Martabatkan Bahasa Kebangsaan Kita

Oleh DIARANI MAT ADAM

Dengan tema “Satu Bahasa, Satu Bangsa, Satu Negara”, sekali lagi Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) Peringkat Kebangsaan dilancarkan pada 10 Oktober 2012. Pelancaran BBK ini disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd. Yassin di Stadium Tertutup Nilai, Negeri Sembilan. BBK merupakan salah satu acara tahunan negara yang dianjurkan bagi memperkasakan bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu. Tema BBK tahun ini berkaitan secara langsung dengan Dasar Bahasa Kebangsaan yang membentuk satu bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan keturunan.

Dalam ucapan pelancarannya, Muhyiddin menegaskan bahawa tema BBK 2012 ini bertepatan dengan usaha kerajaan yang menyeru warga Malaysia untuk menghargai bahasa kebangsaan sebagai tonggak tamadun negara dan budaya Malaysia. Katanya, penggunaan bahasa Melayu sebagai lingua franca perlu diberi penekanan supaya bahasa itu benar-benar menjadi tali pengikat semua rakyat berbilang kaum.

Muhyiddin menambah, “Kita perlu memartabatkan bahasa kebangsaan secara menyeluruh, selain memartabatkannya di peringkat kebangsaan. Kerajaan sentiasa menyokong penggunaan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa demi menjayakan matlamat Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan. Dalam mengharungi dunia globalisasi kini, penggunaan bahasa Melayu yang betul dilihat semakin terpinggir. Sering kali ejaan dan sebutan tidak digunakan dengan betul dalam siaran radio, televisyen, Internet, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan dalam laman sosial, seperti facebook dan twitter.”

Muhyiddin juga mengharapkan agar semua pihak mengambil inisiatif untuk terus memartabatkan bahasa kebangsaan kita. Tegas beliau, penggunaan “bahasa rojak” yang berleluasa menggambarkan situasi kehilangan bahasa dalam kalangan masyarakat, yakni apabila sejumlah besarnya tidak fasih berbahasa Melayu sepenuhnya, sama ada secara lisan ataupun tulisan. Jika perkara ini tidak dibendung, kekuatan bahasa Melayu akan terhakis.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, November 2012.

Leave a Reply