Teknologi dan Bahasa

Oleh ZULKIFLI SALLEH

Pada dekad 1990-an tatkala internet mula tersebar luas, timbul kebimbangan bahawa bahasa Inggeris akan memperkukuh hegemoninya sambil mengorbankan bahasa lain, termasuk bahasa Melayu. Internet memudahkan bahasa itu untuk menjelajah ke seluruh dunia bersama-sama maklumat. Teknologi dipercayai dapat mengembangkan dan melenyapkan sesuatu bahasa. Kewujudan komputer, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan media sosial, seperti Facebook, Twitter dan blog, banyak membantu mengembangkan sesuatu bahasa, dan bahasa Melayu tidak terkecuali.

Lima tahun yang lalu, jika seseorang memberitahu ahli linguistik bahawa mesej teks membantu menyelamatkan bahasa daripada diancam kepupusan, ahli linguistik tersebut berkemungkinan ketawa sinis. Namun begitu, menurut Samuel Herrera, yang mengendalikan makmal bahasa di Institute of Antrophological Research di Kota Mexico, itulah yang terjadi kini apabila beliau mendapati belia di selatan Chile mengeluarkan video hip-hop dan memasukkannya ke dalam YouTube dengan menggunakan Huilliche, iaitu bahasa di pinggir kepupusan. Herrera juga menemui remaja di Filipina dan Mexico yang berfikir bahawa memang “dingin” untuk menghantar mesej teks di wilayah bahasa yang pupus, seperti Kapampangan dan Huave. Sebaik-baik sahaja mesej teks itu meletup di pentas dunia sebagai cara untuk menjangkau setiap orang, di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja, remaja itu mula mendapati cara untuk melakukannya semula, iaitu menjadikannya lebih eksklusif dan membina kod mereka sendiri atau cakap angin untuk menggunakan peranti secara meluas.

Dipercayai bahawa ini bukanlah pertama kali orang muda memainkan peranan penting dalam kemajuan teknologi. Pada tahun 1900, generasi muda menunjukkan kebijakan mereka dengan peranti komunikasi baharu masa itu, iaitu telegraf, dan menjadi penerima yang begitu cepat dan awal kod Morse. Dari zaman telegraf ke media sosial, kewujudan sesuatu perkara yang memudahkan, seperti mesej teks, dapat menarik semula perhatian orang muda kepada bahasa golongan tua mereka. Sementara projek, seperi saluran “Enduring Voices” YouTube, boleh memberikan inspirasi kepada orang lain untuk belajar bahasa leluhur bagi mengeluarkan muzik hip-hop.

Dalam keluaran akhir Februari tahun ini, The Economist muncul dengan “Embracing the Future”, mengingatkan penggunaan teknologi atau kehilangannya. Menurut David K. Harrison, ahli linguistik dari Swarthmore College di Pennsylvania bahawa teknologi moden dapat menyelamatkan bahasa, di samping memusnahkannya. Harrison yang pernah menjalankan kajian dan menulis kepupusan bahasa optimis dan percaya bahawa teknologi maklumat (TM), iaitu sesuatu yang dianggap oleh banyak orang sebagai ancaman terhadap kepelbagaian bahasa, mungkin sebaliknya merupakan penyelamat bahasa. Tanpa menafikan bahawa Internet terutamanya, dianggap sebagai ancaman, dengan menyebarkan bahasa yang dituturkan secara meluas, seperti bahasa Inggeris sambil mengorbankan bahasa tempatan yang lebih sederhana. Namun begitu, Harrison membantu penutur bahasa yang terancam menggunakan TM untuk melawan balik.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Julai 2012.

Leave a Reply