepulauan Maluku yang kaya dengan rempah di samping turut singgah di Madura, Bali dan Lombok. Hasil kerjasama dengan orang Jawa, mereka akhirnya tiba di Kepulauan Band, sebelum ke Ternate. Mereka dianggap sebagai orang Eropah pertama menemui Maluku.

Kekalahan Portugis kepada Sepanyol menyebabkan Sulawesi Utara diserahkan kepada Sepanyol. Apabila Portugis mengundur diri setelah diusir oleh Belanda melalui VOC, Portugis menguasai Timor pada tahun 1515 dan secara rasmi berada di bawah jajahan pentadbiran Portugis pada tahun 1702. Manakala pada tahun 1860, sebahagian Timor diserahkan kepada Belanda kerana kuasa Belanda merupakan kuasa kolonial yang kuat ketika itu.

Dalam suasana Portugis terlibat secara aktif dalam kegiatan perdagangan pada abad ke-17, Belanda telah menyekat Portugis daripada mempunyai hubungan perdagangan rempah secara langsung dengan Kepulauan Maluku. Hanya sebilangan kecil sahaja orang Portugis yang terus tinggal di Maluku dan terlibat dalam perdagangan entrepot di Makassar. Maka, berlakulah perkahwinan campur dan mereka juga sering membawa masuk hamba dari Koromandel dan Afrika Timur. Idea dan teknologi baharu seperti senjata dan calendar diperkenalkan dan berjaya membina jaringan perdagangan antarabangsa seperti di Macau, Canton, Timur dan Bima. Makassar menjadi Melaka kedua bagi orang Portugis dan telah dibenarkan untuk membina tempat ibadat mereka.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Oktober 2012.

Leave a Reply