Bahasa Kebangsaan Memupuk Semangat Perpaduan

Oleh ZAIDI ISMAIL

“Selaras dengan perkara 152, Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa kebangsaan 1967 yang menetapkan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan penggunaannya sebagai bahasa rasmi dalam pentadbiran negara, kerajaan telah mengambil pelbagai langkah untuk memperkasa dan memperluas penggunaan bahasa kebangsaan yang baik, betul dan santun dalam Perkhidmatan Awam.” kata YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd. Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia semasa merasmikan “Seminar Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan dalam Pendidikan” pada 28 Jun lalu, di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.

Selanjutnya, kata Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin, “Kerajaan sentiasa tegas dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan akan memastikan bahasa tersebut menjadi bahasa komunikasi, bahasa ilmu dan bahasa pentadbiran dalam usaha kita membina sebuah negara bangsa yang kukuh dan bersatu padu. Saya yakin, sistem pendidikan kita mempunyai peranan besar dalam memperkasakan bahasa kebangsaan dan memupuk semangat perpaduan nasional. Melalui penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan, rakyat di negara kita bukan sahaja dapat menguasai bahasa kebangsaan dengan lebih baik, tetapi juga menghayati nilai-nilai perpaduan dan jati diri nasional yang ingin diterapkan.”

Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar, Ketua Satu GAPENA (Gabungan Penulis Nasional), dalam Ucap Utamanya, “Cabaran Terhadap Pelaksanaan Bahasa Melayu dalam Pentadbiran dan Sistem Pendidikan Kebangsaan” pula berkata, “Walaupun Malaysia sudah 55 tahun merdeka dan mempunyai dasar bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, namun negara kita masih tidak menonjol sebagai negara yang dihormati mendaulatkan bahasa kebangsaan di persada dunia antarabangsa seperti Jepun, China, Jerman, Korea dan Perancis. Bahasa asing masih berleluasa dan dominan penggunaannya serta masih lagi digunakan di tempat-tempat awam, pusat pengajian tinggi awam dan swasta, dan pemimpin-pemimpin kita lebih berbangga bertutur dalam bahasa asing apabila berdepan dengan rakyat Malaysia. Mereka seolah-olah malu menggunakan bahasa Melayu dan tidak rasa bersalah apabila menggunakan bahasa asing.”

Beliau selanjutnya menyatakan bahawa disebabkan oleh segolongan rakyat kita yang tidak menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, para pejuang bahasa dan nasionalis yang mempunyai semangat patriotisme cinta kepada negara Malaysia yang bermaruah dan berdaulat, bangkit menegur dan mengkritik golongan yang tidak patriotik ini. Malangnya, yang berjiwa patriotik dan berusaha membina negara bangsa Malaysia yang bersatu itu dituduh pula sebagai tidak mengikut perkembangan zaman dan perkembangan globalisasi, rasis dan sebagainya.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, September 2012

Leave a Reply