Bahasa Membangunkan Akal Budi Bangsa

Oleh AMINUDIN MANSOR

Secara umumnya, dalam kehidupan harian, bahasa memainkan peranan penting. Bahasa melalui pertuturan, penulisan dan juga komunikasi akan melengkapkan kehidupan bermasyarakat. Tanpa bahasa manusia tidak dapat berkomunikasi dengan baik. Lantaran itu, bahasa dikatakan berperanan dan dapat membangun akal budi bangsa.

Konsep akal budi melalui bahasa dapat dilihat melalui akal anugerah Allah SWT yang istimewa kepada manusia. Akal manusia mempunyai batasan tertentu untuk bertindak, bergaul dan belajar mengikut fahaman dan anutan agama masing-masing. Bagi orang mukmin umpamanya, Allah SWT menganugerahkan akal yang disertakan dengan taufik dan hidayat.Manakala budi dalam al-Quran bermaksud adab, sopan santun serta orang yang berakhlak dan beriman. Hal ini dijelaskan dalam beberapa ayat tentang adab pergaulan orang mukmin terhadap Rasulullah SAW pada zaman baginda, yang menjadi pedoman dan pengajaran kepada orang Islam hingga sekarang.

Dari sudut pengertian, budi mempunyai pengertian yang amal luas. Menurut Teuku Iskandar, budi berasal daripada kata Sanskrit Buddhi bermaksud bijak, baik pekerti dan mulia atau intelektual (wisdom).

Bahasa Melayu terkenal dengan kesopanan, kesantunan dan kehalusan budi bahasa. Melalui bahasa, iaitu pertuturan dan penulisan yang baik dan tepat akan dapat membentuk akal budi bangsa. Rangkuman ketiga-tiga konsep di atas yang diamalkan dalam kehidupan harian dapat membentuk dan mendidik seseorang dalam percakapan dan penulisan.

Bahasa Melayu banyak dipengaruhi oleh akhlak Islam. Penggunaan kata seperti “assalamualaikum”, “alhamdulillah” dan “syukur” telah menjadikan seseorang itu bersopan santun dalam berbahasa. Kesantunan ini juga jelas tergambar apabila bangsa Melayu itu menuturkan perkataan itu dengan lembut dan bermakna. Syariat Islam dan akhlak sangat berkait rapat dengan bahasa. Nabi Muhammad SAW diutus menjadi rasul dengan tujuan utama untuk manusia menyempurnakan akhlak sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis, “Bahawasanya aku diutus Allah untuk menyempurnakan keluhuran akhlak (budi pekerti).” (Riwayat Ahmad).

Oleh itu, akhlak dan budi pekerti sangat berkait rapat dalam membangunkan akal budi sesuatu bangsa. Melalui pertuturan dan penulisan dengan bahasa yang berakhlak dan berbudi pekerti akan menjadikan seseorang itu sentiasa bersopan santun dalam menggunakan bahasa, khususnya bahasa Melayu yang menjadi bahasa penting dalam komunikasi seharian.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Oktober 2012.

Leave a Reply