“Lagi Power, Lagi Best”: Inikah Wajah Iklan Kita?

Oleh ZAIDI ISMAIL

Pada 31 Ogos lalu, genaplah 55 tahun negara kita mencapai kemerdekaannya. Dari awal kemerdekaan dicapai hingga kini, bahasa Melayu terus memainkan peranannya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

Bahasa inilah yang sepatutnya digunakan dan diutamakan, baik dalam lisan mahupun tulisan, khususnya dalam situasi rasmi. Bahasa yang digunakan itu pula perlulah bahasa yang betul, bukannya bahasa yang bercampur aduk dengan bahasa asing atau disebut juga sebagai “bahasa rojak”. Bahasa yang tidak melambangkan jati diri kebangsaan ini sepatutnya tidak digunakan sama sekali. Penggunaannya menggambarkan kita seolah-olah miskin kosa kata sehingga terpaksa mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa asing dalam sesuatu ungkapan. Begitu juga dalam hal iklan dan pengiklanan. Penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul perlu diutamakan berbanding dengan bahasa rojak. Setahun lalu, semasa melancarkan wajah baharu Produa Myvi, syarikat berkenaan telah menggunakan slogan baharu yang turut dipamerkan dalam iklannya, iaitu “Lagi Best”. Penggunaan slogan tersebut tersebar luas di media, sama ada media cetak mahupun media elektronik. Papan iklan juga tidak terkecuali dalam menggunakan slogan tersebut untuk tujuan promosi.

Banyak pihak yang tidak bersetuju dengan penggunaan slogan tersebut, terutamanya golongan pencinta bahasa Melayu. Sebagai sebuah syarikat yang berkaitan dengan kerajaan, syarikat pengeluar tersebut tidak sepatutnya “meremehkan” penggunaan bahasa Melayu di “bumi sendiri” walaupun tujuannya jelas untuk menarik minat pembeli atau dengan kata lain untuk tujuan promosi.

Setelah setahun berlalu, ternyata ketidaksetujuan dan “bantahan” dar ipada para pencinta bahasa Melayu itu seolah-olah hanya dipandang sebelah mata, baik oleh syarikat berkenaan mahupun Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Hal ini dikatakan demikian kerana pada tahun ini, Produa Myvi, sekali lagi muncul dengan slogan baharu hasil daripada penambahan slogan sebelumnya, iaitu “Lagi Power, Lagi Best”. Slogan ini telah digunakan dalam papan iklan yang dipasang di tempat awam, antaranya termasuklah di Jalan Tun Razak berhampiran pusat bandar raya Kuala Lumpur dan Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, November 2012

Leave a Reply