Merdeka Bahasa, Merdeka Minda

Oleh Zaidi Ismail

Pada 31 Ogos, genaplah 55 tahun negara kita mencapai kemerdekaannya. Dari awal kemerdekaannya hingga kini, bahasa Melayu terus memainkan peranannya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara kita.

Bahasa inilah yang sepatutnya digunakan dan diutamakan, baik dalam lisan mahupun tulisan, terutamanya dalam situasi rasmi. Bahasa yang digunakan itu pula perlulah bahasa yang betul bukannya bahasa yang bercampur aduk dengan bahasa asing atau disebut juga sebagai “bahasa rojak”. Bahasa yang dianggap “sekerat belut, sekerat ular” ini sepatutnya tidak digunakan sama sekali. Penggunaannya menggambarkan kita seolah-olah miskin kosa kata sehingga terpaksa mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa asing dalam satu-satu ungkapan.

Begitu juga dalam hal penamaan, seperti nama produk, tempat dan perkhidmatan, bahasa Melayulah yang perlu diutamakan bukannya bahasa asing. Kita wajib menonjolkan nama indah yang berteraskan bahasa Melayu bercitra tempatan. Penggunaan nama yang indah dan berkesan merupakan lambang jati diri atau citra bagi sesuatu yang dinamai keberkesanannya akan membantu menarik perhatian khalayak.

Berbanggalah kita dengan citra bangsa kita kerana kalau tidak kita, siapa lagi yang akan berbangga dengannya. Jika bangsa Jepun berbangga dengan produk berjenama Jepun, tidak ada sebab kita tidak boleh berbangga dengan produk berjenama kemelayuan atau kemalaysiaan untuk memperkenalkan bangsa dan negara yang menghasilkannya.

Sekiranya kita masih tidak mengutamakan bahasa Melayu atau masih menggunakan bahasa yang bercampur aduk, secara tidak langsung hal ini menggambarkan seolah-olah bahasa kita “belum merdeka”. Walhal, kita telah pun 55 tahun mengecap nikmat kemerdekaan ini. Merdekakanlah minda kita daripada ketidakpercayaan dan ketidakyakinan kepada bahasa kita sendiri.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Ogos 2012.

Leave a Reply