Ungkapan Sanskrit di Alam Nusantara

Oleh AWANG AZMAN AWANG PAWI

Bagi masyarakat penutur bahasa Sanskrit di India, mereka percaya bahawa bahasa Sanskrit dicipta oleh Brahma dan dikenali sebagai Dev Vani yang bermaksud “bahasa tuhan”. Bentuk bahasa terawal ialah Vedic Sanskrit yang wujud pada 1500-200 sebelum Masihi. Bahasa ini tergolong dalam rumpun bahasa Indo-Eropah dan banyak mempengaruhi bahasa lain di dunia. Sebagai bahasa yang awal, bahasa Sanskrit merupakan bahasa terpanjang dalam sejarah dan kebudayaan India, seperti kedudukan bahasa Latin dan Greek di Eropah.

Dalam kalangan orientalis, seperti Gaston-Laurent Coeurdoux dan Sir William Jones, mereka percaya bahawa bahasa tersebut mempunyai pertalian dengan Latin, Greek, German dan Rusia. Pengajian Sanskrit di Eropah secara rasmi diasaskan di College de France, Paris, pada tahun 1814 dan diikuti oleh Universiti Bonn pada tahun 1818 di Jerman.

Bahasa Sanskrit yang tersebar di alam Nusantara dipengaruhi oleh hubungan awal antara kerajaan Kutai di bawah pemerintahan Mulavarman yang terletak di Kalimantan Timur dengan India pada tahun 400 Masihi. Hal ini dibuktikan melalui inskripsi yang tertulis bahasa Sanskrit yang dipengaruhi oleh gaya bentuk India Sejak itu, pengaruh budaya India berkembang meliputi Sumatera, Jawa, Bali hinggalah Kedah.

____

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Ogos 2012.

Leave a Reply