Keunikan Keluarga Bahasa Austronesia

Oleh VICTOR POGADAEV

Seperti keluarga bahasa lain, keluarga bahasa Austronesia juga mempunyai keunikannya tersendiri. Keunikan keluarga berkenaan ialah jumlah ahlinya yang masih tidak ditetapkan.

Angka paling rendah yang disebut adalah lebih kurang 500 bahasa dan angka yang paling besar adalah sekitar 1000 bahasa. Taburan geografi keluarga bahasa Austronesia sangat luas dan masih ada kemungkinan bahasa yang belum dikenali akan ditemui. Keadaan ini menyukarkan cubaan untuk memberikan anggaran yang tepat dan menyusahkan usaha perbandingan, apalagi bahasa bahagian barat rantau Austronesia tidak mempunyai tulisan lama. Perbezaan antara bahasa dengan dialek juga agak sukar ditentukan, terutamanya bahasa yang tiada rekod bertulis.

Di kawasan New Guinea, masih banyak tersimpan teka-teki linguistik kerana di sana bahasa Austronesia sepanjang beribu-ribu tahun berada dalam kontak bahasa Papua. Bahasa tersebut memperlihatkan ciri percampuran bahasa dan amat sukar digolongkan.

Klasifikasi Genetik Keluarga Bahasa Austronesia

Pada abad ke-19, ahli linguistik membahagikan keluarga bahasa Austronesia ke dalam empat kumpulan besar, iaitu Indonesia, Polinesia, Melanesia dan Mikronesia. Sepanjang abad ke-20, penggolongan itu berkali-kali disemak dan diperincikan. O. Dempwolff secara umumnya masih berpuas hati dengan klasifikasi itu tetapi menyatukan bahasa Polinesia, Melanesia dan Mikronesia ke dalam satu subkeluarga.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Julai 2012

Leave a Reply