Pembinaan Negara Bangsa melalui Bahasa

Oleh ISMAIL RODAL

Selepas sesebuah negara mencapai kemerdekaan dan bebas daripada belenggu penjajahan, terdapat iltizam untuk membina negara bangsa bagi rakyat yang tinggal di negara tersebut. Negara bangsa dibina untuk memastikan sesebuah negara dapat menonjolkan identiti sendiri serta citra bangsa tanpa perlu berlindung di sebalik bayang-bayang penjajah yang memerintahnya sebelum mencapai kemerdekaan.

Negara bangsa merupakan entiti politik atau negara yang dibentuk dan didiami oleh rakyat yang selalunya terdiri daripada rakyat yang mempunyai sejarah dan budaya yang sama, bertutur bahasa yang sama, kepercayaan agama dan mempunyai asal atau rumpun bangsa yang sama. Kedaulatan n e g a r a d i a s a s k a n p a d a kehendak dan hasrat rakyat yang telah bersatu di dalam negara tersebut.

Negara bangsa lahir daripada kesedaran nasionalisme penduduk yang tinggal di negara itu. Melalui kesedaran dalam kalangan masyarakat yang serumpun dan mempunyai tradisi kebudayaan yang sama, mulalah timbul perjuangan untuk menubuhkan negara yang merdeka dan berdaulat serta mengutamakan kepentingan warganegaranya. Oleh sebab negara yang ditubuhkan itu berdasarkan bangsa, maka negara tersebut dikatakan sebagai negara bangsa. Dalam konteks Malaysia, selepas mencapai kemerdekaan daripada British pada 31 Ogos 1957, perlembagaan yang dirangka mempunyai ciri jati diri penduduk asal dan peribumi dalam pembentukan negara bangsa.

Negara bangsa yang ideal , iaitu menepati ciri tersebut, ialah Perancis, Mesir, Jerman, Jepun dan New Zealand kerana masyarakatnya yang homogen dan mempunyai majoriti penduduk asal atau bumiputera. Amerika Syarikat juga diiktiraf sebagai negara bangsa walaupun mempunyai pelbagai bangsa kerana mereka telah menerima “kebudayaan Amerika” sebagai cara hidup mereka.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Ogos 2012.

Leave a Reply