Bahasa Melayu Mampu Menjadi Bahasa Ilmu

Tanggal 11 September 2012 melakarkan peristiwa penting apabila Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin, Timbalan Perdana Menteri yang merangkap Menteri Pelajaran Malaysia, melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Pelan ini memperlihatkan usaha negara bagi mentransformasikan sistem pendidikan negara. Pujian harus diberikan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) khususnya dan kerajaan sendiri amnya kerana pelan ini sejajar dengan usaha untuk melahirkan modal insan yang memiliki minda kelas pertama bagi mencapai sasaran negara untuk muncul sebagai negara maju menjelang 2020.

Sungguhpun demikian, KPM juga mengharapkan maklum balas daripada rakyat Malaysia mengenai laporan tersebut sebelum laporan akhir disediakan pada bulan Disember 2012 ini. Setiap aspek dalam pendidikan perlu dinilai dan dipertimbangkan, khususnya pengajaran dan pembelajaran bahasa. Perhatian perlu diberikan kepada tulisan Profesor Emeritus Dato’ Dr. Nik Safiah dalam ruangan Agenda Bahasa pada bulan ini. Beliau menyatakan bahawa usaha mengukuhkan kedudukan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan negara adalah wajar. Namun begitu, di samping mengakui kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa global, pada masa yang sama bahasa kebangsaan kurang diberikan perhatian dan penekanan dalam pelan ini.

Pada hakikatnya, bahasa merupakan medium utama untuk menyampaikan ilmu dalam sistem pendidikan. Penekanan yang seimbang perlu diberikan apabila berbicara mengenai keupayaan sesuatu bahasa dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kerajaan perlu sentiasa menyokong institusi ilmu yang berusaha memartabatkan bahasa Melayu. Misalnya, Dewan Bahasa dan Pustaka yang berjuang untuk merealisasikan visi bagi menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa dunia. Apalah maknanya slogan “Bahasa Jiwa Bangsa” dilaung-laungkan jika kita tidak mampu merealisasikannya. Apalah pula ertinya, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sekiranya hanya tinggal sebagai bahasa komunikasi di negara yang berdaulat.

Oleh SITI ZUBAIDAH SEKAK

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, November 2012.

Leave a Reply