Pendidikan dan Bahasa dalam Hubungan Etnik

Bahasa dan Masyarakat

Oleh JENIRI AMIR

Bahasa Melayu diisytiharkan sebagai bahasa kebangsaan dalam Perkara 152 Perlembagaan Malaysia, hasil permuafakatan perlembagaan oleh pemimpin menjelang kemerdekaan negara. Meskipun demikian, perkembangan dan penggunaan bahasa ibunda tidak terjejas kerana turut dijamin di bawah perlembagaan.

Di bawah Perlembagaan Malaysia, tidak ada sesiapa pun boleh dilarang atau ditahan daripada menggunakan atau mengajarkan bahasa lain, selain untuk tujuan atau maksud rasmi. Sebagai lingua franca di Nusantara sejak berkurun-kurun lamanya, bahasa ini sudah merakyat dalam kalangan penduduk di rantau ini kerana mudah dipelajari dan dikuasai. Lagipun, sistem ejaan, istilah dan sebutannya lebih tekal berbanding dengan bahasa lain. Kini, bahasa Melayu merupakan antara sembilan bahasa di dunia yang dituturkan oleh lebih daripada 300 juta penutur, selain bahasa Mandarin, Sepanyol, Inggeris, Bengali, Hindi, Portugis, Rusia dan Jepun.

Matlamat Dasar Pendidikan Kebangsaan telah dinyatakan dalam pendahuluan Akta Pelajaran 1961, iaitu untuk menyatupadukan kanak-kanak sekolah berbilang kaum dan menyediakan tenaga kerja bagi memenuhi keperluan negara. Sebenarnya, langkah perintis ke arah menyemai dan memupuk perpaduan sosial dalam kalangan kanak-kanak, melalui sistem pendidikan, tercermin melalui Laporan Barnes 1950. Laporan Barnes mencadangkan dua sistem persekolahan pada peringkat sekolah rendah, iaitu sekolah Melayu dan sekolah Inggeris, yang mencerminkan jati diri kebangsaan.

Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris akan digunakan sebagai bahasa pengantar di sekolah rendah, manakala di sekolah menengah dicadangkan hanya bahasa Inggeris digunakan. Sekolah Cina dan sekolah Tamil dicadangkan untuk dimansuhkan secara berperingkat-peringkat, namun kedua-dua bahasa berkenaan akan diajarkan sebagai satu mata pelajaran di sekolah kebangsaan. Kini, dengan perubahan masa, bahasa Tamil dan bahasa Mandarin turut diperkenalkan di sekolah kebangsaan dengan keyakinan bahawa penting juga untuk pelajar yang berminat mempelajari bahasa itu bagi memudahkan mereka berinteraksi dengan kaum terbabit. Lagipun, kini bahasa Mandarin menjadi penting ekoran kebangkitan negara China sebagai harimau baharu ekonomi dunia.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Julai 2012.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • PDF
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks

Hantar Maklum Balas