Merealisasikan Pengantarabangsaan Bahasa Melayu

Bahasa Melayu dikatakan memiliki jumlah penutur yang dianggarkan lebih 300 juta orang. Dengan jumlah itu, bahasa Melayu dikatakan menjadi bahasa keempat dalam turutan bahasa terbesar di dunia selepas bahasa Mandarin, bahasa Inggeris, dan bahasa Hindi/bahasa Urdu. Kita mungkin boleh berbangga dengan kedudukan bahasa Melayu berdasarkan jumlah penuturnya itu. Namun, jumlah penutur semata-mata bukan jaminan bahawa bahasa Melayu dapat menjadi bahasa komunikasi bersama masyarakat antarabangsa.

Banyak faktor lain yang menjadikan suatu bahasa itu sebagai bahasa utama dunia. Menurut Asmah Haji Omar, jumlah penutur bukanlah satu-satunya faktor yang memberikan kewibawaan sosial kepada suatu bahasa. Walaupun bahasa Cina dan bahasa Rusia mempunyai jumlah penutur yang sangat besar, mempunyai khazanah pustaka ilmu yang baik, dan diberi tempat dalam Bangsa-Bangsa Bersatu, tetapi pengaruhnya dalam kehidupan dunia tidak setaraf dengan pengaruh yang ada pada bahasa Inggeris.

Namun begitu, mungkin tidak sedikit yang memandang hasrat menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa itu bagai “angan-angan yang menerawang langit”. Menurut mereka, di tanah air sendiri bahasa Melayu kian terpinggir, apatah lagi untuk berada di pentas dunia. Mungkin ada kebenarannya. Orang kita sendiri lebih menghargai bahasa asing. Mereka berasa begitu bangga berbahasa Inggeris daripada berbahasa Melayu. Dengan berbahasa Inggeris, mereka berasa diri lebih maju, moden, dan hebat. Sikap dan pandangan yang mengagung-agungkan kehebatan dan kelebihan bahasa asing itu tentu sahaja memberikan kesan terhadap usaha mengembangkan bahasa Melayu bukan sahaja di negara sendiri, tetapi juga pada peringkat antarabangsa.

Sebenarnya, tidak ada yang mustahil jika kita berusaha bersungguh-sungguh dengan penuh keyakinan untuk menjadikan hal itu suatu kenyataan. Kita harus mengusahakan agar bahasa Melayu menjadi salah satu bahasa utama dunia. Penubuhan beberapa pusat pengajian Melayu di luar negara yang bertujuan menyebarluaskan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat antarabangsa dan pembentukan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) yang bertanggungjawab menyelaraskan kegiatan pengembangan bahasa Melayu di luar negara, misalnya, merupakan usaha yang menjurus kepada matlamat menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan luas pada peringkat antarabangsa. Usaha yang dilakukan itu bakal meletakkan bahasa Melayu sebagai salah sebuah bahasa yang penting di dunia.

Oleh ZUBAIDI ABAS

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, September 2012.

Leave a Reply