Estetika Pengulangan dalam Stilistik

Bahasa dan Masyarakat

Oleh NUR FATIHA FADILA

Pengulangan yang juga disebut sebagai repetisi merujuk gaya bahasa yang mengandungi pengulangan bunyi, pengulangan bahasa dan pengulangan struktur. Menurut Donald C. Freeman, aliran kedua dalam pendekatan stilistik ialah aliran yang meneliti gaya dari sudut pengulangan atau pengulangan pola. Hal ini bermakna dalam hasil ciptaan, para pengarang sering berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan kesan dan kekuatan dengan melakukan pengulangan.

Dharmawijaya menyatakan bahawa unsur pengulangan ini digunakan untuk memenuhi beberapa fungsi. Pertama, menimbulkan irama atau suasana muzikal, terutamanya apabila puisi itu dideklamasikan. Kedua, menegaskan maksud tertentu sebagai persoalan utama bagi penyairnya. Ketiga, menarik tumpuan perhatian. Pengulangan berfungsi bagi menimbulkan kesan keindahan tertentu untuk mencapai intensiti.

Pengulangan Aspek Bahasa

Pengulangan aspek bahasa dalam puisi boleh diteliti dari segi pengulangan kata, frasa atau ungkapan, kalimat atau ayat berangkap. Pengulangan kata dalam puisi boleh berlaku di awal, tengah dan akhir serta di awal dan akhir baris atau rangkap puisi.

Anafora ialah pengulangan kata pertama pada setiap baris atau ayat. Sufian Husin menyatakan anafora sebagai satu cara pengulangan, iaitu perkataan yang sama diulang pada permulaan (atau lebih satu baris atau ungkapan). Cara begini sering wujud dalam puisi.

____
Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Ogos 2012.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • PDF
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks

Hantar Maklum Balas