Apalah Makna Bahasa Kebangsaan Jika Tidak Bermartabat

Keinginan kita untuk melihat bahasa kebangsaan benar-benar dimartabatkan  memang belum menjadi kenyataan. Bahasa kebangsaan masih tidak dihargai sebagaimana sewajarnya. Sebaliknya, sebahagian besar anggota masyarakat menganggap bahawa bahasa Inggeris lebih tinggi martabat atau darjatnya daripada bahasa kebangsaan. Dalam pelbagai acara rasmi, para pemimpin, misalnya, didapati masih cenderung berucap dalam bahasa Inggeris walaupun khalayaknya terdiri daripada bangsa atau kaum sendiri. Kehadiran seorang berdua bangsa asing sering dijadikan alasan untuk mewajarkan penggunaan bahasa Inggeris. Di sektor swasta pula, penggunaan bahasa Inggeris seolah-olah menjadi sesuatu yang mutlak diperlukan atas alasan perhubungan luar negara dan perdagangan antarabangsa.

Kecenderungan menggunakan bahasa Inggeris dalam acara atau pertemuan rasmi, dalam media massa, atau dalam pelbagai kegiatan bahasa memperlihatkan bahawa anggota masyarakat belum benar-benar menempatkan bahasa kebangsaan di kedudukan yang sewajarnya.

Usaha memartabatkan bahasa Melayu sebenarnya telah dijalankan sekian lama. Selama lebih setengah abad, bahasa Melayu telah menjadi salah satu asas pembinaan negara yang penting melalui tiga fungsi, iaitu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa ilmu. Melalui pelbagai akta, bahasa Melayu telah diletakkan pada tahap yang tinggi sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa rasmi. Namun, pengurangan fungsi dan peminggiran bahasa Melayu dalam bidang tertentu akibat perkembangan dan kemajuan kehidupan pada masa ini telah menjejaskan martabat bahasa Melayu. Dalam bidang pendidikan, misalnya, terutama sebagai sarana pemerolehan dan pengembangan ilmu pengetahuan moden, bahasa Melayu tidak lagi memiliki kedudukan yang tinggi pada mata masyarakat.

Oleh sebab itu, keyakinan terhadap wibawa bahasa Melayu perlu terus dibina dan ditingkatkan dari semasa ke semasa. Menurut Dr. Awang Sariyan, peningkatan martabat bahasa Melayu sebagai teras pembinaan bangsa Malaysia memerlukan perencanaan semula dalam beberapa aspek dan pada waktu yang sama memerlukan peneguhan dasar yang berkaitan dengannya. Antara langkah yang perlu diambil termasuklah penegasan dasar bahasa dan penguatkuasaan dasar bahasa secara bersepadu seperti pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi hendaklah ditegaskan semula supaya semua urusan rasmi dan majlis rasmi pada peringkat negara mengutamakan penggunaan bahasa Melayu, selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan. Penggunaan bahasa Melayu memang harus menjadi keutamaan. Jika tidak, apalah maknanya menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara sekiranya dalam pelbagai kegiatan kebahasaan, kita masih tetap mendahulukan bahasa Inggeris daripada bahasa Melayu!

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Oktober 2012.

Oleh ZUBAIDI ABAS

___

Leave a Reply