Pembudayaan Bahasa Melayu dalam Kehidupan

Oleh Nor Baizura Ibrahim

Judul : Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu
Penyelenggara : Arba’ie Sujud, Adi Yasran Abdul Aziz, Ahmad Yusoff Buyong

dan Zaitul Azma Zainon Hamzah

Penerbit : Dewan Bahasa Dan Pustaka (2011)
Harga : RM35.00

Dewasa ini, penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat kota di Malaysia semakin berkurangan. Kebanyakan mereka bertutur dalam bahasa Melayu rojak yang bercampur dengan bahasa Inggeris menyebabkan bahasa Melayu tidak dituturkan dengan cara yang betul. Buku Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu diterbitkan bertujuan untuk memantapkan keupayaan bahasa Melayu sebagai wahana komunikasi dalam segala aspek kehidupan.

Usaha pemartabatan bahasa Melayu melalui penggayaan korpus ini haruslah bersifat tuntas mencakupi ejaan, sebutan, perbendaharaan kata, tatabahasa dan laras bahasa melalui aktiviti penyelidikan dan pengembangan dengan berlandaskan teori linguistik semasa. Keupayaan sesuatu bahasa menjadi bahasa komunikasi apabila semua masyarakatnya menuturkan dan menggunakan bahasa ibundanya dalam sebarang situasi dan membuktikan mereka mencintai bahasanya. Jika sesuatu bangsa menggunakan bahasa ibunda masing-masing, pastinya setiap bahasa mampu menjadi bahasa komunikasi yang mantap dan berkesan. Ungkapan “bahasa jiwa bangsa” melambangkan rapatnya hubungan antara bangsa Melayu dengan bahasanya. Bahasa melambangkan kekuatan sesuatu bangsa.

Buku ini dibahagikan kepada empat bahagian. Pembudayaan Bahasa dan Pembentukan Bangsa (pertama), Pembudayaan Bahasa Melayu Melalui Wahana Tulisan dan Penerbitan (kedua), Pembudayaan Bahasa Melayu dalam Pendidikan (ketiga), dan Pembudayaan Bahasa Melayu dalam Penulisan Kreatif (keempat). Buku ini turut memuatkan makalah beberapa orang ahli bahasa tersohor negara. Antara penulis yang terlibat termasuklah Awang Sariyan, Amat Juhari Moain, Arba’ie Sujud, Samsina Abd. Rahman dan beberapa orang pengkaji bahasa dari Universiti Putra Malaysia (UPM). Buku ini terhasil daripada Seminar Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu yang dianjurkan oleh Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM bersama-sama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka, serta Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (kini Kementerian Penerangan, Komunikasi, dan Kebudayaan).

Awang Sariyan membincangkan pembudayaan bahasa dan pembentukan rupa bangsa. Antara isu yang dibincangkan termasuklah isu pembudayaan bahasa Melayu dari sudut taraf dan mutu bahasa Melayu yang mengalami kemerosotan kerana terdapat pelbagai tantangan dan halangan, seperti penggunaan bahasa Melayu dalam bidang pentadbiran, undang-undang, penyiaran dan pendidikan yang kian mengecil. Selain itu, Awang Sariyan turut memaparkan pembudayaan bahasa Melayu dalam aspek penggunaannya dalam pelbagai ranah yang mendasari pembentukan jati diri Melayu yang perlu dibudayakan.

Paramasivam pula memaparkan bentuk alih kod dalam pertuturan berbahasa Melayu dalam kalangan pelajar Tamil. Secara umumnya, terdapat dua golongan penutur bahasa Tamil yang menunjukkan perbezaan dari aspek pertuturan. Yang pertama, kumpulan penutur yang mempunyai latar belakang dan menerima pendidikan Tamil secara formal. Kumpulan kedua pula merupakan penutur yang menerima pendidikan secara tidak formal yang lebih terdedah kepada pengaruh bahasa pertuturan yang lain, terutamanya bahasa Melayu sehingga berlaku percampuran bahasa yang lebih ketara kerana berlaku pembudayaan bahasa Melayu dalam komunikasi harian mereka. Dalam kajian yang dijalankan oleh Normaliza Abd. Rahim et al. membuktikan wujudnya bahasa Melayu bercorak eksklusif dalam teks pelajar (kajian ke atas pelajar UPM) yang tidak menunjukkan pemupukan jati diri Melayu.

