Bahasa Melayu Mempunyai Masa Depan yang Cerah

Oleh DIARANI MAT ADAM

Bagi mengantarabangsakan bahasa Melayu, masyarakat Malaysia seharusnya berbangga menggunakan bahasa itu dengan baik dan benar sebagai contoh yang tepat bagi masyarakat dunia yang ingin belajar bahasa Melayu. Penerimaan bahasa Melayu sebagai bahasa asing di luar negara, khususnya di institusi pengajian tinggi membuktikan kemampuannya setanding dengan bahasa utama dunia. Sidang Editor Dewan Bahasa telah menghubungi Profesor Madya Dr. Victor A. Pogadaev untuk mendapatkan pandangan beliau tentang perkara ini.

“Kini, bahasa Melayu telah berkembang di Moscow. Antara pusat pengajian yang mengajarkan bahasa Melayu termasuklah Institut Negara-negara Asia dan Afrika di Universiti Negara Moscow Lomonosov, Institut Perhubungan Antarabangsa di bawah Kementerian Luar Negara, Institut Sains Kemanusiaan, Institut Pelajaran Timur Amali, Institut Ketimuran dan Universiti Negara St. Petersburg. Malah, terdapat pelajar dari Universiti Amur di Blagoveshensk dan Universiti Timur Jauh di Vladivostok menunjukkan minat terhadap bahasa Melayu tetapi terhalang disebabkan oleh kekurangan tenaga pengajar.

Yang membanggakan ialah bahasa Melayu telah ditawarkan sebagai mata pelajaran teras, bukan pilihan. Para mahasiswa dikehendaki mempelajari bahasa tersebut selama empat hingga lima tahun, sesuai dengan sistem pendidikan masing-masing. Untuk makluman, bahawa Universiti Negara Moscow Lomonosov ialah satu-satunya institusi pengajian tinggi di Eropah yang mengamalkan pengajaran secara berasingan antara bahasa Melayu (Malaysia) dengan bahasa Melayu (Indonesia). Berbeza daripada negara lain,Rusia mengamalkan penerbitan kamus bahasa Indonesia dan bahasa Melayu secara selari.”

– Profesor Madya Dr. Victor A. Pogadaev

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, September 2012.

Leave a Reply