DBP Tonggak Maruah Bahasa Melayu

Oleh Nik Nor Ahmarizam Nik Ahmad

Usia Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) saban tahun kian matang. Tarikh keramat 22 Jun 2011 sewajarnya diingati oleh semua pencinta bahasa dan sastera negara terutamanya dalam ranah gagasan murni 1 Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Semua pihak seharusnya menyambut hari ulang tahun kelahiran penubuhan DBP yang ke-55 dengan perasaan bangga selain berazam untuk terus mendukung peranan dan mengangkat martabat DBP di persada kebangsaan dan antarabangsa.

Usia DBP yang telah menjangkau separuh abad menggambarkan bahawa tahap matang dan iltizam DBP untuk mengembangkan dan menyebarluaskan bahasa dan sastera di dalam dan luar negara tidak boleh diperlekeh dan dipandang sepi oleh masyarakat. Perjuangan suci DBP nan ikhlas semestinya mendapat tempat dalam jiwa masyarakat tanpa perasaan waswas. Hal ini dikatakan demikian kerana DBP lahir setahun sebelum negara merdeka dan menjadi institusi penting kerajaan yang memperjuangkan dan memajukan bahasa sebagai sebahagian daripada keperluan negara dan kebangsaan. Dengan kata lain, DBP sendiri lahir daripada gelombang dan gerakan siasah selain cita-cita para pejuang bahasa dan sastera.

Menurut Datuk A. Aziz Deraman (1999), mantan Ketua Pengarah DBP, “Pada alaf baharu ini, DBP terpaksa meneruskan perjuangan yang masih belum selesai untuk memartabatkan bahasa Melayu baik pada peringkat nasional mahupun internasional walaupun dengan apa-apa juga alternatif. Menjelang alaf tersebut, masyarakat Malaysia harus lebih bijak dan sensitif menanggapi keperluan dan situasi semasa bagi memastikan bahasa Melayu terus berkembang dan menduduki tempat yang sewajarnya”. Pandangan muluk Aziz jelas mengingatkan para pencinta dan pejuang bahasa Melayu bahawa maruah bahasa Melayu lewat Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan tidak boleh diincitkan oleh “kambing keramat” yang sentiasa berlegar-legar untuk mencari ruang dan kesempatan bagi “mengebat erat membuhul mati” bahasa Melayu di bumi bertuah ini. Dalam hal ini, tamsil yang nyata ialah permintaan Persatuan Ibu Bapa untuk Pendidikan Malaysia (Page) yang mahu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dijadikan sebagai opsyen di sekolah rendah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan. Kerajaan kini sedang berusaha untuk memastikan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dilaksanakan dengan jayanya di sekolah rendah dan menengah mulai tahun 2011.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa September 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Leave a Reply