Bahagian dua yang mengkaji pembudayaan bahasa Melayu melalui wahana tulisan dan penerbitan memulakan kajian dengan sejarah budaya tulisan dalam bahasa Melayu oleh Amat Juhari Moain. Beliau mengkaji sejarah budaya tulisan bahasa Melayu sejak zaman protosejarah bangsa Melayu hingga kini, yang merangkumi tulisan dalam tamadun Melayu, budaya tulisan melalui tulisan Jawi dan budaya tulisan dalam bahasa Melayu menggunakan tulisan Rumi. Budaya tulisan dalam bahasa Melayu berkembang dengan begitu pesat setelah menggunakan tulisan Rumi. Perkembangan ini disebabkan oleh budaya dan tamadun Melayu yang menerima pengaruh moden dari barat dan perkembangan sains dan teknologi moden yang kuat menerjah bangsa, budaya dan tamadun Melayu. Perkembangan ini terhenti dan mengecil apabila berlakunya perubahan peranan bahasa Melayu dalam pembelajaran bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah di negara kita.

Banyak pengkaji berminat untuk menjalankan kajian pembudayaan bahasa Melayu dalam bidang pendidikan. Dalam buku ini, ditampilkan kajian Arba’ie Sujud iftal. yang mengkaji pembudayaan bahasa Melayu secara umum dari perspektif pengajaran dan pembelajaran yang dibincangkan di bahagian tiga. Tujuan utama kajian ini adalah untuk melihat bahawa pembudayaan bahasa amat perlu dilaksanakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah supaya pelajar dapat menguasai kecekapan berbahasa, malah turut melibatkan aspek luarannya. Pembelajaran sesuatu bahasa itu tidak akan berkesan sekiranya aspek luarannya, seperti budaya berbahasa tidak diberikan tumpuan. Selain itu, kesopanan berbahasa juga diberikan tumpuan dalam kajian ini bagi mendedahkan pelajar tentang peri pentingnya budaya dan kesopanan dalam berbahasa. Pelajar turut diminta supaya sentiasa berhati-hati apabila menyatakan sesuatu agar tidak menggunakan bahasa yang kasar dan biadab. Dalam konteks pendidikan, tujuan ini boleh dicapai melalui penggunaan pendekatan, kaedah, teknik, aktiviti, bahan pengajaran serta sistem penilaian yang sesuai.

Vijayaletchumy a/p Subramaniam pula mengkaji kepentingan aspek neurologi dalam pembelajaran bahasa. Neurologi merupakan satu daripada cabang ilmu linguistik yang mencakupi neurolinguistik. Perkara utama dalam kajian ini ialah kerjasama antara dua ahli, iaitu ahli bahasa (linguistik) dan ahli neurologi. Neurologi ialah aspek kajian saintifik tentang sistem saraf manusia dan kesannya terhadap pembelajaran bahasa. Terdapat empat bahagian yang perlu dikaji, iaitu autonomi sistem saraf pusat, beberapa aspek berkaitan bahasa dengan otak, fungsi yang dijalankan oleh setiap serebrum, dan satu gangguan otak yang memberikan kesan kepada sesuatu bahasa serta terhadap ekspresi dan kefahaman secara am. Jika berlaku masalah neurologi dalam otak manusia, maka gangguan bahasa akan terjadi. Gangguan bahasa boleh ditandai atau dikesan daripada tahap pemahaman, penghasilan (verbal) atau penggunaan bahasa yang rendah oleh seseorang individu. Namun begitu, terdapat juga individu yang mengalami masalah gangguan bahasa yang mempunyai daya tanggapan yang luar biasa sehingga mempengaruhi pendengaran, pembacaan, penulisan, pertuturan, malah matematik. Pelajar yang menghadapi masalah ini selalunya akan dicap sebagai malas atau gagal memberikan tumpuan oleh guru yang kurang arif tentang aspek neurologi.

