Siam kepada Thailand

Oleh AWANG AZMAN AWANG PAWI

Kerajaan tua Siam yang terkenal dalam sejarah Asia Tenggara ialah Sukhotai dan Ayuthia. Banyak tinggalan sejarah dan tamadun masyarakat tersebut sentiasa dalam ingatan sejarah.

Sukhotai dan Ayuthia mewakili dunia Siam yang besar. Negara yang tidak pernah dijajah ini mempunyai penduduk hampir 70 juta. Banyak peristiwa menarik dalam sejarah Siam, termasuklah Raja Mongkut mengirimkan gajah kepada presiden Amerika tanpa mengetahui keadaan fizikal Amerika ketika itu. Baginda menjalin hubungannya dengan Amerika sebelum perang saudara di Amerika Syarikat. Dengan kata lain, baginda dianggap sebagai raja yang moden di Asia Tenggara.

Selain itu, Anna and the King of Siam merupakan gambaran cerita yang berlatar belakang istana Siam. Cerita tersebut berkisar mengenai guru bahasa Inggeris yang mengajar 58 orang anak dari istana. Kisah anak istana merupakan anak raja sememangnya realiti sejarah kerana Raja Chulalongkorn, misalnya, mempunyai 153 orang isteri dan daripada jumlah itu, 35 orang isterinya melahirkan 76 orang anak. Raja Mongkut pula mempunyai tidak kurang daripada 50 orang isteri dan 35 orang isterinya melahirkan 82 orang anak.

Kalangan penduduk Semenanjung Malaysia yang bersempadan dengan negara Thailand sering kali merujuk negara itu sebagai Siam berbanding dengan nama Thailand. Nama Thailand agak asing bagi masyarakat di sempadan. Generasi tua di Malaysia juga selesa menyebut Siam berbanding dengan Thailand. Ternyata, nama Siam lebih sebati dengan masyarakat tersebut. Hal ini berlaku kerana beberapa pertimbangan sejarah.

Sebenarnya, nama Thailand merupakan “nama baharu” kepada Siam kerana nama Siam sudah lama wujud sekurang-kurangnya pada abad ke-12. Hal ini bersandarkan rekod sumber Cina pada tahun 1282/3 yang menyatakan kewujudan kerajaan yang dikenali sebagai “Xian” yang disebut juga sebagai “Hsien” atau “Sien”. Hsien dalam bahasa Cina bermakna emas. Hal ini sesuai dengan potensi dan keadaan di situ yang menjanjikan kedudukan yang baik dari segi ekonomi dan kesejahteraan hidup.

Pada masa yang sama, terdapat sumber sejarah yang mencatatkan bahawa wilayah tersebut merupakan pusat perdagangan emas dan dikaitkan juga dengan patung ritual agama yang diperbuat daripada emas. Menurut Putera Chula Chakrabongse, kerajaan “Xian” ini membuat hubungan baik, lebih-lebih lagi apabila Raja Ram Kamheng berkunjung ke Peking sebanyak dua kali, iaitu pada tahun 1294 dan 1300. Baginda turut membawa pakar dari China bagi menubuhkan kilang membuat pasu di Sukhotai dan di beberapa buah bandar lain.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Julai 2012

Leave a Reply