Evolusi Bahasa Melayu Sarawak

Oleh A. ZAIDI NORDIN

Kesamaran fakta dan pergantungan pada teori Barat menyebabkan sehingga kini, para pengkaji bahasa Melayu dan sejarawan masih dibelenggu persoalan dalam minda masing-masing akan kesahan tarikh dan susur galur sebenar kewujudan bahasa Melayu di Asia Tenggara. Penerimaan akan “lingkung waktu” sejarah awal penggunaan bahasa Melayu di Nusantara hanya ditandai dengan bukti daripada penemuan batu bersurat, tembikar dan beberapa teori yang agak kabur.

Merujuk tulisan, teori, hipotesis dan pandangan para sarjana Barat, antaranya termasuklah Hendrik A. Kern dari Belanda, Isidore Dyen dari Amerika Syarikat, Teodoro Llam Zon, John Crawfurd dan Robert Von Heine Geldern dari Austria, dapat dirumuskan bahawa sejarah asal keturunan bahasa Melayu itu berlaku dalam masa yang agak hampir dengan kehidupan penuturnya. Bahasa Melayu telah mengalami proses transformasi, evolusi dan pemodenan ekoran asakan perubahan seawal abad ketujuh lagi.

Para sarjana Barat menegaskan bahawa bahasa Melayu yang dituturkan di Nusantara berasal daripada kelompok bahasa Austronesia. Bahasa Austronesia pula tergolong dalam keluarga bahasa Austris yang dipercayai berasal dari wilayah Yunan, China. Bahasa ini berkembang melalui proses penyebaran secara perpindahan dan melalui peresapan, iaitu tanpa melalui proses perpindahan penuturnya.

Bahasa Melayu dipercayai telah berkembang seawal abad ketujuh. Ketika itu bahasa Melayu agak kuat dipengaruhi oleh bahasa Sanskrit hingga abad ke 10 apabila pengaruh bahasa Arab pula meresapi bahasa Melayu melalui para pedagang dan mubaligh Arab.

Melayu-Proto telah bermigrasi ke Asia Tenggara pada 2500 tahun sebelum Masihi diikuti oleh Melayu-Deutro sekitar 1500 tahun sebelum Masihi. Menurut para pengkaji linguistik, bahasa tiga peringkat perkembangan, iaitu bahasa Melayu kuno (abad ketujuh hingga abad ke-13 zaman kerajaan Sriwijaya dan Kesultanan Melayu Melaka), bahasa Melayu klasik (abad ke-13 hingga abad ke-18) dan bahasa Melayu Moden (abad ke-19 – dimulai oleh Munsyi Abdullah).

Bahasa Melayu kuno dapat dibuktikan kewujudannya melalui penemuan batu bersurat di Kepulauan Sumatera, Indonesia. Antaranya termasuklah batu bersurat di Kedukan Bukit, Palembang (683 Masihi), batu bersurat di Talang Ruwo, Palembang (684 Masihi), batu bersurat di Kota Kampur, Pulau Bangka (686 Masihi) dan batu bersurat di Karang Brahi, Jambi (686 Masihi).

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, September 2012

Leave a Reply