Anzarudin Ahmad dan Muhammad Saiful Haq Hussin pula mengkaji tentang pembudayaan bahasa Melayu dalam kalangan kanak-kanak atau murid prasekolah. Proses pemerolehan dan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan kanak-kanak merupakan perkara yang kompleks dan amat menakjubkan. Hal ini dapat dilihat daripada dua paradigma, iaitu Mentalisme dan Behaviorisme. Dalam kajian ini, pengkaji mengenal pasti perbezaan dan persamaan yang wujud dalam aspek bahasa, seperti sintaksis, morfem, semantik, dan kosa kata yang digunakan oleh kanak-kanak prasekolah yang datang daripada latar belakang keluarga yang berbeza semasa mereka bercerita. Faktor persekitaran yang melatari kanak-kanak juga dikenal pasti sebagai faktor yang mempengaruhi persamaan dan perbezaan antara mereka.

Siti Hamin Stapa dan Abdul Hameed Abdul Majid, sarjana Bahasa Melayu turut mengkaji penggunaan bahasa kedua atau bahasa asing dalam pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah. Pengkaji ini melakukan kajian dari sudut penggunaan bahasa pertama dalam pengajaran penulisan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar yang lemah bahasa tersebut. Hasil kajian membuktikan bahawa tidak salah menggunakan bahasa Melayu dalam pengajaran penulisan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar yang lemah penguasaannya dalam bahasa Inggeris. Pelajar bukan hamba kepada bahasa pertama mereka dalam mempelajari bahasa kedua tetapi gunakanlah bahasa pertama dengan bijak pada situasi yang perlu berpandukan pertimbangan yang wajar.

Bahagian keempat buku ini mengumpulkan hasil kajian tentang keindahan berbahasa melalui beberapa kajian penggunaan bahasa Melayu dalam penulisan kreatif. Washima Che Dan dan Noritah Omar menunjukkan penerapan bahasa Melayu sebagai pembentukan jati diri melalui kesusasteraan. Samsina Abd. Rahman mengkaji pembudayaan bahasa Melayu melalui genre puisi, manakala Nik Rafidah Nik Muhammad Affendi et al. membincangkan corak penyataan lisan dan bukan lisan dalam novel Putera Gunung Tahan dari perspektif budaya Melayu.

Secara keseluruhannya, buku Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu ini memberikan banyak maklumat yang boleh dimanfaatkan untuk pemerkasaan bahasa Melayu. Dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu di persada antarabangsa, aspek pembudayaan bahasa Melayu dalam kehidupan wajar diutamakan dalam kalangan masyarakat yang merangkumi aspek pendidikan, penulisan karya kreatif, ataupun aktiviti sosial yang dapat meningkatkan keyakinan khalayak kebangsaan dan antarabangsa.

Buku ini membantu menyerlahkan kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan komunikasi pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta dapat menghapuskan sikap ragu-ragu sesetengah pengguna bahasa terhadap kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan komunikasi. Buku ini amat bermanfaat kepada semua pencinta bahasa khususnya pelajar dan penyelidik di institusi pengajian tinggi. Penerbitan buku ini dapat menanamkan sikap cinta dan bangga terhadap bahasa kebangsaan sebagai jati diri negara. Siapa kata bahasa Melayu tidak mampu menjadi bahasa ilmu dan komunikasi? Sejarah telah membuktikannya dan kita sebagai warga dan penuturnya bertanggungjawab untuk mengembalikan martabat bahasa Melayu di mata dunia.

___

Ulasan buku ini diambil daripada Dewan Bahasa September 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

3 thoughts on “Pembudayaan Bahasa Melayu dalam Kehidupan”

Leave a Reply