Kata Teknikal

Leksikologi

Oleh S. NATHESAN

Secara umumnya, kosa kata dalam bahasa dapat dibahagikan kepada dua jenis utama, iaitu kosa kata formal atau persuratan dan kosa kata tidak formal. Dalam kosa kata formal, ada kata ilmiah, saintifik dan umum, manakala kata basahan, dialek, dan slanga pula termasuk dalam kosa kata tidak formal.

Salah satu jenis perkataan dalam kosa kata formal bahasa Melayu ialah kata teknikal. Kata teknikal merupakan perkataan yang termasuk dalam kelompok kosa kata ilmiah. Oleh sebab itu, kata teknikal boleh dianggap sebagai kata ilmiah yang bersifat tinggi dan lazimnya ditemukan dalam buku akademik dan ilmiah yang digunakan di pusat pengajian tinggi, seperti universiti dan institusi pendidikan yang lain. Kata teknikal biasanya disenaraikan dalam kamus ilmiah, glosari dan istilah. Buku akademik penuh dengan kata teknikal.

Kata teknikal atau ilmiah ini jarang-jarang digunakan dalam percakapan biasa atau dalam perbincangan yang rendah, seperti semasa bersembang di kedai kopi. Kata teknikal umumnya digunakan di bilik kuliah dan bilik darjah untuk membincangkan ilmu yang tinggi. Sebagai salah satu ciri laras ilmiah, kata teknikal digunakan dalam laras tersebut untuk memerihalkan ilmu yang tinggi. Kata teknikal memang terhad penggunaannya dalam bahasa rasmi, yakni bahasa yang digunakan dalam konteks formal. Dalam bahasa tidak formal, kata teknikal kurang digunakan.

Ada ketika kosa kata teknikal dirujuk juga sebagai jargon, iaitu bahasa khusus yang digunakan dalam bidang tertentu, seperti perubatan. Misalnya, kata paru-paru merupakan kata umum, manakala konsep yang sama dirujuk sebagai pulmonari dalam bidang perubatan. Demikian juga kata kardium dalam istilah teknikal dan kardium terhenti (cardiac arrest) digunakan dalam bidang perubatan untuk merujuk pemberhentian secara tiba-tiba kegiatan jantung. Kata paru-paru dan jantung digunakan dalam pengertian umum, manakala kata pulmonari dan kardium digunakan untuk merujuk konsep khas dalam bidang perubatan. Oleh itu, kata kardium dan pulmonari dirujuk sebagai kata teknikal atau jargon dalam bidang perubatan.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Ogos 2012.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • PDF
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks

Hantar Maklum Balas