Bahasa Jenama:Biarlah Indah dan “Menyegarkan”

Apalah ada pada nama. Ungkapan tersebut sering diungkapkan oleh orang yang tidak mengambil kisah tentang nama. Walhal, nama merupakan lambang jati diri ataupun citra bagi sesuatu yang dinamai.

Oleh sebab itulah, setiap ibu bapa akan memilih nama yang baik-baik untuk anak mereka. Selain orang, nama juga digunakan untuk hal yang lain, seperti nama produk dan perkhidmatan, syarikat dan bangunan. Dahulu, pada peringkat awal kereta nasional Malaysia muncul di pasaran, kereta tersebut dinamai dengan nama yang bercitra kebangsaan, bermula dengan Saga, Iswara, Wira, Waja dan Perdana. Namun demikian, nama seperti itu seolah-olah kurang memberikan nilai komersialnya dan tidak dapat menembusi pasaran antarabangsa sehingga perlu dinamai dengan “gaya bahasa baharu”, seperti Preve.

Dalam hal nama dan penamaan ini, bahasa Melayu yang indah dan berkesan serta berkualiti sepatutnya tidak “dilepas pandang” kerana nama dalam bahasa Melayu yang berteraskan budaya tempatan juga setanding dengan nama asing sekiranya diperkenalkan secara bersungguh-sungguh. Penggunaan nama yang indah dan berkesan merupakan lambang jati diri ataupun citra bagi sesuatu yang dinamai. Keberkesanannya, akan membantu menarik perhatian khalayak terhadap sesuatu yang dinamai.

Jika bangsa Jepun berbangga dengan jenama Honda, Toyota dan Nissan, dan bangsa Korea berbangga dengan jenama Kia dan Hyundai, kenapa kita tidak boleh berbangga dengan jenama seperti Wira, Waja dan Perdana? Selain mengutamakan aspek kualiti sesuatu produk, apalah salahnya kita turut mengutamakan aspek jenama yang bercitra bahasa dan budaya tempatan untuk memperkenalkan bangsa dan negara yang menghasilkannya?

Untuk membantu pihak yang terlibat dalam hal penamaan ini, Dewan Bahasa dan Pustaka telah menerbitkan beberapa buah buku panduan, seperti Garis Panduan Menamai Syarikat, Bangunan, Kawasan Perumahan, Tempat Awam dan Jalan, Nama Khas dan Iklan dan Nama Indah (Siri Lembar Bahasa). Semua buku ini bolehlah dirujuk untuk dijadikan panduan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Julai 2012.

One thought on “Bahasa Jenama:Biarlah Indah dan “Menyegarkan””

Leave a Reply