Media Baharu: Di Manakah Peranan Editornya?

Oleh ZALILA ISA

Era komunikasi sekali lagi mengalami perubahan daripada bentuk percetakan kepada bentuk yang berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) yang lebih besar cakupannya sehingga mengubah landskap komunikasi masyarakat tanpa sempadan. Melalui era ini, internet merupakan jaringan yang menjadi wahana utama bagi media baharu untuk menghubungkan masyarakat ke seluruh dunia. Melaluinya, dunia menjadi tanpa sempadan dan maklumat berada di hujung jari.

Teknologi yang hadir ini mengubah dunia komunikasi masyarakat . Komunikasi tanpa sempadan dan sekatan ini membolehkan masyarakat “bersuara” dan bukannya bergantung pada bahan yang dibaca oleh mereka sahaja. Masyarakat sudah mula melibatkan diri dalam komunikasi sarwajagat dan mula berani menyuarakan pendapat masing-masing. Apabila segala-gala yang ingin disampaikan dapat ditulis secara mudah dalam dunia internet, situasi itu terlihat seolah-olah “si bisu yang mendapat suara”.

Perubahan secara drastik juga melanda dunia maklumat dalam masyarakat. Jika dahulu, mereka hanya bergantung pada bahan bercetak yang kebanyakannya perlu dibayar, tetapi kini dengan kehadiran internet, mereka mampu mencapai segala jenis maklumat dengan mudah dan murah. Melalui internet, wujud lambakan maklumat, seperti laman web, blog dan laman sosial untuk tujuan interaktif, seperti Facebook dan Twitter. Laman web yang wujud bagaikan cendawan selepas hujan juga mempunyai sifat tersendiri, seperti memberikan maklumat kepada masyarakat, mempromosikan produk dan perniagaan, atau sekadar menambah kenalan dan mengisi ruang silaturahim antara penggunanya, meliputi lokasi di seluruh dunia. Terlihat, kehidupan lebih mudah dan sangat berbeza berbanding dengan zaman media cetak dahulu.

Bahan bacaan sudah pelbagai dan bukan lagi bersifat konvensional dalam bentuk bahan bercetak, seperti buku dan akhbar. Kehadiran peranti canggih yang menyokong penggunaan internet juga mengubah tatacara hidup dan daya pemikiran masyarakat. E-buku dikatakan menguasai dunia pembacaan generasi Y. Hal ini disahkan sendiri oleh Amazon. com dalam laman webnya yang mendakwa bahawa lebih daripada 550 ribu judul e-buku dijual pada harga AS$9.99 sahaja.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Julai 2012

Leave a Reply